Friday, September 28, 2012

Respon Terhadap Filem Anti-Islam


Ayat 57-58 dari Surah Al-Ahzab bermaksud “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang mukmin, ucapkanlah salawat untuknya dan mintalah selalu doa keselamatan baginya. Sesungguhnya, orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah mengutuk mereka di dunia dan di akhirat, dan Dia menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan”.

Anasir-anasir jahat musuh Islam telah menyerang kemuliaan Rasulullah(saw) dengan menerbitkan filem yang kotor sehingga menzahirkan unsur penghinaan yang sangat menyakitkan. Atas perbuatan yang buruk, tidak bermoral dan zalim ini telah menimbulkan perasaan sedih dan kemarahan di kalangan pengikut Rasulullah(saw). Dari satu segi, kesedihan dan perasaan marah ini adalah kudrati (semulajadi). Dan yang paling merasainya adalah golongan yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kedudukan Rasulullah(saw) yang sangat mulia. Hati kita sangat terbakar atas perbuatan tersebut. Kita sujud di hadapan Allah mengharapkan agar pembuat kezaliman ini diberi balasan dan dijadikan pengajaran untuk sepanjang zaman.

Keasyikan kita terhadap Rasulullah(saw) tidak ada tolok bandingnya, sehinggakan kita boleh berdamai dengan ular-ular berbisa dan binatang liar di hutan, tetapi kita sama sekali tidak akan berdamai dengan mereka yang menghina Nabi Muhammad Rasulullah(saw) dan kedegilan atas perbuatan mereka.

Dalam ayat tadi, Allah Ta’ala menyeru kepada orang-orang mukmin bahawa tanggungjawab kita ialah bersalawat ke atas Rasul tersebut. Nabi ini sangat agung sehinggakan Allah dan malaikat juga bersalawat ke atasnya. Dan apabila kita mendapati musuh Islam semakin giat menyerang baginda, maka tindakbalas kita ialah semakin banyak bersalawat ke atas baginda. Jadi, setiap muslim berperanan memberi kefahaman kepada pemerintah dan kerajaan di negara masing-masing agar tidak melakukan perkara berkenaan. Jelaskan siapa Rasulullah(saw) yang sebenar kepada mereka. Perlihatkan kepada mereka kecantikan akhlak Rasulullah(saw). Inilah tindakbalas yang seharusnya kita lakukan.

Tindakbalas seperti membakar harta benda negara adalah tidak berfaedah, apatah lagi membunuh manusia. Akibat atau balasan yang akan diterima oleh orang yang bertanggungjawab telah diberitahu sendiri oleh Allah di dalam ayat yang kedua bahawa mereka yang menghina Rasul akan dilaknat di dunia ini, dan selepas mati juga mereka akan mendapat azab siksaan yang sangat pedih. Maknanya, pasti dan pasti mereka akan mendapat balasan yang buruk.

Begitu juga dalam risalah France, hal ini timbul kembali iaitu melukis kartun yang lebih teruk berbanding sebelumnya. Dunia ini terdiri daripada satu bahagian kerajaan Islam yang besar. Negara-negara Islam juga adalah bahagian dari UNO. Jadi, kenapa kerajaan Islam tidak berusaha untuk memperlihatkan ajaran Al-Qur’an yang cantik kepada dunia, kenapa tidak menjelaskan bahawa mempermainkan hal-hal agama dan menghina nabi-nabi Allah juga adalah satu kesalahan besar?

Untuk keamanan dunia juga adalah perlu UNO memasukkan syarat keanggotaan kepada penduduk negara-negara anggota supaya jangan memberi izin soal-soal mempermaikan emosi penganut agama lain. Jika semua negara-negara Islam sepakat atas hal ini bahawa undi hanya akan diberikan kepada pemimpin yang memelihara keharmonian agama-agama, maka dalam kerajaan-kerajaan duniawi ini juga akan muncul kelompok yang akan bangkit menghadapi perbuatan tidak bermoral ini.

Sesungguhnya orang yang telah menerbitkan filem ini dan orang yang bekerja di dalamnya telah mengundang azab Allah Ta’ala. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi akal kepada orang-orang dunia, menghindari mereka dari melakukan perbuatan yang sangat dibenci dan zalim ini. Dan semoga Allah Ta’ala memberi kita taufik untuk menunaikan tanggungjawab kita.

No comments:

Post a Comment