Monday, February 4, 2013

SYAHID


TERJEMAHAN KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
14 DISEMBER 2012 / 14 FATAH 1391HS
Baitus Subuh, Frankfurt, Jerman

----------------------------<<<>>>----------------------------

Selepas membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Secara umumnya, istilah syahid dimaksudkan sebagai orang yang terkorban di jalan Allah. Memang orang-orang yang terkorban di jalan Allah Ta’ala itu mendapat darjat kesyahidan. Allah Ta’ala membuka pintu syurga kepadanya. Namun begitu, pengertian syahid sebenarnya lebih luas daripada itu. Hari ini, saya akan memberikan beberapa sabda-sabda Hazrat Maseeh Mau’ud as dan juga beberapa rujukan hadis berkenaan dengan perkara ini.

Anak-anak yang membesar dan hidup di negara-negara ini dan juga anak remaja selalu bertanya, beberapa kali juga pertanyaan ini telah dilemparkan kepada saya. Beberapa hari yang lepas ada kelas Waqfe Nau di Hamburg, di sana ada seorang anak kecil bertanya: ketika tuan menceritakan peristiwa kesyahidan, maka kebanyakan peristiwa itu tuan menyuruh kerabat terdekat orang-orang syahid itu berdoa, ‘semoga saya menjadi orang-orang yang syahid atau mendapat darjat kesyahidan atau syahid ini hanya akan diperolehi oleh mereka yang beruntung’. Jadi, sebagai ganti berdoa untuk syahid, persoalan yang timbul ialah kenapa tuan tidak mengarahkan mereka berdoa agar unggul di atas musuh-musuh?

Sesungguhnya inilah doa pertama untuk menang di atas para musuh dan juga ada janji dari Tuhan berkenaan dengan jemaat Ilahi bahawa kemenangan itu akan berpihak kepada mereka. Keunggulan itu adalah milik mereka dan Hazrat Maseeh Mau’ud as juga berkali-kali mendapat khabar daripada Allah berkenaan dengan kemenangan dan kejayaan. Dan kita yakin bahawa jemaat Ahmadiyah akan melihat tanda-tanda yang agung dan terang. Dengan kurnia Allah Ta’ala kita sedang melihat pengaruhnya, malah setiap tahun, walaupun banyak penentangan dari pihak musuh, ratusan ribu orang datang bai’at kepada jemaat Ahmadiyah. Dan di negara-negara di mana jemaat mendapat tekanan yang hebat daripada musuh, ramai orang yang mendapat taufik untuk bai’at. Semua pemandangan ini merupakan tanda kejayaan dan keunggulan. Begitu juga program yang dilakukan oleh jemaat dan mempersembahkan keindahan Islam kepada dunia sehingga keraguan bukan Islam terhadap ajaran Islam semakin terhapus. Ini juga merupakan satu bentuk kejayaan yang dicapai oleh jemaat. InsyaAllah, satu masa nanti Allah Ta’ala akan mendatangkan satu revolusi yang luar biasa di atas muka bumi ini, dan untuk itu setiap Ahmadi harus berusaha keras di samping banyak berdoa.

Apapun, untuk mencapai suatu maksud yang besar harus memberikan pengorbanan yang besar. Jiwa juga harus sedia dikorbankan. Dan anggota jemaat Ahmadiyah, di mana mereka merasa perlu, mereka akan memberikan pelbagai jenis pengorbanan. Dan untuk itu juga mereka sentiasa bersedia. Ini termasuklah pengorbanan nyawa yang mana dengan itu mereka mendapat darjat kesyahidan, dan dengan keredhaan Allah Ta’ala mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa kesyahidan itu bukan hanya setakat itu,  malah anak muda yang bertanya dan juga orang tua hendaklah merenungkan dengan mendalam supaya kedudukan syahid itu dapat diusahakan oleh setiap orang. Fahamilah ruh daripada doa ini dan masuklah ke dalam syurga Allah yang diredhai-Nya.

Rasulullah saw pernah bersabda kepada Hazrat Abu Hurairah ra bahawa jika syahid itu hanya merujuk kepada mereka yang mati di jalan Allah Ta’ala maka di dalam umatku ini amat sedikit mereka yang mendapat darjat kesyahidan. (Sahih Muslim, Kitabul Imarah Bab Bayanus Syuhada, hadis 1915)

Satu hadis Muslim: Rasulullah saw bersabda bahawa orang yang mengharapkan syahid dengan niat yang benar, Allah Ta’ala akan memasukkannya dalam kelompok para syuhada walaupun kematiannya berlaku di atas katil. (Sahih Muslim Kitabul Imarah, Bab Istihbaab Talabus Syuhada Fii Sabiilillahi Ta’ala, hadis 1909)

Dalam peristiwa Badar juga kita dapat melihat bahawa Rasulullah saw telah menagih janji kemenangan dari Allah, memohon kehidupan umat Islam yang bersama-sama baginda saw ketika perang Badar. Baginda saw tidak meminta agar mati dalam keadaan syahid. Baginda saw bersabda: Jika umat Islam ini hancur, maka tidak ada lagi yang akan beribadat kepada Engkau (Sahih Muslim Kitabul Jihad Was Siir Baabul Imdaad Bil Malaa’ikati Fii Guzwah Badar, hadis 1763)

Allah Ta’ala juga menegaskan bahawa tujuan manusia diciptakan ialah untuk beribadat kepada-Nya.

Jadi, tujuan sebenar seorang mukmin dilahirkan ke dunia ini ialah bukan hanya berkorban untuk sekali sahaja malah hendaklah berusaha untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala dan setiap waktu bersedia untuk berkorban. Di dalam hadis juga ada tercatat bahawa seorang mukmin jangan berkeinginan untuk berperang. Tetapi, jika di dalamnya dia dianiaya, jika agama mereka ditentang dengan mengorbankan nyawa orang mukmin, maka orang Islam jangan berundur ketakutan, malah mereka hendaklah maju dengan berani ke hadapan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa, namun perasaan takut iaitu melarikan diri harus dihindari (Sahih Bukhari, Kitabul Jihad Was Siir, Baab La Tamanna Liqo’al Aduw, hadis 3025)

Apabila ada keizinan dan keadaan mengharuskan perang, maka untuk berhadapan dengan musuh, sekiranya jiwa seorang mukmin terkorban, sudah pasti akan mendapat darjat kesyahidan. Dan di dalamnya tidak akan ada perasaan takut dan ragu-ragu.

Keadaan pada zaman sekarang ini tidak memerlukan peperangan, musuh-musuh Jemaat Ahmadiyah juga ada dan musuh-musuh kita ini adalah musuh yang degil dan menyerang secara sembunyi-sembunyi. Tetapi, jika mereka datang berdepan sekalipun, namun tidak ada perintah untuk berperang. Kadang-kadang orang Ahmadi menerima surat amaran yang berbunyi, kamu tinggalkan Ahmadiyah atau kamu bersedia untuk mati. Jadi, pada waktu ini, inilah keberanian seseorang mukmin atau penzahiran daripada orang Ahmadi Pakistan ialah memang nyawa akan melayang tetapi agama dan keredhaan Tuhan tidak akan kami korbankan. Jadi, inilah ciri seorang mukmin yang tetap kekal dalam pelbagai keadaan. Dan Allah Ta’ala juga mengajarkan orang mukmin doa untuk bersama-sama dengan golongan para nabi, siddiq, syahid dan soleh. Tetapi, kedudukan syahadat itu bagaimana? Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa apa yang dimaksudkan dengannya? Apa falsafahnya? Sejauh mana kedalaman maksudnya?

Untuk memahaminya, Allah Ta’ala telah berlaku ihsan atas kita kerana mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud as ke tengah-tengah kita sebagai imam zaman yang telah menjelaskan dengan terperinci maksud sebenar syahadat itu. Sekarang ini, ayat yang telah saya jelaskan sebelumnya, iaitu semua ciri-ciri berkenaan dengan nabi, siddiq, syahid dan soleh saya tidak akan jelaskan. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa persoalan mengenai syahid dibangkitkan dan saya akan jelaskan bersumberkan tafsir dan penjelasan beliau.

Hazrat Maseeh Mau’ud as menulis dengan jelas di berbagai tempat berkenaan dengan kedudukan syahid ini. Saya akan berikan beberapa rujukan yang menjelaskan bahawa kenapa perlu berdoa untuk menjadi syahid? Dan jenis syahid yang bagaimana kita harus berdoa dan kenapa seorang mukmin yang hakiki perlu berkinginan untuk menjadi syahid?

Hazrat Aqdas Maseeh Mau’ud as berkata:-
            “Orang awam mengertikan syahid hanya sebagai orang yang terkorban ketika dalam peperangan, yang mati lemas, yang mati keraana penyakit dan sebagainya. Tetapi, saya katakan bahawa dengan hanya memahami setakat itu sahaja jauh daripada ciri seorang mukmin yang agung. Syahid yang sebenarnya ialah orang yang mendapat kekuatan istiqomah dan ketetapan dari Tuhan yang mana tidak ada sebarang gegaran atau musibah yang boleh menggoyangkannya. Dia tetap menghadapi segala musibah dan kesusahan itu sehinggakan jika semata-mata kerana Allah dia terpaksa menyerahkan nyawa, maka dia tidak akan gentar menerimanya. Tanpa suatu kesedihan dan kekecewaan, dia akan mempersembahkan pengorbanan. Dan dia berkeinginan bahawa jika saya diberikan kehidupan berkali-kali, maka saya akan berikan pengorbanan juga berkali-kali di jalan Allah. Ada suatu kelazatan dan kegembiraan dirasai dalam ruhnya yakni setiap pedang yang menghiris tubuhnya, dan setiap pukulan yang singgah di badannya, dia merasa diberikan satu kehidupan baru, satu keseronokan baru. Inilah maksud daripada syahid. Kemudian, perkataan ini juga muncul dari kata syuhud iaitu satu ibadat yang dikerjakan dengan menanggung kesulitan dan bersedia menanggung setiap kesusahan yang muncul, laksana madu yang mendapat kemanisan. Dan sebagaimana madu FIIHI SYIFAA’UL LINNAAS (An-Nahal:70) yakni laksana madu yang menjadi penawar kepada manusia. Orang yang bergaul dengan mereka akan mendapat keselamatan dari pelbagai jenis penyakit. Jika syahid hanya diperolehi melalui kematian, maka bagaimana manusia boleh mendapat manfaat melalui pergaulan? Berjalan atas keredhaan Allah Ta’ala, mendapat kedekatan kepada Allah yang merupakan kebaikan yang sebenar, ini juga satu kedudukan syahid, yang mana kesan bergaul dengannya akan selamat dari pelbagai jenis penyakit. “Kemudian syahid juga bermaksud darjah atau kedudukan di mana insan melihat Tuhan dalam setiap pekerjaannya, atau dia yakin bahawa Tuhan sedang melihatnya. Ini juga dikatakan sebagai ihsan”. (Malfoozaat Jilid Awal, halaman 276, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Sabda Hazrat Maseeh Mau’ud as yang mengatakan bahawa satu daripada kedudukan syahid juga ialah melihat Tuhan dalam setiap pekerjaannya atau dia melihat Tuhan dan yakin. (Dipetik daripada Malfoozaat Jilid 4, halaman 423, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Yakni, pekerjaan yang selalu dia lakukan, dia yakin bahawa Tuhan sedang melihat pekerjaan yang aku lakukan sekarang ini, jika perkara ini wujud maka perhatiannya akan sentiasa melakukan perbuatan yang baik. Selepas itu, tidak ada pekerjaan buruk yang akan dilakukan oleh manusia.

Ihsan itu apa jika dirujuk kepada zat Allah Ta’ala? Dikatakan bahawa jika hal itu ada, maka itu adalah ihsan. Apa itu ihsan? Untuk menjelaskannya, beliau bersabda:-
            “Perintah Tuhan kepada kamu ialah kamu berurusan secara adil dengan-Nya dan dengan ciptaan-Nya”. Keadaan sebelum ihsan ialah adil. “Yakni menunaikan haqqullah dan haqqul ibad. Dan jika boleh lebih daripada itu, bukan sekadar adil tetapi berbuat ihsan, yakni melakukan sesuatu melebihi kewajipan. Dan dengan penuh keikhlasan memperhambakan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya”. Satu perkara ialah kewajipan telah ditetapkan dan ibadat itu harus dikerjakan. Tetapi, lebih daripada itu adalah nawafil. Menyempurnakan hak ibadat kepada Allah, melakukan hubungan dengan Allah. Jika ini dapat dilakukan, maka ini adalah perhambaan dan juga ihsan. Dan kemudian ia akan dibawa ke arah tingkatan syahadat dan berkata “dan lakukanlah kasih sayang sesama manusia melebihi hak yang sepatutnya”. (Syahna-e-Haq Rohani Khazain Jilid 2, halaman 361-362)

Bukan hanya memberikan hak manusia, malah untuk mendapatkan tingkatan yang paling tinggi, supaya dapat dimasukkan dalam golongan yang berdarjat syahid, maka semasa menunaikan hak manusia, pada masa yang sama juga hendaklah berlaku kasih sayang, lemah lembut dan berbuat baik.
Dengan menyentuh perkara ini, tuntutan berlaku adil ialah kamu lakukan hubungan dengan Allah sedemikian rupa sehingga yakin bahawa selain Dia, tidak ada sembahan lain yang sama seperti-Nya, tidak ada wujud lain yang harus disembah, tidak ada wujud lain yang harus dicintai dan tidak ada wujud lain tempat kita bertawakkal. Selain Dia, tidak ada wujud lain yang kita boleh jadikan tempat bergantung harap kerana Dia juga Pencipta. Dia kekal dalam memberikan kehidupan dan nikmat-nikmat-Nya, dan Dia juga Rabb yang menjaga dan menyediakan nikmat-nikmat-Nya. Dikatakan bahawa tidak cukup bagi seorang mukmin hanya dengan meyakini atau memahami bahawa Allah Ta’ala Pemilik segala Kekuatan dan juga Rabb, malah ia harus lebih maju dari itu. Dan kemajuan itu ialah kamu mengatakan keagungan Allah Ta’ala dan di hadapan-Nya kamu menumpukan perhatian dalam beribadat kepada-Nya”. (Keadaan ini harus ada bahawa kamu begitu beradab di hadapan Allah Ta’ala, kamu begitu sepenuh hati tunduk kepada-Nya) “Dan kamu begitu hanyut dalam kecintaan terhadap-Nya seolah-olah kamu telah melihat keagungan, kekuasaan dan kecantikan-Nya yang tiada tandingan”. (Dipetik dari Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 550-551)

Jadi, apabila manusia melihat kecantikan Allah Ta’ala yang tidak ada hadnya, yakin atas sifat-sifat-Nya, cenderung untuk beribadat kepada-Nya, maka sudah pasti dia tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan keredhaan Allah Ta’ala, dan jika hal ini wujud, maka itu adalah kedudukan syahid.

Beliau juga menjelaskan tentang syahid bahawa apabila hubungan dengan Allah Ta’ala ini teguh, maka kekuatan istiqomah akan lahir. Kemudian, insan akan sentiasa bersedia untuk memberikan pengorbanan semata-mata untuk meraih keredhaan Allah Ta’ala, dan semua ini bukan kerana terpaksa malah jalan-jalan yang penuh dengan kesusahan pun dia hadapi dengan penuh ketenangan dan itu menjadi sarana ketenangan baginya. Di hadapan segala kesusahan, seorang mukmin menghadapinya dengan penuh ketabahan. Tidak ada dalam hatinya perasaan takut, sedih dan kecewa bahawa kalaulah saya tidak buat ini, kalaulah saya dengar cakap penentang jemaat Ahmadiyah supaya meninggalkan jemaat ini, sudah pasti saya akan terhindar dari segala musibat ini. Kata-kata ini tidak seharusnya ada dalam diri seorang mukmin jika memang mempunyai keimanan yang sempurna. Sebaliknya, semua itu membuatkan keimanannya menjadi lebih kuat, keyakinan terhadap Allah lebih kukuh dan dengan kejadian itu memberikan ketenangan dan kegembiraan kepadanya. Jadi, inilah kedudukan syahid.

Kemudian beliau juga bersabda: kedudukan syahid itu hanya dapat diperolehi apabila manusia bersabar atas segala penderitaan dengan terus beribadat kepada Allah. (Dipetik daripada Malfoozaat Jilid 1, halaman 276, cetakan Rabwah)

Segala kesenangan duniawi dikorbankan untuk keredhaan dan ibadat kepada Allah Ta’ala. Dan bukan setakat dikorbankan malah sampai kepada kedudukan di mana dengan amalannya dia mendapat ketenangan dari Allah Ta’ala, dengan ibadatnya dia mendapat keseronokan umpama merasai kemanisan madu. Solat dan ibadat seorang mukmin, perhatian terhadap solat dan ibadat bukan kerana terpaksa, malah dilakukan kerana keyakinan sempurna kepada Allah Ta’ala. Sebabnya ialah Tuhan sedang melihat aku, dan segala perlakuan yang dilakukan semata-mata kerana Allah, ia menjadi sarana keredhaan Allah Ta’ala. Keredhaan ini akan menuju kepada kesyahidan. Demikian juga setiap keburukan yang ditinggalkan oleh manusia kerana yakin bahawa Allah Ta’ala melarangnya dan saya harus menjadikan-Nya gembira. Saya juga harus memperkuatkan hubungan dengan-Nya. Oleh kerana Tuhan melihat segala perbuatan baik dan buruk, dan perbuatan buruk yang saya lakukan ini boleh menjadi punca kemarahan Tuhan kepada saya. Dengan ini, maka bukan sahaja seseorang itu akan meninggalkan keburukan untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala malah dia juga akan cenderung untuk melakukan kebaikan. Keimanan dan keyakinan kepada Allah Ta’ala akan menjadi lebih kukuh, dan inilah tujuan hidup seorang manusia, yang juga tujuan hidup seorang mukmin.

Kemudian, Hazrat Maseeh Mau’ud as juga bersabda:-
            “Orang awam menganggap syahid itu hanya sekadar mereka yang mati disebabkan panah atau senapang atau mereka yang mati dengan tidak sengaja”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 253, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Saya nyatakan satu hadis di sini. Rasulullah saw bersabda bahawa orang-orang mati yang dimasukkan dalam kelompok syuhada ada lima. Dalam satu hadis dikatakan bahawa Rasulullah saw bersabda: ada lima jenis kesyahidan. Mereka yang mati disebabkan penyakit, mereka yang mati disebabkan penyakit perut, mereka yang mati lemas, mereka yang terjatuh dari atas bangunan tinggi dan mereka yang terkorban di jalan Allah. (Sahih Bukhari Kitabul Azhan Baab Fazlut Tahjiir Ilaz Zuhur, 653)

Jadi, Hazrat Maseeh Mau’ud as tidak hanya menyatakan bahawa “di sisi Allah, bukan ini sahaja kedudukan kesyahidan”. Semua ini kesyahidan yang mati secara zahir. Tetapi di sisi Allah Ta’ala, ada lagi kedudukan kesyahidan yang harus dicari oleh setiap mukmin. Beliau juga bersabda “menurut aku, hakikat syahid itu bukan hanya badan yang terpotong-potong tetapi ada lagi bentuk lain, dan keadaan itu berhubungan dengan hati. Ingatlah bahawa satu kedudukan siddiq itu dekat kepada nabi.” Dipermulaan juga telah dikatakan bahawa Allah Ta’ala berfirman berdoalah supaya mereka yang beramal soleh, mereka yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu nabi atau siddiq atau syahid atau soleh. Jadi, dikatakan bahawa “ingatlah siddiq merupakan satu kedekatan kepada nabi dan ia berada pada tingkatan masing-masing. Syahid pula ada persamaan dengan siddiq, di dalam nabi itu mempunyai kesempurnaan, yakni dia juga siddiq, syahid dan soleh. Tetapi, siddiq dan syahid itu satu kedudukan yang berlainan. Juga tidak mahu membincangkan sama ada siddiq itu syahid atau tidak? Kedudukan itu sempurna di mana dalam segala urusan ia menunjukkan keluarbiasaan dan mukjizat, dan di atas kedua-dua kedudukan itu mempunyai tingkat yang berlainan. Sebab itu Allah Ta’ala memberi kekuatan kepadanya sedemikian rupa bahawa amalan yang agung dan akhlak yang agung itu sangat sempurna dan bukan dibuat-dibuat. Dia melakukannya bukan disebabkan suatu rasa takut atau suatu sebab, malah ia telah menjadi bahagian dalam fitrat dan tabiatnya. Takalluf (dibuat-buat) tidak termasuk dalam tabiatnya. Sebagai contoh seorang peminta sedekah pergi kepada seseorang, maka sama ada padanya ada suatu barang atau tidak, dia terpaksa berikan. Jika bukan kerana ketakutan kepada Allah, maka ia juga disebabkan oleh persekitaran. Tetapi, dalam diri orang syahid tidak ada takalluf (dibuat-buat) dan kekuatannya semakin bertambah. Dan dengan pertambahan itu, kesusahannya semakin berkurangan sehinggalah tidak lagi dianggap beban. Sebagai contoh di atas seekor gajah ada semut, adakah dia merasa suatu beban? (Malfoozaat Jilid 1, halaman 253-254, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Untuk seorang mukmin yang hakiki, yang berkeinginan untuk mencapai darjat kesyahidan akan menghadapi kesusahan, di sini juga beliau berkata lebih lanjut bahawa kesyahidan yang sebenar berhubungan dengan keadaan hati, dan keadaan hati boleh lahir melalui keyakinan dan keimanan yang sempurna kepada Allah. Yakni, keyakinan ini sebagaimana yang dijelaskan sebelumnya, setiap pekerjaan saya dilihat oleh Allah Ta’ala dan setiap pekerjaan saya lakukan semata-mata kerana Allah Ta’ala. Kemudian dari seorang mukmin itu, dari orang seperti itu akhlak yang agung dan amalan yang baik akan muncul dalam bentuk yang sebenar. Yakni, dengan melakukannya, dunia mereka bukan menunjuk-nunjuk malah merupakan keredhaan Allah Ta’ala, dan keredhaan Tuhan ini bukan hanya melalui usaha malah ia menjadi bahagian dalam fitrat seorang mukmin. Jika dia berusaha terus-menerus dalam soal ini, maka selain dia mendapat keredhaan Allah Ta’ala, tidak ada lagi fikiran lain. Sebagai contoh, jika dia mendapat peluang untuk berkhidmat dalam jemaat, dia akan melakukannya dengan penuh keikhlasan dan dedikasi. Bukan kerana hendak mendapatkan pujian, tetapi untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Sebab itu khidmat ini berada dalam kesulitan, maknanya tanpa itu semua tidak ada ketenangan.

Beberapa orang apabila tidak diperlukan khidmat dari mereka, maka mereka memperlihatkan kekecewaan. Beliau as memberi satu contoh; seorang faqir atau peminta sedekah, jika dia pergi kepada seseorang, maka sudah pasti ada saja yang dia akan perolehi. Namun, kebanyakan di dalamnya adalah riak, tetapi syahid tidak seperti itu. Syahid itu melakukan suatu kebaikan adalah kerana fitratnya yang baik memaksanya berbuat demikian dan kekuatan fitrat yang baik akan terus berkembang mengikut peredaran masa. Apapun kebaikan yang dibuat, apapun khidmat yang dibuat, tidak pernah terlintas dalam hatinya fikiran bahawa saya telah berbuat kebaikan yang besar, saya pasti akan mendapat pujian atau ganjaran daripada orang-orang dunia. Sebab saya telah mengkhidmati jemaat, sebab itu saya akan mendapat ganjaran. Tidak seperti itu, malah hanya semata-mata kerana keredhaan Allah itu semua dilakukan.   

Kemudian Hazrat Aqdas Maseeh Mau’ud as berkata dalam bukunya Tiryaqul Quloob: “Darjat kesyahidan bermaksud darjat yang apabila insan dengan kekuatan imannya yakin sebegitu rupa terhadap Tuhan dan hari perhitungan bahawa dia seakan-akan melihat Tuhan dengan mata sendiri. Barulah berkat dari keyakinan itu, kelemahan dalam amal soleh menjadi jauh. Setiap Qadho’ dan Qadar Allah Ta’ala akan tumpah dalam hati laksana madu, dan lapangan dadanya dipenuhi dengan kemanisan, dan ia kelihatan dalam setiap bentuk nikmat. Jadi, syahid dikatakan kepada orang yang disebabkan kekuatan iman, mereka menyaksikan Allah Ta’ala dan dari Qadho’ dan Qadar Allah Ta’ala, dia mendapat kelazatan seperti kemanisan madu. Dan sesuai dengan makna itu, ia dikatakan syahid. Dan darjat ini menjadi tanda kepada seorang mukmin yang sempurna”. (Tiryaqul Quloob, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 420-421)

Keimanan kepada hari perhitungan ada pada setiap mukmin tetapi yakin ke atasnya bagaimana? Keyakinan ke atasnya ialah melahirkan hubungan dengan Allah Ta’ala di dunia ini. Orang-orang dunia juga sanggup melalui berbagai kesulitan untuk orang-orang yang mereka cintai, maka Allah Ta’ala yang merupakan wujud yang paling dicintai, kenapa tidak dapat menanggung suatu kesusahan atau penderitaan? Jika untuk kecintaan dunia ada orang yang sanggup terkorban, tetapi dalam kecintaan terhadap Tuhan seharusnya mereka lebih daripada itu. Ganjaran daripada amalan baik boleh menarik keredhaan Tuhan yang boleh membawa mereka ke syurga. Beberapa amalan yang insan lakukan di dunia ini kadang-kadang memang kritikal. Misalnya, seorang dunia berdusta untuk sarana keduniaannya, tetapi seorang mukmin menganggap dusta sebagai syirik lalu tidak mengambil faedah daripada berbuat dusta, malah terus menzahirkan kebenaran walaupun harus menghadapi kerugian. Sebagai contoh, Ahmadiyah satu kebenaran. Sesuai dengan janji Allah Ta’ala kita menerima Maseeh Mau’ud dan Mahdi Ma’hud, tetapi kebenaran inilah yang menyebabkan orang-orang Ahmadi terutama sekali di Pakistan banyak menghadapi kesulitan. Dengan penzahiran inilah menyebabkan orang-orang Ahmadi disiksa, namun mereka tetap dalam keimanan.  

Saya juga menyatakan di sini dengan tegas bahawa disebabkan keadaan, Ahmadi di Pakistan datang ke sini untuk mencari suaka (Assylum). Dan disebabkan menzahirkan kebenaran, mereka terpaksa berhijran dari negara mereka. Tetapi, jika datang ke sini dengan dasar yang tidak benar untuk assylum, maka segala-galanya tidak memberi faedah. Di negara itu, kejujuran masih sangat diperlukan. Beberapa kes itu sangat genuine, ada juga perbicaraan, siksaan, penentangan dan permusuhan. Tetapi ada juga yang tidak berlaku apa-apa, namun saya katakan dengan benar, jika mereka memberitahu bahawa ada undang-undang yang menentang Ahmadi dan telah merampas kebebasan kami, dan sekarang ini kami tidak lagi boleh bersabar. Memang di Pakistan itu ramai orang Ahmadi dan insyaAllah akan terus tinggal, tetapi tahap kesabaran setiap orang itu berlainan. Kami sekarang ini tidak boleh lagi bertahan, sebab itu kami datang berhijrah ke sini. Jadi, orang-orang ini menyangka dengan pernyataan demikian mereka lebih mendapat simpati dan diberikan visa yang panjang. Tetapi, jika mereka berdusta maka dari satu dusta akan terus melakukan pendustaan yang lain. Ada beberapa kes yang menjadi sia-sia atau jika mereka berhasil pun, sesungguhnya perbuatan mereka itu telah mengundang kemurkaan Tuhan.

Jadi, utamakan sentiasa keredhaan Tuhan. Kepada siapa pun saya menyeru untuk berlaku jujur, supaya berlaku jujur dalam menjalankan suatu kes, dan mereka juga telah berlaku jujur, dan pada masa yang sama mereka tunduk kepada Allah, maka kes mereka itu selesai hanya dalam beberapa waktu sahaja.

Berdasarkan satu hadis, orang yang kekal atas kejujuran lalu berhijrah semata-mata kerana dunia, mereka itu syahid dan juga siddiq.

Abu Darda ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: orang yang berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain kerana hendak menghindari fitnah dalam agamanya, di sisi Tuhan dia seorang siddiq, jika dia mati dalam keadaan ini dia seorang syahid. Rasulullah saw menilawatkan ayat ini; “orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, di sisi Tuhan dia seorang siddiq dan syahid”. Kemudian Rasulullah saw bersabda bahawa orang yang berpindah dari satu negara ke negara lain demi keselamatan daripada fitnah agamanya, pada hari kiamat mereka akan berada pada tingkatan syurga yang sama dengan Nabi Isa bin Maryam. (Ad-Durre Mansur Fi Tafseer Bil Masur Tafseer Surah Al-Hadid ayat 19 Jilid 8 halaman 59, Dar Ahya At-Turasul Arabi Beirut Edisi 2001)

Jadi, kamu semua yang datang ke sini, apabila berhijrah semata-mata kerana Allah Ta’ala, maka sentiasalah mengutamakan kejujuran dan kuatkan keimanan dan beriman dan yakin pada hari perhitungan.

Hazrat Maseeh Mau’ud as bersabda di satu tempat bahawa sesungguhnya hari pembalasan itu satu perkara yang pasti. (Dipetik daripada Barahin Ahmadiyah Jilid 1, halaman 460, nota kaki nombor 11). Perintah Allah Ta’ala telah disabdakan oleh Rasulullah saw. Beliau menjelaskan dengan lebih lanjut lagi. Jadi, jika ia perkara yang pasti maka kenapa tidak berusaha untuk mencapai ganjaran yang terbaik dengan menjalani kehidupan sesuai dengan perintah Allah Ta’ala? Kenapa manusia tetap memilih hukuman Allah hanya untuk memenuhi keinginan duniawi mereka? Apapun, ini merupakan perkara yang lain. Tetapi, rumusannya ialah hari penghisaban hendaklah diletakkan di hadapan dengan keyakinan dan keimanan yang sempurna kepada Allah Ta’ala dan juga kesyahidan.

Hazrat Maseeh Mau’ud as bersabda lagi: “Kesempurnaan syahid ialah ketika menghadapi musibat, kesedihan, dan malapetaka, mereka memperlihatkan sedemikian rupa kekuatan iman, akhlak dan kesabaran yang mana disebabkan luar biasa sekali, ia menjadi tanda”. (Tiryaqul Quloob, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 516)

Kemudian beliau bersabda lagi “Sejauh mana iman itu kuat, demikian juga amalan hendaklah kuat. Sehinggakan jika kekuatan iman ini kelihatan dengan sempurna maka seorang mukmin berada dalam kedudukan syahid. Ini kerana dalam suatu urusan, tidak ada lagi halangan baginya sehinggakan dia tidak lagi teragak-agak untuk memberikan nyawa yang dia sayangi”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 226, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, kesyahidan itu bukan hanya mengorbankan nyawa, malah ia juga meliputi usaha untuk mencapai tingkat keimanan yang tinggi dan juga mencapai keredhaan Allah Ta’ala. Setiap kali melakukan amalan dan perbuatan, dia berkeyakinan bahawa Allah Ta’ala sedang melihatnya.

Saya juga hendak menerangkan secara ringkas bahawa apa tingkatan iman yang telah diletakkan oleh Allah Ta’ala ke atas orang mukmin. Allah Ta’ala berfirman: YU’MINUUNA BIL GHAIB (Al-Baqarah:4) yakni beriman kepada perkara ghaib. Kemudian berfirman lagi, dirikan solat, berbelanja pada jalan Allah, beriman dengan sempurna kepada semua nabi-nabi yang terdahulu dan juga kepada Rasulullah saw. Juga beriman kepada imam zaman dan Maseeh Mau’ud ini. Allah Ta’ala berfirman: WABIL AAKHIRATI HUM YUUQINUUN (Al-Baqarah:5) yakni orang mukmin itu beriman kepada hari kemudian. Maksudnya mereka beriman kepada perkara-perkara akan datang dan pada akhir zaman, perkara yang paling besar ialah kedatangan Maseeh Mau’ud. Sebab itu Hazrat Maseeh Mau’ud as bersabda bahawa salah satu bahagian daripada ayat WABIL AAKHIRATI HUM YUUQINUUN (Al-Baqarah:5) ialah Allah Ta’ala menetapkan supaya beriman kepadaku. (Dipetik daripada Review of Religions Mac & April 1915, halaman 164, jilid 14, nombor 3,4)

Kemudian, untuk kekuatan iman Allah Ta’ala berfirman bahawa perkuatkan keimanan kamu. Tanda seorang mukmin yang hakiki ialah mereka yang paling mencintai Allah Ta’ala. Perkara ini juga hendaklah diperhatikan oleh setiap Ahmadi. Kecintaan kepada Allah hendaklah mengatasi segala kecintaan yang lain. Jika ini tidak ada, maka itu menandakan iman yang lemah.

Kemudian keimanan kepada Allah, kepada Malaikat, kepada Kitab-kitab, dan beriman kepada para rasul telah disebut sebelumnya bahawa semua ini perlu kepada keimanan. Dan kemudian tingkatannya akan terus meningkat.

Kemudian, berkenaan dengan kedudukan iman Allah Ta’ala berfirman bahawa apabila nama Allah disebut di hadapan mereka yang beriman, maka dalam hati mereka akan timbul ketakutan kepada Allah.

Kemudian berkata; orang-orang mukmin adalah mereka yang berjihad pada jalan Allah Ta’ala. Sekarang ini jihad ada berbagai jenis. Satu daripadanya ialah jihad dengan pedang dan ia telah tamat setelah kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud as. Sekarang ini sudah tidak ada lagi perang agama dan juga jihad seperti itu. Dan jihad yang menjadi kewajipan bagi setiap Ahmadi dan untuk kekuatan iman serta untuk mendapatkan darjat kesyahidan, di setiap tempat dan negara, ia harus dilakukan, dan jihad itu ialah jihad tabligh. Jadi, di mana seorang Ahmadi berjihad memperbaiki jiwanya, di sana juga seorang Ahmadi berkewajipan berjihad menyampaikan amanat Allah. Dan jihad ini boleh dilakukan di setiap negara dan di mana sahaja mereka tinggal.

Dan kemudian berkata lagi bahawa berhijrah semata-mata kerana Allah Ta’ala juga merupakan bahagian dalam keimanan.

Kemudian, ini adalah tanda keimanan apabila orang yang beriman itu dipanggil ke arah perintah-perintah Allah, jawapan mereka ialah SAMI’NAA WA ATHO’NAA kami dengar dan kami taat. Mendengar perkara ini, masuk dari satu telinga, dan tidak membiarkannya terlepas dari telinga yang lain, malah dengar dan taat, dan ini ciri yang perlu ada begi seorang mukmin yang sejati.

Banyak perkara dan nasihat disampaikan, khutbah yang tuan-tuan dengar bukan sahaja didengar dan cukup. Tugas kamu ialah beramal padanya. Dengar dan itaat, perlihatkan contoh keitaatan dalam bentuk amalan. Jadi, jika ini diusahakan maka kamu berpeluang menjadi mukmin yang hakiki, dan kamu akan maju ke arah tingkatan kesyahidan. Kamu akan menuju ke arah tingkat yang mengarahkan kamu ke arah kesyahidan. Bukanlah pekerjaan seorang mukmin untuk berbahas bahawa perintah ini begini dan perintah itu begitu, penjelasannya demikian. Ataupun saling berdebat sesama sendiri, ini bukan pekerjaan orang mukmin.

Kemudian, ini juga adalah pekerjaan seorang mukmin yang hakiki bahawa mendengar sahaja perintah-perintah Allah Ta’ala maka hati terus bergetar. Dan kemudian sujud di hadapan Allah Ta’ala memohon agar diberi kekuatan untuk melaksanakan semua perintah-perintah itu.

Kemudian, mereka yang begitu mencintai Rasulullah saw juga adalah seorang mukmin yang hakiki (Sahih Bukhari, Kitabul Iman, Baab Hubbur Rasuul saw Minal Iman, hadis 15)

Jadi, inilah ciri-ciri yang harus ada pada diri seorang mukmin pada zaman ini. Malah, pada zaman ini, sebagaimana sabda Hazrat Maseeh Mau’ud as dalam syarat-syarat bai’at bahawa dalam mengikuti Rasulullah saw, untuk memastikan tugas baginda berterusan, Allah Ta’ala telah mengutus pencinta sejati baginda saw, Maseeh Mau’ud pada zaman ini, dan berhubungan dengannya lebih baik dari segala perhubungan duniawi. (Dipetik daripada Izalah Auham Rohani Khazain Jilid 3, halaman 564)

Jadi, inilah ciri-ciri sebagaimana yang telah saya katakan bahawa ia perlu ada pada setiap mukmin. Jika ini ada, maka walaupun manusia wafat secara biasa, ia boleh mencapai darjat kesyahidan. Jadi, kita hendaklah berusaha melahirkan keyakinan yang sempurna kepada zat Allah Ta’ala untuk mencapai tingkatan ini. Lahirkan keyakinan sempurna terhadap Hari Pembalasan. Dalam setiap amalan masing-masing, letakkan keyakinan ini. Dalam melakukan setiap amalan, letakkan dalam hati keyakinan bahawa Allah sedang melihat aku. Mohonlah pertolongan dalam menghadapi setiap kesulitan semata-mata kerana Allah Ta’ala. Mohonlah kekuatan iman daripada Allah Ta’ala sebagai satu tanda agung. Kuatkan keimanan sebegitu rupa sehingga tidak ada ketamakan dunia atau keinginan yang boleh mengotorkan iman. Bersihkan hati dan fikiran dari setiap jenis ketakutan untuk melakukan amal soleh. Lakukanlah setiap kebaikan dengan jujur. Semoga setiap kebaikan menjadi bahagian fitrat kita. Semoga kita semua menjadi orang yang tunduk kepada Allah untuk mendapatkan kekuatan istiqomah dan ketenangan. Berusahalah mencari ukuran ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Jadi, inilah ukuran yang seharusnya dicapai oleh seorang mukmin, dan berdoalah untuk itu. Adakah wujud seorang mukmin yang selepas ini akan mempersoalkan bahawa kenapa kita harus berdoa untuk syahid? Inilah kesyahidan yang sebenar yang mana seorang mukmin harus berdoa untuknya supaya dia boleh menjadi mukmin yang hakiki.

Dengan rujukan daripada Hazrat Maseeh Mau’ud as, perkara ringkas yang telah saya terangkan di sini seharusnya diusahakan oleh setiap Ahmadi agar dapat dijadikan cara hidup seharian. Dan apabila kedudukan ini ada dalam diri kita, maka sesungguhnya kita akan bersedia menerima serangan dan tembakan daripada musuh, dan di negara mana pun kita berada, walaupun dalam keadaan aman kita boleh mencapai darjat kesyahidan. Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk itu.

Sebagaimana dalam khutbah Jumaat lepas yang saya sampaikan di Hamburg, saya telah mengumumkan bahawa hari itu ada khabar mengenai satu kesyahidan. Hari ini, insyaAllah selepas Jumaat saya akan memimpin satu solat jenazah untuk syahid ini yang namanya Mukarram Maqsood Ahmad Sahib ibni Mukarram Nawab Khan Sahib. Pada 7 Disember 2012, beliai syahid di Kuetta. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Dalam keluarga beliau, Ahmadiyah muncul melalui moyang kepada ayah beliau Mukarram Nawab Khan Sahib iaitu Muhtaramah Bhag Bhari Sahibah Al-Ma’ruf Muhtaramah Bhag Bhari Sahibah. Wanita ini tinggal berdekatan Qadian iaitu di Nanggal. Dia telah bai’at di tangan Hazrat Maseeh Mau’ud as. Selepas kewujudan Pakistan, keluarga ini telah berpindah ke Sahiwal, Pakistan. Dalam tahun 1965, mereka berpindah ke Quetta. Maqsood Sahib lahir di Quetta, usianya 31 tahun. Pendidikannya tahap menengah. Beliau bekerja bersama ayahnya sebagai pengawal. Pada tahun ini juga, dalam bulan November, abangnya Mukarram Manzoor Ahmad Sahib juga telah disyahidkan. Sebelum syahid, Maqsood Sahib bekerja sebagai pengawal di bahagian building construction dan juga menjalankan perniagaan kedai hardware. Selepas abangnya syahid, dia menjalankan kedai itu sepenuh masa. Peristiwa kesyahidan beliau adalah seperti ini: Pada 7 Disember pagi jam 9, Maqsood Sahib sampai di kedai hardware bersama pekerjanya. Beliau menurunkan pekerjanya lalu pergi menghantar dua orang anaknya ke sekolah di Satelite Town itu. Selepas sahaja menurunkan anaknya di sekolah dan hendak kembali ke kedai, dengan tidak disangka-sangka ada dua orang yang tidak dikenali menaiki motosikal datang dan terus menembak beliau. Dengan tembakan itu didapati ada lima das tembakan masuk ke dalam tubuhnya, iaitu empat butir peluru kena di kepalanya dan satu lagi dibahunya. Dengan segera beliau dikejarkan ke hospital, tetapi luka yang parah menyebabkan beliau telah syahid semasa dalam perjalanan ke hospital. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa pada bulan yang lepas abangnya juga telah disyahidkan. Almarhum sangat suka mengkhidmati manusia. Setiap kali diadakan Medical Camp, beliau bukan sahaja mewakafkan keretanya untuk medical camp itu, malah dia sendiri yang memandunya. Demikian juga dalam program Da’wat Ilallah, kereta beliau juga dpersembahkan untuk itu. Beliau juga sangat memuliakan para murabbi yang datang berkunjung dan mengkhidmati mereka dengan penuh kegembiraan. Beliau juga sangat suka melakukan khidmat di bahagian kawalan keselamatan terutamanya selalu melakukan kawalan pada hari Jumaat. Sadr Sahib Satelite Town Quetta memberitahu bahawa syahid marhum seorang pengkhidmat tetamu, kurang bercakap, berakhlak mulia, lemah lembut dan sederhana. Beliau tidak pernah marah dengan sesiapa dan juga tidak memberi peluang orang lain untuk marah. Kadang-kadang, walaupun musuh menggunakan kata-kata yang sangat kesat, beliau membalasnya dengan ucapan bernada riang. Tetapi, bukan bermakna beliau tidak terasa kerana apabila dia balik ke rumah, dia akan menceritakan peristiwa itu dan kadang-kadang menangis sedih mengenangkan kata-kata penentang itu. Sadr Sahib memberitahu: tiga hari sebelum beliau syahid, dia menelefon saya dan mengatakan bahawa kenapa sehingga sekarang ini tidak datang ambil canda saya. Pada hari itu, dia memberikan candanya dengan sempurna. Beliau sangat mencintai anak dan isterinya, beliau tidak pernah meninggikan suara di hadapan mereka. Selain daripada ibu bapa sendiri, beliau juga sangat menghormati ibu bapa isterinya. Beliau sangat memperhatikan keperluan mereka. Selain ayahnya Nawab Khan Sahib, ada isterinya bernama Muhtaramah Saajidah Maqsood Sahibah dan seorang anak lelaki bernama Masroor yang berusia Sembilan tahun, anak perempuan bernama Maryam Maqsood berusia Tujuh tahun. Beliau mempunyai dua kakak, manakala ibunya sudah meninggal dunia, yang ada sekarang adalah ibu kedua, iaitu ayah mereka bernikah selepas kematian ibu mereka.

Muallim Satelite Town menulis berkenaan dengan beliau bahawa beliau seorang yang sangat sederhana. Beliau sangat hormat tetamu yang datang ke rumahnya. Beliau juga sangat memuliakan para murabbi dan muallim, sangat hormat kepada mereka. Di rumahnya ada solat center. Beliau berusaha untuk memakmurkannya. Di rumahnya selalu didirikan solat dan dilanjutkan dengan program waqfe nou dan kelas untuk anak-anak. Beliau sangat prihatin akan tarbiyat anak-anak. Beliau berkata: di Quetta ini sudah melampau keadaanya, seharusnya kita harus berhijrah dari sini. Beliau mengambil pendapat daripada muallim sahib dan bercadang hendak menulis surat kepada saya, tetapi inilah takdir Allah Ta’ala kepadanya bahawa dia mendapat darjat kesyahidan lebih dahulu. Mereka hanya dua beradik, dan kedua-duanya telah terkorban pada jalan Allah Ta’ala. Ayahnya berkata dengan mengadap ke langit: Ya Allah! Musuh telah mengambil kedua-duanya, sekarang Engkaulah sendiri yang berurusan dengan orang-orang zalim ini.

Semoga Allah Ta’ala meninggikan darjat marhum, kesyahidan itu telah tertulis dalam takdirnya, semoga Allah menjadi pelindung dan penolong kepada anak-anak beliau dan memelihara mereka. Isteri dan anak-anak serta ibu bapa dikurniakan kesabaran dan keberanian. Semoga musuh-musuh mendapat perhitungan daripada Allah.

----------------------------<<<>>>----------------------------

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Batu Caves, Selangor.

03 FEBRUARI 2013

No comments:

Post a Comment