Wednesday, July 29, 2015

Ringkasan Khutbah 17 Julai 2015


Huzur menilawatkan Surah Al-Jum’ah ayat 10-11 bersama terjemahan.

10. Hai orang-orang yang beriman! Apabila dipanggil untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah untuk mengingat Allah dan tinggalkan jual beli. Hal demikian adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

11. Dan, apabila telah diselesaikan solat, maka bertebaranlah kamu di bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu mendapat kebahagiaan.

Bulan Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Ramai di antara kita yang telah mengambil manfaat daripadanya. Ada juga orang yang mendapat pengalaman baru. Jadi, apa yang perlu dilakukan selanjutnya ialah segala kurnia, berkat rohani dan pengalaman ini haruslah menjadi bahagian dalam kehidupan harian kita. Jumaat ini adalah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Ada orang yang memberi perhatian terhadap Jumaat terakhir ini dengan menganggap bahawa ini adalah Jum’atul Wida (Jumaat Perpisahan). Orang yang mendirikan Jumaat pada hari ini, anggapan mereka ialah kelemahan mereka yang dahulu akan dijauhkan dan hak ibadat sepanjang tahun akan dapat disempurnakan.

Orang yang seperti itu hendaklah ingat bahawa orang yang bergabung mendirikan solat Jumaat terakhir ini tidak menjanjikan bahawa kita telah menunaikan hak kehidupan kita. Menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan bukanlah sarana keselamatan bagi kita dan tidak ada dasarnya. Tetapi, sekiranya meletakkan dalam hati tekad yang bulat bahawa saya menunaikan solat Jumaat ini sebagai satu sarana untuk saya memperbaiki kelemahan-kelemahan dan akan berusaha menunaikan solat Jumaat secara teratur pada masa-masa akan datang, maka hari Jumaat berkenaan memberi berkat dan kepentingan, malah disebabkan perubahan suci itu dan iradah yang kuat untuk berubah dalam hatinya, maka hari atau saat itu menjadi Lailatul Qadar baginya.

Dalam ayat permulaan itu, ia menyatakan bahawa apabila kamu dipanggil untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka tinggalkan jual beli dan datanglah menunaikan solat. Setelah menunaikan solat, maka kembalilah bertebaran di muka bumi dan carilah kurnia Allah Ta’ala. Di sini Allah Ta’ala menyeru untuk datang menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan dunia dengan meletakkan ketakwaan dalam hati. Ia bukan hanya menyeru untuk menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan, tetapi keseluruhan solat Jumaat sepanjang tahun. Syarat keimanan yang perlu ialah menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

Jangan lewat datang menunaikan solat Jumaat. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa orang yang datang awal akan mendapat ganjaran. Tanpa uzur yang syar’i (dibolehkan) meninggalkan solat Jumaat kerana malas adalah dosa. Setiap mukmin wajib menunaikan solat Jumaat kecuali hamba, wanita, anak-anak dan orang sakit. Dan orang yang berhalangan diberi kelonggaran.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa solat lima waktu, Jumaat dengan Jumaat akan datang, dan Ramadhan dengan Ramadhan akan datang, waktu perantaraannya akan menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya selagi insan meninggalkan dosa-dosa yang berat. Sekiranya ada orang menahan hak saudaranya, maka solatnya akan menjadi punca kehancuran baginya.

Hendaknya Jumaat kita yang akan datang menjadi saksi kepada kita bahawa kita menjalani kehidupan harian kita dengan penuh rasa takut kepada Allah Ta’ala, dan tidak ada satu amalan pun dilakukan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Ta’ala.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa hari yang paling mulia ialah hari Jumaat, oleh itu banyakkan bersalawat kepadaku, salawat pada hari itu akan dipersembahkan di hadapanku.

Dengan menunaikan solat Jumaat juga akan memberikan kemajuan kepada kahidupan. Lakukan urusan pekerjaan dan carilah kurnia Allah Ta’ala, sesungguhnya berkat akan diberikan atas pekerjaan itu. Jika kamu keluarkan sedikit masa kamu untuk Allah Ta’ala, maka Dia jugalah yang akan menyempurnakan segala kerugian yang kamu alami. Dengan kata lain seorang mukmin yang mendapat kemudahan dalam urusan duniawi adalah berkat kurnia Allah Ta’ala.

Jadi, dalam melaksanakan urusan duniawi, jangan lupakan Allah Ta’ala, malah basahkan lidah kamu dengan zikir Ilahi. Jika hari ini kita anggap ia sebagai Jumaat yang penting, maka tanamkan dalam hati bahawa Jumaat yang akan datang juga adalah penting, dan segala kelemahan itu, kita hendaklah berjanji untuk menjauhkannya.

Jika ada fikiran seperti ini, maka kita akan tergolong dalam kelompok orang yang berusaha untuk menjauhi kelemahan, kekurangan, dosa-dosa dan datang ke pangkuan Allah Ta’ala. Kebaikan-kebaikan dalam Ramadhan yang telah kita buat, kekalkan. Jadi, kita hendaklah membuat renungan, adakah kita telah mendapat tingkat ketakwaan atau tidak? Adakah kita telah menuju kemajuan atau tidak?

Bacalah berulangkali akan Al-Quran dan catatlah amalan-amalan yang buruk, dan mintalah pertolongan daripada Allah Ta’ala untuk berhasil menjauhinya. Inilah langkah awal menuju ketakwaan dan takwa diperolehi melalui kebaikan-kebaikan. Agama itu ialah meninggalkan secara keseluruhan semua keburukan dan dengan penuh keikhlasan melakukan kebaikan-kebaikan.

Semoga Ramadhan dan Jumaat ini memberi kita palajaran agar cenderung memperhatikan ibadat kita masing-masing dan berusaha meningkat dalam ketakwaan.



No comments:

Post a Comment