Friday, September 11, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 9

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Barangsiapa yang duduk dalam kumpulan para penentang dan bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh mereka, dia bukan dari golongan Jemaatku. Setiap penzina, pendurhaka, pemabuk, pembunuh, pencuri, penjudi, pengkhianat, pemberi dan penerima rasuah, perampas, penganiaya, pendusta, pemalsu dan rakan subahat mereka, dan orang yang melemparkan tuduhan terhadap saudara lelaki dan perempuannya, yang tidak bertaubat dari perbuatan-perbuatan buruknya, yang tidak meninggalkan majlis-majlis yang merosakkan, mereka semua itu bukan dari golongan Jemaatku.

Semua sifat itu adalah racun. Jika kamu memakan racun-racun itu, dengan cara apapun kamu tidak akan selamat. Cahaya dan kegelapan tidak dapat berkumpul bersama-sama pada satu tempat. Barangsiapa yang berwatak serong dan tidak jujur dalam perhubungannya dengan Tuhan, dia tidak akan mendapat berkat seperti yang diperolehi oleh mereka yang berhati bersih. Alangkah beruntungnya orang-orang yang membersihkan dan mensucikan hatinya dari segala kekotoran, dan berjanji akan tetap setia kepada Tuhan, sebab mereka tidak akan disia-siakan. Tidak mungkin Tuhan akan membiarkan mereka kehinaan sedangkan mereka ini kepunyaan Tuhan, dan Tuhan pula adalah kepunyaan mereka. Mereka akan diselamatkan dari setiap musibat dan bencana. Sungguh bodoh musuh yang hendak berbuat aniaya terhadap mereka, sedangkan mereka berada di pangkuan Tuhan dan Tuhan pula sentiasa menolong mereka. Siapakah yang beriman kepada Tuhan? Mereka itu adalah orang-orang yang keadaannya seperti di atas.

Demikian juga adalah bodoh seorang yang biadab, yang berbuat dosa, berfitrat buruk dan sentiasa berfikir hendak mendatangkan keburukan kepada orang lain sebab dia akan dibinasakan. Semenjak Tuhan menciptakan langit dan bumi, belum pernah terjadi Dia membinasakan serta memusnahkan orang-orang soleh, malah Dia memperlihatkan pekerjaan-pekerjaan yang agung kepada mereka, dan sekarang pun demikian juga yang terjadi.

Tuhan itu adalah Tuhan Yang Maha Setia, dan Dia menzahirkan pekerjaan-pekerjaan luar biasa. Dunia setiap saat mahu menelan mereka, dan setiap musuh merasa geram terhadap mereka, tetapi Dia yang menjadi kawan mereka pasti akan menyelamatkan mereka dari setiap bahaya dan mengurniakan mereka kemenangan dalam setiap lapangan. Betapa beruntungnya orang yang tidak meninggalkan Tuhan yang seperti itu. Kita beriman kepada-Nya, dan kita telah mengenal-Nya.”

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 19,20)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...