Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 8



MENGENALI IMAM MAHDI

Dua Gelaran - Imam Mahdi dan Isa Al Masih as Akhir Zaman

Definisi Imam Mahdi ialah seseorang yang diberi petunjuk oleh Allah swt dan setelah mendapat petunjuk daripada Allah swt maka orang tersebut (Imam Mahdi) akan memberi petunjuk pula kepada umat manusia. Berdasarkan kepada definisi yang dijelaskan, orang seperti ini banyak terdapat di dalam Al Qur’an yakni setiap nabi dan rasul diberi petunjuk oleh Allah swt dan memberi petunjuk kepada umat manusia. Dengan demikian Imam Mahdi juga adalah seorang yang berpangkat nabi dan rasul. Kini jelaslah bahawa Imam Mahdi sememangnya satu gelaran yang diberi kepada nabi-nabi utusan Allah swt.

Berkaitan dengan Imam Mahdi dan Isa Al Masih as, Rasulullah saw bersabda, “Kondisi kian bertambah parah, dunia hanya akan kian jelek kondisinya dan manusia akan bertambah rakus. Kiamat tidak akan terjadi kecuali atas manusia jahat. Namun Mahdi itu tidak lain orangnya adalah Isa anak Maryam juga” – (Ibnu Majah, jilid 2, halaman 257, Mesir). Oleh itu berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw, nabi Isa as atau Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman adalah orang yang diberikan gelaran sebagai Imam Mahdi. Seperti yang diketahui umum, majoriti para ulama berpendapat di akhir zaman Isa Al Masih as dan Imam Mahdi dua personaliti berbeza yang akan berganding bahu memperjuang dan memenangkan Islam di atas agama-agama lain. Ini bermakna ada dua pemimpin pada ketika itu. Namun keempat-empat Imam iaitu Imam Abu Hanifa, Imam Syafei, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Malik sepakat bahawa, “sesungguhnya tidak dapat dibenarkan umat Islam di seluruh dunia itu dipimpin oleh dua imam (pemimpin), baik keduanya itu sama-sama sepakat dan setuju maupun tidak” (Almizan, Sya’arani). Di samping itu pula terdapat hadis Rasulullah saw yang bermaksud, “Apabila terjadi ada dua pemimpin (khalifah) yang menerima bai’at maka salah satunya harus dibunuh iaitu yang paling akhir menerima bai’at itu” (Muslim). Namun jangan disalahertikan perkataan dibunuh, bukanlah bermaksud harus dibunuh tetapi ia adalah satu penekanan dan penegasan bahawa salah satu daripada pemimpin itu mesti dan wajib ditolak secara total dan tidak dibenarkan ada dua pemimpin di kalangan umat Islam. Hadis ini dapat menjernihkan kekeliruan bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih as adalah dua orang pemimpin yang berlainan. Wajib diketahui dan difahami bahawa Imam Mahdi adalah satu gelaran kepada Isa Al Masih as yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadis tersebut di atas. 

Bilakah Masanya Imam Mahdi Atau Isa Al Masih as Yang Dijanjikan Tiba?

Sepanjang kehidupan manusia tidak pernah ditemui walaupun secebis Sejarah bahawa demi mencapai perpaduan dalam sesuatu ummah tidak diperlukan seorang nabi dan rasul. Bijak pandai sama ada berstatus ulama, ahli falsafah, ahli politik, pakar kemasyarakatan atau apa sahaja bidang kepakaran yang dimiliki oleh seseorang tetap sahaja tidak mampu mencipta perpaduan serta perdamaian. Sebaliknya lebih ramai bijak pandai maka akan ramailah pemimpin, akan terbentuk pula puak-puak yang tidak pernah redha dengan apa yang Allah swt berikan kepada mereka. Akibatnya tercetus konflik sehingga mencapai tahap pertumpahan darah sesama sendiri, umat Islam berjihad terhadap umat Islam yang lain. Tipu menipu berleluasa, rasuah, keruntuhan moral, jenayah tidak dapat dibendung. Apakah dalam dunia huru-hara seperti ini tidak diperlukan seorang utusan dari Tuhan? Jika umat Islam berwawasan untuk bangkit semula agar dunia seisinya sekali lagi tunduk memberi hormat maka wajib bagi umat Islam meletakkan harapan setinggi-tingginya terhadap Isa Al Masih as yang dijanjikan. Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, pasti akan datang Isa Ibnu Maryam Hakaman Adalan. Ia akan memecahkan salib dan membunuh babi” (Bukhari, juz 2:471). Dari sabda Rasulullah saw ini dapatlah diketahui bahawa diutusnya Isa Al Masih as akhir zaman merupakan fenomena penting yang pasti terjadi dalam kehidupan umat Islam. Adalah wajib bagi umat Islam memohon kepada Allah swt dan berharap sepenuh jiwa agar kedatangan Isa Al Masih as disegerakan.

Sesudah empat belas abad kenabian nabi Musa as, maka telah diutus seorang nabi yang dijanjikan kepada umat Yahudi iaitu Isa Al Masih as. Malangnya nabi yang dijanjikan ini ditolak oleh bani Israil dan hingga kini bangsa ini masih menunggu kedatangan nabi yang dijanjikan itu. Disebabkan kejahilan umat manusia yang cenderung kepada melupakan dan meninggalkan penciptanya Yang Maha Berkuasa, rangkaian sejarah nabi Musa as hingga ke Isa Al Masih as pasti akan berulang lagi di zaman nabi Muhammad saw dan umatnya. Rasulullah saw bersabda, “Akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” – (Musnad Ahmad bin Hanbal, Misykat). Sungguh luar biasa ilmu pengetahuan yang dianugerahkan Allah swt kepada Rasulullah saw. Hadis ini tidak mungkin umat Islam tidak memahaminya kerana senario keadaan umat Islam bermula dari zaman Rasulullah saw hinggalah kepada kerajaan-kerajaan yang ditegakkan oleh umat Islam dirangkum di dalam sabda suci Rasulullah saw ini dan berakhir dengan berdirinya kelak institusi khilafat. Hadis ini menjanjikan kemenangan Islam melalui institusi khilafat, jika dianalisa dengan lebih teliti, hadis tersebut menjelaskan bahawa terdapat empat situasi yang pasti dilalui oleh umat Islam. Pecahan situasi umat Islam menurut hadis tersebut di atas adalah seperti berikut:
Zaman Rasulullah saw iaitu, “akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah”. Nubuat adalah zaman kenabian Rasulullah saw.
Zaman khilafat iaitu, “kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang disukai Allah”. Ini bermakna dilaksanakan pemerintahan sistem khilafat sesudah kenabian Rasulullah saw iaitu apa yang dikenali sebagai zaman Khulafa Rasyidin.
Zaman kerajaan-kerajaan Islam iaitu, “kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah”. Pada masa ini dengan lebih jelas umat Islam mula meninggalkan ajaran suci Al Qur’an, dan raja-raja Islam meskipun menggelar diri mereka sebagai khalifah melaksanakan pemerintahan yang zalim. Raja-raja Islam ini adalah khalifah politik, mereka lebih terpengaruh dengan politik sekular yang tamakkan kuasa dan kebendaan duniawi.
Zaman Institusi Khilafat iaitu, “kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat”. Setelah zaman kegelapan Islam begitu lama, atas kehendak Allah swt akan ditegakkan sekali lagi institusi khilafat. Ini akan sempurna dengan diutusnya Imam Mahdi yakni Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman. “Kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” bermakna seorang nabi diutus dan setelah kewafatannya sistem khilafat terus ditegakkan. Untuk lebih jelas lagi ialah setelah kewafatan Isa Al Masih as iaitu Imam Mahdi yang dijanjikan di akhir zaman, maka misinya akan diteruskan dibawah naungan sistem khilafat.

Selari dengan hadis di atas, Rasulullah saw juga pernah bersabda, “Abad yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua, kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidakseragaman” – (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir). Sabda Rasulullah saw telah sempurna dan sejarah mengakui bahawa zaman kegemilangan Islam berlangsung selama lebih kurang 300 tahun (tiga abad) lamanya, setelah itu umat Islam berada dalam kehinaan dan mundur. Jika benar-benar diteliti zaman akhir kegemilangan Islam ialah apabila kerajaan-kerajaan Islam kehilangan kuasa. Umat Islam benar-benar kehilangan pedoman begitu lama, sepertimana Allah swt berfirman, “Dia akan mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi, kemudian peraturan itu akan naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan lamanya seribu tahun menurut apa yang kamu perhitungkan” – (As Sajdah : 6). Allah swt memberikan gambaran yang jelas bahawa selepas 300 tahun, umat Islam mula mengorak langkah selama 1000 tahun lamanya dalam kegelapan kerana nikmat-nikmat dan berkat-berkat (roh Al Qur’an) untuk umat Islam diangkat oleh Allah swt selama 1000 tahun disebabkan kejahilan umat Islam sendiri. Ini bermakna umat Islam hanya akan kembali mengecapi titik kegemilangannya apabila berlalu jangka waktu selama 1300 tahun, yakni bersamaan dengan permulaan abad ke 14 dalam kalendar Islam. Sudah tentu sebelum sampai ke kemuncak kegemilangan tersebut, sebelum tiba ke titik kegemilangan Islam satu proses serta evolusi perlu dilalui terlebih dahulu. Oleh itu jika Rasulullah saw bersama para sahabat menjalani liku-liku perjuangan serta usaha gigih maka umat Islam pada hari ini juga tidak terlepas dari tanggungjawab yang sama.

Hujah di atas diperkuatkan lagi apabila Nabi Musa as yang pernah diutus kepada umat Israil disamakan dengan Rasulullah saw sepertimana Allah swt berfirman, “Sesungguhnya, Kami telah mengirimkan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi saksi atasmu, sebagaimana Kami pernah mengirimkan seorang rasul kepada Firaun.” (Al Muzzammil : 16). Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Rasulullah saw adalah sama seperti nabi Musa as. Persamaan kedua-dua nabi Allah ini sememangnya benar dan amat nyata. Persamaan fundamental, kedua-duanya membawa kitab dan syariat baru, kedua-duanya berjuang secara fizikal mempertahankan agama Allah, kedua-duanya hijrah demi kejayaan dan banyak lagi persamaan-persamaan yang tidak dapat dijelaskan di sini. Satu lagi persamaan yang tidak kurang pentingnya ialah sebaik sahaja tiba abad ke 14 sesudah Nabi Musa as diutus maka diutus pula Isa Al Masih as bagi menghidupkan semula dan memelihara syariat Nabi Musa as. Seiringan dengan persamaan ini sudah seharusnya apabila abad ke 14 tiba sesudah Rasulullah saw diutus, seorang nabi yang bergelar Isa Al Masih dari umat Islam pula pasti diutus bagi menghidupkan semula dan memelihara agama Islam. Tidak ada yang silap tentang Islam kerana kitab suci Al Qur’an tetap terpelihara sepertimana keadaan asalnya. Namun perkara yang perlu dihidupkan dan dipelihara semula ialah cara umat Islam mengamalkan syariat Islam yang sudah melencong jauh dari ketetapan Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw. Kebangkitan Islam bagi kedua kalinya adalah tugas dan misi besar Isa Al Masih atau Imam Mahdi. Oleh itu umat Islam hendaknya sedar dari  kealpaan dan terus berdoa kepada Allah swt agar diberi petunjuk supaya dapat mengenal dan menjadi pengikut setia kepada Isa Al Masih yang dijanjikan kemunculannya di akhir zaman yakni pada abad ke 14 dalam silsilah kenabian Rasulullah saw.  Jika Imam Mahdi atau Isa Al Masih sudah diutus, di manakah dia? Adakah dia menyembunyikan diri? Adakah Umat Islam tidak mengenalinya atau umat Islam menolaknya? Teruslah berdoa, semoga Allah Yang Maha Mengetahui segera meleraikan kemusykilan ini.

Tanda Khusus Kedatangan Imam Mahdi

Rasulullah saw memberi tanda yang begitu khusus bagi kedatangan Imam Mahdi iaitu satu tanda dari Allah swt yang mana secara total di luar kemampuan manusia untuk mencampurinya. Tanda ini benar-benar bakal menguji keimanan seseorang muslim terhadap Imam Mahdi kerana apabila tanda ini menjadi kenyataan, mereka yang pentingkan dunia dan takut kepada sesama manusia akan berusaha berdolak dalik mengingkarinya. Rasulullah saw bersabda, ”Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada dua tanda yang belum pernah terjadi semenjak langit dan bumi diciptakan. Akan terjadi gerhana bulan pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan Ramadhan dan akan terjadi gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari gerhananya pada bulan Ramadhan itu juga.” (Darul Qutni, jilid II, halaman 65). Tanda khusus ini telah dirakamkan oleh seorang ulama tersohor pakar hadis bernama Syaikul Islam Sayyidina Ali bin Umar Ad-Darul Qutni. Beliau pernah mencabar penduduk Baghdad sepertimana termaktub dalam sebuah buku bertajuk Hasyiah Nukhbatul Fikir, halaman 56, ”Wahai penduduk Baghdad, janganlah kamu kira bahwa seseorang akan berani mengadakan hadis-hadis palsu, sedangkan saya masih hidup.” Syaikul Islam Sayyidina Ali bin Umar Ad-Darul Qutni dengan kepakaran yang diberikan Allah swt padanya begitu yakin dapat membezakan di antara hadis palsu dan benar sehingga beliau mencabar penduduk Baghdad pada masa itu agar jangan ada di antara mereka yang berani mengada-adakan hadis palsu selagi dia masih hidup.
Penjelasan bagi hadis tersebut di atas ialah gerhana bulan boleh berlaku pada salah satu daripada tiga malam iaitu pada 13, 14, dan 15 hari bulan (bulan purnama). Untuk tanda Imam Mahdi yang diutus, menurut Rasulullah saw gerhana bulan pasti terjadi pada malam pertama iaitu pada 13 hari bulan. Bagi gerhana matahari pula boleh berlaku pada salah satu dari tiga hari iaitu pada 27, 28 dan 29 hari bulan.  Untuk tanda Imam Mahdi yang diutus, menurut Rasulullah saw gerhana Matahari pasti terjadi pada hari pertengahan iaitu pada 28 hari bulan. Selanjutnya menurut Rasulullah saw lagi, kedua-dua gerhana ini mestilah terjadi dalam bulan Ramadhan yang sama. Tanda ini amat unik dan ianya daripada Allah Yang Maha Berkuasa mengatur alam cakrawala ini. Berkaitan tanda khusus ini, pasti ada yang mempertikaikannya kerana sumbernya bukan dari hadis sahih sitah, dalam erti kata lain tergolong dalam kategori hadis dhaif. Hadis yang dianggap dhaif bukan bermakna palsu, malahan akan berubah menjadi sahih jika terbukti kebenarannya, hanya orang yang ingkar sahaja yang akan terus menolaknya. Oleh itu jika ada orang mendakwakan dirinya sebagai Imam Mahdi dan diikuti pula oleh gerhana yang disabdakan oleh Rasulullah saw, maknanya dakwaan orang tersebut adalah benar. Jika orang yang mendakwakan dirinya sebagai imam Mahdi didukung pula oleh tanda-tanda sepertimana dalam hadis-hadis Rasulullah saw dan dalil-dalil dari Al Qur’an, sudah tentu orang tersebut menjalani seluruh kehidupannya dengan berpandukan Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw. Imam Mahdi ialah seseorang dari umat Rasulullah saw dan akan merefleksikan kehidupan sebenar Rasulullah saw. Oleh itu wajiblah bagi umat Islam menyelidikinya dengan mengkaji ajaran yang dibawanya samada berdasarkan kepada Al Qur’an Karim dan sabda Rasulullah saw atau sebaliknya. Jika sudah terbukti semuanya benar, adalah satu dosa yang amat besar jika umat Islam menentang dan menolaknya. Sesuai dengan perintah Rasulullah saw, meskipun terpaksa menghadapi bermacam-macan kesulitan dan rintangan, umat Islam diwajibkan menerima dan mengikuti Imam Mahdi kerana dia adalah khalifatullah, ”Apabila kamu melihat Imam Mahdi maka segeralah kamu bai’at walaupun harus merangkak melalui rintangan salji kerana beliau itu adalah khalifatullah Al Mahdi.” (Ibnu Majjah, halaman 315). Lantaran itu menolak imam Mahdi sebagai rasul Allah di akhir zaman, maka akan terjejaslah rukun iman seseorang muslim.

Benarkah Rasulullah saw Diutus Dalam Dua Zaman?

Allah swt berfirman dalam surah Al Jum’ah : 3-4, “Dialah Zat yang telah mengutus di tengah-tengah kaum yang ummi (buta huruf) seorang rasul dari antara mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka tanda-tandaNya. Mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”(Al Jum’ah : 3-4). Ayat ini menerangkan bahawa Allah swt akan mengutus nabi Muhammad saw dua kali kepada dua kaum dan dua zaman yang berbeza (… dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka…). Kaum yang pertama adalah penduduk Mekah (ummi=buta huruf) dan kaum yang kedua adalah satu kaum yang tidak pernah bertemu dengan penduduk Mekah yang buta huruf itu. Ini bermakna Rasulullah saw diutus kepada dua kaum yang berada di dua zaman yang berbeza. Rasulullah saw telah wafat dan tidak mungkin akan kembali lagi diutus buat kedua kalinya. Kesimpulannya, Allah swt menjelaskan bahawa akan diutus seseorang tanpa membawa syariat baru dari umat Rasulullah saw sendiri yakni umat Islam untuk mengembalikan ajaran Islam sebenar yang pernah dibawa oleh Rasulullah saw. Ayat ini memberi harapan yang amat besar dan penuh makna, bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam, Rasulullah saw sendiri telah memberikan tafsiran kepada ayat ini dan sudah tentu di bawah bimbingan Allah swt. Diriwayatkan oleh Hazrat  Abu Hurairah ra bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. Ketika surah Jum’ah turun dan ketika sampai kepada ayat “waakharina minhum lamma yalhaqubihim”, seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah saw tidak menjawab sehingga sahabat itu bertanya dua atau tiga kali, kemudian rawi berkata, bersama kami ketika itu ada Salman Farsi (berasal dari Iran), Rasulullah saw meletakkan tangannya di atas bahu Salman Farsi ra sambil bersabda, “Bila iman (dari orang-orang Islam) telah terbang ke bintang Suraya, maka seorang laki-laki atau lebih dari mereka ini (keturunan bangsa Farsi) akan mengembalikannya” – (Bukhari, Kitabut Tafsir Surah Jum’ah). Rasulullah saw menggambarkan seseorang dari umat Islam berketurunan bangsa Farsi (Iran) akan diberi tanggungjawab untuk menanamkan semula keimanan di dada umat Islam. Apabila diambil kira fakta dari tafsiran Rasulullah saw terhadap surah Al Jum’ah : 3-4 ini, maka personaliti hebat yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman untuk memenangkan Islam hanya boleh ditujukan kepada Isa Al Masih as sebagai Imam Mahdi.

Tiga Dalam Satu

Institusi Khilafat, Imam Mahdi, Isa Al Masih adalah tiga entiti dalam satu, ianya akan muncul serentak dan tidak boleh dipisahkan. Apabila institusi khilafat perlu dihidupkan maka orang yang diberi kemampuan dan autoriti oleh Allah swt ialah Imam Mahdi dan imam yang dimaksudkan ini menepati syarat Isa Al Masih yang dinubuatkan kehadirannya di tengah-tengah umat akhir zaman iaitu umat Islam. Sebagai kesimpulannya, institusi khilafat yang pernah ditegakkan di zaman Rasulullah saw dan para sahabat akan dapat ditegakkan sekali lagi melalui Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman atau Imam Mahdi kerana ini merupakan rencana Allah swt yang pasti akan terjadi. Apabila Rasulullah saw wafat maka pengganti beliau saw adalah khalifah. Demikian juga, oleh kerana Imam Mahdi atau Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman berpangkat nabi maka setelah wafat tugasnya akan diambil alih dan diteruskan oleh para khalifahnya. Oleh itu sempurnalah gandingan dua sabda Rasulullah saw seperti mana telah dibincangkan dalam bab sebelum ini dan firman Allah dalam surah As Sajdah: 6.

Sabda Rasulullah saw:
“Akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” (Musnad Ahmad bin Hambal, Misykat)

“Abad yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua, kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidakseragaman” (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir).

Manakala firman Allah swt:
“Dia akan mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi, kemudian peraturan itu akan naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan lamanya seribu tahun menurut apa yang kamu perhitungkan” (As Sajdah: 6).

Sepertimana telah dijelaskan sebelum ini, apabila dianalisa dua sabda Rasulullah saw dan surah As Sajdah tersebut di atas maka pada abad ke empat belas Imam Mahdi atau Isa Al Masih as yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman seharusnya sudah sempurna, sila rujuk kembali topik sebelumnya, Bilakah Masanya Imam Mahdi Atau Isa Al Masih as Yang Dijanjikan Tiba? Apakah personaliti yang ditunggu ini sudah datang tetapi menyembunyikan diri ataukah sabda Rasulullah saw tidak benar (nauzubillah minzalik)?

Umat Islam perlu sedar bahawa penyatuan dan kekuatan ummah akan terlaksana apabila di tengah-tengah umat Islam hadir satu kepimpinan yang diterajui oleh seorang yang bergelar khalifah. Harapan umat Islam ini semenjak sekian lama telah berputik, namun tetap tidak berkembang malahan terus menemui kegagalan. Khalifatullah untuk zaman ini hanya akan menjadi realiti apabila Imam Mahdi atau Isa Al Masih as akhir zaman telah diutus. Umat Islam tidak akan berjaya untuk menaik-takhtakan seorang Khalifah di zaman ini kerana melantik seorang khalifatullah adalah tugas Allah swt. Disebabkan inilah usaha demi usaha, percubaan demi percubaan oleh umat Islam untuk menegakkan sistem Khilafat terus menemui kegagalan. Imam Mahdi dan para khalifahnya adalah orang yang dipilih dan disucikan, dengan ketentuan daripada Allah swt merekalah yang akan membongkar sekali lagi rahsia Al Qur’an dan mempersatukan ummah di bawah naungan sunnah Rasulullah saw dan Al Qur’an Karim. Dalam era inilah rahsia-rahsia Al Qur’an yang telah lama dilupakan sekali lagi didedahkan oleh Allah swt dan umat manusia diseru untuk hidup berpandukan Al Qur’an. Namun, perlu juga difahami bahawa perjuangan Rasulullah saw selama 23 tahun tidak dapat menakluki hati seluruh bangsa di jazirah tanah Arab. Perjuangan Rasulullah saw sesudah kewafatannya diteruskan oleh para khalifah dan sahabat. Demikian juga halnya perjuangan Imam Mahdi dan para khalifahnya akan memakan masa yang cukup panjang dan banyak rintangan serta tentangan yang terpaksa ditempuhi termasuklah tentangan-tentangan hebat dari umat Islam sendiri sepertimana yang terjadi ke atas Isa Al Masih as yang terpaksa menghadapi tentangan umatnya sendiri khasnya dari kalangan para ulama umat Israil.  

Rasulullah saw bersabda bahawa, “Sesungguhnya Islam itu mula-mula asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana permulaannya maka dari itu berbahagialah bagi orang-orang yang asing” (Muslim, Ibnu Majah, An-Nasa’i dan Kanzul Umal,JuzI/1192). Ketika Nabi Muhammad saw menyebarkan agama suci Islam, ajarannya dianggap asing kerana bertentangan atau berlainan dari amalan kebiasaan pada waktu itu. Rasulullah saw juga telah menubuatkan (mengkhabarkan) bahawa masyarakat Islam akan mengalami kerosakan sehingga mereka tidak dapat membezakan ajaran Islam yang sebenar dengan Islam yang bercampur baur dengan budaya atau adat tradisi yang diwarisi  dan sebati secara turun temurun. Tanpa mereka sedari bahawa ada bahagian-bahagian kefahaman dan penafsiran mereka bertentangan sama sekali dengan Al Qur’an dan ajaran Rasulullah saw yang sebenar. Apabila kelak Imam Mahdi mengetengahkan ajaran Islam selari dengan Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw maka ajaran tersebut mereka menganggapnya salah dan menyesatkan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw bahawa, “Sesungguhnya Islam itu mula-mula asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana permulaannya...” kerana umat Islam sudah tidak mampu mengenal dan membezakan ajaran Islam sebenar dengan budaya warisan. Imam Mahdi bukan sahaja ditentang oleh Dajjal malahan lebih parah lagi umat Islam sendiri akan menjadi penentang serta penghalang kepada ajaran serta perjuangan yang dibawanya. Seorang ulama tersohor, Imam Muhyiddin Ibnu Arabi menulis, “Apabila Imam Mahdi datang, waktu itu yang menjadi musuh-musuhnya tidak lain melainkan ulama-ulama dan fuqaha” (Fatuhat Makkiyah, jilid III, muka surat 374). Pendapat Imam Muhyiddin Ibnu Arabi ini selari dengan firman Allah swt dalam surah Az Zukhruf: 58, “Dan ketika Ibnu Maryam dijadikan misal (mathalan) lihatlah kaum engkau bersorak (menentang) kerananya.” Firman Allah swt ini menggambarkan keadaan umat Islam akan riuh bangkit mencemuh orang yang mendakwakan dirinya sebagai Isa Al Masih as yang dijanjikan bukan sahaja untuk umat Islam di akhir zaman malahan untuk seluruh umat manusia. Orang yang dimisalkan sebagai Isa Al Masih as ini akan terpaksa menghadapi tentangan bukan sahaja dari kaum Dajjal malahan dari umat Islam sendiri khasnya dari mereka yang bergelar ulama. Tentangan ini wajib terjadi sebagaimana penentangan para ulama Yahudi terhadap Isa Al Masih as dari bani Israil sehingga mereka sanggup menyalibnya. Walau bagaimanapun ini adalah salah satu lagi tanda kebenaran utusan dari Allah swt di mana setiap utusan pasti ditentang seperti firmanNya, “Dan tidak datang seorang rasul pun kepada mereka, melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya” (Al Hijr : 12), “Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul dari mereka sendiri, tetapi mereka mendustakannya; kerana itu mereka dimusnahkan azab dan mereka adalah orang-orang yang zalim” (An Nahl : 114).

Memahami Tetapi Gagal Dalam Praktik

Umat Islam yang seharusnya bersatu padu dan dalam keadaan harmoni telah lama berpecah belah bukan sahaja dalam isu pelbagai mazhab keagamaan tetapi juga dalam bidang politik. Kekuatan umat Islam lenyap begitu sahaja disebabkan sibuk memikirkan kepentingan duniawi demi kemajuan diri, keluarga atau kelompok hingga pertelagahan yang timbul sesama umat Islam dianggap seolah-olah perkara lumrah. Meski pun masih ada segelintir yang merasa bertanggungjawab untuk mengakhiri kemelut umat Islam tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Lebih malang lagi pertelagahan sesama sendiri ini dianggap jihad, umat Islam di satu pihak berjihad terhadap umat Islam yang lain. Jika ini terus berlaku, apa lagi yang tinggal pada umat Islam untuk membina sesebuah negara yang maju, aman dan makmur? Mampukah umat Islam mempertahankan agama Islam? Oleh itu adalah wajib bagi umat Islam untuk bersatupadu di bawah pimpinan seorang IMAM. Seorang imam bagi seluruh umat Islam amat diperlukan, namun adalah mustahil memperolehi satu imam tanpa adanya satu sistem berpayungkan institusi khilafat selari dengan kehendak Al Qur’an. Institusi khilafat seperti ini hanya akan terwujud setelah perginya seorang utusan Allah swt. Dalam institusi khilafat terdapat seorang khalifah, dia adalah seorang pengikut setia kepada nabi sebelum itu dan penerus dalam melaksanakan tugas-tugas nabi yang telah pergi. Segala sesuatu yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan politik adalah tertumpu kepada khalifah, inilah prinsip yang terdapat dalam sistem khilafat.

Umat Islam amat memahami betapa perlu dan pentingnya perpaduan ummah tetapi gagal melaksanakannya. Ini amat dirasai semenjak kewafatan Rasulullah saw. Amat jelas bahawa perpaduan dan keharmonian di kalangan umat Islam adalah dituntut dalam Islam kerana tanpa kedua-duanya tidak mungkin ajaran Islam dapat dipraktikkan dengan sempurna. Jika direnungkan, dalam menunaikan solat berjemaah terkandung pelajaran bagi umat Islam. Misalnya dalam melaksanakan solat di masjid, adalah merupakan kebiasaan terdapat seorang imam dan di belakang imam terdapat makmum, ini melambangkan tuntutan terhadap perlu wujudnya perpaduan di kalangan ummah di bawah satu pimpinan. Solat Jumaat diwajibkan ke atas setiap individu muslim dan ini adalah satu analogi di mana umat Islam dituntut untuk bersatu padu dalam satu jemaah di bawah pimpinan seorang imam yang bertindak sebagai pemimpin. Dalam solat Jumaat umat Islam dapat mendengar dan menerima nasihat dari seorang imam, hal ini amat penting supaya umat Islam mengambil iktibar betapa pentingnya peranan seorang imam dalam membimbing ummah dan betapa penting ketaatan ummah terhadap seorang pemimpin. Imam diberikan tanggungjawab yang amat besar, jika seorang imam melakukan kesilapan, makmum mestilah mengikuti imam tersebut meskipun terpaksa turut melakukan kesilapan yang sama. Perkara ini menyediakan pelajaran bahawa ketaatan amat diperlukan dari segenap individu muslim terhadap pemimpin dan betapa pentingnya peranan seorang Imam dalam memimpin serta mempersatukan ummah. Jika dalam sebuah masjid sahaja seorang imam amat diperlukan sebagai seorang pemimpin, lebih-lebih lagi umat islam di seluruh dunia sudah semestinya memerlukan seorang imam – KHALIFAH. Mungkinkah umat Islam dapat hidup bersatu-padu, aman dan damai tanpa seorang imam sebagai pemimpin yang wajib ditaati? Perhatikan realiti dalam kehidupan umat Islam hari ini, terumbang ambing tanpa haluan disebabkan tidak mempunyai satu pemimpin yang wajib ditaati oleh seluruh ummah. Demikian juga sebagaimana diketahui umum oleh umat Islam, terdapat perintah dalam Al Qur’an untuk menghadapkan muka ke arah satu kiblat yakni Ka’abah ketika solat. Ke mana sahaja seseorang itu pergi, ketika melaksanakan solat dia tetap menghadap kiblat yang sama. Ini jelas menunjukkan agar umat Islam sentiasa berada dalam perpaduan di bawah pimpinan seorang imam atau khalifah. Malang sekali, walaupun semua umat Islam yang melaksanakan solat menghadap kiblat ke Ka’abah namun tetap sahaja umat Islam tidak memiliki khalifah kerana penyakit rohani yang dialami oleh umat Islam ibarat penyakit kanser yang amat parah, umat Islam terus berpecah belah. Di zaman para sahabat terdapat pemimpin yang bergelar khalifah kerana kondisi kerohanian umat Islam pada masa itu jutaan kali lebih baik daripada kerohanian umat Islam hari ini. Oleh itu umat Islam wajib mencari ubat penyembuh mujarab kepada penyakit rohani yakni wajib kembali kepada sunnah Rasulullah saw dan Al Qur’an Karim dan beramallah dengan amal saleh.

Umat Islam perlu saling belajar serta melengkapi antara satu sama lain seperti mana yang dikatakan oleh seorang cendikiawan Islam Indonesia, Dr Abdul Munir Mulkhan (2000) dalam kertas kerja berjudul Jalan Baru Solidaritas Muslim Bagi Kemanusiaan sewaktu seminar International “Revitalisasi Persatuan Umat Islam di Era Millenium III di Universiti Gadjah Mada. Beliau  mengatakan;  “konsensus atau negosiasi di atas dilakukan untuk kepentingan sosial kolektif komunitas Muslim dalam beragam mazhab. Dengan demikian terbuka bagi Sunni, Syiah, Sufi, Ahmadiyah, Nahdatul Ulama (NU) atau Muhammadiyah dan aliran lain untuk saling belajar mengenai pengalaman kegagalan atau kesuksesan masing-masing. Elastisitas Sunni, Imamiah Syiah, jaringan global Ahmadiyyah, perlembagaan aksi sosial dan pendidikan tinggi Muhammadiyah, atau pesantren dan kedekatan publik NU biar diramu menjadi suatu jalan baru Muslim dalam memerankan dirinya di tengah perkembangan peradaban baru di millennium ketiga ini.”  Islam agama yang tidak hanya menciptakan persaudaraan di kalangan kaum muslimin di atas landasan yang luas liputannya melainkan juga menyatupadukan mereka sehingga keadaan mereka tak ubah laksana sebuah tembok yang kukuh. Allah memerintahkan sesungguhnya segenap orang-orang mukmin itu bersaudara, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”  (Al Hujuraat : 11). Malah Rasulullah saw bersabda, “Di dalam sayang-menyayangi, cinta-mencintai dan kesetiakawanan engkau menyaksikan orang-orang mukmin adalah seperti satu tubuh. Bila salah satu tubuh merasa sakit, tidak hanya bahagian itu sendiri yang merasa sakit melainkan seluruh tubuh merasakan tidak dapat tidur dan demam (Bukhari). Marilah mengamalkan pesan suci Nabi Muhammad saw ini dan jadikan Kalimah Syahadah "Laa ilaha illallah, Muhammadur-Rasulullah” sebagai pengikat kekuatan ummah demi menarik kecintaan Allah swt dan meneruskan misi Rasulullah saw.


1 comment:

  1. Assalamualaikum. Bukankah tiada rasul selepas rasul yg terakhir yakni Muhammad S.A.W? Adakah penelitian tafsir2 Al-Quran ini telah di persetujui oleh alim ulama? Apakah Imam al mahdi dtg dr nasab Rasulullah ( Ahlul Bait)? Adakah pandangan ni dipersetujui oleh habib habib tulen? Bukankan Isa a.s itu berbangsa yahudi dan imam mahdi itu berbangsa quraishy?

    ReplyDelete