Saturday, February 24, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 23-02-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
23-02-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Dalam beberapa hari ini, jemaat-jemaat di pelbagai tempat menyambut acara Yaume Muslih Mau’ud. Tarikh 20 Februari merupakan tarikh di mana Hazrat Maseeh Mau’udas mendapat khabar daripada Allah Ta’ala berkenaan dengan kelahiran seorang putera yang dijanjikan. Khabar ghaib itu dimuatkan dalam Isytihar 20 Februari 1886.

Sebenarnya acara Yaume Muslih Mau’ud ini disambut adalah kerana penyempurnaan khabar ghaib yang telah diterima oleh Hazrat Maseeh Mau’udas. Dan bukan kerana hari kelahiran beliau. Kerana ramai anak-anak muda yang bertanya kenapa tidak membuat sambutan kepada khalifah-khalifah yang lain.

(Kemudian Huzur membacakan khabar ghaib Muslih Mau’ud yang diterima oleh Hazrat Maseeh Mau’udas)

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata; “Ketika anak lelaki saya yang pertama meninggal dunia, para maulvi yang bodoh dan sahabat-sahabat mereka dan orang-orang Hindu juga meraikan kegembiraan. Walaupun dikatakan bahawa dalam khabar ghaib itu ada dinyatakan akan ada yang meninggal dunia, namun mereka tidak sedar, akhirnya Allah Ta’ala memberikan khabar yang lain bahawa Bashir yang kedua akan dikurniakan yang nama lainnya adalah Mahmud. Walaupun anak itu belum lahir, tetapi sesuai dengan janji Tuhan, anak itu akan lahir dalam masa yang telah ditentukan”.

Pir Manzoor Muhammad Sahib meriwayatkan; “Hari ini saya membaca isytihar Hazrat Maseeh Mau’udas dan saya merasa bahawa Muslih Mau’ud adalah Hazrat Mirza Bashiruddin Mahmood Ahmad”. Hazrat Khalifatul Maseeh Awal menjawab; “Kami sudah tahu dari dulu lagi, adakah kamu tidak melihat bagaimana kami memperlakukan beliau?”

Ghulam Hussain Sahib Sialkot menulis selepas pengakuan Hazrat Mirza Bashiruddin Mahmood Ahmad sebagai Muslih Mau’ud; “Kehadapan Hazrat Khalifatul Maseeh Sani, Muslih Mau’ud, …….. saya bersyukur kepada Allah kerana menbenarkan rukya saya bahawa ketika zaman Hazrat Khalifatul Maseeh Awal, saya telah memberikan pujian kepada Huzur bahawa selepas Khalifatul Maseeh Awal, Huzur akan menjadi Khalifah, akan berjaya dan akan menerima wahyu …….  Dan saya juga telah perdengarkan rukya ini kepada Hazrat Khalifatul Maseeh Awal dan beliau membenarkannya. …… Alhamdulillah, Huzur sendiri telah mengaku sebagai Muslih Mau’ud. Saya sendiri sudah yakin dari zaman Khalifah Awal lagi bahawa Huzur adalah Muslih Mau’ud dan akan menjadi khalifah.

Sufi Mutiurrahman Sahib Benggali menulis selepas pengakuan Muslih Mau’ud; “Saya hendak menceritakan mimpi saya 30 tahun dulu …. Saya melihat Hazrat Maseeh Mau’udas sedang memberikan khutbah Eid. Setelah selesai khutbah, saya maju ke hadapan untuk bersalaman, saya mendapati bukan Hazrat Maseeh Mau’udas tetapi Huzur sendiri.

Sheikh Muhammad Ismail Sahib menjelaskan bahawa kami banyak kali mendengar daripada Hazrat Maseeh Mau’udas bahawa anak yang dikhabarkan dalam khabar ghaib itu adalah Miyan Mahmood. …… dan saya secara khusus banyak berdoa untuknya.

Selama belum ada perintah dari Allah, Hazrat Khalifatul Maseeh Sanira tidak mendakwakan diri sebagai Muslih Mau’ud. Hanya setelah ada perintah daripada Allah Ta’ala untuk membuat pengumuman, barulah beliau memberitahu kepada semua.

Dalam Jalsah Hosyarpur, ketika sudah ada izin daripada Allah untuk membuat pengumuman, beliau berkata; “Atas perintah Tuhan, saya bersumpah dan mengumumkan bahawa saya adalah putera yang dijanjikan dalam khabar ghaib Hazrat Maseeh Mau’udas, yang akan menyampaikan nama beliau ke penjuru dunia.

Kemudian dalam Jalsah Lahore beliau berkata; “Saya bersumpah atas nama Tuhan yang Wahid dan Kahhar mengatakan bahawa …. Saya adalah Muslih Mau’ud yang membenarkan khabar ghaib itu yang akan menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia dan menegakkan tauhid.

Syed Abul Faris Al Husni mengatakan: “Dengan berita kewafatan Hazrat Amirul Mukminin, kami sangat bersedih. Jemaat kami sangat merasa kehilangan kerana jemaat kami adalah hasil daripada usaha beliau. Benarlah bahawa kaum akan mengambil berkat daripada beliau. Setiap kali menulis untuk suatu doa, saya merasakan pengabulan atas doa-doa tersebut.

Mohammad Mohail Sahib menceritakan mimpi seorang keluarganya yang bukan Ahmadi; “Pada tahun 1936, sehari sebelum datang ke Nawab Shah, saya telah melihat ada seseorang datang menunggang singa, apabila dekat saya melihat badannya ada tulisan Al-Quran, saya bertanya kepada orang ramai, siapa itu? Mereka menjawab; Hazrat Mirza Mahmood Ahmad Qadiani. Bertanya lagi; dia bagaimana? Dijawab; dia wali Allah yang paling besar di dunia”.

Maulvi Samiullah Sahib (ghair Ahmadi) menulis dengan merujuk kepada khabar ghaib Muslih Mau’ud, beliau mengakui bahawa sejak Hazrat Muslih Mau’ud terpilih menjadi khalifah, maka kemajuan telah dicapai dari segi jumlah anggota, walaupun begitu banyak penentangan, namun kemajuan begitu pesat sehingga ke pelbagai belahan dunia. Jadi, khabar ghaib yang menyatakan dari zuriat Hazrat Maseeh Mau’udas akan ada seorang yang akan memajukan jemaat ini, dengan itu apa yang dikhabarkan telah menjadi kenyataan.

Seorang bukan Islam Sikh di India, Argen Singh, Editor Rangeen Amritsar; “Pada tahun 1901, Mirza Bashiruddin Mahmood tidak menunjukkan apa-apa. Jadi, apa yang dikhabarkan adalah tidak tepat. Dari keturunan Maseeh Mau’udas akan ada yang mengembangkan agama Islam. Tetapi setelah Mirza Mahmood Sahib menjadi khalifah, dengan pertolongan Allah Ta’ala, satu perubahan yang begitu luar biasa telah terjadi.

Walaupun dalam keadaan yang kurang kemudahan berbanding hari ini, namun pada waktu beliau jemaat tersebar lebih daripada 50 buah Negara.

Muslim Leader yang terkenal mengatakan kepada orang-orangnya Maulvi Zafar Ali Khan Sahib: “dengarkan baik-baik! Kamu tidak akan dapat menandingi Mirza Mahmood hingga kiamat. Mirza Mahmood ada Quran dan ilmu Quran. Kamu apa yang ada, dalam mimpi pun kamu belum tentu baca Quran. Mirza Mahmood anggota jemaat yang sentiasa taat, ada muballigh yang berilmu”.

Sufi Khawaja Hassan Delhi menulis tentang Hazrat Muslih Mau’ud: “Beliau selalu sakit, tetapi beliau tidak jadikan penghalang. Dalam taufan penentangan, beliau telah membuktikan kehebatan beliau sebagai orang Moghul. Dalam politik pun dan agama pun ada kemahiran, dalam peperangan pun pakar”.

Dalam memperjuangkan Kashmir juga beliau terlibat dengan penuh tanggungjawab. Walaupun perbezaan aliran, namun beliau dipilih sebagai pengerusi oleh kebanyakan umat Islam. Banyak yang menuji perjuangan beliau kerana tekanan orang-orang Kahsmir telah berkurangan hasil usaha yang dibuat oleh beliau tanpa mempedulikan perbezaan akidah. Malah ada yang mengatakan bahawa pemilihan beliau sebagai pengerusi adalah satu tindakan yang sangat tepat sekali.

Seorang Paderi Amerika datang ke Qadian. Dia mahu berjumpa dengan khalifah untuk bertanya beberapa soalan. Maulvi Umar Din berfikir bahawa soalan itu sangat sulit sekali. Bagaimana Hazrat Sahib hendak menjawabnya, beliau masih muda, belum ada pengalaman, nanti akan memberi kesan buruk kalau tidak terjawab. Amerika Paderi akan balik dan memberitahu kepada dunia bahawa khalifah Ahmadiyah tidak tahu apa-apa. Jadi beliau berusaha agar Paderi itu jangan sampai bertemu khalifah. Namun, Paderi itu berkeras juga. Beliau datang kepada Huzur dan memberitahu bahawa ada Paderi dari Amerika hendak berjumpa Huzur dan hendak bertanyakan beberapa soalan. Huzur tanpa teragak-agak mempersilakan datang. Saya juga adalah penterjemah. Apabila saya sampaikan soalan itu, Hazrat Sahib menjawab dengan penuh ketenangan dan saya kehairanan mendengar jawapan itu. Paderi itupun kehairanan mendengar jawapan tersebut. Akhirnya Paderi itu mengakui bahawa “khalifah kamu memang seorang ulama yang hebat’.

Pada tahun 1945, Hazrat Muslih Mau’ud memberikan ceramah di Ahmadiyya Hostel Lahore. Selepas ceramah, pengerusi (bukan Islam) menyampaikan ceramah pendek “saya sangat beruntung kerana dapat mendengar ceramah seperti ini. … faedah ceramah ini bukan hanya untuk Islam, tetapi juga untuk bukan Islam.”

Berkenaan dengan tafsir beliau, seorang ulama begitu terpesona dan memberitahu bahawa tidak pernah membaca tafsir seperti itu dalam mana-mana bahasa sebelum ini.

Dalam satu majlis soal jawab, ada seorang yang sangat kuat menentang namun, bila melihat cara Huzur menjawab, dia hanya mendiamkan diri dari awal sehingga akhir.

Seorang Editor akhbar mingguan, beliau datang ke Qadian dan begitu terpengaruh dengan Huzur. Beliau menulis: “Kami menyangka Sir Zafrullah Khan seorang yang besar. Tetapi, di hadapan Mirza Bashiruddin Mahmood Ahmad beliau begitu kecil dan memberikan keutamaan kepada beliau dalam setiap sudut ilmu.

Ada seorang yang datang ke Jalsah Qadian. Beliau memuji bahawa semua jabatan bergerak mengikut telunjuk khalifah. Khalifah seorang yang pakar menulis, pakar dalam berceramah dan gabenor yang hebat dalam persatuan.

Niaz Fatah Puri Sahib menulis; “Tafsir Kabir Jilid 3 ada di hadapan saya dan sedang melihatnya. Memang bukan satu keraguan bahawa beliau telah melahirkan satu cara berfikir dalam membuat mutalaah terhadap Al-Quran. Dan Tafsir ini pertama kali dari sudut akli dan nakli yang dibuat begitu baik sekali. Setiap lafaz yang disampaikan sangat luar biasa sekali. Saya sangat menyesal sekali kenapa saya tidak tahu sebelum ini. Alangkah baiknya kalau saya dapat membaca semua jilid. Semalam membaca Tafsir surah Hud berkenaan dengan Hazrat Luth, saya terus terdorong untuk menulis surat ini. Apa yang beliau tulis dengan perbahasan para mufassirin, saya tidak layak mengeluarkan pujian. Semoga Allah memberi keselamatan berpanjangan untuk tuan.

Jadi, semua pandangan-pandangan dari anggota sendiri dan juga dari orang ghair menggambarkan kepada kita keperibadian beliau. Semua ini adalah penzahiran kebenaran daripada khabar ghaib itu. Dengan mendengar khabar ghaib ini, selama mana kita berdoa untuk ketinggian darjat beliau kita juga harus merenungkan keadaan diri masing-masing demi kemajuan jemaat pada masa akan datang.

Semoga Allah memberi kita taufik ke arah itu. Amin.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
23-02-2018

No comments:

Post a Comment