Sunday, April 1, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 30-03-2018


۩بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ۩
Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
30-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-

Seorang sahabi Rasulullahsaw bernama Hazrat Jabir bin Abdullah, anak kepada Hazrat Abdullah bin Amar bin Arham. Setelah Hazrat Abdullah bin Amar bin Arham syahid, Rasulullahsaw menceritakan bahawa Allah bertanya kepada Hazrat Abdullah bin Amar bin Arham, “apa keinginan kamu?”. Dia menjawab “Wahai Allah! Keinginan saya ialah dihidupkan kembali lagi ke dunia dan disyahidkan pada jalan Engkau”. Oleh kerana hal itu bertentangan dengan sunnatullah, keinginannya tidak dipenuhi. Dari kisah ini dapat diketahui darjat yang diperlakukan oleh Allah terhadap orang shahid pada jalan Allah Ta’ala.

Hazrat Jabir bin Abdullah telah diperingatkan oleh ayahnya sebelum syahid supaya menjual hasil kebun dan membayar hutangnya dari seorang Yahudi. Hazrat Jabir juga sendiri meminjam untuk memenuhi keperluannya. Ketika membuat pembayaran, kemungkinan hasil kebun agak kurang, Hazrat Jabir meminta pertimbangan untuk dipermudahkan dalam proses pembayaran hutang. Namun Yahudi itu tidak mahu bertolak ansur. Ketika Rasulullahsaw mendapat tahu hal itu, bagindasaw sendiri meminta pertimbangan dari Yahudi berkenaan, namun tidak memberi apa-apa pengaruh ke atas Yahudi tersebut.

Riwayat yang ada dalam Bukhari nampaknya menceritakan kejadian dalam waktu yang berlainan. Apapun, ia menjelaskan tentang kasih sayang Rasulullahsaw. Hazrat Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa di Madinah ada seorang Yahudi selalu memberi bantuan dalam menguruskan kebun sehinggalah musim menuai tiba. Selepas setahun, hasil buah tidak cukup untuk membayar hutangnya. Apabila Yahudi itu datang untuk menagih hutang, beliau memohon agar diberi tempoh setahun lagi, tetapi Yahudi itu tidak mahu bertolak ansur dengan niat seluruh kebun itu dapat menjadi miliknya. Apabila Rasulullahsaw dapat tahu hal itu, bersama dengan beberapa sahabat, mereka pergi ke tempat berkenaan untuk meminta sendiri kepada Yahudi berkenaan. Namun, Yahudi itu tidak mahu bertolak ansur. Rasulullahsaw berjalan mengelilingi kebun itu dan berjumpa kembali Yahudi berkenaan dan memohon sekali lagi, tetapi dia tetap dengan pendiriannya. Rasulullahsaw memberitahu kepada Hazrat Jabir agar menyediakan tempat untuknya tidur sebentar di kebun itu. Setelah sedar, bagindasaw berjumpa sekali lagi kepada Yahudi itu namun tetap saja sama. Rasulullahsaw mengelilingi kebun itu untuk kali kedua. Kemudian bersabda: “Jabir! Petik buah sekarang dan bayar hutang kepada Yahudi itu.” Hazrat Jabir memetik hasil dan setelah menyelesaikan hutangnya, masih ada lagi yang tinggal dari hasil kurma tersebut. Dia sampaikan berita gembira itu kepada Rasulullahsaw. Atas hal itu Rasulullahsaw bersabda: “Aku bersaksi bahawa aku adalah Rasul Allah, kejadian ini membuktikan Allah mendengar doa dan memberikan berkat atas kebun ini.”

Kejadian ini hendaklah menjadi pedoman untuk kita. Dalam persekitaran kehidupan sebagai Ahmadi, jangan hendaknya menganggap hutang ini satu perkara kecil sehingga bertangguh-tangguh dalam membayarnya, ada juga perbicaraan yang terus berlanjutan. Jadi, kita hendaklah ingat pesanan Hazrat Maseeh Mau’udas bahawa selepas baiat, kita harus mengikuti jejak langkah para sahabat. Ini bertujuan supaya persekitaran yang indah dapat dihidupkan.

Kejadian ini juga mengajarkan kepada kita betapa seriusnya membayar hutang. Hazrat Jabir meriwayatkan bahawa ada seorang sahabat berhutang sebanyak dua dinar. Apabila meninggal dunia, Rasulullahsaw tidak mahu mendirikan solat jenazah untuknya sehingga ada sahabat lain yang memberi jaminan untuk membayarkannya. Lalu Rasulullahsaw mendirikan solat jenazah. Keesokan harinya, Rasulullahsaw bertanya kepada penjamin itu samada sudah bayar atau belum. Ini mengajarkan kepada kita betapa Rasulullahsaw sangat memberi perhatian dalam soal membayar hutang.

Ada juga riwayat daripada Hazrat Jabir bahawa Rasulullahsaw bersabda: “Jika seorang mukmin meninggalkan harta, maka keluarganya akan menerimanya. Jika ada yang meninggalkan hutang, dan daripada harta peninggalan tidak cukup melunaskan hutangnya, atau meninggalkan anak-anak tanpa apa-apa sarana, maka hutang dan anak-anak yang ditinggalkan akan diuruskan.”

Di sini ada dua riwayat yang berlainan dan sebagai rumusan untuk perundangan Islam. Pertama sekali Rasulullahsaw memberi penekanan kepada ahli waris agar memberi perhatian dalam melunaskan hutang orang yang meninggal. Kedua ialah tanggungjawab pemerintah Islam untuk menguruskan anak-anak yatim yang ditinggalkan dan juga menguruskan pelunasan hutang sekiranya harta yang ditinggalkan tidak mencukupi.

Inilah pelajaran yang diberikan oleh Rasulullahsaw terhadap pemerintah Islam. Mereka seharusnya memberi perhatian terhadap keperluan rakyatnya. Namun, apa yang kita lihat hari ini, di negara-negara Islam banyak hak-hak rakyat yang dirampas.

Ada satu lagi riwayat tentang Hazrat Jabir. Ketika balik ke Madinah, Rasulullahsaw bersabda bahawa “siapa yang mahu berjumpa ahli keluarga dengan segera, mereka boleh pergi segera.” Hazrat Jabir pun mempercepatkan pergerakan untanya. Namun, tiba-tiba untanya berhenti dan tidak mahu lagi bergerak. Apabila Rasulullahsaw melihatnya, maka baginda mengarahkan Hazrat Jabir agar duduk dengan memegang untanya dengan kuat kemudian memukul belakang unta itu dengan tali pedati. Akhirnya unta itu bangun dan terus bergerak sangat laju. Rasulullahsaw bertanya samada unta itu hendak dijual, Hazrat Jabir menjawab “ya”.

Apabila sampai di Madinah, Rasulullahsaw telah memberikan emas senilai dengan unta tersebut dan mengatakan kepada Hazrat Jabir “harga unta ini dan unta ini adalah milik kamu.” Ini kerana dalam riwayat lain keluarga Hazrat Jabir membantah kenapa unta itu dijual sedangkan ia digunakan untuk mengangkut air.

Jadi, inilah kasih sayang yang telah diperlihatkan kepada para sahabat dan keturunan mereka yang telah mengorbankan diri pada jalan Allah Ta’ala. Semoga Allah Ta’ala sentiasa meninggikan darjat para sahabat dan kita semua dapat mencontohi amalan mereka.

Bersama dengan khutbah ringkas ini saya akan perdengarkan kisah dua personaliti jemaat yang telah meninggal dunia.

Pertama sekali ialah Bilal Sahib dari Syria telah meninggal dunia pada 17 Mac 2018 disebabkan kemalangan. Beliau lahir pada tahun 1977, ketika umurnya 17 tahun, abangnya seorang Ahmadi telah menawarkan beliau bekerja dengan Doktor Musallim dan dari situ mula mengenali Jemaat sehingga baiat tidak lama selepas itu. Beliau memberi layanan yang sangat baik kepada doktor sahib sebagai tanda terima kasih kerana melaluinya beliau telah baiat ke dalam Jemaat Ahmadiyah.

Sadr Jemaat di sana menulis bahawa beliau seorang yang sangat baik hati. Banyak menolong saudara Ahmadi yang lain.

Dua hari sebelum wafat, beliau telah melunaskan canda Wasiyat, Tahrik Jadid dan Waqfe Jadid. Tanah yang baru beliau beli pun telah dimasukkan dalam skim Wasiyat. Beliau sangat teratur dalam membuat kiraan dan pembayaran canda. Sangat disiplin dalam solat dan ibadat. Beliau sangat cinta kepada khilafat, mendengar khutbah sentiasa. Sadr Sahib menyatakan bahawa apabila memperdengarkan rumusan daripada khutbah, beliau akan menangis kerana merasakan Khalifah sedang berkata kepada beliau. Beliau meninggalkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, masing-masing 11 dan 12 tahun.

Abangnya Ahmadi berada di Jerman, tetapi adik beradik lain bukan Ahmadi malah sangat kuat menentang. Namun, pada saat kewafatannya, adik beradiknya yang ghair telah memberikan izin kepada Ahmadi untuk memimpin solat jenazah di masjid mereka, dan ramai yang ikut solat jenazah di belakang kami waktu itu. Itu semua kurnia daripada Allah Ta’ala.

Personaliti yang kedua ialah Saleema Meer Sahiba bekas Sadr Lajnah Imaillah Karachi, beliau ini juga telah wafat pada 17 Mac 2018 dalam usia 90 tahun. Ayah beliau adalah seorang Sahabi yang telah baiat pada tahun 1904. Beliau berkahwin pada tahun 1946, setelah partition mereka telah berhijrah ke Karachi. Pada tahun 1961 mereka pergi ke Iran. Suaminya meninggal dunia pada tahun 1964. Akhirnya beliau kembali ke Karachi.

Beliau bergiat dalam lapangan Ta’leem, dan mula bertugas di pejabat Lajnah dalam pelbagai jabatan. Pada tahun 1981, apabila terbentuk Muntazimah Committee, Khalifatul Maseeh IIIrh telah melantik beliau sebagai Chairman Muntazimah Committee. Setelah diumumkan, beliau merasa tidak cukup pengalaman, namun atas dasar itaat, beliau berdoa sebanyak-banyaknya kepada Allah. Selepas itu mula menjalankan tugasnya. Dengan segera memanggil mesyuarat Majlis Amilah, membuat kunjungan, dan menyatakan dengan tegas di hadapan semua tentang itaat, menghubungkan diri dengan tanzeem, mengamalkan akhlak-akhlak Islami, berjihad melawan bid’ah-bid’ah, menghindarkan diri sepenuhnya dari membuat kritikan terhadap Nizam Jemaat. Ini banyak terdapat di kalangan Lajnah, namun kaum lelaki juga tidak ketinggalan, mereka mengkritik tentang Nizam Jemaat. Beliau juga menekankan agar banyak beristighfar.

Beliau menjadi Sadr Lajnah Karachi dari tahun 1986 sehingga 1997. Banyak buku-buku dari pihak Lajnah Karachi yang diterbitkan dalam era kepimpinan beliau. 60 buah buku dan dua majalah yang diterbitkan. Kelas Da’i Ilallah juga telah beliau mulakan. Khalifatul Maseeh IVrh sangat bangga dengan beliau.

Dalam satu surat daripada Hazrat Khalifatul Maseeh IVrh tertulis seperti berikut:-
“Laporan Lajnah Karachi telah diterima dari puan penuh dengan keikhlasan dalam menjalankan tugas. Saya sangat mengkagumi semangat puan-puan semua sehingga muncul doa dari lubuk hati saya semoga Allah sentiasa memberikan kasih sayang-Nya kepada kamu semua. …”

Beliau telah menjadi janda pada usia 36 tahun. Anaknya menyatakan bahawa tidak pernah keluar dari mulutnya ucapan-ucapan yang tidak bersyukur atau hilang sabar. Dalam setiap keadaan, sentiasa bersyukur kepada Allah. Dan hal ini juga yang beliau tanamkan dalam diri anak-anaknya. Dalam satu kejadian, ketika suami kepada seorang anaknya jatuh sakit, beliau memberikan Malfoozaat kepada anaknya. Ketika saat nazak, anaknya menangis begitu kuat sehingga kedengaran oleh ibunya. Ketika berhampiran ibunya, Saleema Meer Sahiba telah memarahi anaknya dengan ucapan “kamu anak saya, sebagai anak saya, kamu tidak boleh hilang sabar, kenapa suara tangisan kamu begitu kuat? Sabar yang sebenar adalah sabar pada permulaan kejadian. Suami kamu adalah amanat dari Tuhan, Dia telah ambil semula.”

Beliau menasihatkan agar selalu berdoa, dan jangan pernah meninggalkan hubungan dengan khalifah. Dalam soal pardah, beliau sangat tegas. Jika ada kelemahan dalam soal pardah dilihat, beliau akan memberi nasihat dengan cara yang halus sehingga tidak ada yang terasa disakiti.

Cucunya memberitahu ketika hendak berkahwin, beliau menghadiahkan buku yang mengandungi nasihat-nasihat yang sudah sedia ditandakan untuk dibaca. Beliau juga tidak suka anak-anak remaja wanita berjaga sehingga larut malam. Beliau pernah menjaga seorang anak Kristian, mengajarkan doa-doa dan akhlak, sehingga anak itu berkata “saya sudah separuh seorang Ahmadi”.

Beliau mendidik orang bawahannya bukan kerana nama tetapi beliau mahu semua mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan. Beliau banyak menjaga rahsia orang. Beliau seorang yang sangat merendah diri, sama-sama bekerja dengan anggotanya. Tawakkal kepada Allah sangat tinggi.

Semoga Allah meninggikan darjat beliau, semoga anak-anak beliau mengikuti jejak langkah beliau.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
30-03-2018

Teks penuh akan menyusul, sila berhubung dengan Tuan Maulana Abdul Latief Ahmad, Muballigh Jemaat Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment