Saturday, April 7, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 06-04-2018


۩بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ۩
Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
06-04-2018 (Masjid Baitur Rehman, Valencia, Spain)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-

Sepanyol memang termasuk dalam negara-negara Barat tetapi dari segi kekuatan ekonomi, ia termasuk dalam negara-negara yang belum kukuh. Dari segi pekerjaan, pendapatan, dan taraf hidup di sini masih kurang jika dibandingkan dengan negara Eropah yang lain seperti Perancis, Jerman, Holland, UK dan lain-lain. Namun begitu, jika dibandingkan dengan Pakistan, maka kelihatannya lebih baik. Sebab itu ramai Pakistani datang ke sini untuk berniaga dan mencari pekerjaan.

Sejauh mana yang berhubungan dengan orang Ahmadi, mereka meninggalkan Pakistan adalah disebabkan dua sebab. Antara alasan yang paling kuat ialah di Pakistan tidak ada kebebasan beragama untuk orang Ahmadi. Kedua, mereka mahu memperbaiki keadaan ekonomi. Inilah antara alasan orang Pakistan datang ke sini mendapatkan asylum atau visa untuk terus menetap.

Ada orang yang memberikan alasan yang benar apabila mendapatkan perlindungan di sini. Tetapi ada juga yang cuba menggunakan kepandaian akal. Padahal tidak perlu berbuat seperti itu. Cukup menyatakan keadaan sebenar di Pakistan bahawa tidak boleh hidup dengan tenang di Pakistan, sentiasa terancam dan mendapat kesulitan dari segi mental dan fizikal. Rata-rata hakim akan mudah memahami keadaan ini. Tidak perlu terpengaruh dengan sesiapa atau mengikut pandangan daripada peguam. Alasan juga hendaklah sama sejak dari permulaan kes sehinggalah peringkat akhir.

Dusta bukanlah amalan seorang Ahmadi. Malah Allah Ta’ala meletakkan dusta sama seperti syirik. Dan tidak mungkin seorang Ahmadi boleh melakukan syirik. Dari satu segi dia seorang yang banyak mentauhidkan Allah Ta’ala, memperhambakan diri kepada Rasulullahsaw dan beriman kepada Imam Zaman sebagai Al-Maseeh dan Mahdi yang dijanjikan. Dan dari segi lain dia tidak menghindarkan diri dari perbuatan yang sepatutnya dihindari. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah mengukur diri masing-masing.

Sentiasa muhasabah diri, adakah saya sekarang ini tidak melakukan dosa semata-mata untuk mendapatkan manfaat dunia yang menjadikan saya seorang yang berdosa pada pandangan Tuhan? Jadi, ketika kita meninggalkan negara semata-mata hendak menyelamat iman, dan hendak kekal atas ajaran agama, maka perintah Allah perlu diberi keutamaan. Kita perlu lihat, selepas menerima Ahmadiyah, perhatian kita menuju ke mana dan apa yang sepatutnya?

Jika perhatian kita bukan kepada Allah, maka jelas bahawa kita tidak mencapai apa yang sepatutnya kita capai melalui jemaat ini. Jika asas kita berlandaskan penipuan dan menjadikan dunia sebagai keutamaan, maka kita tidak layak menjadi pewaris kurnia Allah Ta’ala.

Orang yang yakin akan keEsaan Allah, yang beribadat kepada Allah, mereka tidak akan pernah melakukan syirik. Orang yang telah memahami hakikat penciptaannya, matlamat hidupnya yang utama ialah mencapai keredhaan Allah Ta’ala. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa berusaha mendapatkan dunia dan tenggelam dalam warna keduniaan bukanlah tujuan kita dan bukan juga tujuan penciptaan seorang mukmin.

Jika kita berusaha menjadikan Allah Ta’ala redha atas kita, jika kita berusaha memenuhi tujuan penciptaan kita, maka barulah kita akan mencapai kejayaan yang hakiki yakni kita dapat menunaikan maksud penciptaan kita di dunia ini. Dunia dan nikmat-nikmatnya akan diperolehi, Allah Ta’ala tidak membiarkan orang yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya jauh daripada nikmat agama dan dunia.

Malah Allah Ta’ala sendiri mengajarkan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Sebagaimana doa yang diajarkan di dalam Al-Quran رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata dalam perkara ini:-
“Manusia memerlukan dua perkara untuk kesenangan dirinya. Pertama, ketika menjalani kehidupan di dunia yang singkat ini, apa sahaja kesulitan, kesusahan dan ujian yang ada di dalamnya, mereka sentiasa dalam keadaan aman dan selamat. Kedua, mereka mendapat keselamatan dari fasik, kejahatan dan penyakit rohani yang boleh menjauhkan mereka dari Tuhan”.

Berkata lagi:-
“Hasanah (kebaikan) dunia ialah jasmani dan rohani sentiasa terpelihara dari setiap musibat dan kehidupan yang kotor serta jauh dari mendapat kehinaan. Lafaz Rabbana mengisyaratkan seseorang secara halus ke arah taubat. Ini kerana lafaz Robbana membawa maksud meninggalkan segala rabb-rabb yang lain dan menuju kepada Rabb hakiki. Dan Lafaz ini tidak akan keluar dari hati seseorang tanpa ada perasaan yang penuh perhatian.

“Insan telah menjadikan banyak rabb-rabb. Jika mereka begitu yakin akan helah tipu daya, itulah rabb mereka. Jika ada yang sombong disebabkan ilmu dan kekuatannya, itulah rabbnya. Jika ada yang bangga dengan kecantikan dan kekayaan, itulah rabbnya. Ringkasnya, banyak lagi rabb-rabb yang meliputi manusia, jika mereka tidak meninggalkan secara hakiki dan tunduk kepada Rabb yang Esa, dan tidak menyebut Rabbana dengan penuh rintihan dan pengharapan serta tidak meleburkan diri di istana Ilahi, maka selama itulah mereka tidak memahami Rabb yang hakiki. Jika dia sudah meleburkan diri dan menyebut Rabbana dengan pemahaman bahawa dia menyeru kepada Tuhan yang Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, maknanya dia sudah memahami Rabb yang hakiki”.

“Jadi, jika hati mereka sudah mengakui dosa-dosa di hadapan Tuhan dan bertaubat serta menyeru Rabbana dengan maksud; Engkaulah Rabb yang hakiki tetapi aku pergi mendapatkan yang lain, aku telah meninggalkan rabb yang palsu itu dan mengakui dengan hati yang benar akan wujud Rububiyat Engkau, dan aku datang ke istana Engkau”.

Seperti inilah yang diinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’udas daripada kita, iaitu kita dapat mengetahui hakikat penciptaan kita di dunia ini. Kalau kita sudah dapat melakukan hal ini, iaitu menyeru Rabb kita yang hakiki dengan cara yang benar, maka kita juga akan mendapat hasanah dunia (kebaikan dunia) dan juga hasanah akhirat (kebaikan akhirat). Dan insan juga mendapatkan kebaikan dunia untuk mencapai kebaikan akhirat supaya dia sihat dan dapat menunaikan hak ibadat yang sebenar kepada Allah. Kesihatan juga satu bentuk kebaikan dunia, jika sihat maka ibadat juga dapat dilakukan dengan baik. Jika ada harta, dia juga boleh melakukan pengorbanan untuk agama Allah di samping itu juga dapat memenuhi hak hamba-hamba.

Sebab itu, pedoman ini hendaklah sentiasa diletakkan di hadapan. Berkenaan dengan hak ibadat, maka kita juga hendaklah sentiasa ingat bahawa kita hanya akan dapat melakukan dengan sempurna sekiranya kita memahami tujuan penciptaan kita ke dunia ini. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ  yakni “Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan beribadat kepada-Ku”.

Kalau kita lihat perintah-perintah Allah, selepas satu perintah ada perintah lain. Tujuannya supaya jangan sampai kita melupakan Allah Ta’ala. Dalam usaha mendapatkan nikmat dunia, jangan sampai menjadikan kamu lalai dari mengingati Allah. Dan jangan pernah ada dalam hati bahawa kamu hanya menginginkan nikmat dunia semata-mata.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda:-
“Allah Ta’ala berfirman bahawa Aku menciptakan jin dan manusia sebabnya ialah supaya mereka mengenali Aku dan menyembah Aku. Jadi, berdasarkan ayat ini tujuan hidup manusia yang sebenar ialah menyembah Tuhan, mengenal Tuhan dan menjadi kepunyaan Tuhan. Memang jelas manusia tidak dapat mendapat tingkat ini, di mana mereka menentukan kehidupan masing-masing. Ini kerana insan bukan datang atas kehendaknya dan kembali bukan atas kehendaknya. Malah siapa yang menciptakan mereka dan seluruh makhluk, Dialah yang akan menentukan kehidupan mereka, sama ada manusia faham kedudukan ini atau tidak. Jadi, tujuan hidup manusia ialah menyembah Tuhan, mengenal Tuhan dan menjadi fana kepada Tuhan. Jika insan meletakkan hal ini di hadapannya, mereka boleh menjadi mukmin yang hakiki. Dan mereka menjadikan kebaikan dunia ini sebagai sarana untuk mendapatkan kebaikan akhirat dan keredhaan Tuhan”.

Jadi, kebolehan minda manusia, kekuatan jasmani manusia, taraf hidup yang lebih baik, ciptaan-ciptaan terbaru di dunia, semua ini jangan hendaknya menjadi punca kelalaian kepada kita sehingga lupa akan tujuan atau matlamat hidup yang sebenar.

Jadi, di mana saja Ahmadi berada, mereka hendaklah berusaha memberitahu orang di sekitar mereka tentang Islam yang hakiki. Amalan setiap Ahmadi hendaklah sedemikian rupa sehingga orang yang melihat akan cenderung memperhatikan mereka. Jika amalan Ahmadi lebih unggul, maka ia akan membuka jalan tabligh. Setiap Ahmadi hendaklah memahami perkara ini. Pertama sekali mereka hendaklah memahami tujuan hidup mereka, kemudian mereka memberitahu orang lain akan maksud ini. Dunia perlu diberitahu akan hal ini bahawa nikmat dunia yang telah diberikan oleh Allah tidak sepatutnya membawa mereka jauh daripada Allah, malah sepatutnya mendekatkan mereka kepada Allah. Jadi, perhatikan batasan yang sewajarnya, jika sudah melintasi batasan maka ia akan menuju kepada kehancuran.

Jadi, di mana pun Ahmadi berada, selain berusaha secara amali, mereka juga harus menumpukan terhadap doa-doa untuk memperbaiki keadaan ini. Hanya kurnia Allah Ta’ala sahaja dunia ini boleh selamat dari kehancuran. Dan untuk menarik kasih sayang Allah, perlu memberi perhatian terhadap amalan-amalan yang telah diberitahu oleh Allah. Hanya dengan tunduk kepada Tuhan sahaja barulah boleh menjadikannya redha atas kita. Setiap Ahmadi hendaklah ingat bahawa dengan beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas sahaja bukan jaminan kamu akan memiliki kebaikan dunia dan akhirat ini, malah dengan beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas, kewajipan kita semakin bertambah iaitu kehidupan kita hendaklah disesuaikan dengan kehendak Allah Ta’ala.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda:-
“Ingatlah bahawa setakat baiat kepadaku tidak bererti apa-apa. Allah Ta’ala tidak redha atas adat resam selagi tidak menunaikan maksud baiat yang sebenarnya. Selagi itu belum ada, maka ia bukanlah baiat tetapi cuma adat resam, sebab itu sangat perlu memenuhi tujuan baiat, iaitu memilih jalan takwa, baca dan renungkan Al-Quran, fahami dan amalkan. Ini kerana sunnatullah adalah Allah Ta’ala tidak gembira atas ucapan-ucapan tetapi untuk mencapai keredhaan Allah adalah sangat perlu mengikuti perintah-perintah-Nya dan sentiasa menghindari apa sahaja yang dilarang. Dan begitu jelas sekali bahawa kita melihat manusia tidak gembira atas apa yang aku katakan tetapi mereka senang dengan apa yang aku lakukan. Inilah perbezaan di antara muslim yang benar dan muslim yang dusta. Muslim yang dusta suka mengada-adakan ucapan tetapi tidak melakukan apa-apa. Tetapi muslim yang hakiki memperlihatkan dengan amalan. Apabila Allah Ta’ala melihat hamba-Ku beribadat kepada-Ku dan cinta kepada makhluk kerana Aku, maka waktu itu Dia akan menurunkan malaikat-Nya dan sebagaimana janji-Nya Dia akan memperlihatkan perbezaan muslim yang hakiki dan muslim yang dusta”.

Jadi, kita semua hendaklah berusaha menjadi muslim yang hakiki. Kebaikan dunia ini kita manfaatkan semata-mata untuk menjadi pewaris kebaikan akhirat. Semoga kita menjadi orang yang menunaikan hak ibadat yang sepatutnya. Semoga kita menjadi orang yang menunaikan hak ajaran agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan taufik kepada kita semua ke arah itu.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
07-04-2018

No comments:

Post a Comment