Friday, January 24, 2014

Cipta Perubahan Suci Dalam Diri



Pada 17 Januari 2014 bertempat di Baitul Futuh London, Huzur telah menyampaikan khutbah berkenaan dengan amalan perbaikan untuk manusia.

Huzur berkata: Dalam usaha seseorang memperbaiki amalannya dan menjauhi halangan-halangan, adalah sangat perlu untuk memperkuatkan iradahnya, menjauhi kelemahan ilmu dan melahirkan kekuatan amalan. Kekuatan iradah selalu berubah di setiap tempat mengikut pengamalan. Persoalan yang timbul ialah apa yang dimaksudkan kekuatan iradah dalam urusan agama? Jelas pada kita bahawa kekuatan iradah dalam agama adalah iman. Dengan ini, kita tahu bahawa kekuatan amalan akan bertambah mengikut peningkatan dalam keimanan. Jika iman dan hubungan dengan Allah Ta’ala kuat, maka Allah Ta’ala selalu membantu dalam kesulitan dan insan dengan mudah akan dapat menguasai dan memperbaiki kelemahan amalannya.

Huzur berkata: Dalam zaman Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kita dapat melihat bagaimana pengikut-pengikut baginda yang setia menjauhi kelemahan amalan mereka dan bagaimana mereka memperkuatkan keimanan. Sebelum mereka beriman, amalan mereka begitu lemah, di kalangan mereka ada pencuri, perompak, fasik dan jahat, di kalangan mereka juga ada yang bernikah dengan ibu sendiri, mewarisi ibu-ibu mereka sendiri, membunuh anak-anak perempuan mereka, penjudi dan pemabuk, dan merasa satu kebanggaan jika dapat memberi minuman yang memabukkan kepada orang lain.

Tetapi, setelah mereka beriman kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, amalan mereka terus berubah secara mendadak dan muncul satu revolusi agung dalam diri mereka. Keimanan mereka menjadi begitu kuat sehingga dikatakan bahawa seorang pembawa berita, mendengar sahaja berita dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa “aku telah diperintahkan oleh Tuhan untuk mengumumkan bahawa, mulai hari ini arak telah diharamkan atas umat Islam”, maka semangat mentaati Allah dan Rasul yang ada pada sahabat telah menyebabkan mereka sanggup memecahkan botol-botol arak, dan di rumah-rumah yang ada menyimpan arak, mereka juga terus memecahkan tempayan arak mereka sehingga air arak mengalir dalam longkang-longkang di Madinah. Lihat bagaimana semangat kekuatan iradah yang ada pada diri para sahabat telah mengalahkan kemabukan mereka.

Huzur berkata: Mereka yang memilki kekuatan iradah yang tinggi merupakan pahlawan rohani dunia. Syaitan yang cuba menghalang mereka akan lari jauh. Kesusahan yang menggunung pun tidak akan dapat bertahan di hadapan mereka. Keadaan seperti ini juga dapat kelihatan dalam diri para sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. 

Huzur ada menceritakan tentang sahabat yang telah meninggalkan hukka dan tembakau. Kita juga dapat membaca kisah-kisah sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang mana setelah mereka bai’at dan menerima Ahmadiyah, mereka sanggup meninggalkan semua keburukan-keburukan. Ada yang tenggelam dalam minuman keras, tetapi setelah bai’at amalan itu telah ditinggalkan. Inilah contoh yang patut kita ikuti.

Huzur berkata: Jadi, pemikiran kita hendaklah seperti ini iaitu ‘saya meninggalkan semua keburukan ini kerana Allah Ta’ala dan Rasul telah melarangnya’.

Huzur sangat menekankan kepada semua Ahmadi agar menghindari semua keburukan yang ada di dunia ini.

Huzur berkata: ‘Kekuatan ilmu boleh menjauhkan kelemahan amalan. Jika insan diberitahu tentang dosa amalan dan kemurkaan Allah dengan cara yang betul, maka mereka boleh terselamat dari perbuatan itu.

Huzur berkata: Sebab ketiga dalam kelemahan amalan ialah kehilangan kekuatan dalam amalan. Ini juga disebabkan oleh beberapa perkara. Ada beberapa orang yang disebabkan kelemahan dalam amalan menjadikan iman mereka lemah. Ada juga yang kurang ilmu, ada juga orang yang memiliki ilmu dan iman, namun disebabkan perkara lain mereka juga terpengaruh sehingga perlu mendapatkan sokongan orang lain.

Huzur berkata: Nizam Jemaat, pengurus-pengurus jemaat, dan badan-badan organisasi hendaklah menjadi sarana untuk menjauhkan kelemahan amalan ini. Tetapi, jika dalam diri mereka sendiri ada kekurangan dan kelemahan ilmu dan amal, maka bagaimana mereka boleh menjadi sarana kebaikan orang lain.

Jadi, untuk kemajuan Jemaat setiap Ahmadi hendaklah mengukur diri sendiri atas setiap bahagian daripada Nizam lalu membuat perbaikan supaya mendapat kedekatan kepada Allah. Amin.

(Urdu Al-Fazl Rabwah)

No comments:

Post a Comment