Sunday, March 25, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 23-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
23-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-

Hari ini adalah 23 Mac bersamaan dengan Yaume Maseeh Mau’ud. Jemaat-jemaat di serata dunia akan mengadakan program sempena hari ini. Hari ini juga saya akan sampaikan beberapa sabda Hazrat Maseeh Mau’udas tentang tujuan kedatangan Maseeh Mau’ud, keperluan dan kedudukannya. Selepas pendakwaan beliau, ulama-ulama Islam berusaha sedaya upaya untuk menghalang beliau sehinggalah sekarang, namun Allah Ta’ala sentiasa memberi dukungan kepada Jemaat Hazrat Maseeh Mau’udas ini.

Sesuai dengan janji Allah Ta’ala, Hazrat Maseeh Mau’udas mengumumkan:-
“Akulah Maseeh yang dijanjikan … serangan telah dibuat terhadap tauhid yang hakiki, kehormatan dan kemuliaan Rasulullahsaw dipersendakan, dan Kitab dari Tuhan juga dipermainkan dengan penuh kezaliman. Jadi, dalam keadaan ini, adakah Tuhan tidak terpanggil untuk berbuat sesuatu? … Adakah Tuhan telah lupa akan janji-Nya إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون؟ Ingatlah bahawa janji Tuhan itu benar, dan telah mengutus seorang pemberi peringatan, tetapi dunia tidak menerimanya. Tetapi Tuhan akan menerimanya dan menzahirkan kebenarannya dengan luar biasa. …. Aku berkata dengan sebenar-benarnya bahawa aku datang sesuai dengan janji Allah sebagai Al-Maseeh. Terserah kepada kamu sama ada menerimanya atau menolaknya. Tetapi dengan penolakan kamu tidak memberi apa-apa kesan. Apa yang diinginkan oleh Allah akan tetap berlaku.”

“Ujilah silsilah ini atas ‘Minhaajin Nubuwah’ kemudian lihat kebenaran bersama dengan siapa? … dakwaanku ini adalah atas ‘Minhaajin Nubuwah’, … aku yakin bahawa orang yang merenungkannya dengan teliti, pasti akan mendapat faedah dan menerimannya. Tetapi, mereka yang ada dengki dalam hatinya, maka hal ini tidak akan bermanfaat atas dirinya.”

Memang untuk mereka yang mencari kebenaran meminta bukti, dan itu hak mereka. Namun kita akan berikan nas-nas dari Al-Quran, hadis-hadis dan dalil-dalil akli sesuai dengan keperluan zaman, kemudian lebih daripada 150 tanda-tanda dari Tuhan. Rasulullahsaw juga telah mengkhabarkan bahawa Maseeh Mau’ud akan menjadi hakim yang adil. Tetapi, orang yang tidak mahu menerima akan memberikan bantahan yang tidak patut. Tetapi Tuhan sudah berjanji bahawa akan memberikan sokongan-Nya.

Mengingkari saya sebenarnya mengingkari Allah dan Rasulullahsaw. Jika mereka mendustakan saya, maka mereka pertama sekali mendustakan Allah Ta’ala kerana Allah Maha Melihat apa kerosakan yang sedang berlaku. Dan janji Allah إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون tidak dipenuhi walaupun keadaan sudah memerlukan. Dan dalam ayat istikhlaf juga sebagaimana yang berlaku pada Nabi Musa, itu juga akan berlaku pada Rasulullahsaw sebagai permisalan Musa, dan ma’azallah janji ini tidak dipenuhi oleh Allah. Sedangkan hal itu diterangkan di dalam Al-Quran. Demikian juga terpaksa mendustakan ayat Al-Quran  وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ, demikian juga ayat-ayat yang lain terpaksa diingkari. Malah saya menyatakan bahawa dari ayat Alhamd sehingga Wan-Naas terpaksa ditinggalkan. Sebab itu cuba renungkan, adakah mendustakan saya suatu perkara yang mudah? Saya tidak katakan hal ini dari diri sendiri, saya bersumpah atas nama Tuhan bahawa orang yang meninggalkan aku dan mendustakan aku, walaupun bukan dengan ucapan, tetapi dengan amalan mereka seolah-olah telah mendustakan seluruh Al-Quran dan Allah Ta’ala. … sebab itu sebelum mendustakan aku, pertama sekali renungkan dalam hati kamu dan tanyakan siapa yang kamu dustakan?

Bagaimana boleh terjadi mengingkari Hazrat Maseeh Mau’udas adalah bererti mengingkari Rasulullahsaw. Beliau menjelaskan:-
“Sabda Rasulullahsaw bahawa setiap 100 tahun, kemunculan mujaddid terpaksa didustakan. Dan juga sabda إمامكم منكم  menjadi dusta. Dan khabar kedatangan seorang Al-Maseeh pada era kebangkitan Kristian juga menjadi dusta, ini kerana fitnah itu sudah muncul tetapi yang sepatutnya datang tidak muncul. … saya katakan sekali lagi bahawa mendustakan saya bukan suatu hal yang mudah. Sebelum menuduh aku kafir, terlebih dahulu harus menjadi kafir. Sebelum menuduh aku sesat, terlebih dahulu harus mengakui kesesatan diri sendiri. Sebelum menuduh aku meninggalkan Quran dan Hadis, terlebih dahulu harus mengaku meninggalkan Quran dan Hadis. Namun, aku tidak akan meninggalkan Al-Quran malah aku membenarkan Al-Quran. Aku tidak sesat tetapi aku adalah Al-Mahdi, aku tidak kafir tetapi aku adalah وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ. Apa sahaja yang aku katakan, Tuhan telah menyatakan kepadaku bahawa itu benar. Orang yang yakin kepada Tuhan, yang mengakui kebenaran Al-Quran dan Rasulullahsaw, hujah ini cukup baginya dengan mendiamkan diri setelah merenungkan apa yang aku katakan. Tetapi bagi mereka yang berani dan tidak punya rasa takut, apa penawar untuk mereka? Tuhan sendiri yang akan menyedarkan mereka. … Kalau mereka menilai kedudukan saya dengan ketakwaan, maka hal ini cukup bahawa “adakah Tuhan sedang memberi kemajuan kepada saya atau menghapuskan saya?” Dari satu kampung yang kecil muncul seruan ini, sekarang telah berada lebih dari 200 buah Negara.

Satu kisah di Benin (Afrika) tahun 2012, seorang yang bernama Ibrahim telah baiat dan mula bertabligh kepada keluarganya. Dan melalui usahanya, tiga buah kampung telah menerima Ahmadiyah. Abangnya yang terganggu dengan Ibrahim, bersama dengan kawannya mula membuat kekacaun sehingga merancang untuk membunuhnya. Ibrahim melihat di dalam mimpi berkenaan dengan abang dan kawannya. Selepas tiga hari, kawan kepada abangnya telah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Abangnya mula menuduh bahawa Ahmadiyah menggunakan ilmu hitam. Selepas itu Ibrahim mimpi abangnya mengukur saiznya pada sebatang pokok. Selepas beberapa hari isteri abangnya juga sakit dan meninggal dua hari sebelumnya. Anaknya juga menderita sakit. Abangnya berjumpa dengan (raja) ketua di daerah itu dan menyatakan Ibrahim menggunakan ilmu hitam. Raja itu meminta bayaran dan berjanji akan melakukan sesuatu. Setelah bayaran dibuat, Raja itu memanggil Ibrahim dan mula memarahi, meminta Ibrahim bertaubat. Jika tidak, maka kamu tidak akan hidup keesokan harinya katanya. Namun, Ibrahim menyatakan bahawa saya tidak boleh tinggalkan sebab ini adalah Islam yang sejati. Soal mati, itu ketentuan Allah Ta’ala. Akhirnya, keesokan harinya, raja yang mengaku sebagai tuhan di daerah itu telah lumpuh dan meninggal selepas dua hari berlalu. Selepas kematian raja itu, abangnya mahu berdamai dengan Ibrahim, dan orang kampung juga banyak yang menerima Islam Ahmadiyah. Inilah contoh pertolongan Allah Ta’ala ke atas jemaat Ilahi ini.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Lihat! Saya bersumpah atas nama Tuhan, ribuan tanda-tanda yang telah zahir untuk membenarkan aku, sedang zahir dan akan zahir. Kalau jemaat ini cuma ciptaan manusia biasa, maka sudah tentu pertolongan seperti ini tidak akan terjadi.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Sesuai dengan keadaan sekarang ini, di mana Rasulullahsaw sudah dipermain-mainkan, pendustaan terhadap ayat-ayat Allah sudah di luar batasan. Dalam keadaan seperti ini sudah tentu Allah Ta’ala mempersiapkan utusan-Nya sebagaimana sunnah-Nya. Inilah tanda agung akan kebenaran seorang nabi, rasul dan mujaddid ialah mereka muncul tepat pada masanya. Cuba tanya diri kamu dengan bersumpah atas nama Allah, adakah sekarang ini bukan masanya untuk dipersiapkan seorang pembaharu oleh Allah Ta’ala. … Kalau kami dan jemaat kami terkurung di dalam bilik pun pekerjaan itu akan berjalan. Dajjal akan mundur. … 

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Seandainya tidak ada sebarang dalil pun pada kita, namun melihat keadaan semasa, sepatutnya wajib untuk orang Islam keluar mencari sebab kenapa sehingga sekarang Al-Maseeh tidak muncul untuk mematahkan salib. Ini kerana pekerjaannya adalah mematahkan salib dan zaman ini menuntut kedatangannya. … juga memerangi golongan atheist, sebab itu dia dikatakan sebagai Al-Maseeh yang dijanjikan, jika para ulama memikirkan kebaikan manusia, sudah tentu mereka tidak berkelakuan menentang seperti sekarang. … mereka menulis fatwa berkenaan dengan kita, tetapi atas kehendak Allah, jemaat ini akan terus berkembang.”

Tindakan para penentang sebenarnya menjadi sarana tabligh kepada kita. Banyak orang menyatakan bahawa dengan adanya fatwa, dengan penentangan, mereka terdorong untuk mengambil tahu lebih mendalam tentang Ahmadiyah.

Hazrat Maseeh Mau’udas menjawab persoalan tentang kenapa jemaat ini perlu dengan bersabda:-
“Banyak orang mengkritik bahawa apa perlunya jemaat ini? Adakah kami tidak solat, tidak berpuasa? … kami juga mendirikan solat, kami juga berpuasa, kami juga mengamalkan wirid-wirid, kenapa jemaat ini membuat pecahan firqah baru lagi? … jadi, ingat dengan sebaik-baiknya bahawa ucapan ini hanyalah disebabkan tidak memahami dengan benar hakikat ini. Ini bukan pekerjaan saya, kalau ini adalah menjadi pecahan, maka Allah Ta’ala yang telah melakukannya. Ini kerana kekuatan iman telah menghilang. Dan Allah Ta’ala mahu iman yang hakiki ditiupkan melalui jemaat yang baru ini, kritikan seumpama itu tidak berasas.”

Jadi, Ahmadi jangan ada perasaan syak wasangka dalam perkara ini. Ia boleh membinasakan diri sendiri. Jangan hanya baiat secara zahir, tetapi dalami tujuan kita bai’at, jangan menjadi seperti umat Islam biasa, yang hanya melakukan amalan-amalan zahir, tetapi tidak ada buah daripada amalan mereka. Kelihatannya mereka juga mengamalkan amalan Islam, kalimah, solat, puasa, zakat dan sebagainya. Kalau mereka mukmin dan muttaqi, dan beramal saleh, mereka seharusnya tidak memusuhi kebenaran. Mereka seharusnya tidak mengeluarkan fatwa kepada kita, malah seharusnya berfikir jangan sampai kita ini melakukan sesuatu yang menjadikan Allah murka.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Rasulullahsaw telah memberikan khabar berkenaan dua fitnah di akhir zaman iaitu dalaman dan luaran. Fitnah dalaman ialah orang Islam tidak lagi kekal mengamalkan ajaran Islam dan mereka masuk perangkap syaitan, tidak ada lagi amal soleh, judi, zina, minuman keras, dan mereka keluar dari batasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka juga tidak mempedulikan larangan Allah. Mereka juga meninggalkan puasa dan solat. Perintah-perintah Tuhan tidak diendahkan. Hukum Al-Quran dipersendahkan. Fitnah luaran ialah serangan dibuat terhadap zat Rasulullahsaw yang suci, pelbagai usaha dibuat untuk menghina ajaran Islam. Sedaya upaya untuk menjadikan orang menerima ketuhanan Nabi Isa dan mengakui kepercayaan salib mereka. Untuk ini, Rasulullahsaw telah menetapkan khabar gembira untuk islah bagi fitnah dalaman dan luaran ini, bahawa seseorang akan dibangkitkan dari umat baginda yang akan mematahkan kepercayaan salib, sebab itu namanya Maseeh Ibnu Maryam. Dan juga untuk fitnah dalaman, yang akan membawa mereka ke jalan yang hakiki, sebab itu dinamakan Mahdi, dan ini juga yang diisyaratkan dalam ayat  وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ.”

Jadi, kita yang telah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas, hubungan kita kepada Allah dan ketakwaan serta amalan kita hendaklah lebih baik daripada mereka yang lain. Jangan hanya baiat sekadar percaya jemaat ini benar, itu tidak cukup dan Allah tidak gembira dengannya. Usahakan menjadi baik, muttaqi, menjauhi segala kejahatan, siang dan malam banyakkan berdoa kepada Allah. Lembutkan lidah, banyak beristighfar, banyak berdoa dalam solat.

Amal soleh itu ialah di dalamnya langsung tidak ada kejahatan sedikitpun. Ingatlah dalam amalan sentiasa ada pencuri, iaitu sikap menunjuk-nunjuk, sombong, kejahatan, dan dosa-dosa yang menyebabkan amalan menjadi batil. Jadi, amal soleh juga tidak ada langsung pemikiran zalim, sombong, riak, takbur, dan tidak ada keinginan merampas hak orang lain. … dengan amal soleh akan menjauhkan seseorang daripada kesulitan-kesulitan di dunia.

Walaupun hanya ada seorang yang beramal soleh di sebuah rumah, maka rumah itu akan diselamatkan. … kamu telah bertaubat, sekarang Tuhan mahu melihat dengan taubat itu apa yang akan kamu lakukan untuk menyucikan diri kamu. Zaman ini Tuhan hendak membuat perbezaan melalui tingkat ketakwaan. Sekarang ini banyak orang meragui Tuhan, tetapi tidak melihat diri mereka sendiri. Padahal Allah Ta’ala itu Maha Pengasih dan Penyayang.

Ada orang yang langsung tidak sedar sedang melakukan dosa. Sebab itu ada sarana yang telah disediakan oleh Allah iaitu istighfar. Seorang insan hendaklah banyak beristighfar atas dosa yang dia tahu atau tidak tahu, yang zahir atau yang batin. Tangan, kaki, lidah, hidung, telinga, mata, dan sebagainya, yang boleh menggelincirka untuk melakukan dosa, untuk itu juga banyakkan istighfar.

Setiap Ahmadi hendaklah cenderung membaca doa Nabi Adam:-
{رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِين}

Juga selalu baca doa:-
Rabbii, kullu syaiin khaadimuka, Rabbi fahfaznii wanshurnii warhamnii.

Setiap Ahmadi hendaklah mengukur diri sendiri, giatkan diri dalam mendirikan solat, banyakkan membaca istighfar. Orang yang tidak menerima Hazrat Maseeh Mau’udas adalah golongan yang berdosa, tetapi kita yang telah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas tetapi tidak melakukan perbaikan dalam diri sendiri, kita juga berdosa. Jadi, renungkan sedalam-dalamnya.

Semoga kita menjadi orang yang menghindarkan diri dari fitnah dalaman dan luaran. Menjadi orang yang menunaikan hak baiat yang hakiki.

Satu berita gembira iaitu akhbar al-Hakam, akan mula diterbitkan semula. Boleh dibaca melalui internet www.alhakam.org, dan ada aplikasi untuk mobile phone, apple dan android. Semoga Ahmadi dapat memanfaatkannya.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
24-03-2018

Teks penuh akan menyusul, sila berhubung dengan Tuan Maulana Abdul Latief Ahmad, Muballigh Jemaat Kota Kinabalu.


No comments:

Post a Comment