Friday, July 18, 2014

Ringkasan Khutbah - 11 Julai 2014




Saiyidina Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis telah memulakan khutbah Jumaat pada 11 Julai 2014 dengan menilawatkan ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 186.

Selanjutnya Huzur berkata:-
“Ayat yang ditilawatkan tadi dan dikaitkan dengan bulan Ramadhan memberitahu tentang hubungan berkat di antara Al-Quran dan bulan Ramadhan. Sebab itu, orang yang hendak meningkatkan keimanan, hendak menyebarkan Al-Quran di seluruh dunia, hendak mendapatkan qurub atau kedekatan kepada Allah dan hendak mendengar lafaz “FA INNII QORIIBUN”, maka mereka hendaklah menunaikan hak puasa dengan memahami sebenar-benarnya hubungan Ramadhan dan juga Al-Quran. Dan apa yang sebenarnya ialah, bersama-sama dengan puasa hendaklah membaca Al-Quran dan memahaminya.

Dalam bulan Ramadhan, Al-Quran mula diturunkan. Malaikat Jibril setiap tahun akan turun dalam bulan Ramadhan berjumpa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam untuk mengulangi ayat-ayat Al-Quran yang sudah diturunkan. Dan pada tahun kewafatan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, ia diulangi sebanyak dua kali. Jadi perkara ini member perhatian kepada kita supaya dalam bulan Ramadhan ini, kita berusaha mengkhatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali dan berusaha memahaminya ajarannya.

Di dalamnya ada Furqan (pembeza) dan juga dalil jelas untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. Orang yang beramal padanya akan mencapai darjat yang tinggi dari segi amalan, rohani, dan keyakinan serta menjadikan mereka lebih menyerlah dalam masyarakat. Jadi, hendaklah sentiasa ingat perkara-perkara yang selalu dilupakan. Inilah kitab yang sangat sempurna dan tidak ada terdapat di mana-mana tandingannya.

Huzur menyampaikan tentang ketinggian Al-Quran, kepentingannya dan kewajipan kita dengan mempersembahkan petikan dari Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Al-Quran adalah satu kitab yang terbukti lebih agung dari semua kitab-kitab atau lembaran-lembaran yang terdahulu. Sejauh mana kalam-kalam yang lain tidak dapat mencapainya seperti kesempurnaan nubuwat yang berakhir pada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, demikian juga kesempurnaan kalam-kalam berakhir pada Al-Quran. Baginda sebagai Khatamun Nabiyyin dan kitab baginda sebagai Khatamul Kutub. Tinggalkanlah kitab-kitab lain dan bacalah siang dan malam kitab Allah ini. Anggota jemaat kita seharusnya sibuk dengan Al-Qur’an, memberi perhatian serius sepenuh hati, dengan itu nanti kejayaan akan dapat dimiliki. Di hadapan nur itu, kegelapan akan menghilang. Dalaman seorang insan boleh diperbaiki dan diubah melalui ibadat solat yang juga merupakan doa sebenar.”

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Al-Quran adalah sebuah kitab yang berkat dan buahnya sentiasa segar, sebab itu sentiasalah membaca Al-Qur’an dan berdoa, serta berusaha untuk beramal sesuai dengan ajaran Al-Quran. … Inilah perkara yang sebenarnya bahawa apa sahaja yang telah diajarkan oleh Allah di dalam Al-Quran, selagi manusia tidak sepenuhnya mengikuti perintah-perintah Al-Quran, maka tidak akan ada kemajuan yang dapat diperolehi. Kemajuan dan hidayat hanya boleh diperolehi dengan beramal atas perintah Al-Quran”.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Allah Ta’ala telah memberikan ihsan yang sangat besar untuk kamu dengan mengurniakan kitab seperti Al-Quran ini. Jadi, hargailah nikmat ini kerana ia sangat bernilai”.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Ketika sedang menilawatkan Al-Quran, apabila tiba di tempat yang menyentuh tentang rahmat maka mohonlah rahmat Allah. Apabila membaca ayat tentang azab atas suatu kaum, maka mohonlah perlindungan dari azab Allah Ta’ala”.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Ajaran yang perlu untuk kamu ialah jangan tinggalkan Al-Quran ibarat barang yang tidak digunakan. Orang yang memuliakan Al-Quran akan mendapat kemuliaan di atas langit. Untuk manusia di muka bumi ini, tidak ada kitab lain melainkan Al-Quran. Sekarang ini untuk manusia, tidak ada rasul atau pemberi syafaat selain daripada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Huzur berkata:- Semoga dalam bulan Ramadhan ini kita mendapat kurnia dari berkat Al-Quran yang penuh khazanah penting. Amin.


No comments:

Post a Comment