Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 10



NABI MUHAMMAD SAW DALAM KITAB AGAMA SAMAWI

Dalam konteks agama samawi hanya akan dibahas tiga agama yang masih mempunyai pengaruh besar hingga ke hari ini iaitu agama Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi. Ketiga-tiga agama ini memainkan peranan penting dalam menubuatkan kedatangan seorang guru dunia akhir zaman iaitu nabi Muhammad Mustafa saw. Apabila terdapat nubuatan, secara logiknya para penganut agama-agama berkenaan wajib menerima ajaran yang disampaikan oleh guru dunia tersebut. Di atas bahu umat Islam terletak tanggungjawab untuk menyempurnakan tugas-tugas Rasulullah saw iaitu menyampaikan ajaran Islam dengan penuh hikmah kepada semua penganut agama yang hanya pernah mendengar tetapi belum mengenal ajaran Islam yang sebenar. Sikap di kalangan umat Islam yang selama ini penuh prejudis dan kebencian terhadap penganut agama lain disebabkan mereka bukan beragama Islam perlu dihakis dari hati sanubari setiap insan muslim. Agama Islam tidak mungkin berkembang jika dalam diri Raslullah saw dan para sahabat tertanam sifat prejudis dan benci terhadap mereka yang dianggap golongan kafir dan memusuhi Islam. Rasulullah saw bersama para sahabat terus berjihad dengan penuh kesabaran menyebarkan agama Islam meskipun mereka sentiasa berada dalam situasi yang merugikan. Nilai-nilai seperti inilah yang telah hilang lenyap dari kalangan umat Islam, seolah-olah agama Islam hanya untuk orang Islam. Setiap mentaliti individu muslim perlu berubah dan tunaikan kewajipan untuk memberi kesedaran kepada penganut agama lain bahawa ajaran sebenar agama mereka ibaratkan satu jambatan yang telah dibina dengan bagitu kukuh yang perlu mereka lalui untuk sampai ke destinasi yang mereka impikan iaitu satu kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat. Mesej inilah yang perlu disampaikan kepada mereka yang masih berada di luar lingkungan agama Islam bahawa keselamatan yang mereka dambakan hanya dapat dihidangkan oleh agama Islam. Kemenangan Islam di abad ini tidak terletak pada kemampuan senjata dan militari tetapi kemenangan Islam hanya akan sempurna apabila majoriti penduduk dunia menerima Islam.

Rasul Diutus Kepada Setiap Umat

Di samping agama Islam, semua agama-agama besar dunia seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi pada asalnya dari sumber yang satu yakni dari Allah swt. Tidak ada satu umatpun di muka bumi ini tidak pernah menerima utusan dari Allah swt untuk membimbing mereka agar hidup beradab dan menyembah serta mentauhidkan Allah swt Yang Maha Esa. Agama-agama sebelum Islam adalah terbatas kepada kaum dan tempat yang tertentu sahaja, ajarannya mengikut kemampuan berfikir atau sesuai dengan tahap kemajuan tamadun kehidupan yang dicapai  oleh kaum berkenaan. Allah swt berfirman, “Dan untuk setiap umat ada seorang rasul..” (Yunus : 48), “... dan tiada sesuatu kaumpun melainkan  seorang Pemberi Peringatan telah berlalu...” (Al Fathir : 25), “Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan dalam setiap umat seorang rasul...” (An Nahl : 37), “Dan (Kami telah mengutus) para Utusan, yang sebelumnya telah Kami kisahkan kepada engkau, dan para Utusan yang tak  Kami kisahkan kepada engkau” (An Nisa: 165). Pada akhir ayat ini Allah swt menekankan, “Para Utusan, mereka pembawa kabar baik dan memberi peringatan, agar manusia tak mempunyai alasan untuk menentang Allah setelah (datangnya) para Utusan. Dan Allah Maha-perkasa, Maha-bijaksana” (An Nisa: 166).

Ini bermakna di merata tempat muka bumi ini pernah didatangi utusan Tuhan termasuklah benua Amerika dan Eropah. Oleh sebab itu tidak hairanlah Rasulullah saw pernah memberitahu umatnya bahawa Allah swt telah mengutus seramai 124,000 nabi. Namun melalui perjalanan masa yang begitu panjang, ajaran benar yang dibawa oleh para nabi sebelum Rasulullah saw telah mengalami eksploitasi dan interpolasi tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya ajaran yang mentauhidkan Allah swt telah menyimpang jauh sehingga ada yang tergamak merubah ajaran agama agar manusia mempercayai bahawa Allah swt mempunyai seorang anak dan anak tersebut telah diangkat ke langit dan masih hidup meskipun usianya sudah menjangkau lebih 2,000 tahun, ini adalah tuduhan dan fitnah melulu terhadap Allah swt Yang Maha Perkasa (nauzubilah minzalik).

Al Qur’an Kitab Bagi Seluruh Umat Manusia

Setelah tamadun kehidupan manusia sampai ke satu tahap dan sudah cukup mampu mengadaptasi kehidupan beragama yang selengkapnya, maka kitab suci Al Qur’an membawa ajaran sempurna bagi sepanjang zaman untuk seluruh umat manusia diturunkan melalui Rasulullah saw. Allah swt Yang Maha Mengetahui memberi jaminan bahawa ajaran yang terkandung dalam Al Qur’an tidak akan pernah mengalami nasib yang sama seperti kitab agama lain. Allah swt berfirman, “Sesungguhnya Kamilah yang telah menurunkan peringatan ini dan sesungguhnya Kamilah Pemeliharanya” (Al Hijr: 10). Sesuai dengan janji Allah swt ini, amatlah jelas di mana Al Qur’an tidak akan mengalami perubahan walau setitikpun. Kitab-kitab terdahulu yang pernah diturunkan kepada rasul-rasul sebelumnya tidak diberi jaminan sepertimana Al Qur’an. Lantaran perubahan zaman berserta kemajuan yang diberikan Allah swt kepada umat manusia yang majoritinya tidak bersyukur malahan lebih cenderung untuk ingkar, maka Al Qur’an diturunkan bagi memenuhi beberapa keperluan:

Ajaran-ajaran yang terkandung dalam kitab-kitab sebelum Al Qur’an telah mengalami campur tangan manusia.
Manusia di atas rencana Allah swt pasti mengalami evolusi pemikiran yang lebih maju. Oleh itu Al Qur’an sebuah kitab yang dapat mencakupi keadaan perubahan diperlukan.
Agama-agama sebelum Islam dan kitab-kitab sebelum Al Qur’an tidak mendakwakan dirinya sebagai agama dan kitab terakhir serta mutlak. Di samping itu pula semua kitab-kitab sebelum Al Qur’an telah meyakinkan para pengikutnya tentang satu ajaran yang akan membawa mereka kepada tujuan sebenar penciptaan mereka.

Umat Islam hendaknya sedar tanggungjawab amat besar yang wajib disempurnakan ke atas pengikut-pengikut agama samawi lain, di antaranya adalah agama Hindu, Budha, Kristian dan Yahudi. Mereka adalah saudara rohani bagi umat Islam yang perlu dibawa keluar dari kanca kegelapan kepada alam yang penuh cahaya keislaman. Untuk menarik seluruh masyarakat dunia agar menerima Islam, tidak ada jalan lain, umat Islam wajib mempamerkan keindahan Al Qur’an dan akhlak suci Rasulullah saw. Sikap seseorang muslim membenci dan memusuhi umat lain sehingga sanggup membunuh atas dasar mereka mempunyai fahaman berlainan dan bukan beragama Islam sesungguhnya menyimpang dan bertentangan dengan Al Qur’an dan sunnah Nabi saw. Bertolak ansur serta mengasihi orang lain yang dianggap tidak sealiran dengan fahaman agama Islam merupakan jalan terbaik dalam mewujudkan suasana aman damai dalam masyarakat. Tunjukkan bahawa Islam ialah agama yang mengajak penganutnya untuk melakukan sesuatu dangan penuh berhemah, bersikap tolak ansur, lemah lembut dan sayang menyayangi sesama manusia. Hal ini memberi kesempatan dan ruang yang luas untuk orang lain berfikir dan merenung apa sebenarnya agama Islam.  Ajak mereka agar berfikir tentang kedudukan mereka sebagai hamba yang diciptakan. Usahakan supaya mereka tidak pernah berpuas hati dan terus mencari cara mudah dan sempurna  untuk mendekatkan diri kepada Tuhan sehingga mereka akur bahawa agama Islam menyediakan segala sesuatu yang mereka cari dan Islam adalah agama yang mereka perlukan selama ini. Seorang muslim tidak boleh membenci dan meletakkan kesalahan kepada penganut sesebuah agama yang menyimpang dari ajaran sebenar, yang salah bukannya mereka tetapi orang yang berhati kotor telah merubah ajaran suci yang terkandung dalam kitab mereka, orang ini bergelar sami, paderi, orang suci, ringkasnya itulah orang yang bergelar ulama. Perhatikan sahaja umat Islam berpecah belah dalam pelbagai fahaman mazhab sedangkan Rasulullah saw membawa satu agama dan satu kitab suci. Imam Hanafi, Imam Shafei, Imam Hanbali dan Imam Malik tidak pernah mengajar umat Islam berfahaman mengikut mazhab, ini semuanya perbuatan ulama. Lebih dahsyat lagi umat Islam yang mengaku sebagai pengikut dari salah satu empat mazhab ini tergamak mengajar umat Islam untuk mengkafirkan orang lain sehingga ke peringkat membunuh orang yang tidak sealiran fahaman dengan mereka. Agama Islam tetap benar dan Al Qur’an juga tetap tidak berubah hingga hari kiamat kerana itu adalah janji Allah swt tetapi pada hakikatnya cara umat Islam mengamalkan ajaran Al Qur’an berbeza-beza, semuanya mengaku dialah yang betul dalam pengamalan ajaran Islam. Akibatnya majoriti umat Islam tidak faham tanggungjawab sebenar yang wajib mereka laksanakan terhadap umat-umat lain dan implikasi sebaliknya ialah imej Islam tercoreng, manakala umat lain jijik dan gerun dengan agama Islam.  Siapa yang harus dipersalahkan?

Nubuatan Tentang Kedatangan Nabi Agung Akhir Zaman

Rahsia yang perlu didedahkan dan umat Islam wajib mengetahuinya ialah setiap agama samawi menubuatkan kedatangan seorang nabi agung akhir zaman yang membawa keselamatan kepada umat manusia. Khabar ghaib ini dipesongkan, ditutupi atau jika boleh dipadamkan dari terus terkandung dalam kitab-kitab agama samawi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Namun apabila dapat difahami semua agama samawi sumbernya daripada Allah swt jua maka dapatlah disimpulkan bahawa khabar ghaib yang menjanjikan kedatangan seorang nabi agung akhir zaman untuk menyelamatkan umat manusia adalah merujuk kepada nabi agung akhir zaman iaitu Muhammad Mustafa saw. Oleh itu umat Islam wajib berlapang dada menerima hakikat bahawa penganut agama samawi hari ini khasnya Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi adalah pengikut dari agama yang benar pada asalnya disampaikan oleh utusan Tuhan.

Nabi Muhammad saw Dalam Kitab Suci Agama Hindu

Agama Hindu diakui sebagai agama tertua dunia, apabila kitabnya diteliti dengan cermat maka terbuktilah amat banyak nubuatan berkaitan seorang guru rohani agung akan lahir ke dunia. Dalam kitab suci agama Hindu memaparkan:
“Hai orang banyak, dengarlah ini dengan sungguh-sungguh, Narashangsa (Yang terpuji) akan dibangkitkan di antara orang banyak. Kita mengambil orang Kauram (Muhajirin) itu di dalam perlindungan kita dari 60,000 dan 90 musuh-musuh; yang kenderaannya adalah 20 unta dan 2 unta betina, memiliki 12 orang istri, dan naik ke langit dengan kenderaan tercepat (Bouraq)…” (Atharvaveda Kanda 20 Saukata 127, Mantra 1-2).

Keterangan: 
Narashangsa bermakna Yang Terpuji yang bahasa Arabnya sama dengan Muhammad.
Kauram bermakna hijrah iaitu orang yang meninggalkan negerinya sendiri, dalam bahasa Arab ialah  Muhajirin.
Rasulullah saw dan pengikutnya ketika hijrah dari Mekah ke Madinah untuk menghindari serangan kaum kafir Mekah yang berjumlah lebih kurang 60,000 orang dan 90 kepala suku. Rasulullah saw dan para sahabat yang hijrah ini dikenali sebagai Kaum Muhajirin.
Kenderaan Rasulullah saw adalah unta dan kuda.
Rasulullah saw memiliki 12 orang isteri iaitu Hazrat Khadijah, Hazrat Saudah, Hazrat Aisyah, Hazrat Hafsah, Hazrat Zainah, Hazrat Ummu Salamah, Hazrat Zainab, Hazrat Juwairiah, Hazrat Raihanah, Hazrat Ummu Habibah, Hazrat Shafiah, dan Hazrat Maimunah.
Ketika melakukan Mi’raj dari Masjid Al-Aqsa di Palestin ke langit ke-7, Rasulullah saw menaiki kenderaan bernama Bouraq yang merupakan kenderaan tercepat seperti kilat.

“Tuhan akan memberikan kepada Mamaha Rishi seratus keping emas, sepuluh kalung, tiga ratus ekor kuda, dan 10,000 ekor sapi.” (Atharvaveda Kanda 20 Saukata 127, Mantra 3).

Keterangan:
Kata Mamaha dari sudut etimologis berasal dari bahasa Arab iaitu  Muhammad yang berarti Yang Terpuji”,
Mamaha Rishi adalah julukan bagi Narashangsa yakni bermakna Yang Terpuji
Seratus keping emas maksudnya seratus orang pengikut Muhammad yang menyebarkan agama Allah yang disebut Ash-Shabus Shuffah.
Sepuluh kalung maksudnya sepuluh orang pembantu yang selalu membantu Rasulullah saw  dalam peperangan yang disebut Asy-Syara Mubasysyara.
Tiga ratus ekor kuda maksudnya tiga ratus tentera yang dipimpin Rasulullah saw ketika menghadapi 700 tentera kafir Mekah dalam Perang Badar (H.G. Wells, The Outline of History, 1949).
Sepuluh ribu ekor sapi maksudnya sepuluh ribu pengikut Rasulullah saw ketika memasuki kota Mekah (630 M) dalam keadaan aman dan damai, yang dikenal dengan peristiwa “Fathu Makkah” (Stanley Lane Poole, Speeches and Table Talks of the Prophet Mohammed, 1882).

“Wahai Tuhan, bersama dengan empat orang sahabat, aku akan menghancurkan kebatilan.” (Kalki-Purana 2:5).

Keterangan:
Rasulullah saw mempunyai empat orang sahabat yang terkenal dalam sejarah Islam dikenali sebagai Khulafa Rasyidin iaitu Hazrat Abu Bakar ash-Shidiq, Hazrat Umar bin Khatab, Hazrat Uthman bin Affan dan Hazrat Ali bin Abu Thalib.
“Kalki Avatar akan dilahirkan di kota Shambal, ibunya bernama Sumati, bersama empat orang temannya akan mengalahkan kali (setan/kebatilan)….Dia akan dibantu oleh para malaikat di medan pertempuran.” (Kalki-Purana 2:4-7).
“Ayahnya bernama Vishnu-Yash.” (Bhagabat-Purana 12:2:18).

“Dia lahir pada hari ke-12 yang cerah, pada pertengahan bulan Madhav.” (Kalki-Purana 2:15).

Keterangan:
Kalki Avatar bermaksud utusan terakhir (yang membawa syariat terakhir). Secara terperincinya Av ertinya turun dan tar ertinya melewati. Erti secara keseluruhan bagi Kalki Avatar (di baca Kalki Autar) adalah utusan terakhir, gelaran ini sememangnya sesuai untuk Rasulullah saw sebagai Khatamannabiyyin.
Shambal bererti rumah perdamaian dan  keamanan di mana Rasulullah saw dilahirkan di kota Mekah yang dikenal dalam bahasa Arab sebagai Darul Aman.
Ibunya bernama Sumati yang bermaksud lemah lembut dan cerdas. Ibunda Rasulullah saw bernama Aminah yang juga bererti lemah lembut.
Empat orang temannya adalah Hazrat Abu Bakar, Hazrat Umar, Hazrat Uthman dan Hazrat Ali.
Kalki Avatar dibantu oleh para malaikat di medan pertempuran. Rasulullah saw dibantu oleh para malaikat dalam Perang Badar (Al Imran: 123-125) dan dalam Perang Khandaq (Al Ahazab: 10).
Ayahnya bernama “Vishnu-Yash” yang bererti Hamba Tuhan (Vishnu = Tuhan). Ayahanda Rasulullah saw bernama Abdullah yang juga bererti Hamba Allah/Tuhan.
Kalki Avatar lahir pada hari ke-12 pada pertengahan bulan Madhav. Rasulullah saw sememangnya lahir pada hari ke-12 iaitu tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah (Sebelum Hijrah).

Ramalan Khusus Dalam Kitab Bhavishya Purana

Sikap majoriti umat Hindu adalah lebih cenderung mencemuh umat Islam sebagai umat yang tidak ada kelas. Namun orang suci mereka dan kitab suci Veda dan Purana berbuat sebaliknya, dengan rasa hormat yang tinggi bercerita tentang seorang nabi dari umat Islam. Seorang suci dan peramal terkemuka dari agama Hindu bernama Maha Rishi Vyasa telah mengumpulkan salah satu kitab suci agama Hindu bernama Bhavishya Purana yang mengandungi ramalan tentang Rasulullah saw.

"Seorang guru rohani akan datang dari negeri asing. Muhammad (Muhammad) adalah namanya. Raja, memandikan orang Arab yang ditemani malaikat ini dengan air suci dari Gangga dan lima cairan yang mensucikan (panchgavya), memujanya dengan penuh keimanan dan pengabdian, dan berkata: Saya membungkuk di hadapanmu, wahai Anda yang menjadi Kebanggaan dari Umat Manusia (namaste girijanath), engkau yang penghuni gurun pasir (marusthalnivasnam), yang memberikan kekuatan yang banyak sekali untuk menyembelih Setan; yang telah dijaga dari musuh-musuhmu yang jahat. Wahai engkau manifestasi dari Dzat Yang Maha-unggul! terimalah saya sebagai hamba-sahayamu, sebagai seorang yang jatuh di telapak kakimu" (Buku 3, bab 3, hymne 3, ayat 5 hingga 8).

Dalam ayat-ayat di atas, Maha Rishi telah menggambarkan suatu hal yang bukan peristiwa nyata melainkan suatu rukyah di mana Tuhan Yang Maha Tinggi telah menunjukkan kepadanya, ribuan tahun sebelumnya, dalam penghormatan kepada suatu peristiwa besar yakni kedatangan seorang Nabi Dunia, Guru Rohani agung dari ras manusia. Maha Rishi kemudian melanjutkan dengan menggambarkan secara bertulis para sahabat dari Guru Rohani agung yang dimaksudkan, dia menulis:

Para pengikut Muhammad akan mengutamakan khitan (lingchhedi); memelihara  janggut di dagu mereka (samashrudhari); tak ada kuncir di rambut mereka (shikhaheena); dan melakukan suatu revolusi yang luar biasa dalam dunia agama.
Keyakinan mereka bukanlah perkara yang disembunyikan malahan ianya akan diserukan dengan lantang (oonchalapi) dari menara setiap masjid.
Kecuali babi (vina keulam), mereka akan makan semua binatang lain yang toyib dan halal (sarvbhakshi).
Kaum Hindu menggunakan rumput (kusha) dalam kurban sebagai suatu faktor pensucian tetapi orang-orang ini akan mensucikan diri mereka melalui peperangan.
Mereka akan disebut Musalman (Musalwants) sebab mereka akan berperang melawan agama yang rosak dan tercemar (dharmdooshkah).
Dari Akulah agama orang-orang pemakan daging ini yakni ianya akan merupakan suatu agama yang diilhamkan dari Tuhan.

Nabi Muhammad saw Dalam Kitab Suci Agama
Buddha

Agama Buddha boleh dikategorikan sebagai salah satu agama tertua yang berasal dari India dan lebih tepat lagi dari wilayah yang pada masa ini dikenali sebagai Nepal. Sejarah agama Buddha ini bermula lebih kurang abad ke 6 sebelum Masihi. Pengasas agama Buddha ialah seseorang yang dipercayai putera raja yang bernama Siddhartha Gautama yang dikenal sebagai Gautama Buddha. Beliau dilahirkan di kota Kapilavastu, Nepal sekitar 2400 tahun yang lalu. Ayahnya bernama Sudhodana adalah dari dinasti Sakya iaitu seorang raja dan ibunya bernama Maya Dewi. Silsilahnya mencapai Kshatrya Rishi Gautama yang terkenal, kerana itu Buddha dipanggil sebagai Sakya Muni Gautama atau Sakya Singha. Setiap aliran Buddha berpegang kepada kitab yang diberi nama Tripitaka. Dalam kitab ini mengandungi sabda dan ajaran Gautama Buddha. Pengikut-pengikutnya kemudian menulis dan mengklasifikasikan ajarannya dalam 3 buku iaitu Sutta Pitaka (khotbah-khotbah), Vinaya Pitaka (peraturan atau tata tertib para bhikkhu) dan Abhidhamma Pitaka (ajaran hukum metafizika dan psikologi).

Gautama Buddha meramalkan tentang kedatangan seorang Buddha (Buddha untuk masa akan datang) yang sama sepertinya dikenali sebagai Maitreya Buddha. Ramalan ini amat mudah difahami iaitu sesudah Gautama Buddha tidak ada lagi pemimpin agama muncul ke dunia selain Isa Al Masih dan Nabi Muhammad saw. Meskipun demikian, ramalan tersebut hanya tertuju kepada satu orang sahaja. Namun apa yang menarik ialah Isa Al Masih telah mengeluarkan kenyataan yang mana secara tidak langsung menjelaskan bahawa dia sendiri tidak dimaksudkan oleh ramalan itu. Isa Al Masih bersabda tentang roh kebenaran yang akan membimbing umat manusia  kepada seluruh kebenaran, “Tetapi apabila ia datang, iaitu Roh Kebenaran, ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran; sebab ia tidak akan berkata-kata dari dirinya sendiri, tetapi segala sesuatu yang didengarnya itulah yang akan dikatakannya dan ia akan memberitakan kepadamu hal-hal yang akan datang” (Yohanes 16:13). Apabila dicari jawapan kepada kebenaran yang disabdakan oleh Isa Al Masih ini, tidak seorangpun yang muncul ke dunia kecuali Nabi Suci Muhammad saw.

Siapa Buddha? Siapa Maitreya?

Ada dua perkataan yang amat penting perlu dibahas maknanya terlebih dahulu iaitu Buddha dan Maitreya, kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit. Dalam bahasa Sanskrit Buddha bererti seorang yang bangkit, terbangun, cerdas, pandai, bijaksana dan sebagainya. Dalam erti kata lain Buddha adalah gelaran membawa maksud seorang lelaki sempurna yang telah mencapai ilmu kebenaran dan ketulusan atau ringkasnya seseorang yang telah keluar dari kegelapan dunia kepada cahaya. Ungkapan Buddha ini juga dapat dikaitkan asal katanya dari kata bahasa Arab iaitu Bath, Ba’atha dan Taba’ath yang bererti dia membangkitkannya, menarik hatinya, atau meletakkan dia dalam gerakan atau tindakan. Baethun dan Beath bererti seorang lelaki yang mana kegelisahan atau kesedihannya membangunkannya dari tidur. Dalam hal ini Al Qur’an menjelaskan tentang Rasulullah saw, “Dia ialah Yang membangkitkan (ba’atsa) di kalangan bangsa Ummi seorang Utusan di antara mereka, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan mensucikan mereka, dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah, walaupun mereka benar-benar dalam kesesatan yang terang” (Al Jum‘ah: 3). Oleh itu kesimpulannya menurut terminologi, perkataan Buddha adalah gelaran bagi orang yang telah mencapai kondisi keluar dari kegelapan kepada cahaya dan juga menyeru serta mengajak orang lain agar keluar dari kegelapan yang sama. Oleh itu Buddha bukanlah gelaran kepada satu orang sahaja, pada hakikatnya selepas satu Buddha meninggal dunia maka akan ada pula orang lain bergelar Buddha.
 Maitreya juga berasal dari bahasa Sanskrit ianya banyak ditemui dalam buku-buku berkaitan dengan Buddhisme, perkataan ini berubah sedikit demi sedikit dari segi sebutan mengikut kesesuaian loghat bahasa pelbagai negara.  Dalam bahasa Sinhali Maitreya disebut Maitri, dalam Siami disebut Phrae, dalam bahasa Cina disebut Mei-ta-li-ye, dalam bahasa Tibet disebut Mahitreja, dalam bahasa Jepun disebut Miroku, dalam bahasa Mongolia disebut Maidari dan demikian juga seterusnya dalam bahasa lain yang tidak dapat disebutkan di sini. Disebabkan sebutan Maitreya berubah sedikit demi sedikit maka maknanya juga mengalami keadaan yang serupa, antara lain adalah seperti berikut:

Maitreya dalam bahasa Sanskrit bererti mencintai dengan penuh kehangatan, penyayang dan pemurah.
Nilai persahabatan, pemurah, kasih yang hangat, persaudaraan antara bangsa, simpati, penuh perhatian kepada yang lain (Pali Dictionary oleh William Steade).
Dia yang namanya adalah kebaikan (The Gospel of Buddha oleh Paul Carus, hal. 218).
Kasih sayang universal atau pemurah (Essence of Buddhism, halaman 101, 105).

Dalam erti kata lain Maitreya menceritakan sifat-sifat baik seseorang, semuanya tertuju kepada akhlak murni seorang utusan Tuhan seperti Rasulullah saw sebagai Rahmatan lil’alamin.

Nubuatan Terkenal Dari Gautama Buddha – Rahmat Untuk Seluruh Ummah

Gautama Buddha telah meramalkan kedatangan seorang “Maitreya” dan nubuatan itu begitu agung sehingga beberapa mubaligh Kristian, pandit Hindu dan propagandis Teosofi telah berusaha menerapkannya kepada pengasas agama masing-masing tetapi mereka telah gagal menyesuaikan nubuatan Buddha ini, “Akan muncul di dunia seorang Buddha bernama Maitreya (seorang yang pemurah dan pengasih). Seorang yang suci, seorang yang utama, seorang yang tercerahkan, diberkahi dengan Kebijaksanaan dalam tingkah-lakunya, beruntung, mengenal alam semesta; manusia pengendara yang tak tertandingi dari orang-orang yang dijinakkan hatinya, tuan dari para malaikat dan manusia, Buddha yang diberkahi bahkan seperti saya yang sekarang dibangkitkan di dunia, seorang Buddha yang dianugerahi dengan kualiti yang sama seperti ini. Apa yang disedarinya berkat ilmu supernaturalnya sendiri, akan disiarkannya ke alam semesta ini, dengan para malaikatnya, sahabatnya, dan ketua malaikat serta ras ahli filsafat dan Brahmin, pangeran dan awam, bahkan seperti saya sekarang, setelah mengenal semua pengetahuan ini, menerbitkan yang sama bagi sesama. Dia akan mengajarkan agamanya, terpuji asal-usulnya, terpuji pada puncaknya, terpuji pada tujuannya, dalam semangat maupun tulisan. Dia akan mengumumkan kehidupan keagamaan, sempurna seluruhnya, dan murni sepenuhnya; bahkan seperti saya yang kini mengajarkan agamaku dan kehidupan serupa yang saya umumkan. Dia akan memimpin masyarakat pendeta berjumlah ribuan, bahkan saya kini hanya memimpin masyarakat pendeta sejumlah ratusan” (Chakkavatti Sinhnad Suttanta, D III:76).

Nubuatan di atas sememangnya tepat sekali untuk orang yang bernama Muhammad atau Ahmad, nabi agung umat Islam, Rahmatan lil’alamin. Sifat bagi Buddha yang akan datang dirangkum dalam diri Rasulullah saw, semenjak beliau saw masih kanak- kanak hinggalah diangkat menjadi rasul Allah swt terkenal sebagai seorang yang amat jujur, penyayang dan pemurah serta terpuji berakhlak mulia. Sifat pengasih luar biasa Rasulullah saw digambarkan dalam Al Qur’an di mana Rasulullah saw berulang kali ditegur dan dihiburkan oleh Allah swt kerana bersedih yang amat sangat disebabkan oleh kaumnya terus menerus monolak segala dakwaannya, Allah berfirman, “Maka engkau membinasakan dirimu kerana sangat bersedih hati memikirkan mereka, mengapa mereka tidak beriman kepada keterangan ini” (Al Kahfi : 7). “Boleh jadi engkau akan membinasakan dirimu sendiri disebabkan kedukacitaan, mengapa mereka tidak mahu beriman” (Asy Syu’araa’: 4). “… maka janganlah engkau membinasakan diri mu kerana kesedihan mengenai mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” (Al Faathir: 9). Baginda saw lah Maiterya Buddha yang dinubuatkan oleh Gautama Buddha. Dinubuatkan bahawa Buddha yang akan datang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, bakal memimpin ribuan masyarakat pandeta yakni bermaksud orang-orang mukmin. Hal ini telah terbukti apabila Rasulullah saw memimpin 10,000 orang mukmin memasuki kota Mekah. Selanjutnya sesudah fatah Mekah, orang-orang mukmin terus bertambah di bawah pimpinan Rasulullah saw.

Nabi Muhammad saw Dalam Kitab Suci Agama Yahudi dan Kristian

Kitab agama Yahudi ialah Kitab Taurat yang disampaikan oleh nabi Musa as kepada umat Yahudi, kitab ini tercantum dalam kitab Injil yang dikenali sebagai Perjanjian Lama. Dalam jangka waktu 1,400 tahun sesudah nabi Musa as, maka nabi Isa Al Masih as diutus sebagai nabi yang terakhir kepada umat Yahudi. Penganut agama Kristian hari ini berkeyakinan bahawa Kitab Injil dalam bahagian Perjanjian Baru adalah wahyu Allah swt kepada Isa Al Masih as. Ini bermakna kandungan kitab Injil seperti yang terdapat pada hari ini mengandungi dua bahagian iaitu Perjanjian Lama dan Perjajian Baru. Kedua-dua bahagian kitab ini mengandungi nubuatan kedatangan nabi agung akhir zaman iaitu Rasulullah saw.

Agama Kristian ialah satu-satunya agama yang begitu menonjol dalam menyaingi kemaraan dan perkembangan agama Islam. Oleh itu kefahaman yang lebih dalam tentang akidah agama Kristian perlu diberikan kepada umat Islam kerana tanpa memahami dengan sebenar-benarnya, umat Islam akan mudah terpengaruh dengan kepalsuan akidah agama Kristian. Sehubungan dengan itu, satu penjelasan yang lebih luas disertai pendedahan tentang nubuatan Rasulullah saw dalam kitab Injil (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru) akan dibahas dalam bab “Dari Kristian Ke Islam”.


No comments:

Post a Comment