Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 1



JANJI ALLAH SWT

Abad Kebangkitan Islam

Abad ini dikatakan abad kebangkitan Islam yang boleh ditafsirkan bahawa akan terlepaslah ummat Islam dari belenggu pelbagai masalah merangkumi kemunduran ekonomi dan sosial, dan Islam sebagai agama yang akan menjadi pilihan dan anutan majoriti umat manusia, umat Islam bakal menjadi model dan dihormati. Namun, bercerita tentang kebangkitan Islam seolah-olah ingin diketengahkan satu kisah dongeng yang melucukan untuk hiburan bangsa-bangsa dunia. Dari zaman ke zaman seolah-olah tanpa penghujung kisah kebangkitan Islam terus menerus dikumandangkan sehingga orang yang mendengarnya menjadi bosan dan muak. Islam dan umatnya terus terperosok di bawah timbunan herdikan dan gurauan umat lain sebab dianggap sebagai umat yang lemah dan jahil. Irama kebangkitan terus dimainkan tetapi tiada tanda-tanda yang jelas untuk membuktikan bahawa umat Islam mampu kembali ke zaman kegemilangannya. Buktinya, pada hari ini umat Islam terpaksa tunduk kepada kekuatan kuasa-kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang menjadi kuasa raksasa dalam bidang militari. Manakala dari sudut ekonomi, politik dan sosial pula, mereka seolah-olah menjadi “Tuhan” kerana sebahagian besar masyarakat dunia berkiblat kepadanya dan mendewa-dewakannya. Kekuasaan mereka seolah-olah tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Apakah Allah swt akan terus mendiamkan diri terhadap semua kedajjalan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya?
Sebenarnya Islam dengan kekuatan RAHMAT ajaran Nabi Muhammad saw, akan menundukkan mereka dan memimpin dunia ke arah kedamaian dan kemakmuran bagi menggantikan dunia yang penuh kezaliman dan keganasan. Tiada sesiapa yang boleh menahan zaman kebangkitan Islam sesuai dengan janji Allah swt,  Dan Kami tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam” (Al Anbiyaa’ : 108) dan “Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia memenangkanNya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath : 29). Ayat-ayat suci Al Quran ini mengandungi satu rahsia agung bahawa Allah swt sedang mempersiapkan dunia dan zaman baru yang akan dipimpin oleh Islam. Dengan kata lain, abad ini adalah akhir zaman atau penghujung kepada zaman kegelapan Islam. Pemilik alam ini akan mendatangkan kiamat rohani bagi membasmi segala kerosakan agama dan moral manusia, kemudian mewujudkan zaman kebangkitan semula Islam yang akan menghidupkan kembali rohani manusia yang telah mati melalui cahaya Rahmat ajaran Nabi Muhammad saw. Proses kebangkitan Islam akan menyempurnakan janji Allah swt bahawa umat Islam adalah khaira ummah (umat terbaik) kepada masyarakat dunia, sepertimana firman Allah swt, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111). Namun begitu, zaman kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terbantut disebabkan oleh umat Islam sendiri melakukan kesalahan dan kelalaian yang menimbulkan kemurkaan Allah swt. Justeru itu, umat Islam tiada pilihan lain jika ingin melihat zaman kebangkitan Islam, mereka perlu mengenal-pasti dan bertaubat dari dosa-dosa yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt. Sekaligus membolehkan mereka memahami mengapa Allah swt seolah-olah mendiamkan diri untuk membela umat Islam yang sedang menghadapi pelbagai bencana dan serangan daripada musuh-musuhnya.
Kekuatan Suci Rasulullah saw

Zaman kebangkitan Islam hanya dapat disegerakan dan menjadi kenyataan jika umat Islam menjadikan Rasulullah saw dan para sahabat ra sebagai contoh atau role model. Pada zaman permulaan Islam ketika pengikut-pengikut Nabi Muhammad saw sedang menghadapi penganiayaan yang luar biasa, Allah swt menurunkan khabar suka mengenai kemenangan Islam. Musuh-musuh Islam yang mendengar wahyu ini telah mentertawakannya kerana  pada pandangan mereka umat Islam tidak memiliki apa-apa kekuatan. Akhirnya mereka sendiri kehairanan dan sedar apabila melihat betapa sempurnanya janji-janji Allah swt yang mendatangkan kiamat kepada masyarakat Jahiliyah dan memulakan zaman baru yang penuh keberkatan di bawah pimpinan Yang Mulia Nabi Muhammad saw. Umat Islam memperolehi kemenangan dan kejayaan bukan disebabkan kekuatan senjata tetapi keteguhan iman dan kepatuhan mereka kepada Allah swt dan Nabi Muhammad saw. Kekuatan ini yang telah membolehkan mereka mampu menghadapi penganiayaan, penentangan, kekerasan dan peperangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam dan akhirnya mereka bukan sahaja mengalahkan kaum musyirikin Mekah malah turut menundukkan dua super power iaitu Rom Timur dan Parsi. Hanya dengan cara ini saja yang boleh mengalahkan super power dunia hari ini iaitu Amerika dan sekutunya.

Peristiwa yang sama akan berulang lagi kerana Al Quran sendiri memberi gambaran bahawa kebanyakan kisah di dalamnya akan mengalami pengulangan. Semua pihak merasakan umat Islam tidak boleh bangkit lagi tetapi Allah swt memiliki perancangan suci dan Dia telah berjanji untuk mengunggulkan Islam di atas agama-agama lain. Allah swt tidak akan membiarkan kuasa-kuasa raksasa dunia untuk berterusan menyesatkan dan mendatangkan kerosakan kepada dunia. Allah swt telah beberapa kali menggoncangkan sistem ekonomi mereka dan mendatangkan dua azab yang besar  melalui Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945). Berdasarkan peristiwa tersebut, Allah swt amat mudah untuk membantu umat Islam untuk mengalahkan kuasa-kuasa raksasa dunia ini tetapi umat Islam mestilah terlebih dahulu berusaha untuk memperbaiki kecintaan mereka kepada Allah swt dengan mengikuti serta mengamalkan pesan dan nasihat suci Baginda saw.  Allah swt memberi jaminan kepada umat manusia jika mereka ingin dicintai olehNya, tiada lain kecuali mengikuti langkah-langkah kehidupan dan akhlak Baginda saw, sepertimana firmanNya, Katakanlah, Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu” (Ali ‘Imran : 32). Sebenarnya, di sinilah terletaknya segala kekuatan untuk memecahkan segala permasalahan umat Islam. Jika Allah swt Pemilik Alam ini telah mencintai umat Islam, apakah ada kekuatan lain yang mampu menahan kebangkitan dan kemenangan Islam pada abad ini?

Hentikan Kezaliman dan  Permusuhan Sesama Islam

Sepertimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa proses kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terhambat disebabkan oleh perbuatan umat Islam sendiri. Ada sesuatu yang dibenci oleh Allah swt, di antaranya adalah perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Kesalahan ini merupakan antara dosa yang telah dan sedang menimbulkan kemurkaan Allah swt yang amat besar. Umat Islam hari ini mempunyai amalan keji yang amat tidak disukai Allah swt seperti amalan dusta dan fitnah serta kekerasan bagi tujuan menjatuhkan saudara seagamanya. Disamping itu, sebilangan umat Islam begitu mudah menggunakan kata-kata menyesat dan mengkafirkan kelompok Islam yang lain jika pendapat dan pandangan pihak lain tidak selari dengan pendapat dan pandangan mereka. Bagi memperkukuhkan dakwaan tersebut pelbagai fitnah direka-rekakan. Islam memandang keji terhadap fitnah memfitnah sehingga mengumpamakan dosa memfitnah itu lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, “... dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...” (Al Baqarah : 192).

Sememangnya fitnah memfitnah merupakan senjata yang paling kotor kerana kemampuannya mengakibatkan pergaduhan, pembunuhan dan  kerosakan yang tidak disenangi oleh Allah swt. Malah Nabi Muhammad saw juga pernah bersabda bahawa dusta adalah ibu kepada kejahatan kerana satu dusta akan melahirkan lebih banyak dusta untuk menutupi dusta-dusta yang sebelumnya. Ini adalah di antara dosa-dosa umat Islam yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt kerana menyuburkan kebencian, prasangka buruk, permusuhan, ketidakadilan, penganiayaan dan kezaliman sesama Islam. Dosa ini yang menyebabkan permusuhan sesama Islam menjadi semakin besar dan telah menghalang umat Islam daripada bersatu, pada hal ajaran Islam telah meruntuhkan semua tembok pemisah bagi membentuk ukhuwah Islamiyah. Atas dasar itu, Allah swt memberi pelbagai perintah dan peringatan kepada umat Islam untuk menyelamatkan mereka daripada permusuhan sesama sendiri dan mengelakkan orang Islam menjadi pengikut kepada golongan yang dimurkai Allah swt.



Lakukanlah Penyelidikan

Salah satu perintah Allah swt kepada umat Islam untuk menghindarkan mereka daripada perangkap dosa akibat mempercayai sesuatu yang bersifat fitnah ialah kewajipan untuk melakukan penyelidikan dan penelitian. Peringatan Al Quran wajib dijadikan panduan agar umat Islam tidak mudah terjerat dengan mempercayai apa yang disampaikan dan diberitakan kepada mereka.  Allah swt berfirman, Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat : 7). Penyakit malas untuk melakukan siasatan atau penyelidikan akan membuahkan dosa lain iaitu sikap berprasangka buruk. Masalah ini juga disentuh oleh Allah swt, “Hai orang-orang  beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya  sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari  kesalahan orang lain” (Al Hujuraat : 13). Dosa seperti ini yang sedang bermaharajalela di kalangan umat Islam, mereka cepat mempercayai sesuatu berita dan lebih biadap lagi mereka menokok tambah berita tersebut sehingga pihak lain yang mendengar berita tersebut mempercayainya. Berita-berita seumpama ini bakal menambahkan kebencian dan prasangka buruk masyarakat terhadap seseorang atau kaum.

Seharusnya umat Islam tidak terperangkap dengan dosa seperti ini yang hanya timbul disebabkan kemalasan mereka untuk membaca, membuat penyelidikan dan kajian daripada sumber sebenar. Adalah amat tidak bijak jika ingin mengetahui sesuatu tentang seseorang atau lebih luas lagi sesebuah organisasi atau Jemaah dengan bertanya kepada orang yang memusuhi organisasi/Jemaah  atau orang tersebut. Dengan kata lain, adalah satu kejahilan jika seseorang yang ingin mengetahui kebenaran Rasululllah saw dengan bertanya kepada Abu Jahal dan menjadikan kenyataan Abu Jahal sebagai pedoman untuk menerangkan akhlak Baginda saw. Sudah pasti kenyataan bersifat dusta dan fitnah yang akan diperolehi oleh orang yang bertanya tadi. Ingatlah permainan dusta atau fitnah adalah senjata yang sering digunakan oleh musuh-musuh Islam di zaman Nabi Muhammad saw sehingga kekuatan cahaya kebenaran Rasulullah saw hampir-hampir padam akibat kekotoran dusta dan fitnah. Baginda saw difitnah sebagai pendusta, pemecah belah masyarakat, ahli sihir, orang gila, penyembah bintang dan sebagainya untuk menakut-nakutkan masyarakat supaya tidak mendekatinya. Sehingga hari ini, fitnah-fitnah itu masih dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutamanya di negara-negara Barat untuk mencapai objektif yang sama. Lebih buruk lagi umat Islam turut serta samada secara sedar atau tidak dalam melakukan perkara yang serupa. Bercambahnya perpecahan di kalangan umat Islam sesudah kewafatan Rasulullah saw adalah disebabkan ada di kalangan umat Islam tidak takut pada Allah swt, menyemarakkan dusta dan fitnah dalam masyarakat Islam dan majoriti umat Islam pula tidak mengamalkan firmanNya, Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat : 7).

Elakkan Berprasangka Buruk Terhadap  Agama
Kristian atau Agama Lain

Dalam menghadapi ancaman fitnah-fitnah oleh musuh-musuh Islam pula, umat Islam perlu banyak mengkaji dan mendalami ilmu agama Islam serta mempelajari agama-agama lain khususnya agama yang ramai pengikut seperti  Kristian, Hindu dan Buddha. Selama ini akibat kekurangan membaca dan malas menggali ilmu mengakibatkan umat Islam bersikap tertutup dan ini menyuburkan penyakit berprasangka buruk. Apa yang dikesalkan selama ini, para ulama sering mengingatkan umat Islam mengenai bahaya Kristianisasi tetapi mereka tidak dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya untuk menghadapi ancaman ini. Masalah ini menyebabkan umat Islam menjauhkan diri daripada berbicara mengenai agama dengan penganut agama Kristian atau agama lain dan tanpa disedari masalah ini telah membantutkan proses dakwah Islam secara efektif dan komprehensif. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada sesetengah ulama Islam yang terlalu berhati-hati dan prejudis terhadap agama-agama lain terutamanya agama Kristian. Mereka menanamkan sikap benci dan sering mengelak untuk berbincang atau berdebat secara sihat dengan tokoh-tokoh agama lain. Malah, pernah suatu ketika ada ulama yang berfikiran sempit mengeluarkan fatwa bahawa Al Quran tidak boleh dialih bahasa dan dicetak, mikrofon dan pembesar suara dilarang untuk digunakan semasa khutbah atau mengumandangkan azan. Alasannya disebabkan peralatan tersebut dicipta oleh masyarakat Barat (Kristian) yang dianggap sebagai “syaitan”.

Betapa ruginya jika seseorang memiliki sikap berprasangka buruk. Mujurlah Nabi Muhammad saw meninggalkan beberapa peristiwa untuk umat Islam pada hari ini menilai sendiri sikap keterbukaan dan tolak ansur terhadap agama-agama lain. Rasulullah saw memperlihatkan sikap toleransinya kerana Baginda saw menjauhi sikap berprasangka buruk dan ini dilakukan demi menarik mereka kepada Islam. Salah satu peristiwa tersebut ialah, “Satu perutusan suku Kristian dari Najran menghadap Baginda saw di Madinah untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam masalah keagamaan. Perbincangan itu diadakan di dalam masjid dan berjalan beberapa jam. Kemudian perutusan itu meminta izin meninggalkan masjid bagi mengadakan upacara ibadah di suatu tempat yang tenang. Rasulullah saw bersabda bahawa mereka tidak perlu meninggalkan masjid yang memang merupakan tempat khusus untuk ibadah kepada Tuhan dan mereka dapat melakukan ibadah mereka di dalam masjid” (Zurqani). Sikap keterbukaan dan toleransi Baginda saw telah mencairkan hati ramai orang-orang kafir yang degil dan keras hati larut bersama Islam dan kecintaan terhadap Allah swt.

Islam Berdiri Dengan Dalil

Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah kerana masih ada ulama yang melarang orang Islam membaca Bibel atau kitab Injil, dan larangan ini dibuat kerana kononnya boleh menyesatkan umat Islam sedangkan umat Kristian melalui golongan orientalis Barat telah mengkaji Al Quran secara mendalam. Tujuan mereka bukan untuk memeluk agama Islam tetapi untuk mencari kelemahan Al Quran untuk digunakan bagi menentang Islam. Seharusnya umat Islam menggunakan pendekatan yang sama melahirkan pakar Bibel untuk melawan balik serangan tersebut. Para ulama tidak perlu bimbang kerana keunggulan Al Quran tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana kitab termasuk kitab Bibel.

Jika umat Islam mendalami Bibel dan menjelaskan kandungannya dengan baik, sudah tentu mereka tidak ada selera untuk memeluk agama Kristian kerana Al Quran jauh lebih unggul dan sempurna daripada Bibel. Persoalan lain yang sering menghalang ialah bagaimana caranya bagi membuktikan keunggulan Islam kepada penganut agama Kristian jika tidak menyentuh dan membaca Bibel? Ketahuilah bahawa agama-agama dunia yang masih ada pengaruh kuat hingga ke hari ini seperti Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain adalah agama berasal dari satu sumber kerana Allah swt berfirman, “Dan untuk setiap umat ada seorang rasul..”(Yunus : 48), “... dan tiada sesuatu kaum pun melainkan seorang Pemberi Peringatan telah berlalu...”(Al Faathir : 25), “Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan dalam setiap umat seorang rasul...”(An Nahl : 37), “Dan (Kami telah mengutus) para Utusan, yang sebelumnya telah Kami kisahkan kepada engkau, dan para Utusan yang tak  Kami kisahkan kepada engkau” (An Nisa : 165). Pada akhir ayat ini Allah swt menekankan, “Para Utusan, mereka pembawa khabar baik dan memberi peringatan, agar manusia tak mempunyai alasan untuk menentang Allah setelah (datangnya) para Utusan. Dan Allah Maha-perkasa, Maha-bijaksana” (An Nisa : 166). Oleh itu umat Islam hendaklah mempelajari agama-agama lain kerana ianya adalah jambatan kepada agama Islam. Umat Islam hendaknya mampu membuktikan dengan dalil yang bernas dari kitab-kitab agama lain bahawa Islam adalah agama terakhir untuk seluruh umat manusia.


No comments:

Post a Comment