Friday, September 11, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 14

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Sesiapa yang diletakkan oleh Allah dalam kesusahan di dunia ini dan juga mereka yang menanggung kesusahan untuk Allah Ta’ala, maka mereka akan mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala di akhirat. Dunia ini adalah tempat mengembara, bukannya tempat menetap. Jika ada seseorang mengumpul segala sarana untuk bergembira, itu bukanlah kegembiraan sebenar. Semua kesenangan dan kesulitan akan berlalu, selepas itu akan menuju satu tempat yang kekal abadi. Orang yang dalam kehidupan sementara ini melihat suatu kekurangan dalam penciptaan insan lalu menganggapnya itu adalah hasil dosa-dosa dan perbuatan dalam kehidupan yang lepas, mereka sebenarnya melakukan kesilapan. Tidakkah mereka tahu bahawa kehidupan akhirat adalah satu kehidupan yang agung? Kepada sesiapa yang Allah Ta’ala letakkan kekurangan dalam penciptaan seseorang dan juga orang-orang yang meletakkan diri mereka sendiri dalam kesusahan semata-mata meraih keredhaan Allah Ta’ala, kedua-dua golongan ini akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Dunia ini adalah tempat menyemai dan juga satu peluang untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala.

Ada orang yang berusaha menggembirakan Allah Ta’ala melalui amalan mereka, dan ada juga yang meletakkan diri mereka dalam kesusahan semata-mata untuk menggembirakan Allah Ta’ala. Ada seseorang yang memiliki dua pengkhidmat. Seorang daripadanya melakukan pekerjaan atau perjalanan setiap hari di mana dia mendapat kemudahan pengangkutan, perjalanan yang terlindung dari cahaya terik matahari serta banyak kesenangan. Seorang lagi perlu melalui tempat-tempat yang tidak ada kemudahan pengangkutan, perlu berjalan kaki di bawah matahari yang panas. Tetapi dia tahu bahawa semakin susah yang dihadapi, semakin banyak ganjaran yang akan diberikan. Jadi, apa yang perlu dipertikaikan untuk perjalanan kedua-dua pengkhidmat itu? Demikian juga orang yang cacat, buta, lumpuh, miskin, faqir dan sebagainya, semua mereka yang diciptakan oleh Allah dalam keadaan seperti itu, sekiranya mereka di akhirat nanti akan mendapat ganjaran masing-masing, maka apa perlunya menganggap ia akibat dosa lampau dan membuat kritikan atas kehidupan yang hakiki. Kesusahan yang telah Allah Ta’ala berikan, ia adalah untuk mendapatkan pahala, kerana Allah Ta’ala Maha Penyayang dan pastinya ada sahaja jalan untuk Allah Ta’ala memberikan ganjaran. Jadi, orang yang lumpuh, buta dan sebagainya, kekurangan-kekurangan dalam ciptaan itu akan mendapat ganjaran pada hari kiamat nanti.

Mungkin juga hal ini terjadi di mana ada seorang yang lahir dalam rumah golongan bangsawan. Semua kemudahan dan kesenangan ada tersedia, namun tetap sahaja mempunyai kesulitan dan kesusahan yang dialami. Dan ada juga seorang yang hidupnya hanya dengan meminta-minta, kadang-kadang mereka mendapat kegembiraan yang mungkin tidak dirasai oleh orang yang kaya. Tidak terdapat di mana-mana perintah untuk orang kaya agar mereka hidup berseronok semahunya, tetapi perintah yang ada ialah mereka harus beribadat seperti orang miskin. Apapun, dunia ini hanya beberapa hari sahaja, apa yang manusia tahu tentang berapa panjang usia yang diberikan pada mereka?”

(Malfoozaat Jilid 4, halaman 72-73)

No comments:

Post a Comment