Tuesday, March 6, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 02-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
02-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Antara lain Huzur berkata:-

Dalam Islam, menzahirkan akhlak yang baik dalam setiap peringkat, dengan orang di dalam lingkungan dan di luar lingkungan adalah satu tuntutan. Tidak ada satu pun sekecil-kecil perkara dalam soal akhlak yang tidak dijelaskan dalam ajaran Islam. Tidak ada agama yang dapat menandingi pelajaran Islam dalam soal akhlak. Namun, apa yang sangat menyedihkan ialah orang Islam yang seharusnya menjadi contoh dalam penzahiran akhlak yang cantik ini, sebaliknya telah memberikan gambaran yang sangat buruk di mata orang ramai. Ini kerana amalan mereka bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan.

Rasulullahsaw telah memperlihatkan akhlak dalam amalan baginda, banyak umat Islam mendakwa cinta kepada Rasulullahsaw, tetapi malang sekali amalan mereka sangat bertentangan dengan ajaran Rasulullahsaw. Sehingga menyebabkan orang bukan Islam menuding jari ke atas Islam dan perbuatan mereka.

Sebab itu, semua kejadian ini hendaklah menjadi pengajaran untuk anggota Ahmadi agar menilai keadaan akhlak masing-masing, jika tidak, maka tidak ada faedahnya kita dikatakan sebagai Ahmadi.

Cuba lihat kehidupan Rasulullahsaw. Baginda tidak mahu dalam bergurau pun boleh menyakiti hati orang lain. Baginda sendiri menasihati isteri-isteri baginda, juga menasihati anak-anak tentang akhlak, misalnya anak yang membaling batu ke atas pokok buah orang lain, baginda larang kerana ia boleh merosakkan dan menjadikan sia-sia buah yang masih mentah jika jatuh ke atas tanah.

Baginda juga menasihatkan seorang anak yang makan dengan gelojoh supaya makan dengan tenang dan mulakan dengan Bismillah, makan dengan tangan kanan, dan makan apa yang ada di hadapannya.

Begitu juga dusta dan kebenaran. Baginda menasihatkan seorang wanita yang memanggil anaknya dengan menjanjikan sesuatu, jika memang tidak ada niat untuk memberikan sesuatu, maka itu juga termasuk perbuatan dusta.

Baginda juga pernah menasihatkan seseorang bahawa jika kamu susah meninggalkan semua keburukan secara serentak, maka tinggalkan dahulu perbuatan dusta.

Baginda menasihatkan tentang dosa besar iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa dan dusta serta kesaksian yang palsu. Berulang kali baginda menyatakan “dusta dan kesaksian palsu” segingga para sahabat berkeinginan supaya Rasulullahsaw berdiam diri.

Begitu juga tentang ajaran akhlak dan kesabaran. Satu kali ada seorang Badwi membuang air kecil di dalam masjid, dengan segera orang yang melihat berusaha menghalangnya. Baginda bersabda “biarkan dia dan siram tempatnya membuang air”. Lalu baginda bersabda bahawa “kamu diciptakan untuk memberi kemudahan kepada orang lain, bukan menyusahkan”. Akhirnya Badwi tersebut sentiasa menyebut sikap lemah lembut Rasulullahsaw.

Hari ini kerajaan Islam, ulama dan kumpulan-kumpulan, semuanya memberikan kesulitan di dunia. Rasulullahsaw menasihatkan bahawa kalau mahu mengetahui keadaan diri kamu, kamu berbuat baik atau jahat, maka perhatikan apa kata jiran kamu.

Ketinggian akhlak hanya dapat diketahui jika kamu menganggap kamu adalah pengkhidmat bangsa dengan segala kebolehan yang ada.

Dalam Fatah Mekah juga, Rasulullahsaw telah memberikan kemaafan, malah terhadap musuh peribadi pun.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda: Allah Ta’ala berfirman kepada nabi kita Muhammadsaw, INNAKA LA’ALA KHULUQIN AZIIM, sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang agung. Sesuai dengan ini, semua jenis akhlak dimiliki oleh Rasulullahsaw. Dermawan, keberanian, keadilan, kasih sayang, ihsan, kebenaran, ketenangan, pemaaf, penyabar dan lain-lain. Sesuai dengan masa dan tempatnya, akhlak ini dapat dilihat dengan penuh keagungan.

Untuk melihat akhlak yang tinggi, dalam menghadapi ujian, perlu memperlihatkan ketenangan dan kesabaran semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Dan dalam keadaan senang dan mendapat kurnia juga, memperlihatkan kerendahan hati, mengekalkan keadilan, ini juga panzahiran akhlak yang tinggi. Kedua-dua keadaan ini telah diperlihatkan oleh Rasulullahsaw.

Akhlak yang tinggi hanya dapat dilihat dalam kedua-dua keadaan iaitu ketika susah dan senang. Rasulullahsaw memang untuk menyempurnakan akhlak, sebab itu kehidupan baginda terbahagi dua, satu kehidupan Makki dan sebahagian lagi Madani. Walaupun dengan begitu banyak kesulitan dan penentangan di Mekah, namun, baginda tetap memperlihatkan ketenangan dalam menyampaikan amanat Allah. Kemudian, dalam kehidupan Madani, ketika para penentang dari Mekah itu dapat ditangkap, dan Rasulullahsaw mempunyai kekuatan untuk membalas dendam, namun baginda telah memaafkan mereka semuanya.

Ada orang yang kelihatan seorang dermawan, namun kadang-kadang menjadi marah hanya disebabkan perkara kecil. Adakalanya sudah memberi, namun pada masa yang sama juga ketika marah, kebaikan yang dibuatnya akan dilupakan. Ada juga yang nampaknya lembut tetapi bakhil. Ada yang kelihatan merendah diri, tetapi dalam masa yang lain, hilang perasaan itu. Memang tidak semua sifat dapat dikumpul, namun harus mencontohi Rasulullahsaw.

Contoh yang paling agung ialah Rasulullahsaw. Ketika sulit akhlak baginda kelihatan dengan begitu agung, dan ketika senang dan ada kekuatan, akhlak baginda juga dapat dilihat dengan penuh keindahan. Akhlak Rasulullahsaw merupakan satu mukjizat yang sangat agung. Dunia mengakuinya dan tidak ada yang dapat menandinginya.

Seorang yang pemarah, apabila mereka meninggalkan sikap itu dan mula memperlihatkan kelemah-lembutan, merendah diri, maka itu satu karamah. Jika seorang yang kedekut, mereka berubah menjadi dermawan, maka itu juga satu karamah. Demikian juga jika meninggalkan sikap mementingkan diri sendiri, lalu mengamalkan sikap mengutamakan orang lain, maka itu juga karamah. Ringkasnya, semua orang mahukan karamah yang faedahnya sangat banyak. Ini kerana ramai juga orang yang hanya dengan melihat akhlak yang baik, mereka mendapat petunjuk menerima kebenaran.

Akhlak ada dua jenis. Satu ialah yang dipersembahkan oleh pendidikan moden hari ini. Ketika berjumpa lidah mereka mengucapkan perkara-perkara yang baik sedangkan dalam hati penuh dengan perasaan munafik dan hasad. Jenis yang kedua ialah perasaan perikemanusiaan dalam hati. Tidak ada munafik dalam hati, berlaku adil, menyatakan yang benar, berbuat baik, memperlihatkan kasih sayang laksana akhlak seorang ibu kepada anaknya.

Hidup tidak dapat dijangka, sebab itu tingkatkan solat dan kebaikan-kebaikan. Hazrat Maseeh Mau’udas berkata bahawa akhlak menjadi kunci kepada kebaikan. Orang yang tidak memperbaiki akhlaknya, maka mereka akan menjadi rosak dan tidak ada kecenderungan untuk melakukan kebaikan. Seorang insan hanya akan memberi manfaat kepada orang lain jika mereka mempunyai akhlak yang baik. Ibu segala kebaikan ialah akhlak.

Ada orang apabila melihat sahaja peminta sedekah datang, langsung menyergah mereka sedangkan itu dilarang dalam hadis. Tidak perlu memberi apa-apa komen tentang apa yang mereka buat, tanggungjawab kita ialah jika ada sesuatu yang diberikan, maka berikanlah. Akhlak menginginkan supaya jangan menjadi marah atas kedatangan mereka.

Untuk ibu bapa yang bukan Ahmadi, malah menjadi penentang, Hazrat Maseeh Mau’udas menasihatkan supaya banyak berdoa untuk mereka. Perlihatkan akhlak yang baik supaya mereka dapat mengakui kebenaran. Siapa tahu melalui anak itu ibu bapa mendapat petunjuk. Islam tidak menjadi penghalang untuk mengkhidmati ibu bapa. Jadi, mereka hendaklah dikhidmati dengan sepenuh hati.

Akhlak juga menjadi pembeza antara insan dan haiwan. Haiwan, apa sahaja yang datang di hadapan, semuanya akan di makan. Haiwan tidak tahu berapa banyak yang dimakan, tidak tahu halal atau haram, mereka hanya tahu makan. Misalnya kerbau, dia tidak tahu dia sedang makan dari kebun orang lain. Jadi, seorang insan mesti memperhatikan perkara ini, misalnya dalam soal harta anak yatim, jangan memakan hak mereka dengan cara yang tidak benar. Orang yang tidak memberi perhatian terhadap hak Allah, tidak cenderung beribadat, itu juga bukan akhlak. Begitu juga jika tidak memperhatikan hak orang lain, merampas atau memberikan kerugian kepada harta orang lain, itu juga bertentangan dengan akhlak. Amat sedikit orang yang memperhatikan perkara ini.

Orang-orang Sufi mengatakan dalam diri manusia ada banyak akhlak razilah, akhlak buruk, banyak jin. Apabila ia keluar, maka akan terus keluar. Tetapi jin yang paling terakhir keluar ialah takbur, dan ia hanya dapat dikeluarkan melalui mujahadah dan doa. Banyak orang yang menzahirkan mereka merendah diri tetapi ada sahaja takbur. Ada takbur dari segi harta dengan merasa mereka lebih kaya berbanding orang lain, ada yang takbur dari segi keturunan dengan merasa keturunan mereka adalah golongan terhormat, dan ada juga yang takbur dari segi ilmu dengan merasa lebih bijak dari orang lain, malah jika ada orang melakukan kesilapan dalam memberitahu sesuatu, mereka langsung mengata yang kurang baik di hadapannya. Semua ini harus dihindari.

Meninggalkan akhlak akan menjadikan mereka cenderung ke arah kejahatan dan mendapat dosa. Taufik ke arah kebaikan tidak muncul dalam hatinya. Misalnya seorang lelaki yang berzina, dia tidak merasai bagaimana perasaan suami wanita berkenaan. Kalau orang itu tahu apa akibat atau kesan daripada perbuatannya, sudah tentu dia tidak akan berani melakukan perbuatan buruk itu.

Seorang yang mencuri, penjahat ini tidak ada perasaan untuk meninggalkan sedikit pun bagi keluarga yang miskin itu. Kita dapat melihat kadang-kadang usaha orang miskin mengumpulkan harta dalam beberapa tahun menjadi musnah dalam sekelip mata sahaja. Kalau tidak buta dari akhlak, sudah tentu tidak akan mencuri. Kita dapat membaca dalam berita, ada pemuda yang dipukul kerana mencuri barang kemas. Kalau akhlak lurus, kenapa musibat ini muncul?

Anggota Ahmadi harus memperlihatkan contoh akhlak yang sempurna kepada jiran tetangga. Ia satu karamat untuk kita. Tidak ada anak yang mahu mencemarkan nama bapanya. Begitu juga seseorang yang masuk dalam mana-mana kumpulan, maka dia hendaklah berusaha memperhatikan akhlaknya supaya tidak memberi nama yang buruk kepada kumpulan yang dimasukinya. Selagi insan tidak berusaha ke arah melakukan kebaikan, maka tidak akan dapat perubahan. Allah Ta’ala tidak akan mengubah nasib suatu kaum selagi tidak berusaha mengubah nasib mereka sendiri, ini adalah sunnatullah.

Semoga Allah memberikan kita taufik ke arah meninggikan kebaikan dan akhlak masing-masing. Tetapi bukan menunjuk-nunjuk kepada dunia malah semata-mata mendapatkan keredhaan Allah. Kita mesti banyak berdoa untuk perubahan akhlak. Fikiran kita ialah jangan disebabkan kita, jemaat mendapat nama yang buruk, malah sebaliknya kita menjadi penyebar ajaran Islam yang cantik ini dan dunia mendapat pengaruh yang baik. Untuk itu, mohon pertolongan sebanyak-banyaknya daripada Allah.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
02-03-2018

No comments:

Post a Comment