Friday, September 11, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 4

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

“Takutlah kepada langkah-langkah yang boleh membawa ke arah kehancuran. Takutlah kepada Tuhan dan berjalanlah di atas landasan takwa. Janganlah menyembah makhluk Allah. Hadapkanlah seluruh perhatian kamu kepada Allah supaya perhatian kamu kepada dunia ini menjadi tawar dan berkurangan. Dan jadilah kamu milik-Nya dan jalanilah kehidupan kamu semata-mata untuk Allah, tanamkan kebencian terhadap segala kekotoran dan dosa kerana Dia itu Suci. Setiap kali waktu pagi, hendaknya memberi kesaksian bahawa kamu telah melalui waktu malam dengan penuh ketakwaan, dan setiap waktu petang hendaknya menjadi saksi bahawa kamu telah melalui waktu siang dengan ketakutan di dalam hati terhadap Allah.

Janganlah takut akan laknat dunia, sebab laknat itu lama-kelamaan akan lenyap dengan sendirinya bagaikan asap yang hilang di udara. Ia tidak dapat mengubah siang menjadi malam. Apa yang kamu harus takuti ialah laknat Tuhan yang turun dari langit, iaitu laknat yang boleh membinasakan seseorang di dunia dan akhirat.
Kamu tidak dapat menyelamatkan diri kamu dengan sikap menunjuk-nunjuk, sebab Allah iaitu Tuhan kamu dapat melihat sampai ke dasar lubuk hati manusia. Adakah kamu dapat menipu Tuhan? Justeru itu, luruskanlah hati kamu, bersihkanlah serta sucikanlah batin kamu dan berdirilah di atasnya dengan seteguh-teguhnya.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 12)

No comments:

Post a Comment