Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 7



ISA AL MASIH AS - DARI PALESTIN KE
KASHMIR

Benarkah Isa Al Masih as Turun Dari Langit?

Rasulullah saw telah menjelaskan siapa sebenarnya Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman dan dari mana datangnya. Rasulullah saw bersabda, “Kaifa antum izaa nazala Ibnu Maryama fiikum wa imamukum minkum (bagaimanakah keadaan kamu (umat Islam) ketika datang anak Maryam (Nabi Isa) di antara kamu (umat Islam), menjadi imam kamu dari kalangan kamu sendiri (minkum)” – (Bukhari, jilid 2, Kitabul Anbiya, bab Nuzul Isa Ibnu Maryam).  Berdasarkan kepada hadis ini, Rasulullah saw menjelaskan bahawa Nabi Isa atau Isa Al Masih as yang dijanjikan akan turun di akhir zaman adalah dari kalangan umat Rasulullah saw iaitu dari antara umat Islam sendiri sebab dalam hadis tersebut terdapat perkataan “MINKUM” yang bermaksud “dari kalangan kamu sendiri”. Dia digelar atau dimisalkan sebagai Isa Al Masih as kerana membawa misi yang serupa sepertimana misi Isa Al Masih as yang pernah diutus di kalangan umat Israil. Pada masa Isa Al Masih as diutus, umat Israil pada ketika itu berpecah belah dan pada zaman Isa Al Masih as dari umat Rasulullah saw yang mana kedatangannya dijanjikan di akhir zaman juga menyaksikan umat Islam dalam keadaan yang serupa sepertimana umat Israil. Isa Al Masih as diutus tanpa membawa syariat baru tetapi meneruskan dan mengembalikan ajaran sebenar Nabi Musa as yang telah dicemari oleh tangan-tangan kotor ulama umat Israil pada ketika itu. Demikian jugalah Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman sesungguhnya diutus tanpa membawa syariat baru tetapi meneruskan dan mengembalikan ajaran yang pernah dibawa oleh Rasulullah saw. Terdapat penjelasan daripada Rasulullah saw bahawa di akhir zaman umat Islam sama seperti umat Israil, “Sayyidina Abdullah bin Amar ra berkata, Baginda Rasul saw bersabda, “Pasti akan datang di atas umatku sebagaimana yang telah terjadi kepada umat bani Israil, seperti sepasang sepatu, hingga kalau umat bani Israil berzina dengan ibunya secara terang-terangan maka umatku juga akan berbuat demikian. Ketahuilah bahawa umat bani Israil telah pecah kepada 72 firkah (pecahan) dan umatku akan pecah kepada 73 firkah, kesemuanya akan menjadi bahan api neraka kecuali satu firkah.” Para sahabat bertanya, “firkah yang manakah itu wahai Rasul Allah?” Baginda Rasul saw bersabda, “firkah itu ialah di mana aku dan sahabat-sahabat aku ada di dalamnya”” (Tirmidzi, Kitabul Iman – 2:87). Oleh itu amat jelas bahawa penyelamat kepada umat Nabi Musa as adalah Isa Al Masih as dari Bani Israil dan penyelamat kepada umat Nabi Muhammad saw adalah orang Islam yang bergelar sebagai Nabi Isa atau Isa Al Masih as. Ini juga membuktikan bahawa Nabi Musa as adalah sama dengan Rasulullah saw sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya, Kami telah mengirimkan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi saksi atasmu, sebagaimana Kami pernah mengirimkan seorang rasul kepada Firaun” (Al Muzzammil : 16). Samada Nabi Musa as atau Nabi Muhammad saw, kedua-duanya disusuli oleh seorang Nabi yang diberi nama Isa Al Masih as. Umat Islam sebenarnya keliru dalam memahami hadis tersebut di atas kerana dalam sabda Rasulullah saw terdapat perkataan ”NAZALA” iaitu yang bermaksud ”TURUN”. Dalam konteks Isa Al Masih as yang dijanjikan, perkataan ”nazala” tidak semestinya bermaksud turun dari atas atau langit kerana perkataan yang sama digunakan oleh Allah swt dalam beberapa ayat Al Quran, misalnya dalam surah Al Hadid : 26, “… Dan Kami turunkan besi…”, apakah besi turun dari langit?

Benarkah Isa Al Masih as Diangkat Ke Langit?

Allah swt berfirman, “Dan kerana ucapan mereka: Sesungguhnya kami telah membunuh Isa Putera Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya akan tetapi dia (Al Masih) disamarkan kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka yang berselisih dalam hal ini benar-benar ada dalam keraguan tentangnya; mereka tidak mempunyai pengetahuan (yang pasti) tentang ini melainkan menuruti dugaan (belaka); dan mereka tidak yakin telah membunuhnya. Tetapi Allah telah mengangkat (rafa’ahullahu) dia kepadaNya dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (An Nissa: 158-159). Umat Yahudi berkeyakinan bahawa dakwaan Isa Al Masih as sebagai Nabi yang diutus kepada mereka adalah palsu. Ulama Yahudi ingin membuktikan dakwaan palsu Isa Al Masih as ini dengan membunuhnya di atas tiang salib kerana mati di atas tiang salib telah tersurat dalam kitab Taurat sebagai mati terkutuk, “… sebab seorang yang digantung terkutuk oleh Allah…” (Ulangan 21:23). Perlu juga difahami dalam konteks perkataan “telah disalib” dari sudut keyakinan umat Yahudi, bermakna orang yang dihukum di tiang salib mestilah benar-benar terbukti mati baru boleh dikatakan “telah disalib”. Dalam hal ini, walaupun seseorang telah diletakkan di atas tiang salib tetapi jika tidak mati bermakna “telah tidak disalib”. Maka inilah yang dijelaskan oleh Allah swt, “… dan mereka tidak pula menyalibnya… “, ertinya para ulama Yahudi telah gagal dalam usaha mereka untuk membunuh Isa Al Masih as dengan cara menyalibnya. Seterusnya Allah menjelaskan, “… tetapi dia (Al Masih) disamarkan kepada mereka …”, jika benar orang lain ditukar wajahnya  dengan wajah Isa Al Masih as dan orang tersebutlah yang telah disalib sebagaimana fahaman umat Islam hari ini, seharusnya Allah swt mengatakan, “diserupakan (Isa Al Masih as) dengan salah seorang dari antara mereka” bukannya “… disamarkan kepada mereka…”. Allah swt Yang Maha Bijaksana menggunakan perkataan “… tetapi dia (Al Masih) disamarkan kepada mereka …” untuk menjelaskan bahawa Isa Al Masih as telah diperlihatkan kepada para ulama Yahudi serta pengikut mereka yang menyaksikan peristiwa penyaliban Isa Al Masih as seolah-olah telah mati di atas tiang salib sebagaimana yang diinginkan oleh mereka.

Secara harfiah perkataan BAR RAFA’AHULLAAHU boleh diertikan sebagai “Dia (Allah) telah mengangkat ia (Isa Al Masih as)” atau boleh juga, “Ia (Isa Al Masih as) telah diangkat oleh Allah.”  Disebabkan mengangkat seseorang dengan jasad kasar ke satu tempat yang berada di langit satu perbuatan yang bercanggah dengan sunnatullah, maka perkataan “raafa’ahullahu” hendaklah diertikan secara kiasan yang menjurus kepada makna di mana darjat  Isa Al Masih as telah diangkat oleh Allah swt atau Isa Al Masih as dimuliakan oleh Allah swt. Untuk lebih jelas lagi serta lebih mudah difahami, banyak perkataan rafa’a digunakan oleh Allah swt dalam Al Quran Karim, misalnya:
 RAFA’A BA’DHAHUM DARAJAATIN (Dia mengangkat/meninggikan sebahagian dari mereka beberapa darjat).” (Al Baqarah: 254)  
RAFA’A BA’DHAKUM FAUQA BA’DHIN DARAJAATIN (Dia mengangkat sebahagian kamu di atas yang lain beberapa darjat.” (Al An’aam: 166)
INNII MUTAWAFFIIKA WA ROOFI’UKA ILAIYA (Sesungguhnya Aku akan mewafatkan engkau dan akan mengangkat engkau kepadaKu.” (Al Imran: 56)
YARFA’ILLAAHUL LAZIINA AAMANUU MINKUM (Allah akan mengangkat orang-orang beriman dari antara kamu.” (Al  Mujaadilah: 12)
FII BUYUUTIN AZINALLAAHU ANTURFA’A (di rumah-rumah yang Allah telah mengizinkan supaya rumah-rumah itu dimuliakan).” (An Nur: 37)

Demikian juga banyak sabda-sabda Rasulullah saw yang mendokong makna perkataan “rafa’a”, misalnya:
“Asallahu an yarfa’aka (semoga Allah akan mengangkat/memuliakan engkau).” (Shahih Bukhari, jilid II, halaman 125)
“wa yarfa’u qauman wa yadha’u aakhariin (dan mengangkat suatu kaum serta menghinakan kaum yang lain).” (Shahih Bukhari, jilid III, halaman 197).
“innallaha yarfa’u bihadzihil kitabi aqwaaman wayadha’ul aakhariina (sesungguhnya Allah melalui kitab ini akan mengangkat beberapa kaum dan merendahkan/menghinakan yang lain).” (Shahih Musllim, jilid II, halaman 201)
 
Manakala umat Islam dalam menunaikan solat adalah dikehendaki membaca doa ini, “rabbighfirlii warhamnii wajburnii warfa’nii (ya Tuhanku ampunilah dosaku, kasihanilah aku, tolonglah aku dan angkatlah aku). Apakah umat Islam berdoa agar diangkat dengan tubuh kasar ke langit? Dapatlah difahami bahawa perkataan “rafa’a” bermaksud diangkat kedudukan, darjat, kemuliaan dan kedekatan diri kepada Allah swt secara rohani dan bukan secara jasmani. Demikianlah Allah swt benar-benar telah mengangkat darjat serta memuliakan Isa Al Masih as, sesuai juga dengan pengakuan Isa Al Masih as sendiri, “Dan Dia telah menjadikan aku seorang yang diberkati di manapun aku berada dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup.” (Maryam: 32). Isa Al Masih as sesungguhnya telah dimuliakan Allah dalam bentuk kehidupan yang penuh berkat, dihindari dari mati terkutuk di atas tiang salib dan ramai umat manusia memuliakannya hingga hari ini.

Isa Al Masih as Dari Bani Israil Sudah Wafat

Kini timbul pula persoalan dan perdebatan sesama para ulama kerana beberapa ulama dan pemikir Islam tersohor percaya malahan dapat membuktikan dengan berdasarkan kepada Al Quran dan hadis Rasulullah saw bahawa Nabi Allah Isa Al Masih as as tidak ada di langit. Di antara ulama yang berpendapat bahawa Isa Al Masih as as telah wafat secara alami adalah:

Muhammad Asad, The Muslim World League, Mecca and Islamic Centre, Geneva (The Message of the Quran).
Rasheed Raza, Mesir (Al Mannar, jilid 5, m/s 900-9001).
Mahmood Shaltoot, Mufti Mesir (Al Fatawa, m/s 52-75).
Allama Ahmad Al-Ajooz  (Is The Prophet Jesus Alive?, m/s 23).
Allama Mustafa Al-Maraghi, Universiti Al Azhar, Mesir (Tafsir al Maraghi, m/s 195).
Professor Abbas Mahmood, Lebanon (Life of Jesus, m/s 213)
Syed Qutub, Ikhwanul Muslimeen (Fee Zilalul Quran, jilid 7, m/s 66)
Dr. Mahmood bin Shareef, Professor of Economics, College in Egypt (Al-Adyan fil Quran, m/s 210-214).
S’ad Muhammad Hassan Wizaarat (Al Mahdiyya Fil Islam, m/s 38).
Shaikh Muhammad Al-Ghazali, Mesir (Nazarat Fil Quran).
Al-Shaikh Abdullah Al Kheeshavi, Ghazza (Afkaar Momineen Fee Haqaeq-al-Deen).
Zainudeen Rahnuma, Iran (Translation of the Quran)
Shaikh Abdullah Saleh, Ketua Qadi, Kenya (Sautul Haq, m/s 6).
Haji Abdul Karim Amrullah (Professor Dr. Hamka), Indonesia (Al Qaulus Sahih)

Jika pendapat mereka yang tersebut di atas mengenai Isa Al Masih as as tidak benar, apakah mereka ini tidak faham bahasa Al Quran? Dr. Hamka sendiri adalah seorang ulama yang tersohor di nusantara ini. Ulama manakah yang berani mengatakan bahawa pendapat Dr. Hamka tidak benar? Kebanyakan para ulama percaya bahawa Isa Al Masih as as masih hidup di langit dan akan turun ke bumi bergabung dengan Imam Mahdi bagi memenangkan Islam. Malangnya, pendapat ini menyamai agama akidah Kristian kerana mereka juga mempercayai Isa Al Masih as sebagai anak Tuhan telah naik ke langit dan masih hidup di sana dan akan turun ke bumi tetapi bagi memenangkan agama Kristian.

Bagi menerangkan kewafatan Isa Al Masih as as, para mufassirin (ahli tafsir) berpendapat bahawa di akhirat Allah swt akan bertanya kepada Isa Al Masih as as seperti mana firmanNya dalam surah Al Maa’idah: 117-118, “Dan ketika Allah berfirman, ‘Hai Isa putera Maryam, adakah engkau berkata kepada manusia, ‘jadikanlah aku dan ibuku sebagai dua tuhan selain Allah?’ Isa menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak layak bagiku mengatakan apa yang bukan hakku; sekiranya aku ada mengatakannya tentu Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui  apa-apa yang ada di dalam diriku dan aku tidak mengetahui apa-apa yang ada di dalam diri Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka selain daripada yang telah Engkau perintahkan kepada ku, iaitu, ‘Sembahlah Allah Rabku dan Rabmu dan aku sentiasa menjadi penjaga atas mereka selama aku ada di antara mereka, akan tetapi setelah Engkau WAFATKAN aku (Tawaffaitanii), maka Engkaulah yang menjadi penjaga mereka dan Engkau penyaksi atas segala sesuatu” (Al Maa’idah : 117-118). Apabila Allah swt bertanya tentang keadaan umat Isa Al Masih as sepertimana hari ini mereka beriktikad bahawa Isa Al Masih as adalah anak Allah serta jelmaan Allah, maka Isa Al Masih as menjawab dia tidak tahu menahu keadaan tersebut kerana dia tidak lagi menjadi penjaga ke atas mereka dan Allah swt telah mewafatkannya. Sekiranya Isa Al Masih as masih hidup di langit dan akan turun ke bumi sudah tentu dia akan dapat mengetahui keadaan umat yang mengikutinya beriktikad bahawa dia adalah anak Allah serta jelmaan Allah. Ini bermakna Isa Al Masih as berkata bohong di hadapan Allah swt (nauzubillah minzalik) dengan berkata bahawa dia tidak tahu keadaan umatnya.

Selanjutnya Allah berfirman dalam surah Ali Imran: 56, “Ingatlah ketika Allah berfirman: Hai Isa, sesungguhnya Aku akan mewafatkan (mutawaffika) dan mengangkat engkau di sisi Ku dan akan membersihkan engkau dari (tuduhan) orang-orang kafir dan akan menjadikan orang-orang yang mengikuti engkau di atas orang-orang kafir hingga hari kiamat; kemudian kepada Akulah tempat kembalimu, lalu Aku akan menghakimi di antaramu tentang apa yang kamu perselisihkan.” Menurut professor Dr. Hamka dengan berdasarkan  kepada loghat,  ungkapan mutawaffika adalah memberi makna mematikan. Sila rujuk tafsir Al Azhar, juz II, halaman 181. Pada masa yang sama professor Dr. Hamka dalam tafsir Al Azharnya berhubung dengan kewafatan Isa Al Masih as telah memuatkan fatwa Syaikh Mahmud Syaltut seperti berikut:
Tidak ada dalam Al Quran yang mulia dan tidak pula dalam sunnah yang suci suatu alasan yang jitu, yang baik untuk dijadikan dasar akidah, yang dapat menimbulkan ketenteraman dalam hati bawahasanya Isa diangkat ke langit dengan tubuhnya dan sampai sekarang dia masih hidup di langit dan bahawa dia akan turun ke bumi pada akhir zaman.
Kesimpulan yang diperolehi dari ayat yang berkenaan dengan persoalan ini ialah bahawa Allah menjanjikan kepada Isa bahawa Dia akan mewafatkannya menurut ajalnya dan mengangkatnya kepadaNya dan memeliharanya daripada tipu daya orang kafir dan bahawa janji Tuhan ini memang telah terjadi maka tidaklah ia mati dibunuh oleh musuh-musuhnya dan tidaklah ia disalibkan tetapi disempurnakan Allah ajalnya dan diangkat darjatnya.
(sila rujuk tafsir Al Azhar, juz III, halman 184)

Apa yang dijelaskan di sini ialah janji Allah kepada Isa Al Masih as  bahawa Allah akan mewafatkannya terlebih dahulu dan setelah itu darjat Isa Al Masih as akan diangkat ke sisiNya yakni dalam erti kata lain ditinggikan darjatnya. “Tidaklah ia disalibkan”, sesuai dengan fahaman dan tujuan para ulama Yahudi adalah bermakna mereka gagal membunuh Isa Al Masih as meskipun mereka berjaya meletakkanya di atas tiang salib.

Ijmak Para Sahabat

Khabar angin bertiup kencang bahawa Rasulullah saw telah terbunuh sewaktu perang Uhud. Lantaran itu turunlah ayat, “Dan Muhammad tidak lain melainkan seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul sebelumnya. Jadi jika ia mati atau terbunuh, akan berpalingkah kamu atas tumitmu? Dan barangsiapa berpaling atas tumitnya, maka ia tidak akan memudaratkan Allah sedikitpun. Dan Allah pasti akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur” (Al Imran: 145). Ayat ini memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa Rasulullah saw hanyalah manusia biasa yang pasti akan wafat sepertimana rasul-rasul sebelumnya tetapi ini tidaklah bermakna umat Islam harus goyah keimanannya disebabkan pemergian Rasulullah saw. Sehubungan dengan ayat ini juga tertulis dalam sejarah Islam tatkala Rasulullah saw telah wafat, Hazrat Umar ra dengan pedang terhunus di tangan mundar-mandir sambil berkata, “Barangsiapa yang mengatakan Rasulullah wafat, akan aku penggal batang lehernya…”  Dalam kejadian bersejarah ini tidak ada yang berani mententeramkan Hazrat Umar ra kecuali apabila Hazrat Abu Bakar telah membacakan surah Al Imran: 145. Setelah itu akurlah Hazrat Umar ra bahawa Rasulullah saw benar-benar telah wafat sepertimana wafatnya nabi-nabi sebelumnya (termasuklah Isa Al Masih as as).

Syaikh Muhammad Abduh, seorang cendekiawan tersohor dan salah seorang pembentuk dasar Universiti Al Azhar, Mesir memberikan penjelasan tentang surah Al Imran: 145 seperti berikut:

Sesungguhnya Muhammad itu tidak lain melainkan seorang rasul, sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul sebelumnya atau mereka telah mati. Sungguh sebahagian para Nabi telah terbunuh seperti Zakaria dan Yahya dan tidak ada salah seorang di antara mereka yang kekal. Akan tetapi dia mesti terkena hukum sunnatullah yakni dengan kematian, maka dia akan berlalu sebagaimana telah berlalu para Nabi sebelumnya. Kalau begitu, tidak ada yang kekal selain Allah Yang Maha Tunggal dan janganlah seorang mukmin yang bertauhid menyimpang dan berkeyakinan kepada selainNya, maka jika ia telah mati sebagaimana halnya Musa dan Isa telah mati atau terbunuh sebagaimana terbunuhnya Zakaria dan Yahya kalian akan kembali atas tumit (kekufuran) kalian.
(Tafsir Almanaar, jilid IV, halaman 132-133)

Hingga saat ini belum pernah ditemui ada sumber rujukan yang sahih samada hadis, ayat Al Quran atau fakta sejarah yang boleh diketengahkan oleh sesiapapun bagi mendokong bahawa Isa Al Masih as dari Bani Israil telah diangkat ke langit dan masih hidup hingga hari ini. Fakta yang dapat dipaparkan oleh Al Quran Karim ialah kenyataan yang jelas berkaitan dengan kewafatannya. Di sebalik itu pula sabda-sabda suci Rasulullah saw menjanjikan satu kepastian akan diutusnya seorang Nabi yang bergelar Isa Al Masih as dari kalangan umat Islam. Allah Yang Maha Mengetahui juga selanjutnya menjelaskan, agar umat Islam tidak keliru bahawa Isa Al Masih as yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman adalah seseorang yang dimisalkan dari umat Rasulullah saw, sebagaimana firmanNya dalam surah Az Zukhruf: 58, “Dan ketika Ibnu Maryam dijadikan misal (mathalan) lihatlah kaum engkau bersorak menentang (yashiddun) kerananya.” Dalam ayat ini terdapat dua perkataan yang amat penting iaitu mathalan dan yashiddun. Dengan merujuk kepada kamus Munjid (Arabi-Urdu) perkataan “yashiddun” bermaksud “menolak atau menentang”. Manakala perkataan “mathalan” dengan merujuk kepada kamus yang sama bermaksud “tamsilan atau misalan”. Oleh itu jelaslah bahawa apabila kelak tiba masanya di mana Allah swt menjadikan seseorang sebagai misalan kepada Nabi Isa as maka umat  Islam akan bangkit menentangnya. Umat Islam tidak akan mempercayai dakwaannya bahawa dia lah yang dijanjikan sebagai Nabi Isa yang ditunggu-tunggu kedatangannya oleh umat Islam di akhir zaman.

Mengenali Isa Al Masih as Dari Umat Rasulullah saw

Rasulullah saw juga memberikan gambaran bagi membezakan rupa bentuk kedua-dua personaliti terhormat ini. Gambaran tentang Isa Al Masih as dari Bani Israil termaktub dalam Bukhari, juz 3: 164, “Isa kulitnya berwarna kemerah-merahan, rambutnya ikal, dadanya lebar.” Manakala gambaran Isa Al Masih as dari umat Rasulullah saw termaktub dalam Bukhari, juz 3: 165, “Maka dialah seorang yang berkulit kuning langsat, rambutnya jatuh terurai di kedua belah bahunya, tingginya sedang.”

Nama Al Masih Adalah Satu Bukti

Allah swt berfirman dalam surah Al Imran: 46, “Ketika berkata malaikat-malaikat: Hai Maryam, sesungguhnya Allah memberi engkau khabar suka dengan satu kalimat (firman) daripadaNya (tentang seorang anak laki-laki) namanya Al Masih Isa Ibnu Maryam, yang dimuliakan di dunia dan akhirat, dan ia adalah dari orang-orang yang didekatkan.” Nama Isa Al Masih as adalah nama pemberian daripada Allah swt sendiri, para mufassirin memberikan penjelasan bahawa nama Nabi Isa as dicantumkan dengan Al Masih adalah disebabkan seperti berikut:

Dia melakukan pengembaraan di negeri-negeri dan bahagian dunia. (Tajul ‘Arus, 1306 Hijrah, jilid II, halaman 224).
Dia banyak melakukan perjalanan di muka bumi dalam hal penghambaan kepada Allah dan tidak menetap di satu tempat sahaja. (Tafsir Alqurthubi, jilid V, halaman 1331).
Dia melakukan perjalanan di muka bumi dan tidak berdiam diri pada satu negeri sahaja dan kerana dia diurapi dengan minyak suci yang berkat yang mana nabi-nabi lain pun diurapi dengan minyak yang sama (Tafsir Alfakhrur-Raazi, 1985, jilid IV, halaman 56).
Kata Al Masih adalah bentuk mubaalaghah dari kata maasih (isim fa’il) yang bererti yang diurapi dengan minyak dan yang banyak melakukan perjalanan (Almunjid, 1925, halaman 560).

Mencari Domba Yang Hilang Dari Bani Israil

Bani Israil terdiri daripada dua belas suku dan pada waktu Isa Al Masih as diutus terdapat hanya dua suku Bani Israil di Palestin, sepuluh suku bertebaran di merata tempat kerana telah diusir dan menjadi tawanan ketika serangan ke atas Palestin oleh raja Babylon yang bernama Nebuchadnezar pada tahun 597-587 SM. Suku-suku Bani Israil ini menetap di merata tempat hingga meliputi  daerah-daerah seperti di Iran, Afghanistan, hingga ke Kashmir di India. Misi Isa Al Masih as adalah amanah daripada Allah swt untuk mencari sepuluh suku Bani Israil yang telah hilang pedoman untuk dibawa kembali sujud kepada Allah swt, misi ini pasti tidak gagal kerana ianya rencana daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Menurut kitab Injil ketika Isa Al Masih as disalib, beliau hanya berumur sekitar 33 tahun dan menurut hadis pula umur Isa Al Masih as menjangkau sehingga 120 tahun sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Siti Fatimah, “Sesungguhnya Isa Ibnu Maryam hidup selama 120 tahun.” (Thabrani, Kanzul ‘Ummal, 1989, jilid XI, halaman 79). Oleh itu terbuktilah Isa Al Masih as adalah sebuah nama dari Allah swt kerana sememangnya sudah takdir dari Allah bahawa Isa Al Masih as dikehendaki banyak melakukan perjalanan untuk menjejaki suku-suku Bani Israil yang telah hilang. Tidak seperti dua suku Bani Israil di Palestin yang ingkar hingga nekad untuk membunuhnya, sepuluh suku Bani Israil ini telah beriman kepada Isa Al Masih as dan akhirnya mereka beriman pula kepada agama Islam.

Diketengahkan satu kisah dari Hazrat Ali ra dan tiga hadis lain yang mendukung gelaran Al Masih as telah sempurna:
Hazrat Ali ra pernah berkata, “Dan jika engkau mau, aku akan bercerita tentang Isa Ibnu Maryam as, bahawasanya sungguh beliau berbantalkan batu, berpakaian dengan kain kasar, makan kekayuan, gulainya adalah lapar, lampu malamnya adalah bulan dan naungan di musim dinginnya adalah langit belahan timur dan baratnya.” (Najhul Balaaghah, halaman 227).
“Allah Ta’ala telah mewahyukan kepada Isa as bahawa: Wahai Isa, pergilah dari satu tempat ke tempat lain, supaya jangan dikenali orang yang akan menyusahkanmu,” (hadis riwayat Ibnu Asakir, Kanzul ‘Umal, 1989, Jilid III, halaman 156). Hadis ini menjelaskan bahawa Isa Al Masih as diperintahkan berpindah randah agar tidak dikenali oleh umat Yahudi yang ingin membunuhnya. Bersesuaian dengan tugas yang dipikulnya, maka Isa Al Masih as telah keluar dari bumi Palestin untuk menjejaki suku-suku Bani Israil yang hilang.
“Adalah Isa Ibnu Maryam mengembara, maka apabila hari telah senja dia sering makan dedaunan padang pasir, dia minum air biasa yang bersih dan berbantalkan tanah.” (hadis riwayat Addailami, Kanzul ‘Ummal, 1989, jilid III, halaman 342). Hadis ini menceritakan keadaan yang diharungi oleh Isa Al Masih as yang hidup mengembara menyampaikan risalah Allah swt kepada suku-suku dari Bani Israil.
“Yang paling dicintai oleh Allah adalah orang-orang yang gharib (miskin). Ditanyakan kepada beliau (saw) apakah gharib itu? Apakah orang-orang seperti Nabi Isa as yang melarikan diri dari negerinya dengan membawa lman? (Hadis riwayat Abdullah ibn Umar ra, Kanzul Ummal). Hadis ini membuktikan bahawa Nabi Isa as keluar dari negeri asalnya iaitu Palestin sesudah terselamat dari penyaliban.

Dalam kitab Injil tertulis, “Tidaklah aku disuruhkan kepada yang lain, melainkan hanya kepada domba-domba Israil yang sesat dari Bani Israil” (Matius 15:20). Sesuai pula dengan Al Quran, Allah swt berfirman, “Dan dia adalah seorang rasul untuk Bani Israil” (Ali Imran: 50). Tidak ada nas dari Al Quran atau hadis bahawa Isa Al Masih as yang pernah diutus kepada Bani Israil akan juga diutus kepada umat Rasulullah saw.

Kesaksian Dari Kitab Injil – Isa Al Masih as
Diselamatkan

Kitab Injil menjelaskan dengan nyata bahawa Allah swt telah menyelamatkan Isa Al Masih as dari terkorban di atas tiang salib. Dalam Matius 12: 38-40, “Pada ketika itu berkatalah beberapa ahli Taurat dan orang Farisi kepada Yesus (Isa Al Masih as): Guru, kami ingin melihat suatu tanda daripadamu. Tetapi jawabnya kepada mereka: Angkatan yang jahat dan tidak setia ini menuntut suatu tanda. Tetapi kepada mereka tidak akan diberikan tanda selain tanda Nabi Yunus. Sebab seperti Nabi Yunus tinggal di dalam perut ikan tiga hari tiga malam, demikian juga Anak Manusia akan tinggal di dalam rahim bumi tiga hari tiga malam.” Fakta penting dari tanda Nabi Yunus as ialah beliau as telah ditelan dan berada dalam perut ikan dalam keadaan hidup dan selepas tiga hari bebas dari perut ikan juga masih dalam keadaan hidup. Oleh itu persamaannya ialah selepas Isa Al Masih as diturunkan dari tiang salib dalam keadaan tidak sedarkan diri, beliau telah dirawat oleh murid-muridnya yang masih setia dan diletakkan dalam kuburan yang berbentuk bilik di mana dua atau tiga orang boleh muat di dalamnya. Isa Al Masih as dibawa masuk ke dalam kuburan tersebut dalam keadaan hidup (masih pengsan) dan setelah tiga hari beliau keluar dari situ juga dalam keadaan hidup.

Keadaan Isa Al Masih as sebelum saat penangkapannya tiba adalah seperti yang dinyatakan dalam Matius 26: 36-42, “Maka sampailah Yesus bersama-sama murid-muridnya ke suatu tempat yang bernama Getsemani. Lalu ia berkata kepada murid-muridnya: Duduklah di sini, sementara aku ke sana untuk berdoa. Dan ia membawa Petrus dan kedua anak Zebedeus sertainya. Maka mulailah ia merasa sedih dan gentar, lalu katanya kepada mereka: Hatiku sangat sedih seperti mau mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjaga-jagalah dengan Aku. Maka ia maju sedikit lalu sujud dan berdoa, katanya: Ya! Bapaku jika sekiranya mungkin biarlah cawan ini lalu daripada ku, tetapi janganlah seperti yang ku kehendaki, melainkan seperti yang Engkau kehendaki.” Ayat ini juga boleh ditemui dalam Markus 14:33-36 dan Lukas 22:41-44. Isa Al Masih as sungguh sedih dan gelisah dalam doanya sehingga dinyatakan, “… lalu katanya kepada mereka: Hatiku sangat sedih seperti mau mati rasanya… “. Isa Al Masih as begitu yakin doanya akan diterima oleh Allah swt kerana dia sendiri seringkali memberitahu murid-muridnya bahawa seorang hamba yang jujur lagi beriman akan didengar doanya oleh Allah swt sepertimana kata Isa Al Masih as dalam Matius 21:22, “Dan apa saja yang kamu minta dalam doa dengan penuh kepercayaan, kamu akan menerimanya.” dan dalam Yahya 11:41-42, “Lalu Yesus mengadah ke atas dan berkata: Bapa, aku mengucap syukur kepadaMu kerana Engkau telah mendengarkan aku. Aku tahu bahawa Engkau selalu mendengarkan aku…” Sudah tentu dalam keadaan yang sangat kritikal seperti ini Isa Al Masih as akan diselamatkan oleh Allah swt. Sepertimana dijelaskan dalam Ibrani 5:7, “Dalam hidupnya sebagai manusia ia telah mempersembahkan doa dan permohonan dengan ratap tangis dan keluhan kepada Dia, yang sanggup menyelamatkannya dari maut dan kerana kesalehannya ia telah didengarkan.” Ayat ini benar-benar memberi jaminan bahawa doa Isa Al Masih as di taman Getsemani juga telah didengar dan diterima Allah swt. Isa Al Masih as tahu bahawa Allah swt akan menyelamatkannya tetapi tidak mengetahui cara bagaimana dia diselamatkan. Para ulama Yahudi telah merancang untuk membunuh Isa Al Masih as di atas tiang salib agar beliau mati terkutuk kerana mendakwakan dirinya Nabi palsu. Namun Allah swt mempunyai rencana lain dan Dia adalah sebaik-baik perencana.

Bagaimana caranya Allah menyelamatkan Isa Al Masih as dari mati terkutuk di atas tiang salib?
Semasa Isa Al Masih as dalam proses pengadilan, isteri Pilatus (hakim) telah bermimpi dan mimpi ini telah disampaikan kepada Pilatus sepertimana terdapat dalam Matius 27:19, “Ketika Pilatus sedang duduk di kerusi pengadilan, isterinya mengirim pesan kepadanya: Jangan engkau mencampuri perkara orang benar itu, sebab kerana dia aku sangat menderita dalam mimpi tadi malam.” Ini adalah langkah pertama cara Allah swt menyelamatkan Isa Al Masih as dengan melalui isteri Pilatus yang membenarkan bahawa Isa Al Masih as tidak bersalah. Setelah Pilatus menerima pesanan isterinya maka dia berusaha menyelamatkan Isa Al Masih as, ini diterangkan dalam Yohanes 19:12, “Sejak itu Pilatus berusaha untuk membebaskan Dia…”  Pilatus begitu yakin bahawa Isa Al Masih as tidak bersalah, ini digambarkan dalam Matius 27: 22-23, “Kata Pilatus kepada mereka: Jika begitu, apakah yang harusku perbuat dengan Yesus, yang disebut Kristus? Mereka semua berseru: Ia harus disalibkan! Katanya: Tetapi kejahatan apakah yang telah dilakukannya? Namum mereka semakin keras berteriak: Ia harus disalibkan!”
Seseorang yang disalib tidaklah seperti orang yang digantung yakni mati dengan serta merta. Seseorang yang disalib dengan tangan dan kaki dipaku serta dibiarkan tiga hari tiga malam tanpa air dan makan adalah sebagai penyeksaan. Jika didapati masih hidup selepas tiga hari maka tulang-tulang orang tersebut akan dipatah-patahkan, dengan cara ini akan mati akhirnya dengan cara perlahan-lahan. Berdasarkan kepada kitab Injil, Isa Al Masih as diletakkan di atas salib selama tiga jam sahaja dan tulang-tulangnya juga tidak dipatahkan. Pilatus yang berusaha menyelamatkan Isa Al Masih as dengan sengaja melewat-lewatkan hukuman yang dijatuhkan sehingga pada hari Jumaat tengahari. Apabila hari menjelang malam bermakna bermulanya hari suci Sabat dan membiarkan seseorang masih tergantung di tiang salib adalah dilarang, perkara ini boleh dirujuk dalam Yohanes 19:31, “Kerana hari itu hari persiapan dan supaya pada hari Sabat mayat-mayat itu tidak tinggal tergantung pada kayu salib sebab Sabat itu adalah hari yang besar…”. Dengan kehendak Allah swt terjadi ribut menyebabkan suasana pada ketika itu gelap seperti sudah hampir malam sebagaimana diterangkan dalam Lukas 23:44, “Ketika itu hari sudah kira-kira jam dua belas, lalu kegelapan meliputi seluruh daerah itu sampai jam tiga.” Kitab Injil seterusnya menjelaskan dalam Markus 15:34, “Dan pada jam tiga berserulah Yesus dengan suara nyaring: Eloi, Eloi, lama sabakhtani?, (Allahku, Allahku, mengapa Engkau tinggalkan aku?).” Isa Al Masih as berseru sedemikian rupa kerana sebelum itu dia telah berdoa dengan bersungguh-sungguh agar diselamatkan dari kematian terkutuk di atas tiang salib tetapi dia tidak memahami seolah-olah Allah swt telah meninggalkannya, sedangkan pada kebiasaannya Allah swt mendengar dan menjawab doanya.

Sebenarnya Isa Al Masih as dengan ketentuan dari Allah swt telah jatuh pengsan, sepertimana dijelaskan dalam Yohanes 19: 33-34, “Tetapi ketika mereka sampai kepada Yesus dan melihat bahawa ia telah mati, mereka tidak mematahkan kakinya, tetapi seorang dari antara perajurit itu menikam perutnya dengan tombak dan segera mengalir keluar darah dan air.” Bidang kedoktoran mengesahkan darah dan air yang keluar membuktikan jantung Isa Al Masih as masih berfungsi, ini menandakan beliau hanya pengsan sahaja yang disangkakan telah mati sehingga para askar Rom pada waktu itu berpendapat tulang-tulangnya tidak perlu dipatahkan. Selanjutnya seorang pengikut Isa Al Masih as bernama Yusuf dari Arimatea meminta dari Pilatus agar Isa Al Masih as diserahkan kepadanya dan Pilatus kehairanan kerana Isa Al Masih as yang diusahakannya agar selamat begitu cepat matinya. Perkara ini dijelaskan dalam Markus 15:44, “Pilatus heran waktu mendengar bahawa Yesus sudah mati. Maka ia memanggil kepala pasukan dan bertanya kepadanya apakah Yesus sudah mati.” Sebenarnya Isa Al Masih as berada di atas tiang salib dari jam 12 hingga jam 3 petang, bermakna beliau hanya berada di atas tiang salib selama 3 jam sahaja sebab itulah Pilatus merasa hairan atas laporan bahawa Isa Al Masih as sudah mati. Dengan ketentuan dari Allah swt, seorang yang bernama Yusuf dari Arimatea adalah anggota Majlis yang mengadili Isa Al Masih as dan dia tidak bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Isa Al Masih as sepertimana dijelaskan dalam Lukas 23:50-51, “Adalah seorang yang bernama Yusuf. Ia anggota Majlis Besar dan seorang yang baik lagi benar. Ia tidak setuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu…” Pilatus telah memberikan arahan supaya jasad Isa Al Masih as diserahkan kepada Yusuf dari Arimatea sepertimana dalam Matius 27:58, “Ia pergi menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus. Pilatus memerintahkan untuk menyerahkannya kepadanya.” Yusuf dari Arimatea pun mengambil jasad Isa Al Masih as untuk diuruskan dan seorang lagi pengikut bernama Nikodemus telah membawa bersama lebih kurang 30kg (50 kati) campuran minyak mur dan gaharu. Campuran ini merupakan bahan perubatan yang mampu menghentikan pengaliran darah serta mengelakkan luka dari dijangkiti kuman, hingga hari ini masih diamalkan dan dikenali sebagai “Marham-i-Isa” sepertimana dijelaskan dalam Yahya 19:39, “Juga Nikodemus datang ke situ. Dialah yang mula-mula datang waktu malam kepada Yesus. Ia membawa campuran minyak mur dengan minyak gaharu, kira-kira lima puluh kati beratnya.”

Sesudah Peristiwa Penyaliban

Sesuai dengan tanda Nabi Yunus as yang ditelan oleh ikan dalam keadaan hidup dan keluar dari perut ikan juga dalam keadaan hidup selepas tiga hari, Isa Al Masih as juga dimasukkan dalam perut bumi oleh pengikut-pengikutnya dalam keadaan hidup dan keluar dari perut bumi juga masih dalam keadaan hidup. Selepas tiga hari Isa Al Masih as sedar dari keadaan pengsan, bertenaga semula dan luka-luka yang dialaminya dengan izin Allah swt sembuh secukupnya maka beliau pun pergi ke Galilea dalam keadaan menyamarkan diri. Perjalanan Isa Al Masih as diterangkan dalam Markus 16 : 7, “Tetapi sekarang pergilah, katakanlah kepada murid-muridnya dan kepada Petrus: Ia mendahului kamu ke Galilea; di sana kamu akan melihat dia seperti yang sudah dikatakannya kepada kamu.” Dalam Lukas 24: 15 dijelaskan pula, “Ketika mereka sedang bercakap-cakap dan bertukar fikiran, datanglah Yesus sendiri mendekati mereka, lalu berjalan bersama-sama dengan mereka.” Akhirnya Isa Al Masih as berjumpa dengan murid-muridnya ketika mereka sedang makan dan apabila melihat Isa Al Masih as mereka menyangkakan hantu. Isa Al Masih as menyakinkan mereka bahawa dialah Isa Al Masih as yang sebenarnya sambil menunjukkan kesan luka di tangan dan kakinya. Hal ini diterangkan dalam Lukas 24:37-40, “Mereka terkejut dan takut dan menyangka bahawa mereka melihat hantu. Akan tetapi ia berkata kepada mereka: mengapa kamu terkejut dan apa sebabnya timbul keragu-raguan di dalam hati kamu? Lihatlah tanganku dan kakiku, aku sendirilah ini; rabalah  aku dan lihatlah kerana hantu tidak ada daging dan tulangnya seperti yang kamu lihat ada pada ku.” Disebabkan Isa Al Masih as adalah manusia biasa maka dia merasa lapar dan bertanyakan kepada murid-muridnya jika ada makanan sepertimana diceritakan dalam Lukas 24:41-43, “Dan ketika mereka belum percaya kerana girangnya dan masih heran, berkatalah ia kepada mereka: Adakah padamu makanan di sini? Lalu mereka memberikan kepadanya sepotong ikan goreng. Ia mengambilnya dan memakannya di depan mata mereka.” Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Isa Al Masih as tidak naik ke syurga atau langit, beliau telah sedar dari keadaan pengsan dan akhirnya bertemu semula dengan murid-muridnya. Kesan luka masih terdapat pada tubuhnya dan wujudnya sebagai manusia biasa juga dibuktikan dengan keperluannya kepada makanan.

Dari kitab Injil dapat diketahui bahawa Isa Al Masih as selepas terselamat dari penyaliban tetap berada dalam kebimbangan ditangkap semula oleh orang-orang Yahudi. Oleh itu Isa Al Masih as menyamar sehingga murid-muridnya sendiri tidak mengenalinya, Lukas 24:13-16, “Pada hari itu juga dua orang dari murid-murid Yesus pergi ke sebuah kampung tujuh batu jauhnya dari Yerusalem dan mereka bercakap-cakap tentang segala sesuatu yang telah terjadi. Ketika mereka sedang bercakap-cakap dan bertukar fikiran, datanglah Yesus sendiri mendekati mereka, lalu berjalan bersama-sama dengan mereka. Tetapi ada sesuatu yang menghalangi mata mereka sehingga mereka tidak dapat mengenali dia.” Demikian juga seorang pengikut Isa Al Masih as bernama Maria Magdalena tidak mengenalinya, Yohanes 20:14-15, “Sesudah berkata demikian ia menoleh ke belakang dan melihat Yesus berdiri di situ, tetapi ia tidak tahu, bahawa itu adalah Yesus. Kata Yesus kepadanya: Ibu, mengapa engkau menangis? Siapakah yang engkau cari? Maria menyangka orang itu adalah penunggu taman, lalu berkata kepadanya: Tuan, jikalau tuan yang mengambil dia, katakanlah kepadaku, di mana tuan meletakkan dia, supaya aku dapat mengambilnya.” Pada masa yang sama juga untuk mengelakkan dirinya dikenali, Isa Al Masih as tidak menetap satu tempat dan oleh sebab itu beliau mengambil keputusan untuk pergi ke satu tempat bernama Galilea 70 batu dari Yerusalem, Matius 28:10, ”Maka kata Yesus kepada mereka: Jangan takut. Pergi dan katakanlah kepada saudara-saudaraku, supaya mereka pergi ke Galilea dan di sanalah mereka akan melihat aku.” Kemudian terbuktilah Isa Al Masih as telah bertemu dengan murid-muridnya, Yohanes 20:26, “Delapan hari kemudian murid-murid Yesus berada kembali dalam rumah itu dan Thomas bersama-sama dengan mereka. Sementara pintu-pintu terkunci, Yesus datang dan ia berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata: Damai sejahtera bagi kamu.” Demikian senario Isa Al Masih as dalam meneruskan kehidupan selepas peristiwa penyalibannya. Dia menyamarkan diri, pergi jauh ke tempat lain dan berjumpa dengan murid-muridnya secara rahsia.

Dari Palestin Ke Kashmir

Selepas peristiwa penyaliban, bukti-bukti jelas menunjukkan Isa Al Masih as bergerak ke sebelah Timur mencari domba-domba yang hilang di kalangan Bani Israil. Dalam kitab Injil, Matius 2:2, dikatakan bahawa bintang yang menjadi tanda lahirnya Isa Al Masih as dapat dilihat dari sebelah Timur dan bintang tersebut terletak di sebelah Barat iaitu tempat kelahiran Isa Al Masih as yakni Nazareth. Hanya kepada umat Israillah tanda ini diperlihatkan kerana Nabi yang bakal diutus adalah untuk mereka. Fenomena ini membuktikan bahawa bintang sebagai tanda kelahiran seorang Nabi Israil diperlihatkan oleh Allah swt kepada bangsa-bangsa Israil yang berada nun jauh negeri-negeri sebelah Timur.

Dari Kitab-kitab sejarah Islam antara lain menukilkan kisah-kisah bangsa Israil di negeri-negeri sebelah Timur:
Dalam Kitab Tabqat e Nasri menceritakan penaklukkan Afghanistan oleh Genghis Khan. Dalam kitab ini diselitkan sebuah kisah bahawa pada zaman Dinasti Syabnisi terdapat suatu kaum yang disebut Bani Israil, sebahagian daripada mereka adalah saudagar. Orang-orang ini pada tahun 622 Mesihi iaitu sezaman dengan Rasulullah saw, mereka menetap di kawasan Herat. Seorang sahabat bernama Khalid ibn Walid ra berkunjung ke sana menemui mereka dan menyeru mereka kepada Islam. Lima atau enam kepala suku mereka mengikuti Khalid ibni Walid ra menemui Rasulullah saw. Salah seorang daripada kepala suku tersebut bernama Qes (Kish/Kisy). Rasulullah memberi nama baru kepada Qes yaitu Abdul Rasyid dan memberikan nama julukan dengan nama dari Ibrani yaitu Pathan. Suku-suku ini akhirnya menerima Islam dan ikut serta bertempur bersama Rasulullah saw.
Dalam Kitab Majma’ul Ansab, Mullah Khuda Dad menulis, bahawa Putra sulung Yakub adalah Yehuda, putra Yehuda adalah Usrak, putra Usrak adalah Aknur, Putra Aknur adalah Ma’alib, putra Ma’alib adalah Farlai, putra Farlai adalah Qes, putra Qes adalah Thalut, putra Thalut adalah Armea, dan putra Armea adalah Afghan dan anak keturunannya adalah bangsa Afghan. Afghan hidup sezaman dengan Nebukadnezar. Generasi ketururunan ke 34 dari Afghan barulah lahir Qes yang hidup sezaman dengan Rasulullah saw yang kemudian memeluk Islam (sila rujuk buku A Nature of a Visit to Ghazni, Kabul, and Afghanistan, by G.T. Vigne : 1840).
Dalam Kitab sejarah Makhzan e Afghani oleh Khawaja Ni’matullah Herati yang ditulis pada tahun 1018 Hijrah, diterjemahkan oleh Professor Bernhard Doran dari Kharqui University, terbitan London tahun 1836, dapat diketahui bahawa bangsa Afghan bernenek moyang kepada Israil yaitu kepada Raja Thalut (Saul) dari putranya Armea (Armiya). Ditulis pula bahawa Nebukadnezar telah membuang bangsa Bani Israil ini ke kawasan pergunungan di Ghaur, Ghazni, Kabul, Khandar (Khandahar) dan Koh Firoz.
Sebuah kitab yang ditulis lebih dari 10 abad yang lalu berjodol, Ikmaluddin oleh Sheikh Al Said us Sadiq (wafat pada tahun 962 Masihi di Khorasan), halaman 359, tertulis, “Nabi Yus Asaf (Yesus) telah banyak mengunjungi berbagai negeri, hingga ia sampai di negeri ini, yang namanya Kashmir. la tetap tinggal di sini, hingga ia wafat. la telah meninggalkan tubuh kasarnya, dan rohnya berangkat kepada Nur. Sebelum ia wafat, ia telah memanggil seorang muridnya bernama Yabid (Thomas), yang selalu mengkhidmati dan mengikutnya. la berwasiat kepadanya seperti ini, ‘Saya hampir akan meninggalkan dunia ini, dan saya akan diangkat ke alam baqa. Jagalah apa-apa kewajipanmu, jangan tergelincir daripada hak dan kerjakan ibadah.’ la menyuruh muridnya itu membuat sebuah rumah-rumahan di atas kuburnya. Sesudah selesai berkata, lalu ia berbaring, kepalanya ke arah Maghrib (Barat) dan mukanya ke Masyrik (Timur), kemudian barulah nafasnya yang penghabisan dihembuskan.”
Dalam Kitab sejarah Raudhatush Shafa, sebuah kitab klasik dalam dunia Islam, diceritakan bahawa Isa Al Masih as as pergi menuju Nasibain (Nisibis) untuk bertabligh. Nisibis adalah satu tempat yang terletak dalam perjalanan di antara Utara Iraq dan Syiria. Akhirnya raja Nasibain berserta tenteranya beriman kepada Isa Al Masih as as. Dari Nisibis beliau melanjutkan pengembaraan melintasi wilayah Babylon (Iraq), sungai Euphrat terus menuju Persia (Iran). Dalam sejarah ada sepucuk surat yang terkenal yang disebut “Creed of Eusebeus” yang diterjemahkan oleh Heinmer pada tahun 1650. Surat itu mengandungi undangan raja Abgerus kepada Isa Al Masih as as ke istananya dari seberang sungai Euphrat. Hal ini membuktikan bahawa Isa Al Masih as telah melintasi sungai Euphrat menuju Media (Persia/Iran) dan seterusnya memasuki wilayah Afghanistan di mana beliau telah berjaya menemui suku-suku Israil yang hilang.

Kesaksian dari para Peneliti Sejarah dan penulis lain:
Rabi Ben Yamin dari Toledo (Sepanyol) melakukan ekspedisi pada abad ke-12 untuk pencarian suku-suku Israil yang hilang, dia menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi telah menetap di China, lran dan Tibet.
Josephus seorang penulis sejarah kuno umat Yahudi pada tahun 93 Masehi, di dalam bukunya jilid 11 menjelaskan tentang kaum Yahudi yang kembali dari ditawan bersama Nabi Ezra as. Penulis ini menjelaskan bahawa 10 suku Bani Israil hingga saat ini menetap di seberang Timur sungai Euphrat (Persia) dengan jumlah yang amat ramai.
Dalam buku Histrory of Afganistan oleh L.P. Ferrier yang diterjemahkan oleh Capt. W.M. Jasse, terbitan London 1858, tertulis sebuah riwayat bahawa tatkala Nadir Syah tiba di Peshawar untuk menakluk Hindustan, maka para tokoh suku Yusuf Zai mempersembahkan kepadanya sebuah kitab Injil dalam bahasa Ibrani dan juga beberapa peralatan dari suku mereka untuk kegunaan dalam melaksanakan ritual agama kuno mereka. Beberapa orang Yahudi ikut serta dalam perkemahan Nadir Syah dan ketika Nadir Syah memperlihatkan barang-barang tersebut maka orang-orang Yahudi yang ada bersama pada masa itu mengenali barang-barang tersebut adalah milik bangsa mereka.
Dr. Bernier dalam bukunya Travel in The Moghul Empire, telah menulis, “Yakni, tidak diragukan lagi bahawa orang-orang Kashmir adalah Bani Israil. Dan pakaian mereka, wajah mereka, serta beberapa tradisi mereka, dengan jelas mengaku bahawa mereka berasal dari rumpun keluarga Bani Israil”.
Dalam buku Dictionary of Geography oleh A.K. Johnston, pada halaman 250, tentang kata Kashimiri tertulis, “Penduduknya mempunyai susuk tubuh yang tinggi, tegap dan gagah. Dan kaum wanitanya manis, cantik, berhidung bengkok, rupa dan penampilan mereka betul-betul menyerupai orang-orang Yahudi (tidak menyerupai orang-orang Hindustan pada umumnya).
Seorang penganalisa, Francis Burnear menulis dalam jurnal perjalanannya, “Setelah turun naik mendaki pergunungan Pire Panjale dan menginjak daerah Kashmir, yang teristimewa memeranjatkan saya ialah persamaan penduduk negeri itu dengan orang Yahudi.”
Dalam buku The Valley of Kashmir, halaman 315 oleh Sir Walter Lawrence 1895, tetulis “Kebanyakan raut wajah mereka seperti Ibrani,”
Dalam buku Strans, Life of Jesus pada halaman 750 tertulis, “..ini benar, Al Masih tidak mati di atas kayu salib, kerana dia hanya tinggal sebentar saja di atas kayu salib itu. Darah yang keluar dari tubuhnya itu menunjukkan keraguan atas kematiannya”.
Secara khusus sebuah buku berjodol The Heavenly High Snow Peak of Kashmir menceritakan bahawa Isa Al Masih as telah sampai Kashmir, India dan diceritakan juga bahawa Isa Al Masih as tidak mati di tiang salib. Di samping itu juga dengan tegas ditunjukkan makam Isa Al Masih as. Kisah dari buku ini pernah dimuatkan dalam Asia Magazine pada bulan Oktober 1930.
Kitab kuno berbahasa Sanskrit berjodol Bhavishya Maha Purana,  ditulis oleh Sutta pada tahun 115 Masehi, menceritakan kehadiran Isa Al Masih as di negeri Hindustan. Dalam Kitab ini diabadikan pertemuan antara Raja Shalewahin dengan Isa Al Masih as di Wien (Srinagar Utara, Kashmir). Kisahnya adalah seperti ini, “Di negeri itu ia (Raja Shalewahin) menampakkan di Wien seorang raja saka, yang berkulit putih dan memakai baju putih. Dia (Raja Shalewahin) bertanya siapakah ia. Jawabnya ialah bahawa ia Yusashaphat (Yus Asaf), dan dilahirkan oleh seorang dara, dan ia berkata bahawa ia mengatakan yang sebenarnya dan ia berkewajiban membersihkan agama. Raja itu bertanya apakah agamanya. la menjawab : “Wahai Raja, kalau kebenaran telah lenyap dan tak ada pembatas di negeri Maleech, saya muncul di sana, dan karena pekerjaan saya maka yang bersalah dan jahat menderita, dan saya juga menderita karena tangan mereka”. Raja itu bertanya lagi apa agamanya”. la menjawab, ” Agamaku untuk menimbulkan cinta, kebenaran, dan kesucian dalam hati dan karena itu saya disebut Isa Masih”. Raja itu pergi setelah memberikan penghormatan kepadanya?.” (Ha1.282, Parwa (Bab) III, Adhyaya II, Salok 9-31, dari terjemahan Bahasa Ingeris oleh Dr. Widyavaridi Shiv Nath Shastri).

Bukti-bukti sejarah seterusnya memaparkan, selepas Afghanistan Isa Al Masih as melanjutkan perjalanannya memasuki Taxila (Hindustan Utara-Pakistan) dan bertemu Raja Gondhapares sekitar tahun 60 Masehi (sila rujuk Acta Thomae, Ante Nicene Christian Library , Vol XX, 46). Dari Taxila beliau menuju kota Murree dan di kota inilah ibunda Isa Al Masih as iaitu Hazrat Siti Maryam wafat dan disemadikan. Masyarakat kota ini menyebut pusara Hazrat Siti Maryam dengan nama Mai Mara da Asthan yang bermaksud tempat istirehat ibunda Maryam. Dari kota Murree Isa Al Masih as meneruskan perjalanannya menuju kota yang dikenali pada masa ini dengan nama Aish Muqam (Aish berasal dari kata Isa) yang terletak lebih kurang 70km dari Srinagar, Kashmir, India. Di sinilah berakhirnya perjalanan Isa Al Masih as, beliau menetap serta berkeluarga dan mempunyai keturunan di sini, sesuai dengan firman Allah dalam Surah Ar-Ra’ad: 38, “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan.”

Menurut penduduk Kashmir, di Srinagar terdapat sebuah kuburan yang dipercayai kuburan seorang Nabi yang sudah beribu tahun lamanya. Kata mereka Nabi itu namanya Yus Asaf, yang datang dari Barat lebih 2000 tahun yang lalu. Kuburan ini dikenali oleh orang ramai sebagai kuburan seorang Nabi dan ada di antara mereka mengatakan kuburan Isa Sahib (sahib artinya Tuan). Oleh itu jelaslah bahawa Nabi Yus Asaf adalah Yesus yakni Isa Al Masih as dari Bani Israil. Masyarakat Kashmir menyebut orang ini Nabi dan kata Nabi pula adalah berasal dari kata dalam bahasa Arab dan Ibrani (bahasa umat Yahudi). Jika Nabi tersebut dari salah satu kelompok orang Hindustan maka dia akan dipanggil dengan Avatar bukan Nabi. Malahan diyakini pula bahawa Nabi ini datang dari sebelah Barat pada waktu yang sezaman dengan Isa Al Masih as dari Bani Israil. Jika bukan Isa Al Masih as, adakah Nabi lain? Sesungguhnya dalam jangka waktu di antara Isa Al Masih as dan Nabi Muhammad saw tidak ada Nabi lain kecuali Isa Al Masih as. Penduduk Srinagar pun menyebut kuburan ini sebagai kuburan Isa Sahib. Manakala sebutan Yus dan Yesus adalah hampir sama bahkan tidak  dapat dibezakan dan Asaf pula adalah nama beliau as dalam kitab Injil yang ertinya “pengumpul” atau “penghimpun”. Kemudian Yus Asaf meninggalkan kitab yang bernama Busyra (khabar suka) yang mana jelas persamaannya dengan kitab Injil yang juga bermakna “khabar suka”. Seorang Professor bernama Dr. Hassnain (pakar Arkeologi dan ahli sejarah India) dan juga Sir Francis Younghusband, berdasarkan kepada hasil kajian mereka mendapati bahawa Nabi Yus Asaf ini menyampaikan ajarannya dengan tamsil-tamsil seperti yang terdapat dalam kitab Injil.

Beberapa Ciri Persamaan

Kashmir terletak di India Utara dan Barat Nepal dan penduduk Kashmir pun menganggap diri mereka sebagai keturunan Bani Israil. Daerah-daerah di Kashmir pun dinamakan sama atau mirip dengan daerah-daerah di tanah air mereka di Israil. Bukti-bukti lain yang amat jelas, banyak daerah-daerah di Kashmir memiliki nama yang sama dengan daerah-daerah di Israil:

Nama-nama daerah di Kashmir
Kabul
Punisia
Zaidan
Himas
Golgota
Tibet
Lasya
Laddha
Syur
Sihi

Bandingkan dengan nama-nama daerah di Israil
Kabul
Punch
Zaida
Hamasy
Gilget
Tibet
Lhasa
Leddha
Suret
Skit



Persamaan lain dari segi budaya kehidupan hingga hari ini penduduk Kashmir tetap menghormati hari Sabath, mengkhatan anak pada usia 7 hari dan merayakan beberapa hari perayaan Israil. Demikian juga halnya dengan amalan tradisi turun temurun oleh bangsa Pathan (masyarakat di Afghanistan dan Peshawar, Pakistan) sama seperti tradisi Bani Israil misalnya mengkhatan anak berusia 7 hari, berpakaian model Tizzit, menyalakan lilin pada malam Jumaat. Pria dari bangsa Pathan ini mengamalkan adat menikahi janda abang ipar yang belum memiliki anak sama seperti Bani Israil dan ini dapat dirujuk dalam kitab Injil perjanjian lama, ulangan 25: 5-6.

Di perbatasan India dan Myanmar didiami oleh Bangsa Shin Lung (suku Menashe). Bangsa ini memiliki tradisi penyembelihan haiwan korban seperti suku-suku Israil kuno dan menyebut diri sebagai Bani Menashe. Memiliki cerita turun temurun bahawa nenek moyang mereka berasal dari negeri di Barat yang kemudian berhijrah ke Timur Jauh dan berasimilasi dengan suku bangsa Cina. Mereka yakin bahawa mereka bukan orang Cina, mereka menyebut diri sebagai Lusi (10 suku). Tradisi Menashe adalah mengkhatan, upacara memberkati anak pada usia 8 hari, hari keagamaan yang mirip Yahudi, pernikahan ipar, menyebut Tuhan mereka dengan Y’wa (asal dari Yehuwa yakni sebutan Tuhan bagi Israil), di setiap kampung pasti ada imam yang bernama Harun (Aaron - Imam pertama bangsa Israil), memiliki puisi yang berkisah tentang penyeberangan laut ( sejarah Nabi Musa as).

Beberapa perkampungan di tanah tinggi pergunungan perbatasan China dan Tibet, satu bangsa Cina yang dikenali sebagai Chiang Min percaya nenek moyang mereka berasal dari Barat, beriktikad Tuhan adalah satu yang mereka namakan sebagai Yawei (Yehuwa). Para imam mestilah anak muda pria yang sudah berkahwin (Imamat 21: 7,13) dan diwariskan secara turunan (seperti tradisi Yahudi). Para imam menggunakan jubah putih dan bersurban. Mezbah dibuat dari batu yang tidak dipotong dengan alat logam (Keluaran 20 : 25) dan tidak boleh didekati oleh orang asing atau orang cacat (Imamat 21:17-23). Para imam menggunakan tali pengikat jubah dan tongkat kayu. Dalam upacara-upacara, mereka mengibarkan 12 bendera sebagai lambang Ayah yang memiliki 12 anak (suku), wanitanya memakai tudung dan berlaku juga pernikahan ipar.

Demikianlah 10 suku Israil yang hilang sebenarnya samada telah diusir atau berhijrah berabad-abad lamanya ke negeri-negeri di sebelah Timur dan meskipun telah berasimilasi dengan suku, budaya, adat, dan agama setempat namun bentuk susuk tubuh, budaya, dan agama mereka masih mirip dengan bangsa Yahudi di Israil. Isa Al Masih as meninggalkan Palestin setelah terselamat dari terkorban di atas tiang salib, untuk menyempurnakan misi dari Allah swt iaitu membimbing kembali domba-domba Israil yang sudah sesat di merata tempat di Timur. Ringkasnya, fakta dari kitab-kitab sejarah, arkeologi dan antropologi telah membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa bangsa-bangsa yang mendiami kawasan-kawasan Afghanistan dan Kashmir di India adalah berasal dari Bani Israil, bahkan orang Afghan sendiri mengakui bahawa mereka adalah keturunan Bani Israil. Suku-suku Bani Israil di Afghanistan dan Kashmir pada masa ini telah memeluk agama Islam, namun mereka menganggap diri mereka sebagai Bani Israil (keturunan Israil) dari anak keturunan Kish, keturunan Raja Saul.

Demikianlah Nabi Isa as atau Yesus atau Yus Asaf atau Isa Al Masih as menunaikan kewajibannya menyampaikan risalah yang diamanahkan oleh Allah swt kepada domba-domba yang sesat dari Bani Israil. Pada mulanya disalib oleh ulama-ulama Yahudi yang jahil dan kemudian diselamatkan oleh Allah swt serta dilanjutkan usianya sehingga 120 tahun. Berjalan jauh melintasi banyak negeri dari Barat ke Timur dengan satu matlamat untuk menghimpun domba-domba Israil yang hilang dan sesat. Akhirnya wafat dalam kemenangan, darjatnya diangkat oleh Allah swt, dibersihkan namanya dari tuduhan terkutuk umat Yahudi, dibersihkan namanya dari itikad musyrik umat Nasrani, dan dibersihkan namanya dari pemaham syirik sebagai manusia yang hidup di langit ribuan tahun lamanya.

Di kawasan pergunungan merentasi Afghanistan dan lembah Srinagar, Kashmir yang hijau, subur, dengan sumber-sumber air yang bersih, di sinilah Allah Yang Maha Kuasa telah menempatkan Isa Al Masih as bersama ibunya dan melindungi mereka hingga akhir hayat, di tengah-tengah kaum yang menerima mereka. Maka genaplah firman Allah swt, surah Al Mukminun: 50, “Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam berserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir. Firman Allah swt ini tepat sekali merujuk kepada satu tanah tinggi yang indah permai dan subur yang diberi nama Khasmir.

Allahu Akbar! Tiada Tuhan selain Allah
Yang Maha Kuasa lagi Maha Melindungi

No comments:

Post a Comment