Sunday, March 18, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 16-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
16-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-

Hazrat Maseeh Mau’udas dalam satu kesempatan menerangkan tentang kedudukan para sahabat Rasulullahsaw, beliau berkata: “Para sahabat yang mulia merupakan bukti tentang sirat Rasulullahsaw. Orang yang mensia-siakan bukti-bukti ini seolah-olah mereka mahu mensia-siakan nubuat Rasulullahsaw. Orang yang dapat menghargai Rasulullahsaw dengan cara yang sebenar ialah mereka yang menghargai para sahabat. Orang yang tidak menghargai para sahabat maka sudah tentu mereka tidak menghargai Rasulullahsaw. Pendakwaan mereka itu dusta jika mengatakan cinta Rasulullahsaw, sebab tidak mungkin boleh terjadi bahawa cinta kepada Rasulullahsaw tetapi bermusuhan dengan para sahabat.

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata lagi:-
“Para sahabat adalah satu jemaat suci, yang tidak pernah memisahkan diri dari Rasulullahsaw. Dan mereka juga tidak teragak-agak memberikan nyawa untuk baginda. Mereka begitu tenggelam dalam keitaatan, sehingga sentiasa bersedia setiap waktu menanggung kesulitan dan musibat.”

Inilah kedudukan para sahabat, setiap Ahmadi hendaklah merenungkannya. Uswah mereka, tingkat ibadat dan keitaatan mereka seharusnya menjadi contoh kepada kita semua dan berusaha menjadikan bahagian dalam kehidupan harian.

Seorang sahabi yang bernama Hazrat Abu Dujana Ansari, telah memeluk Islam sebelum Hijrah lagi, berasal dari Madinah. Ikut serta dalam perang Badar dengan semangat keberanian yang sangat luar biasa. Dalam perang Uhud juga beliau ikut serta di mana pada mulanya orang Islam yang menang, namun disebabkan umat Islam meninggalkan kawasan, orang kafir membuat serangan balik. Sahabi yang berdekatan Rasulullahsaw di antaranya Hazrat Abu Dujana. Dalam mempertahankan Rasulullahsaw, walaupun cedera parah namun tidak undur ke belakang.

Dalam riwayat lain, suatu kali Rasulullahsaw mengangkat pedangnya dan bertanya: “Hari ini siapa yang hendak menunaikan hak pedang ini?” Hazrat Abu Dujana Ansari maju dan berkata: “Saya berjanji saya akan menunaikan hak pedang ini”. Rasulullahsaw memberikan pedang itu kepadanya. Hazrat Abu Dujana bertanya kembali: “Ya Rasulullahsaw! Bagaimana hendak menunaikan hak pedang ini”. Rasulullahsaw menjawab: “Jangan tumpahkan darah orang Islam, dan jangan ada musuh kafir yang terselamat daripadanya”. Melihat semangat Hazrat Abu Dujana, Rasulullahsaw bersabda: “Dalam situasi biasa, berjalan seperti ini adalah dilarang. Tetapi dalam medan perang ini Allah Ta’ala menyukai semangat ini”.

Dalam perang Yamamah ketika menghadapi Musailamah kazzab, beliau telah syahid. Beliau begitu berani membuka pintu tembok. Beliau meminta sahabat yang lain agar melemparkan beliau dari tembok yang begitu tinggi hingga menyebabkan kakinya patah. Namun, dengan begitu berani berperang sehingga dapat membuka pintu tembok yang menyebabkan orang Islam berjaya masuk. Namun, berperang dalam keadaan itu telah menyebabkan beliau disyahidkan.

Ketika sakit, beliau berkata kepada sahabatnya: “Mungkin Allah Ta’ala menerima dua amalan saya. Satu, saya tidak mengumpat, tidak ghibat. Dan yang kedua ialah tidak ada rasa permusuhan dan dengki ke atas orang Islam.”

Hazrat Muhammad bin Muslamah seorang Ansari, dalam perang Uhud telah memperlihatkan keberanian yang sangat luar biasa bersama dengan Rasulullahsaw. Dalam satu kesempatan Rasulullahsaw memberikan pedangnya kepada Hazrat Muhammad bin Muslamah dan berkata: “Selagi perang dengan kaum Musyrikin berlanjutan, gunakan pedang ini. Tetapi apabila muncul satu zaman di mana orang Islam berperang sesama sendiri, patahkan pedang ini dan duduk di rumah sahaja sehinggalah kamu diserang atau kematian menjemput kamu.” Beliau telah beramal atas wasiyat ini dan berlaku selepas kesyahidan Hazrat Usmanra. Apapun, pedang itu telah dipatahkan dan membuat pedang kayu bagi menggantikannya. Ketika orang bertanya, beliau menjawab: “Pedang kayu itu dibuat supaya semangat tetap ada, dan saya telah menyempurnakan wasiyat Rasulullahsaw. Pedang kayu tidak akan mencederakan sesiapa.”

Beliau telah menghindarkan diri dari fitnah yang muncul selepas kesyahidan Hazrat Usmanra. Beliau selalu berkata: “Selagi fitnah tidak dijauhkan, saya akan memilih hidup di tempat yang terasing.” Inilah sahabat yang apabila berperang, sebabnya ialah agama yang diserang, dan Rasulullahsaw memerintahkan agar memerangi kaum musyrikin yang mahu menghapuskan agama. Selagi umat Islam mengikuti perintah itu, kekuatan mereka berkekalan dan sentiasa mendapat kemenangan. Tetapi disebabkan terpengaruh oleh orang munafik sehingga berperang sesama sendiri, walaupun pemerintahan berkekalan, namun sedikit demi sedikit umat Islam semakin lemah.

Hari ini kita melihat apa yang telah disabdakan oleh Rasulullahsaw menjadi kenyataan. Persengketaan sesama mereka begitu menyedihkan. Dan khabar ghaib yang lain juga iaitu selepas zaman kegelapan, muncul cahaya iaitu dengan datangnya Hazrat Maseeh Mau’udas. Mereka seharusnya menerima Imam Mahdi dan bersatu di dalam jemaat. Di situ ada berkatnya. Tapi, apa yang kita lihat mereka menumpahkan darah di negara sendiri.

Seorang sahabi Hazrat Abu Ayub Ansari, ketika Rasulullahsaw ke Madinah, beliau beruntung kerana atas kehendak Allah, Rasulullahsaw tinggal di rumah beliau sehingga lebih enam bulan. Beliau melayan Rasulullahsaw dengan begitu luar biasa. Beliau makan daripada lebihan Rasulullahsaw dengan mencari bekas tangan Rasulullahsaw. Satu kali beliau tidak mendapati bekas tangan Rasulullahsaw dan bertanya. Rasulullahsaw menjawab: “Mulanya saya hendak makan, tetapi di dalamnya ada bawang merah dan bawang putih, saya tidak suka memakannya.” Hazrat Abu Ayub berkata: “Kalau huzur tidak suka, maka saya pun tidak akan memakannya lagi.” Inilah lambang cinta yang begitu menakjubkan.

Dalam perang Khaibar, seorang pemimpin Yahudi telah terbunuh, anak perempuannya Safia telah dibawa kepada Rasulullahsaw. Keesokan harinya, apabila Rasulullahsaw keluar untuk memimpin solat, baginda melihat Hazrat Abu Ayub berdiri di luar. Apabila ditanya, beliau menjawab: “Keluarga Safia yang telah terkorban, saya risau ada di antara keluarganya yang datang untuk membalas dendam.” Rasulullahsaw berdoa: “Ya Allah! Lindungilah sentiasa Hazrat Abu Ayub sebagaimana dia melindungi saya malam tadi.”

Kesan daripada doa itu, Hazrat Abu Ayub Ansari terlibat dalam banyak perang. Sehinggalah usia yang sudah tua dan sakit. Dalam pesan terakhir, beliau mahu dikuburkan di tempat musuh sejauh mana yang dapat dijejaki. Sebab itu kubur beliau ada di Turki.

Hazrat Abdullah bin Rawahah, seorang penyair yang terkenal. Beliau juga antara orang yang menyampaikan berita kemenangan perang Badar ke Madinah.

Dalam satu riwayat, ketika perang Mu’tah Rasulullahsaw menjadikan Zaid bin Haritsa sebagai penglima perang dan bersabda: “Kalau dia syahid, maka Jaafar bin Abi Talib gantinya, jika dia syahid, maka Abdullah bin Rawahah gantinya, kalau dia syahid, maka orang Islam boleh memilih siapa yang mereka sukai.”

Apabila sampai di Mu’tah, dapat dilihat bahawa jumlah musuh sangat ramai, Harqil dari Rom telah menghantar 200,000 orang tentera untuk memerangi orang Islam. Abdullah bin Rawahah mencipta syair-syair untuk menaikkan semangat tentera Islam waktu itu. Seramai 3000 orang Islam menghadapi 200,000 tentera musuh. Hazrat Abdullah bin Rawahah memang menginginkan syahid di medan perang. Hazrat Zaid bin Arqam menceritakan: “Satu malam saya mendengar Hazrat Abdullah bin Rawahah membaca syair ini dalam mengenang orang rumahnya (isterinya) kali ini aku tidak akan pulang ke rumah sampai bila-bila, pada petang hari Khamis ketika untaku bersedia menghadap jalan menuju medan jihad, kali terakhir kamu mendekatiku, keadaanmu begitu mubarak dan indah sekali, tidak ada aib atau cacat celanya, tetapi aku sudah berada di medan perang, dan aku tidak akan kembali lagi kepadamu.

Ketika Hazrat Jaafar disyahidkan, orang ramai memanggil Hazrat Abdullah bin Rawahah. Lalu beliau mara ke hadapan dengan suatu syair: Wahai jiwaku! Adakah kamu tidak akan berperang dengan sebegitu rupa, bahawa kamu akan serahkan nyawamu? Kamu sudah masuk dalam lembah kematian, syahid yang telah kamu harapkan dulu, sudah tiba masanya untuk kamu penuhi, jika kamu persembahkan nyawamu, mungkin kamu akan mendapat ganjaran kebaikan.

Beliau berperang sehinggalah beliau disyahidkan, namun sehingga ke titisan darah yang terakhir beliau terus menerus memberi semangat kepada tentera Islam agar terus maju membela sahabat-sahabat yang telah terkorban, sehingga orang Islam berperang dengan begitu bersemangat sekali.

Keistimewaan beliau yang diriwayatkan ialah setiap kali keluar rumah, beliau akan solat dua rakaat. Begitu juga setiap kali masuk ke dalam rumah, dua rakaat nafal akan dikerjakan terlebih dahulu. Beliau juga begitu taat sehingga Rasulullahsaw bersabda: Semoga Allah Ta’ala meningkatkan lagi semangat ketaatan yang kamu miliki. Beliau juga banyak mendirikan majlis-majlis ilmu.

Kita juga dapat membaca dalam sejarah dua orang adik beradik, Hazrat Muaz bin Harith bin Rafa’ dan Hazrat Muawwiz bin Harith bin Rafa’. Mereka berdua telah berjaya membunuh Abu Jahal. Tentera musuh tiga kali ganda jumlahnya. Kelengkapan mereka juga cukup. Tentera Islam sedikit dan serba kekurangan. Namun, semangat mereka dalam menegakkan tauhid begitu mendalam.

Hazrat Abdul Rahman bin Auf menceritakan bahawa ketika perang bermula, saya melihat di kiri dan kanan, saya dapati dua orang anak Ansari yang masih muda. Seorang bertanya: “Pakcik! Mana Abu Jahal yang banyak menyusahkan Rasulullahsaw ketika di Mekah? Aku akan berusaha membunuhnya.” Kemudian seorang lagi juga bertanya soalan yang sama. Abu Jahal waktu itu dijaga oleh pahlawan mereka. saya isyaratkan tangan menunjuk ‘itu Abu Jahal’. Mereka begitu laju membuat serangan terhadap Abu Jahal, akhirnya mereka berdua telah berjaya membunuh Abu Jahal walaupun mereka telah terkorban.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda:-
“Semangat para sahabat seperti inilah yang saya hendak lihat di kalangan anggota jemaatku. Beri keutamaan kepada Allah Ta’ala. … para sahabat mahu Allah Ta’ala redha terhada mereka, walaupun mereka hidup dalam kesulitan, … mereka memahami bahawa di sebalik kesulitan itu ada keredhaan Allah Ta’ala. … secara kesimpulannya, kita seharusnya sentiasa mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala dan menjadikan hal itu sebagai tujuan sebenar kita. Segala usaha kita hendaklah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala walaupun terpaksa mengharungi kesulitan dan musibah. Keredhaan Ilahi lebih unggul berbanding dengan apa yang ada di dunia ini.”

Semoga Allah Ta’ala memberikan kita semua taufik ke arah itu.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
16-03-2018

No comments:

Post a Comment