Allah
Ta’ala telah menjadikan lelaki dalam wujud yang kuat, sebab itu mereka lebih
banyak tanggungjawab berbanding wanita. Dari segi ibadat juga mereka lebih banyak
dituntut berbanding dengan wanita. Sebab itu, sebagai suami mereka lebih banyak
tanggungjawab yang harus dipenuhi dalam keluarga. Sebagai seorang ayah juga
mereka mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak. Ringkasnya, suami mempunyai
banyak tanggungjawab yang perlu dipenuhi sehingga mereka mendapat peringatan
daripada Allah Ta’ala supaya kekal melakukan kebaikan, kekal atas ketakwaan dan
memperlihatkan contoh yang terbaik kepada isteri dan anak-anak.
Dalam
satu hadis, Hazrat Abdullah bin Umar radiallaahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa kaum lelaki adalah pengawas
keluarga dan akan ditanya berkenaan dengan tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Kaum wanita pula adalah pengawas rumah suami dan akan ditanya berkenaan dengan tanggungjawab
mereka.
Sudah
menjadi kebiasaan, oleh kerana lelaki merasa tanggungjawab mereka adalah di
luar rumah, oleh kerana mereka merasa bahawa mereka ada tanggungjawab yang
besar di luar dengan bekerja keras mencari sumber penghidupan, sebab itu mereka
tidak dapat memberikan penumpuan terhadap pengurusan rumahtangga dan menganggap
tugas pendidikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada wanita.
Jadi,
hendaklah diingat bahawa walaupun berperanan sebagai ketua keluarga, mereka
juga harus menunaikan hak-hak isteri dan anak-anak, mereka juga harus
meluangkan masa bersama ahli keluarga tidak kira sama ada dua hari dalam
seminggu atau sekurang-kurangnya hujung minggu. Suami bertanggungjawab
menjadikan anak-anak rapat dengan masjid, membawa mereka dalam program-program
jemaat, mengadakan acara-acara yang menggembirakan, melibatkan diri dalam
program yang mereka minati, dan mendengar masalah mereka laksana sebagai
seorang kawan. Suami harus bertanya mengenai masalah kepada isteri dan anak-anak
serta berusaha menyelesaikannya. Dengan itu, suami boleh menjadi pemimpin yang
layak dicontohi. Ini kerana, beberapa pemimpin yang tidak mengetahui suatu
masalah di tempatnya tidak boleh dianggap sebagai pemimpin yang berjaya. Sebab
itu, pengawas yang terbaik ialah mereka yang mengetahui masalah-masalah di persekitarannya.
Seorang
mukmin diperintahkan agar menghindari perkara-perkara yang cenderung ke arah
keduniaan, jika semata-mata kerana kesibukan mengkhidmati agama ataupun kerana
beribadat kepada Allah Ta’ala, kaum lelaki menjadikan kebiasaan tidak mengambil
tahu tentang keadaan sekeliling, tidak menunaikan hak isteri dan anak-anak,
tidak menunaikan hak orang-orang yang datang berjumpa dan juga tidak melaksanakan
tugas terhadap masyarakat, ini juga satu perbuatan yang salah. Perbuatan ini
tidak menegakkan tingkat ketakwaan, sebaliknya jika hendak mencapai tingkat
ketakwaan, maka sempurnakan hak-hak Allah dan juga hak-hak hamba.
Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam bersabda; “orang terbaik di kalangan kamu ialah
mereka yang berbuat baik terhadap ahli keluarganya, dan saya adalah orang yang
paling baik terhadap keluarga saya”. (Tirmizi Kitabul Manaqib, Baab Fazlu
Azwaazun Nabi sallallaahu alaihi wasallam)
Jadi,
kita harus mengukur diri kita sendiri bahawa adakah kita dapat beramal atas
ajaran ini? Kadang-kadang ada rungutan dari sebuah rumah bahawa seorang suami sedang
duduk membaca surat khabar di atas kerusi, bila kehausan dia akan memanggil
isterinya agar mengambilkannya air atau jus dari peti sejuk untuk diberikan
kepadanya, sedangkan pada masa yang sama peti sejuk itu sangat dekat kepadanya.
Dan jika isteri sedang sibuk atau disebabkan sesuatu perkara isteri datang
lambat, maka suami mula bising atau marah-marah. Jadi, dari satu sudut
mendakwakan diri sebagai pencinta Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam tetapi
pada sudut yang lain tidak menzahirkan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam.
Seorang
suami hendaklah menunjukkan sikap lemah lembut terhadap keluarga sebagaimana
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam tidak pernah mengangkat tangan kepada
isteri-isteri baginda.
Kebelakangan
ini, suami cepat mengangkat tangan ke atas isteri walaupun hanya disebabkan
perkara-perkara kecil sedangkan, di mana ada keizinan untuk memberi hukuman
terhadap isteri, terdapat banyak peraturan yang harus diikuti. Sebab itu,
sebagai ganti mencari-cari alasan adalah lebih baik memahami tanggungjawab
sendiri dan sempurnakan hak-hak wanita sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam
Al-Qur’an; yakni lelaki adalah pengawas kepada wanita atas kurnia yang telah
diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Sebab itu jugalah lelaki yang harus
memberikan belanja kepada wanita. Jadi, wanita yang baik akan memelihara apa
sahaja yang telah diberikan oleh lelaki kepada mereka sesuai dengan ketetapan
daripada Allah Ta’ala.
Jika
suami risau wanita akan membuat sesuatu yang berunsur pemberontakan, maka
pertama sekali nasihati mereka, kemudian asingkan tempat tidur, dan jika perlu,
isteri boleh diberi hukuman fizikal. Selepas mereka kembali taat, maka
janganlah pula mencari-cari alasan untuk menentangnya.
Jadi,
amalkan cara memberi hukuman yang telah ditetapkan, jika tidak kelihatan
perubahan ke arah kebaikan, maka berilah hukuman. Jangan pernah mengamalkan
sikap pemarah, yakni hanya disebabkan perkara kecil, lelaki mudah mengangkat
tangan atau menggunakan benda yang boleh menyakitkan tubuh badan. Jangan juga
terlalu zalim sehingga mencari kesalahan-kesalahan wanita yang baik yang
menyebabkan wanita itu diberi hukuman berbentuk fizikal. Jadi, lelaki hendaklah
ingat perkara ini bahawa jika perbuatan seperti ini berlaku dan sampai kepada
pengetahuan Nizam Jemaat, maka lelaki itu hendaklah diberi hukuman, sebab itu
jangan memburukkan nama Al-Qur’an dan perbaikilah keadaan diri sendiri.
Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda: “Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam
bersabda bahawa KHAIRUKUM KHAIRUKUM LI
AHLIHII, orang terbaik di kalangan kamu adalah yang berbuat kebaikan untuk
keluarganya. Mereka yang berbuat tidak baik terhadap keluarganya bukan orang
yang baik. Mereka hanya dapat berbuat baik terhadap orang lain sekiranya mereka
telah berbuat baik terhadap keluarga terlebih dahulu.
Ada
orang yang kelihatan baik di luar rumah, tetapi mereka sebenarnya mempunyai
kekurangan sekiranya tidak berbuat baik terhadap isteri, sebab itu masyarakat
harus merenungkan situasi ini. Ada beberapa kejadian di mana lelaki yang penuh
dengan emosi menjadi marah dan memukul isterinya walaupun hanya disebabkan
perkara yang kecil sehingga cedera dan ada kes sampai ke tahap meninggal dunia.
Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam menasihatkan kepada suami isteri, sekiranya kamu
mendapati pada diri pasangan kamu ada suatu keaiban atau suatu perkara yang
kamu tidak sukai, maka semestinya kamu akan mendapati ada suatu keistimewaan
dalam diri pasangan kamu yang pasti kamu sukai. Oleh sebab itu, perkara yang
menarik itu hendaklah diberi perhatian dengan mengamalkan sikap lebih
mengutamakan orang lain daripada diri sendiri sehingga tercipta suasana
muafakat yang indah. Ciptakan keamanan dan perbaikan dalam hubungan. Inilah
nasihat untuk suami isteri, sekiranya mereka berjaya menahan emosi
masing-masing, sudah pasti masalah-masalah kecil dalam rumahtangga akan dapat
dihindari dan anak-anak akan terselamat. Tetapi, dalam beberapa kes ada juga
terjadi dalam dunia ini di mana seorang manusia melakukan satu perbuatan yang
lebih jahat daripada perlakuan binatang.
Seorang
insan terutama sekali seorang lelaki harus mempunyai ciri khusus yang boleh
mewujudkan suasana yang suci iaitu berwatak baik (menjalinkan hubungan
silaturrahim), menjaga kebaikan keluarga, memenuhi kekurangan mereka dan
menjauhi kesulitan mereka.
Menjalinkan
silaturrahim satu hal yang sangat luas. Ia termasuklah tanggungjawab suami
memenuhi hak isterinya. Silaturrahim itu sangat perlu dijalin dengan isteri.
Jika kebiasaan ini wujud dan hubungan silaturrahim suami isteri dapat
ditegakkan, adakah kemungkinan satu keluarga itu akan mengalami kehancuran?
Adakah akan terjadi pergaduhan? Sudah pasti tidak! Ini kerana, kebanyakan
pertelingkahan bermula dari hal-hal kecil di mana seorang ayah atau seorang ibu
memperkatakan sesuatu yang buruk tentang seseorang, walaupun hanya bergurau
tetapi ada yang tersinggung sehingga membuat keputusan: saya tidak akan bercakap dengan mak kamu, saya tidak akan bercakap
dengan bapa kamu, saya tidak akan bercakap dengan abang kamu, saya tidak akan
bercakap dengan keluarga kamu. Inilah yang boleh mendatangkan masalah
perselisihan faham.
Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam banyak memberikan kepada kita contoh-contoh dalam
soal berbuat baik terhadap keluarga.
Kadang-kadang
ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian kerana sekarang ini lelaki dan
wanita banyak melakukan aktiviti secara bersama. Tetapi, ia bukan bermakna
bahawa lelaki mendapat keizinan untuk duduk dalam majlis-majlis wanita atau
suami boleh duduk-duduk bersama dengan teman-teman isteri secara terbuka.
Bersikap prihatin itu perkara lain dan bersenda gurau dengan teman-teman isteri
adalah perkara lain. Ia boleh mendatangkan banyak perkara yang tidak diingini
kerana ada beberapa kes di mana isteri diketepikan dan teman isteri pula mendapat
kedudukan seperti isteri sendiri. Lelaki menjalani kehidupan dunianya tetapi
isteri pertama hanya menitiskan air mata. Dan hal ini satu perbuatan zalim dan
Islam sama sekali tidak mengizinkan perbuatan ini. Lelaki hanya pandai berkata:
kami mendapat izin untuk berkahwin.
Seharusnya lelaki merenungkan tanggungjawabnya, dia harus juga memikirkan
isterinya yang telah berkorban melalui kehidupan susah bersama dengannya. Isteri
telah menemani suami saat dia sendirian, menjadi pembantu saat suami memerlukan
bantuan, memberikan hartanya sebagai pengorbanannya untuk suami, dan Allah
Ta’ala juga telah memberi kurnia anak-anak melaluinya.
Satu
perkara yang perlu difikirkan bersama, ada suami yang selalu melupakan
pengorbanan isteri sehingga ada kes di mana suami memaksa isteri untuk
memberikan segala harta benda yang dimilikinya. Dan ada juga kejadian di mana
lelaki yang datang dari keluarga terhormat turut melakukan perbuatan buruk
seperti ini. Jadi, orang seperti itu harus takut kepada Allah Ta’ala dan
berusaha untuk memperbaiki keadaan diri sendiri. Jika tidak, jika perkara ini
sampai kepada Nizam Jemaat, maka jangan bersama-sama dengan orang seperti itu.
Bukan setakat anak lelaki sahaja yang berbuat seperti itu, malah ibu bapa
anak-anak seperti itu juga memberi tekanan ke atasnya.
Mereka
juga hendaklah ingat bahawa mereka pun mempunyai anak-anak perempuan, dan boleh
sahaja anak-anak perempuan mereka akan diperlakukan seperti yang mereka telah
lakukan. Dan mereka yang tidak ada anak perempuan tidak dapat merasainya kerana
mereka hanya ada anak lelaki, namun mereka juga hendaklah ingat bahawa Allah
Ta’ala yang memberikan kehidupan dan akan hadir di hadapan-Nya suatu masa
nanti.
Pernah
sekali Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam balik ke rumah lewat malam, tanpa
mengejutkan sesiapa baginda mengambil makanan sendiri ataupun meminum susu
tanpa menyuruh sesiapa.
Inilah
uswah daripada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, tetapi walaupun ada contoh
di hadapan mata, lelaki yang balik lewat malam setiap hari, sekiranya isteri
makan terlebih dahulu disebabkan kesihatan yang kurang baik, maka kiamat akan
terjadi. Mood akan hilang dengan
mengatakan bahawa: kenapa tidak menunggu
saya? Dalam masyarakat kita hal ini banyak terjadi, tetapi dengan tingkat
pendidikan yang ada, perkara seperti ini sepatutnya sudah tidak wujud lagi.
Perkara ini juga hendaklah diperbaiki. Ini kerana, disebabkan suami telah
menjadi marah, maka mertua juga turut marah kepada menantu mereka dengan
mengatakan: kenapa kamu tidak
menunggunya?
Dewasa
ini ada yang tidak memikirkan isteri kerana orang akan berkata: jangan menjadi hamba kepada isteri. Ada
juga ibu bapa dari keturunan yang mulia pun sama mengatakan kepada anak lelaki
mereka supaya jangan menjadi hamba kepada isteri. Ini semua akan menyebabkan
jurang kasih sayang dan perlakuan baik menjadi renggang sehingga mencapai tahap
cenderung mencintai yang lain.
Kemudian,
lelaki yang selalu memandang harta isteri, mereka hendaklah ingat bahawa
tanggungjawab memberikan nafkah adalah tugas mereka, dan harta isteri bukan hak
mereka. Memberikan perbelanjaan untuk isteri dan anak-anak adalah tugas suami.
Oleh sebab itu, walaupun terpaksa bekerja sebagai buruh, perbelanjaan keluarga
hendaklah diberikan. Kemudian, mereka harus banyak berdoa di samping usaha
keras, semoga Allah Ta’ala memberikan berkat yang banyak.
Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam pernah menasihatkan: Selalulah memikirkan untuk melakukan kebaikan kepada wanita kerana
mereka terikat seperti tahanan bersama-sama dengan kamu. Kamu juga tidak
mempunyai hak untuk memukul mereka sesuka hati melainkan mereka melakukan
sesuatu yang bertentangan dengan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Dan hak
kamu terhadap mereka ialah menyediakan makanan dan pakaian yang baik untuk
mereka.
Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam telah memberikan banyak contoh kepada kita
bagaimana untuk bermasyarakat dengan para wanita. Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda bahawa lelaki itu adalah keras hati jika mereka bangkit
mencederakan wanita. Cuba kaji kehidupan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam
bagaimana akhlak baginda dalam memperlakukan para wanita.
Dalam
satu riwayat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa berbuat
baiklah kepada wanita. Sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk,
dan tulang rusuk itu dalam keadaan bengkok, jika kamu berusaha untuk meluruskan
tulang rusuk yang bengkok itu, maka kamu hanya akan mematahkannya. Dan jika
kamu biarkan, ia akan terus berada dalam keadaan bengkok selamanya. Jadi,
hadapilah mereka dengan perlakuan yang baik kerana kamu juga boleh mengambil
manfaat daripada mereka walaupun dalam ia dalam keadaan bengkok.
Walaupun
ia bersifat bengkok, namun di situlah letaknya kekuatan mereka, dalam mana-mana
bangunan atau jambatan, tidak semua bahagian mempunyai sifat yang lurus,
kadang-kadang perkakas yang bengkok itu memiliki lebih banyak ketahanan atau
kekuatan berbanding dengan perkakas atau barang yang lurus. Jadi, dalam apa
keadaan sekalipun, lelaki boleh sahaja mengambil manfaat daripada mereka. Dan
hal ini juga terbukti bahawa wanita memiliki semangat pengorbanan yang tinggi
kerana Allah Ta’ala sendiri yang telah meletakkan semangat itu dalam diri
setiap wanita. Jika kamu dapat memberikan mereka contoh yang baik, maka mereka
akan bersedia setiap masa berkorban untuk kamu. Jadi, bukan kekerasan yang
menjadikan mereka lebih bermanfaat untuk kamu malah kasih sayang, kecintaan dan
kelembutan yang lebih banyak mendatangkan faedah.
Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda dalam suatu ilham: Berlembutlah, berlembutlah, punca segala kebaikan adalah kelembutan.
Beliau menulis bahawa dengan ilham ini ia mengajarkan kepada setiap anggota
Jemaat supaya berbuat baik terhadap isteri masing-masing. Maksud lelaki dan
wanita bernikah adalah supaya mereka bersatu hati, jadi berusahalah supaya
tidak ada penghalang di dalamnya. Al-Qur’an juga mengajarkan bahawa kamu
hendaklah berlaku baik terhadap isteri-isteri kamu. Dan di dalam hadis pula ada
menyatakan bahawa orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang
paling baik terhadap keluarganya.
Jadi,
berbuat baiklah kepada isteri sama ada secara rohani atau jasmani. Berdoalah sentiasa
untuk mereka dan jangan pernah terfikir untuk menjatuhkan talak kerana di sisi
Tuhan, seorang lelaki itu sangat buruk jika dia cepat dalam menjatuhkan talak.
Jika Tuhan telah memberikan pasangan, ia jangan dicemarkan atau diputuskan
sesuka hati.
Beliau
juga bersabda bahawa sekarang ini ramai lelaki yang telah melakukan kesilapan
dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap anak dan isteri. Al-Qur’an
mengajarkan supaya berbuat baik kepada para wanita. Tetapi sekarang ini ada
perlakuan yang tidak betul. Ada dua kelompok dalam perkara ini. Satu kelompok
ialah mereka yang telah memberikan kebebasan penuh kepada wanita untuk melakukan
perbuatan yang memalukan, yakni ajaran agama tidak memberi pengaruh apapun ke
atas mereka. Dan mereka melakukan perkara yang sangat bertentangan dengan
ajaran Islam dan tidak ada yang mengkritik mereka. Misalnya dalam soal pardah.
Ada
juga yang tidak memberikan kebebasan kepada para wanita mereka, tetapi tindakan
mereka pula terlalu keras sehingga mereka tidak lagi dapat dibezakan dengan
perbuatan haiwan. Jika mereka memukul,
mereka tidak ada perasaan belas kasihan. Banyak lagi perbuatan-perbuatan yang
buruk, sehingga berkenaan dengan wanita itu ada ungkapan ibarat sepasang kasut
di mana satu kasut dibuka dan kasut lain pula yang dipakai. Perkara ini sangat
berbahaya dan sangat bertentangan ajaran Islam. Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam memberikan contoh yang agung dalam semua perkara. Cuba perhatikan bagaimana
baginda bermasyarakat dengan wanita-wanita.
Kadang-kadang
dalam sebuah rumah terjadi perkara yang buruk. Ibu mertua kerana memang begitu
perangainya akan berkata: Halau dia dari
rumah! Sehingga ayah mertua wanita berkenaan, walaupun telah diberikan oleh
Allah Ta’ala akal fikiran, turut mengikuti kata isterinya dan ada juga yang
mencapai tahap mengangkat tangan terhadap anak menantu mereka. Kemudian berkata juga kepada anak lelaki
mereka: Pukul dia, jika mati pun tidak
ada bezanya, kita akan dapatkan isteri yang lain untuk kamu.
Seharusnya
seorang suami perlu melayan isteri laksana dua orang sahabat sejati. Bukti
pertama seorang insan mempunyai akhlak fadhilah dan hubungan yang baik dengan
Allah Ta’ala ialah bagaimana hubungan mereka dengan wanita. Jika hubungan
dengan wanita sahaja tidak baik, bagaimana mereka mengatakan mempunyai hubungan
yang baik dengan Allah Ta’ala. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda
bahawa orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang sangat baik terhadap
ahli keluarganya.
Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam menekankan lagi bahawa orang yang tidak berlaku baik
dan tidak berlemah lembut terhadap isteri dan ahli keluarganya bukan dari
anggota jemaatku.
Pernah
sekali ada seseorang datang kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam
bersama dengan seorang anak kecil. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam
bertanya: Adakah kamu kasih kepadanya?
Orang itu menjawab: Benar ya Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam! Saya kasih kepadanya. Maka baginda bersabda
lagi: Allah Ta’ala akan mengasihi engkau
lebih daripada engkau mengasihinya dan Tuhan itu Arhamur Raahimiin.
Zaman
ini sangat menuntut seseorang ayah agar lebih bertanggungjawab. Bukan hanya
melaksanakan tanggungjawab di luar rumah, di dalam rumah juga hendaklah diberi
perhatian. Mereka harus memahami bahawa sekarang ini sedang berlaku suasana
yang boleh memberi kerosakan dalam masyarakat.
Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda: Memukul
anak seumpama itu termasuk syirik. (Ada ayah yang suka memberi hukuman
dengan teruk). Dia bertindak seolah-olah hendak menjadikan dirinya satu
bahagian dalam hidayat dan rububiyat. Seorang yang pemberang apabila memberi
hukuman boleh mencapai tahap yang teruk laksana memperlakukan musuh ketat. Memberi
hukuman itu merupakan kewajipan jika ia bertujuan untuk perbaikan, tetapi
elakkan memberi hukuman yang dilakukan dengan tidak terkawal. Sebagaimana usaha
dilakukan untuk memberi hukuman, giat dalam berdoa juga satu hal yang perlu
diberi perhatian. Ini kerana doa seorang ayah terhadap anak-anaknya sangat
makbul.
Di
satu tempat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa kamu
hendaklah menghormati anak-anak kamu dan memberi tarbiyat yang terbaik untuk
mereka.
Jadi,
untuk melahirkan jiwa kehormatan dalam diri anak-anak, adalah perlu menghormati
mereka dan mengajarkan adab-adab, dengan itu nanti mereka akan menghormati
orang lain. Jika tidak begitu maka mereka akan merasa lebih tinggi berbanding
orang lain, mereka akan merasa lebih mulai daripada orang lain sehingga mereka
tidak ada rasa hormat terhadap orang yang lebih tua berbanding mereka. Jadi,
tarbiyat yang betul ialah tarbiyat yang mengajarkan anak-anak mencapai akhlak
yang tinggi.
Pernah
juga Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa orang yang diuji
melalui anak-anak perempuan lalu mereka dapat melaksanakan tarbiyat yang baik
kepada anak-anak perempuan mereka, maka ia akan menjadi sarana keselamatan
mereka dari jahannam.
Cuba
lihat bagaimana khabar gembira yang diberikan oleh Rasulullah sallallaahu
alaihi wasallam terhadap orang yang memiliki anak-anak perempuan. Insan itu
banyak dosa dan kesalahan-kesalahan lain. Namun, Allah Ta’ala banyak meletakkan
sarana-sarana keampunan. Jadi, sebagai ganti merasa bernasib malang memiliki
anak perempuan, seharusnya mereka bersyukur dan berusaha memberi tarbiyat
kepada mereka selain banyak berdoa untuk kebaikan mereka.
Jadi,
seorang lelaki yang mendapat kedudukan sebagai pemimpin, mereka seharusnya
berusaha untuk menjadi muttaqi, dan untuk menjadi ketua keluarga yang muttaqi,
dia sendiri yang harus disiplin dalam solat, dia harus bangun malam atau
sekurang-kurangnya bangun untuk Subuh selain mengejutkan isteri dan anak-anak
untuk solat Subuh. Jika sebuah rumah ada ahli keluarga yang beribadat seperti
itu, maka keluarga itu akan mendapat berkat yang banyak daripada Allah Ta’ala.
Tetapi, ingatlah bahawa usaha ke arah itu hanya akan dapat dicapai sekiranya
diiringi dengan doa. Terutama sekali dalam doa-doa, di situ hendaklah dimasukkan
doa-doa khas untuk isteri dan anak-anak.
Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam mengajarkan cara untuk berdoa iaitu berdoa setiap
hari. Pertama sekali berdoa untuk diri sendiri supaya Allah Ta’ala memberikan
tugas yang boleh menzahirkan kemuliaan-Nya dan mendapat taufik untuk menarik keredhaan-Nya.
Kedua, berdoa untuk ahli keluarga agar mereka menjadi penyejuk mata dan mereka
semua berjalan atas landasan yang diredhai Allah Ta’ala. Ketiga, berdoa untuk
anak-anak agar semuanya menjadi pengkhidmat agama. Keempat, berdoa dengan
menyebut nama sahabat-sahabat yang mukhlis. Kelima, berdoa untuk semua anggota
jemaat ini samada dikenali atau tidak.
Semoga
Allah memberi taufik kepada kita untuk
menunaikan hak dalam cara yang sebenarnya. Semoga Allah menjadikan isteri dan
anak-anak sebagai sarana ketenangan dan penyejuk mata kepada kita. Semoga Allah
Ta’ala memberi taufik kepada kita agar dapat meninggalkan keturunan yang soleh.
Semoga semua suami, isteri dan anak-anak
mendapat manfaat daripada perkara ini. Banyakkan berdoa dan membaca salawat,
perlihatkan contoh akhlak yang terbaik, tanamkan sikap bertoleransi dalam diri,
elakkan diri dari perbuatan marah hanya disebabkan perkara kecil, amalkan sikap
memaafkan. Jalinkan kasih sayang dalam masyarakat, jika ada pertelingkahan
timbul dalam masyarakat, selesaikan permasalahan mereka agar menjadi bersatu
semula.
Diterjemahkan
dan diolah dari Khutbah Huzur
02.07.2004