Thursday, May 10, 2012

Tabligh Para Sahabat Maseeh Mau'ud alaihissalam




TERJEMAHAN
KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
09 MAC 2012 / 09 AMAN 1391HS
15 Rabi’us Tsani 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, Morden, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur meneruskan Khutbah seperti berikut:-

Para Anbiyya yang datang ke dunia tujuan mereka adalah untuk mendekatkan hamba-hamba-Nya kepada Allah Ta’ala, menjadikan mereka hamba-hamba yang suka beribadah, begitu juga menjadikan mereka berjalan mengikut landasan yang diajarkan oleh-Nya. Di antara para Anbiyya yang datang membawa ajaran yang kamil dan sempurna adalah junjungan kita Nabi Muhammad saw. Baginda mengajarkan ajaran yang diturunkan dari langit untuk disebarkan kepada dunia.

Amanat yang baginda bawa untuk disebarkan kepada dunia tidak ada tandingannya. Baginda menyampaikan amanat ini bukan sahaja kepada orang-orang Badwi malah kepada hamba sahaya, raja-raja dan rais-rais (ketua-ketua) tanpa ada perasaan takut dalam menyampaikan amanat yang hakiki itu. Tugas agung ini juga diamanatkan kepada para sahabat. Lalu 1400 tahun kemudian menurut janji Allah Ta’ala, Dia akan mengutus Ghulam Sadiq (hamba sejati) daripada Nabi Muhammad saw iaitu Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Beliau adalah orang yang akan mengambil tugas agung ini untuk memanggil sekalian insan kepada Allah Ta’ala.

Beliau a.s. memberitahu kepada dunia bagaimana caranya untuk berhubung dengan Allah Ta’ala, bagaimana untuk menuju kepada-Nya. Beliau memberitahukan untuk mencari dan berkeinginan untuk sampai kepada-Nya, maka pada masa ini hanya Islam sahaja yang akan dapat membawa manusia kepada Allah Ta’ala. Beliau a.s juga mengajak orang-orang yang tidak beragama menuju kepada-Nya. Ada serangkap Nazam yang beliau sabdakan iaitu “Hai Manusia, inilah cahaya Tuhan yang akan engkau perolehi”. [Aina Kamalat Islam, Rohani Khazain Jilid 5 halaman 225]
    
Kemudian dalam salah satu tulisannya,  beliau a.s bersabda, jika mahu mengkaji dan menyelusuri secara mendalam, selain Islam agama-agama lain yang terdapat di dunia pasti ada terdapat kesalahan di dalamnya. Ini adalah kerana pada peringkat awal lagi agama-agama tersebut membawa ajaran yang dusta. [Agama-agama yang ada pada masa ini mempunyai ajaran yang salah kerana pada peringkat awalnya agama-agama itu membawa ajaran yang dusta] kerana setelah kedatangan Islam, Tuhan telah meninggalkan agama tersebut. Ianya seperti sebuah kebun yang tidak lagi mempunyai tukang kebun yang bertugas mengairi dan membersihkannya. Oleh sebab itu agama-agama tersebut secara beransur-ansur telah menjadi rosak. Seluruh tanaman yang tumbuh menjadi kering lalu dipenuhi dengan rumput-rumput yang berduri. Dan agama rohani yang sepatutnya menjadi akar yang kuat telah lenyap dan hanya meninggalkan tulisan-tulisan kering. {Islam, Pidato Sialkot, Rohani Khazain Jilid 20 halaman 203}

Selanjutnya beliau a.s menghuraikan bahawa Islam adalah syariat yang terakhir, kerana itu Allah Ta’ala tidak menjadikan ajarannya kering gersang seperti agama-agama lain, kerana setiap abad di pelbagai tempat dan masa, Allah Ta’ala sentiasa mengutus penjaganya supaya kebun itu sentiasa menghijau. Dan pada masa ini, Allah Ta’ala telah mengutus aku untuk menjaga kebun-kebun tersebut. Dan aku adalah Mujaddid Millenium terakhir. Oleh itu, untuk melihat kebun itu kelihatan indah dan menghasilkan buah-buahan, maka setiap orang-orang Muslim mempunyai kewajipan untuk bergabung dengan Asyik Sadiq (pencinta sejati) daripada Nabi Muhammad saw, kerana melalui beliau sahaja yang akan dapat memperhubungkan yang hidup dengan Allah Ta’ala.

Beliau a.s bukan mengajarkan kecantikan ajaran Islam di benua India sahaja tetapi telah sampai ke negara-negara lain. Bukan setakat itu sahaja, beliau a.s juga telah meniupkan roh ke dalam hati para sahabat untuk bai’at di tangan beliau a.s dan memerintahkan para sahabat untuk menyampaikan amanat itu kepada dunia, supaya dapat menarik mereka menuju kepada Allah Ta’ala dan dapat menjalinkan ikatan dengan-Nya. Dan jalinan ini hanya dapat dilakukan apabila memiliki hubungan hakiki dengan Ghulam Sadiq (hamba sejati) daripada Nabi Muhammad saw. Orang-orang yang bai’at di tangan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s terdiri daripada orang-orang miskin, buruh, tuan tanah, petani, buta huruf, orang gaji, peniaga, golongan terpelajar dan menurut kemampuan masing-masing.

Setelah menjalinkan persahabatan dan memperoleh faedah tentang hakiki Islam, lalu mereka berusaha untuk menyampaikan amanat tersebut kepada dunia. Begitu juga para sahabat menyampaikan amanat ini di kawasan masing-masing. Setelah menyampaikan amanat tersebut, para penganut agama lain mulai menerima ajaran Islam. Dan mereka masuk ke dalam agama ini disebabkan kurnia daripada Allah Ta’ala. Orang-orang inilah yang menyampaikan ajaran Islam dengan begitu cepat, bukan sahaja di India malah mereka telah menyampaikan amanat tersebut keluar dari benua India. Pada hari ini saya akan menceritakan kisah-kisah pertablighan yang dilakukan oleh mereka.

Hazrat Imamuddin Sahib r.a menerangkan suatu kali Maulvi Fatah Din Sahib telah menulis surat untuk berdebat dengan Maulvi Abdus Subhan Maniawala di Dharamkot. Kami bersama Maulvi Abdullah Sahib Kashmiri telah tiba di Dharamkot, di situ orang-orang sudah mulai berkumpul. Maulvi Subahan Mania apabila melihat orang-orang Jemaat, dia pergi berjumpa dengan seorang ketua di Bhagowala yang bernama Baseen Singh. Orang-orang Jemaat pun ikut pergi ke Bhagowala. [Begitu semangatnya untuk bertabligh, mereka tiba di situ].

Pada akhirnya Baseen Singh Sahib bersetuju dan mempengerusikan perbahasan itu berkenaan dengan soal hidup dan matinya Nabi Isa. Tetapi pihak lawan terduduk diam. [Yakni, mereka mempertikaikan dan mulai membantah] lalu dia berkata, saya akan berbahas jika tuan dapat buktikan nama Mirza Sahib ada di dalam Al-Quran. [Dia meletakkan syarat bahawa harus ada nama yang dimaksudkan] iaitu nama Mirza Ghulam Ahmad anak kepada Mirza Ghulam Murtaza. [Jika terdapat nama itu dalam Al-Quran barulah saya akan percaya, jika tidak perbahasan tidak akan dijalankan] Maulvi Abdullah Sahib berkata, saya akan perlihatkan dalam Al-Quran, lalu Maulvi ghair ini menuntut jawapan dari Maulvi Abdullah Sahib lalu beliau berkata, jika para Anbiyya terdahulu ada menyebutkan nama serta nama bapa mereka maka perlihatkan pada saya. Tetapi jika tuan tidak dapat buktikan, kenapa persolan ini ditimbulkan kepada kami? Mendengar persoalan ini, pihak lawan tidak dapat menjawabnya.

Akhirnya mereka merasa malu lalu terduduk diam. Ketua Baseen Singh lalu berkata, Maulvi ghair ini tidak tahu apa-apa. [Lalu terkeluar dari mulutnya kata-kata makian dalam bahasa Punjabi] Pada akhirnya, Tuhan memberikan kemenangan pada Jemaat. Peristiwa perbahasan ini kami ceritakan kepada Hazrat Sahib [Hazrat Maseeh Mau’ud a.s.] lalu beliau a.s menjawab kenapa tuan tidak menyatakan bahawa Tuhan ada meletakkan nama saya dalam Al-Quran iaitu Ismu Ahmad. [Diambil dari Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Jil 5 hal 57 Riwayat Hazrat Imamuddin Sahib]

Hazrat Pir Iftikhar Ahmad Sahib menceritakan tentang bapanya Majad Pir Ahmad Jan Sahib bahawa beliau telah menerima pendakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. [Kejadian ini berlaku sebelum bai’at beliau menerima Hazrat Maseeh Mau’ud a.s sebagai Mujaddid pada zaman ini] Kawan-kawan beliau samada yang mengenalinya maupun yang tidak mengenalinya mulai tergesa-gesa menerbitkan risalah yang panjang lebar yang menceritakan keadaan masa kini. [Ketika mereka menulis risalah itu, katanya] artikel itu telah diterbitkan dalam Al-Fazl. Bapa saya menceritakan, selain bertabligh melalui penerbitan risalah, beliau juga meminta murid-muridnya mengambil bahagian dalam pengorbanan harta, hingga akhir hidup beliau, beliau lalui kehidupannya dengan berkhidmat pada Jemaat. Seberapa yang termampu beliau akan berikan candah dan menerbitkan risalah-risalah. [Daftar Riwayat Sahabat Tanpa Penerbit Jil 7 hal 1, Riwayat Hazrat Pir Muhammad Iftikhar Ahmad Sahib] Inilah tujuan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s diutus pada zaman ini.

Dengan kurnia Allah Ta’ala selain buku-buku dan risalah, Jemaat juga mempunyai siaran M.T.A yang menyiarkan program agama dalam pelbagai bahasa. Pada permulannya M.T.A cuma memiliki satu satelit sahaja dan siarannya hanya untuk beberapa jam sahaja. Tetapi pada hari ini M.T.A sudah memiliki 10 satelit yang telah menyiarkan programnya ke seluruh dunia.

Ketika ini di India masih memakai Disc yang besar tetapi sedang diusahakan Insya Allah Disc yang berukuran 1-2 kaki sahaja boleh mendapat siaran M.T.A. Hazrat Master Nazir Hussain Sahib bapa kepada Hakim Muhammad Husain Sahib [Marham Isa] berkata, ketika remaja saya bersemangat untuk bertabligh, lalu saya tinggal bersama bapa saya sehingga September 1903 di Lahore. Pada masa itu seorang Ahmadi yang bernama Abu Sayyid Arab datang berjumpa bapa saya. Ketika beliau melihat saya yang suka bertabligh, maka beliau mengajarkan dalil-dalil yang mudah tentang kewafatan Nabi Isa a.s dan kedatangan Maseeh Mau’ud a.s.

Setelah mendengar dalil tersebut saya pergi berjumpa dengan imam masjid di Bati Darwaza dan dalil yang sama saya kemukakan kepadanya. Dan imam itu berkata, saya mahu lihat jika anda sedang berjalan dengan Mirza Sahib, dan ketika beliau mahu masuk ke rumahnya cuba perhatikan, adakah debu melekat di wajahnya? Jika anda dapat buktikan barulah saya akan memberikan jawapan dan akan memberitahu hakikat yang sebenar. Dikeranakan saya telah beberapa kali sebelum ini pernah berjalan dengan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Mendengar kata-kata imam itu lalu saya bergegas pergi ke Qadian dan saya berkesempatan berjalan dengan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s pada waktu pagi.

Ketika berjalan dengan Huzur, beliau a.s. berjalan sangat cepat dan kadang-kadang saya terpaksa berlari-lari dari belakang mengikuti Huzur. Kebetulan pada waktu itu udara berhembus yang membuatkan debu-debu berterbangan dan debu-debu itu mengena muka orang-orang yang berada di situ. Dan ketika Huzur menuju pulang dari bersiar-siar lalu Huzur menunggu orang-orang di depan rumah beliau a.s. Mereka berdiri membuat bulatan dan saya ikut berdiri bersama mereka. Dan saya memperhatikan wajah orang-orang yang berada di situ dan wajah Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dengan penuh teliti. Ketika saya melihat wajah Hazrat Masih Maud a.s saya merasa amat hairan kerana kelihatan wajah beliau a.s sedikit pun tidak berdebu tetapi wajah orang lain penuh dengan debu. Peristiwa itu saya ceritakan kepada Hazrat Khalifatul Maseeh Awal r.a, dan beliau berkata itulah tanda beliau a.s sebagai Maseeh Mau’ud a.s.

Kemudian saya balik ke Lahore berjumpa kembali dengan imam masjid itu dan menceritakan semua kejadian bersama dengan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Kemudian  setelah kejadian itu saya berjumpa denagn Hazrat Khalifatul Maseeh Awal r.a. Saya memberitahu kepadanya inilah tanda orang yang dijanjikan. Mendengar cerita itu, imam itu segera menjawab; saya tidak mempercayainya. Anda telah mengada-adakan cerita yang diajar oleh Hakim Nuruddin. Walau bagaimanapun orang ini telah mahrum daripada bukti tersebut. Dan kami melihat di depan mata kami sendiri peristiwa itu. [Daftar Riwayat Sahabat Tanpa Penerbit Jil 7 hal 62 Riwayat Hazrat Master Nazir Hussain Sahib]

Kemudian, Hazrat Sher Muhammad Sahib berkata bahawa satu kali saya bermimpi ada sebuah perigi yang dipenuhi oleh susu, saya dan kawan-kawan minum susu tersebut berbaldi-baldi sehingga perigi itu menjadi kering. Lalu saya pergi berjumpa dengan Maulvi Fatahuddin Sahib dan menceritakan mimpi saya itu. Beliau berkata, sebaiknya tuan pergi berjumpa dengan Maulvi Abdul Karim Sahib atau Maulvi Nuruddin Sahib. Lalu saya datang ke Qadian berjumpa dengan Maulvi Abdul Karim Sahib dan menceritakan mimpi saya kepada beliau. Beliau berkata “Susu” ertinya adalah ilmu. Saya berkata bahawa saya buta huruf tidak pandai membaca. Beliau berkata ilmu yang dimaksudkan di sini bahawa Tuhan yang akan mengajarkannya. Dan maksud “Berbaldi-baldi susu yang diminum” ertinya ialah kawan-kawan tuan akan mendapat kurnia daripada pendakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Dan maksud “perigi menjadi kering” bahawa orang-orang yang menghalang pertablighan tuan dan menghalang pendakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s suatu hari nanti mereka akan mati di hadapanmu.

Demikianlah, setelah itu ketiga-tiga maksud mimpi tersebut menjadi sempurna. Sungguhpun ada penentangan dari Khan Fatah, berkat pertolongan Allah Ta’ala dan doa-doa dari orang-orang Ahmadi, berkampung-kampung orang telah masuk ke dalam Jemaat. [Daftar Riwayat Sahabat, Tanpa Terbitan Jil 7 hal 83 Riwayat Shah Muhammad Sahib]

Kemudian Hazrat Qazi Nuhammad Yusof Sahib dari Mardan menceritakan bahawa beliau telah mendapat kesempatan mengadakan pelayaran dari India ke Bombay, Karachi, Quetta, Mustunak, Afganistan, Jalalabad dan Kabul. Bahagian Punjab pula beliau pergi ke Murree, Qadian, Gurdaspur, Amritsar, Rawalpindi, Sialkot, Lahore dan Wazirabad. Beliau juga pergi di perbatasan dan Agency, begitu juga ke Swat, Jammu Kashmir, Rozabal Hazrat Yus Asaf kuburan Nabi Isa yang terletak di Mohallah Khanyar.

Apabila saya telah baiat maka di saat itu juga seluruh sekolah Islam, pelajar-pelajar mereka di Peshawar mengenali Jemaat dengan nama Qadiani, Qadian atau Mirza Qadian. [Yakni, sejurus saya baiat seluruh sekolah menjadi masyhur dengan gelaran tersebut] Jika saya pergi bermain bola di Shani Bagh mereka akan mengumpat dan nama Jemaat menjadi sangat masyhur, orang-orang akan bersoal jawab dan mengadakan perbahasan. Sama ada di sekolah atau di mana sahaja ada kesempatan, mereka akan mengumpat mengenai Jemaat dan perkara ini sudah umum. Setelah saya tamat bekerja di sekolah lalu saya keluar dari daerah itu, saya menuju ke Peshawar dan ke perbatasan, kerana saya selalu ke daerah-daerah bersama Honourable Chief Commissioner diperbatasan, dan secara kebetulan berjumpa dengan Agency di situ.

Semua pelajar-pelajar daerah di perbatasan belajar di Islamik Kolej dan Mission Kolej, saya berjumpa dengan ketua di situ...[Di situ pun saya bertabligh] Mereka yang tinggal diperbatasan dan yang mempunyai fitrat yang baik telah menerima Ahmadiyyah melalui risalah, tulisan atau daripada perbicaraan saya dengan mereka. Orang-orang yang masuk Jemaat melalui saya ada kira-kira 250 orang. Ada di antara mereka yang telah wafat dan ada yang masih hidup [Tetapi ada yang memberitahu sebahagian di antara mereka ada yang masuk Jemaat di masa Hazrat Khalifah Maseeh Tsani r.a.] Amanat telah pun di sampaikan dan masih ada sebahagian Jemaat di sana. [Diambil dari Daftar Riwayat Sahabat Tanpa Penerbit Jil 7 hal 197-198 Riwayat Hazrat Qazi Muhammad Yusof Sahib]

Hazrat Ahmad Deen Sahib r.a. anak kepada Manna Sahib berkata, pada satu kali dalam khutbah Jumaat saya mendengar dari mulut Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, beliau bersabda; Jemaatku yang tidak memiliki ilmu pun boleh mengalahkan orang-orang ghair. Mereka tidak akan mampu berdebat dengan orang-orang Jemaatku. Saya melihat sendiri pengalaman ini. Saya memang tidak memiliki ilmu dan buta huruf tetapi saya dapat membuat ulama-ulama ghair terdiam dan kalah. Saya berkata; anda semua pendusta sedangkan saya tidak berilmu dan buta huruf. [Daftar Riwayat Sahabat tanpa Terbitan Jil 7 hal 26 Riwayat Ahmad Deen Sahib]

Yakni, para Maulvi ingkar daripada beriman kerana saya buta huruf. Hazrat Dr. Muhammad Bakhs Sahib anak Mian Kale Khan Sahib berkata, pada tahun 1903 melalui surat dari Chawani Chattuk daerah Simla telah baiat. Huzur telah mengunjungi daerah ini pada tahun 1902. Waktu itu Huzur memakai inai di janggut beliau dan kain menutupi kepala beliau a.s di bahagian bilik hanya ditutupi oleh cadar. Huzur pergi berdekatan dengan masjid Mubarak yang mempunyai halaman dan beliau a.s duduk di atas charpai [Katil tradisional orang India] ketika itu ada empat dan lima orang yang bersalaman dengan beliau a.s dan setiap di antara mereka menceritakan keadaan mereka.

Huzur bertanya dengan saya; tuan dari mana? Saya memberitahu bahawa saya dari daerah Chirawali, Kapurthala. Saya bekerja di kilang senjata. Di tempat itu saya seorang sahaja Ahmadi dan untuk bertabligh dengan askar-askar agak susah. [Saya bersemangat dalam bertabligh tetapi di tempat saya agak susah untuk bertabligh] Pegawai di situ tidak membenarkan saya bertabligh] Tuan tidak akan keseorangan, teruskan bertabligh jangan risau. Huzur lalu berkata, apakah tuan tinggal di rumah askar? Saya berkata; kami akan bertukar tinggal di rumah askar setiap tiga tahun sekali. Huzur berkata, di mana sahaja tuan pergi usahakan berjumpa dengan orang-orang Jemaat. [Daftar Riwayat Sahabat Tanpa Terbitan Jil 7 hal 126 Riwayat Hazrat Dr Muhammad Bakhs Sahib] Ini adalah petunjuk yang paling penting dari Huzur bahawa setiap orang Ahmadi harus berhubung di mana sahaja kita berada.

Hazrat Mammu Khan Sahib anak kepada Kale Khan Sahib berkata, pada tahun 1902 saya bermimpi bahawa bulan pecah dari langit dan jatuh dalam dompet saya. Mimpi itu saya ceritakan kepada Sayyid Muhammad Shah Sahib seorang yang mukhlis. Beliau menyatakan bahawa tuan akan mendapat kehormatan atau akan bai’at dengan seorang yang suci. Ketika itu usia saya 24 tahun. Saya dan Sayyid Muhammad Shah Sahib pergi ke sekolah Machiwara, di situ ada dua orang pekerja, pekerja itu bertabligh dengan saya.

Pada ketika itu nubuatan tentang Pandit Lekhram telah menjadi buah mulut. Saya memohon kepada Sayyid Muhammad Shah jika nubuatan tentang Pandit Lekhram betul-betul sempurna, maka saya akan baiat, dan nubuatan itu memang sempurna, maka saya terus baiat. Pada waktu itu Maulvi Abdul Karim masih hidup. Saya mengambil bai’at melalui surat dengan Sayyid Muhammad Shah Sahib dan surat itu disampaikan kepada Huzur. [Yakni, ketika surat itu disampaikan kepada Hazrat Masih Maud a.s. maka Hazrat Maulvi Abdul Karim Sahib sendiri yang menjawab surat saya itu] Setelah itu surat tersebut telah sampai atas nama saya, bahawa bai’at saya telah diterima dan Huzur mendoakan untuk saya. Saya bai’at melalui surat pada tahun 1904 dan pada 1906 saya ke Qadian dan bai’at di tangan Huzur. [Catatan dari Daftar Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Jil 7 hal 149 Riwayat Hazrat Mammu Khan Sahib]

Hazrat Mian Abdul Rasheed Sahib menerangkan ada seorang ghair Ahmadi yang bekerja di stesen keretapi dan dia telah terpengaruh dengan ajaran Arya. Ibu bapanya amat risau tentang keadaan anaknya itu, maka ibu bapanya membawa anaknya itu berjumpa dengan Maulvi ghair di masjid Begum Shahi. Ketika orang itu mengemukkan bantahan di hadapan Maulvi, tentang ajaran Arya maka Maulvi itu sangat marah dan cuba memukulnya. [Dia mengkritik ajaran Arya, tetapi Maulvi itu tidak dapat menjawabnya lalu hendak memukul orang itu] Lalu orang itu lari meninggalkan Maulvi tersebut. Ketika itu ada orang mengikutinya dari belakang, melihat kejadian itu seorang Ahmadi iaitu Ahmad Deen Sahib yang bekerja sebagai Jerumatan [menjahit kain yang koyak] pun ikut bersama dan saya mengikutinya sampai ke rumah.

Setelah mengetahui kisahnya, orang itu datang kepada saya [orang itu datang kepada Mian Abdul Rasheed Sahib] dan menceritakan semua kejadian tersebut. Saya berkata kepadanya; kita harus berjumpa dengan Maulvi ghair itu dan memberitahu perkara sebenar. [Beliau merasa sedih, bagaimana seorang Muslim boleh masuk ajaran Arya. Perkara ini menyebabkan orang Ahmadi merasa amat sedih, Maulvi kerjanya hanya pandai memukul] Saya bersama-samanya pergi ke rumah orang yang telah masuk agama Arya itu.

Ketika pertama kali saya berbicara dengan orang itu, dia cuba mengelak tidak mahu bercakap dengan saya. Dan dia berterus terang bahawa dia telah memeluk agama Arya. Dia memberitahu bahawa anda tidak dapat mempengaruhi saya kerana saya telah masuk agama Arya. Dan orang itu menyatakan bahawa dia tidak memakan daging sepertimana amalan orang-orang Arya tidak memakan daging. Saya terus mengikuti orang itu di dalam upacara majlis dan peribadatan mereka. Setelah beberapa lama kemudian dia sudah mulai rapat dengan saya. Apabila orang itu keluar bersiar-siar, saya pun ikut bersama-samanya, kadang-kadang saya sanggup menunggu menemaninya.

Beberapa hari kemudian adalah cuti umum [Perayaan Easter] Saya berkata kepadanya, mari ikut saya pergi ke Qadian. Dia berkata, dia belum bersedia untuk ke sana lalu dia berkata, saya tidak mahu pergi berjumpa dengan Maulvi-maulvi. Saya berkali-kali memujuknya dan menerangkan kedudukan sebenar. Saya memberitahu kepadanya, jika anda ke Qadian anda tidak akan disusahkan dan anda tidak akan diperlakukan dengan cara yang tidak hormat. Jika anda mahu mengkritik anda boleh lakukan dan saya yang bertanggungjawab selama anda di sana. Pada akhirnya dia bersetuju untuk pergi. [Kami pun tiba di Qadian]

Ketika sampai di sana kami berjumpa dengan Hazrat Maulvi Sahib. [Yakni, Hazrat Maulvi Nuruddin Sahib Khalifatul Maseeh Awal] beliau dengan sopan melayani orang itu lalu berkata kepadanya, anda boleh membantah apa sahaja, saya akan menjawabnya. Lalu saya memberitahu kepada Hazrat Khalifatul Maseeh Awal bahawa orang ini tidak makan daging sepertimana orang-orang Hindu tidak memakan daging. Lalu Hazrat Maulvi Nuruddin membawa kuah Dhal dan beberapa keping roti untuk diberikan kepada tetamu tersebut. Melihat layanan yang baik itu, orang itu mulai tersentuh hatinya. [Bahawa makanan pun mereka sediakan] Ketika saya pergi untuk solat Zohor, saya membawa orang itu bersama saya.

Selepas solat, Huzur duduk di masjid Mubarak, pada waktu itu Hazrat Maseeh Maud a.s kebetulan membicarakan tentang ajaran Arya, mengenai bantahan dari orang-orang Arya dan Huzur menjawab bantahan mereka. Orang itu merasa tersentuh mendengar jawapan yang diberikan oleh Huzur. Dan kritikan-kritikan selama ini mulai hilang dan dia mulai tertarik dengan ajaran Islam. Selepas solat Asar saya membawanya mendengar daras Al-Quran yang disampaikan oleh Hazrat Maulvi Nuruddin. [Di masa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. beliau a.s. selalu mengadakan daras Al Quran, dia berkata, saya membawanya ke sana] yang diadakan di masjid Aqsa. Selepas itu, kami berdua berjumpa dengan Hazrat Maulvi Nuruddin dan saya berkata kepada Hazrat Maulvi Nuruddin, Huzur! berikan penerangan kepada orang ini. Maulvi Sahib  berkata; apa yang dia mahu bantah silakan. Lalu orang itu minta menerangkan tentang daging dan Maulvi Nuruddin dengan cara yang indah menerangkan kepadanya dan jawapan yang diberikan dapat memuaskan hatinya. Selepas solat Maghrib kami hadir berjumpa dengan Huzur di masjid Mubarak. Huzur duduk sambil berbual-bual. Orang-orang selalunya akan bersoal jawab dengan Maulvi Abdul Karim. Tetapi orang yang bersama dengan saya, dia hanya mendengar perbincangan tersebut dan langsung tidak membantah.

Pada hari selanjutnya, pada waktu solat Zohor dia berwudhu dan mengerjakan solat, ketika itu dia berkesempatan mendengar daras daripada Hazrat Maulvi Nuruddin Sahib. Dan pada hari ketiga orang Arya itu baiat di tangan Huzur dan dia masuk ke dalam Islam. [Seterusnya diterangkan] Sekarang dia telah terikat kasih sayang terhadap Islam dan akan menerangkan dalam majlis orang-orang Arya tentang kecantikan Islam dan akan menjawab kritikan-kritikan dari pihak Arya.[Di ambil dari Daftar Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Daftar no 11 hal 30-32 Riwayat Hazrat Mian Abdul Rasheed Sahib]

Inilah kesedihan yang dirasai oleh orang Jemaat, sungguhpun dia seorang sahaja yang menjadi Muslim, kita tidak akan mensia-siakan dia.

Kemudian Hazrat Mian Abdul Aziz Sahib Al Ma’ruf Mughal Sahib berkata, ada seorang Maulvi Pathan dari Nile Ghumbad [Menceritakan hal Maulvi-maulvi Pathan] yang kira-kira pertengahan umur, saya telah bertabligh dengannya dan dia mengakui dengan berkata; memang Hazrat Maseeh Mau’ud a.s adalah benar, tetapi kamu tidak mempunyai faedah bertabligh dengan saya kerana telah menjadi kebiasaan kaum kami jika sekali sahaja mengingkarinya biarpun Tuhan sendiri datang memberitahu kepada kami maka kami tidak akan beriman. Setelah itu, apa yang terjadi kepada Maulvi itu dia membunuh diri dan akhirnya mati. [Di ambil dari Daftar Riwayat Sahabat Tanpa Penerbit Jil 9 hal 28 Riwayat Mian Abdul Aziz Sahib]

Begitu juga ada kisah yang kedua masih berkenaan dengan Maulvi. Secara kebetulan dia juga seorang Pathan, dia mencintai seseorang sehingga disebabkan perkara itu dia telah mengambil racun lalu dia membunuh diri. Dia mempunyai kedai di Lohare Mandi. Apabila kami lalu di depan kedainya dia akan menunggu kami dan menyatakan, lihatlah orang kafir sedang lalu. Suatu kali saya berkata kepadanya, anda cubalah selidiki dahulu baru buktikan. Setiap kali kami lalu di situ dia akan berkata bahawa kami adalah orang kafir. Dia berkata; jika Tuhan datang kepada saya dan suruh beriman , saya tidak akan beriman. Inilah jawapan yang diberikannya. [Di ambil dari Daftar Riwayat Sahabat Tanpa Penerbit Jil 9 hal 28 Riwayat Mian Abdul Aziz Sahib]

Hazrat Munsyi Qazi Mahbub Alam Sahib meriwayatkan bahawa saya mulai bertabligh kepada Mian Musa Sahib dan mengirimkan dia ke Qadian. Tetapi malangnya dia pulang kembali dari Qadian tanpa bai’at. Sejak daripada itu, saya kadang-kadang memperdengarkan berita-berita di dalam akhbar Badr kepadanya. Kemudian pada suatu kali saya perdengarkan sebuah hadis di mana seorang Badwi yang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan bertanya kepada baginda, apakah tuan seorang rasul Allah? Lalu Nabi Muhammad s.a.w berkata, demi Tuhan, saya adalah rasul Allah. Mendengar ucapan baginda, orang Badwi itu langsung bai’at dan kabilah-kabilahnya pun turut bai’at. Peristiwa ini saya perdengarkan kepada Mian Muhammad Musa Sahib lalu hatinya tersentuh, ketika itu juga dia mengambil sekeping kad [Yakni, pada zaman dahulu kad digunakan sebagai ganti menggunakan surat] dia menulis atas nama Hazrat Sahib dengan menyatakan demi Tuhan apakah tuan seorang Al Masih? Ketika kad itu sampai kepada Hazrat Sahib lalu Huzur memberikan surat itu kepada Maulvi Abdul Karim Sahib dan memerintahkan beliau menulisnya. Beliau a.s bersabda, tulislah demi atas nama Tuhan bahawa saya seorang Al Masih yang telah dijanjikan oleh Nabi Muhammad saw kepada umatnya.

Dan dalam kad itu Maulvi Abdul Karim Sahib juga menulis beberapa ayat untuknya, isi surat itu bahawa beliau telah berikrar atas nama Tuhan bahawa beliau adalah Al Masih, sekarang apakah anda beriman atau azab Tuhan akan datang. Ketika kad ini sampai maka Mian Muhammad Musa Sahib dan keluarganya menyatakan bai’at dalam suratnya. Begitu juga dia berkata, sekarang saya tidak keseorangan lagi malah Allah Ta’ala pun telah bersama dengan saya. [Daftar Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Jil 9 hal 136-137 Riwayat Munsyi Qazi Mahbub Alam Sahib]

Kemudian Munsyi Qazi Mahbub Alam Sahib menerangkan bahawa di Lahore ada seorang peguam, namanya Karim Bakhs Uruf Bakra [Tidak tahu kenapa dia meletakkan nama seperti itu] Dia dengan tidak rasa malu telah mencaci maki Hazrat Maseeh Maud a.s [Dia menggunakan perkataan kotor dengan mencaci maki] Dia berkata siapa yang menyatakan bahawa Al Masih sudah datang? Saya ketika itu lalu berkata, saya akan buktikan bahawa Al Masih sudah datang. [Yakni, Hazrat Isa a.s. telah wafat] Dia dengan tiba-tiba menampar muka saya dengan kuat lalu saya hilang pertimbangan dan terus rebah. Apabila saya pergi dari situ dan pada keesokkan malamnya saya melihat dalam rukya bahawa Karim Bakhs Uruf Bakra sedang duduk di atas charpai (katil) yang sudah patah dan di bawah charpai itu ada sebuah lubang yang besar dan dia jatuh ke dalam lubang tersebut. Keadaan dia ketika itu amat menyedihkan.

Pada paginya saya bangun dan memberitahu akan rukya saya kepadanya lalu saya berkata kepadanya bahawa; anda akan mendapat kehinaan. Beberapa waktu kemudian anak perempuannya yang sudah janda tanpa hubungan yang sah telah mengandung, dia merasa amat malu menanggungnya lalu menyuruh anaknya itu melakukan pengguguran [Abortion] dan anak dalam kandungan pun mati. Ketika polis mengetahuinya, siasatan pun telah dijalankan. Dia telah banyak membelanjakan wang untuk urusan tersebut. Kehormatannya telah musnah, kerana malu dia tidak pernah keluar dari rumahnya. Pada suatu kali saya memanggil dan berjumpa dengannya dan berkata bahawa anda telah mencaci maki Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dengan perkataan yang kotor, sekarang anda menerima balasannya, lalu dia langsung tidak menjawab apa-apa. [Di ambil dari Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Jil 9 hal 206-207 Riwayat Munsyi Qazi Mahbub Alam Sahib]

Inilah yang berlaku pada masa ini, jika kita berkata yang benar dengan para Maulvi di Pakistan. Dengan segera, seperti yang saya sentuh sebelum ini bahawa jika kita bergantung kepada undang-undang, tindakan undang-undang akan berlaku. Mereka tanpa rasa malu mengaitkan kehormatan Nabi Muhammad saw dan dibawanya ke mahkamah. Inilah situasi yang berlaku pada hari ini.

Hazrat Munsyi Qazi Mahbub Alam Sahib menerangkan; pernikahan saya yang beberkat telah didoakan oleh Hazrat Sahib. Saya telah bertabligh dengan ibu mentua saya. Dan dia amat tersentuh dengan apa yang saya sampaikan [Ibu mentuanya bukan Ahmadi, ketika ditabligh kepadanya membuatkan hatinya tersentuh tetapi dia tidak baiat] Pada suatu kali dia telah memberikan barang kemasnya kepada saya dan meminta saya sampaikan barang kemas itu kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, dan beritahukan dengan beliau a.s bahawa ganjarannya akan saya terima kiamat nanti. Lalu saya pun membawa barang kemas itu ke Qadian dan saya memberikan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s sambil berkata barang kemas ini adalah daripada ibu mentuanya dan dia berpesan bahawa dia akan menerima ganjaran pada hari kiamat nanti. Dan Huzur menerima barang kemas tersebut dan dari lidah mubarak beliau a.s berkata, Insya Allah dia akan menerima ganjaran itu nanti.

Beberapa waktu kemudian ibu mentuanya wafat dan saya tidak menyembahyangkan jenazah beliau kerana beliau tidak bai’at. Dan apabila saya berjumpa dengan Hazrat Maseeh Maud a.s. dan memberitahu kepada beliau a.s. bahawa ibu mentunya telah wafat tetapi saya tidak menyembahyangkan jenazahnya. [Kejadian ini berlaku pada tahun 1906] Huzur bersabda, tuan harus sembahyangkan jenazahnya kerana melihat daripada amalannya, membuktikan bahawa dia seorang Ahmadi. [ Daftar Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Jil 9 hal 265-266 Riwayat Munsyi Qazi Mahbub Alam Sahib]

Kemungkinan dia tidak baiat kerana disebabkan oleh pengaruh lingkungan atau dia tidak memiliki pengetahuan. Tetapi amalannya membuktikan bahawa dia seorang Ahmadi. Kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s adalah untuk menyebarkan ajaran Islam, begitu juga tujuannya adalah untuk dapat berhubung dengan Allah Ta’ala. Dan ibu mentuanya itu telah memberikan segala-galanya. Dia telah memberikan suatu barang yang barang tersebut yang dia amat cintai. Barang seperti itu memang disayangi oleh setiap wanita dan barang kemas seperti itu pada masa dahulu amat berharga, pada masa inipun tetap berharga tetapi wanita itu tetap memberikannya kerana dia takut pada hari kiamat. Hatinya telah mendapat keredhaan daripada Allah Ta’ala dan dia menyempurnakan keinginannya.

Tetapi di sini ingin dijelaskan, janganlah menyangka jika ada seseorang menganggap Ahmadiyyah ini benar tetapi tidak baiat lalu dia dianggap sebagai orang Ahmadi. Situasi seperti ibu mentua Munsyi Qazi, dia telah mengorbanankan harta yang dia cintai untuk penyebaran Islam, dia persembahkan hartanya kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s di mana Munsyi Qazi sanggup datang ke Qadian untuk memberikan barang kemas tersebut. Bukan hanya dalam hati menganggap Jemaat ini benar, ini tidak mencukupi kerana di dalam satu kesempatan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s ada bersabda, jika seseorang itu menganggap Jemaat ini benar maka dia hendaklah menzahirkan keimanannya. Jika keadaan tidak memaksa maka dia harus bergabung dengan Jemaat ini lalu dia harus baiat. Jangan hanya bercakap bahawa kami menganggap Jemaat ini benar tetapi tidak baiat, ini belum mencukupi. [Di ambil dari Malfoozaat Jil 5 hal 526 Cetakan Rabwah] Setiap keputusan di buat mengikut keadaan.

Hazrat Maulana Ghulam Rasul Sahib Rajiki menerangkan bahawa saya telah pun baiat dan telah membaca buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Dan dengan itu mulai timbul semangat untuk bertabligh. Pada waktu itu cara saya bertabligh adalah seperti berikut. Jika saya melihat ada empat atau lima orang yang sedang berkumpul maka saya akan memberikan salam dengan mengucapkan Assalamu Alaikum lalu mereka berkata, apa yang sudah berlaku? Maka saya menjawab bahawa Hazrat Imam Mahdi telah datang. Mendengar kata-kata itu mereka mentertawakannya. Lalu saya berkata, kaji dan selidikilah dahulu. Walau bagaimanapun, setidak-tidaknya saya telah membuka jalan untuk memulainya dahulu dan kesempatan untuk bertabligh telah terbuka [Daftar Riwayat Sahabat tanpa terbitan Jil 10 hal 36 Riwayat Hazrat Maulana Ghulam Rasul Sahib Rajaki]

Kesempatan diperoleh setelah keluar bertabligh. Pada masa ini di seluruh tempat, Jemaat membahagi-bahagikan risalah yang dengan cara ini orang-orang akan bersoal jawab tentang Jemaat. Dengan cara ini peluang hendaklah diambil untuk bertabligh. Bukan setakat memberikan risalah-risalah dan memberitahu bahawa Jemaat Ahmadiyyah membawa amanat keamanan lalu menyatakan bahawa tugas telah dipenuhi. Tetapi kita hendaklah mengadakan hubungan dengan mereka dan sedapat mungkin dipertimbangankan hubungan baik  tersebut. Seperti apa yang berlaku di United Kingdom pada masa ini Jemaat sedang mendirikan masjid-masjid.

Dengan kurnia Allah Ta’ala tiga buah masjid telah pun di rasmikan. Dan tiga lagi masjid InsyaAllah akan didirikan dalam tempoh satu bulan daripada sekarang. Sekarang Jemaat di United Kingdom telah pun memberikan tawajjuh (perhatian) terhadap perkara ini. Maka itu, hendaknya jalan tabligh akan terbuka luas. Hendaklah menjalinkan hubungan yang baik dan ciptakan sebanyak-banyaknya persekitaran yang mempunyai ramai orang Jemaat. Kerana orang-orang di sini sangat menentang jika orang-orang Islam mendirikan masjid, jadi harus diberikan tawajjuh (perhatian) terhadap hal ini. Wartawan pun ikut bersama ketika masjid-masjid kita dirasmikan. Dengan kurnia Allah Taala sebelumnya kita tidak ada hubungan dengan mereka tetapi mereka sekarang telah mendapat maklumat yang betul tentang Jemaat dan maklumat yang mereka ambil, kita hendaklah mengambil faedah itu sepenuhnya.

Kemudian Hazrat Maulana Ghulam Rasul Sahib Rajaki menerangkan bahawa Mian Ghulam Muhammad Sahib dari satu kaum Araien dari daerah Sayyidullah Pur wilayah Pahlia yang terletak di Gujrat. Dengan kurnia Allah Ta’ala mereka masuk Jemaat melalui saya. Begitu baiknya mereka hinggakan Imam masjid di Sayyidullah Pur yang bernama Maulvi Ghuas Muhammad Sahib seorang Ahli Hadis, beliau pun dengan kurnia Allah Ta’ala telah menerima Ahmadiyyah melalui saya. [Daftar Riwayat Sahabat tanpa terbitan Jil 10 hal 63-64 Riwayat Hazrat Maulana Ghulam Rasul sahib Rajaki]

Ada juga Maulvi-maulvi yang berfitrat baik yang memahami tentang agama. Pada masa ini juga ada yang seperti itu. Terdapat juga di Pakistan dan di negara-negara lain. Mereka amat keras kalau membicarakan masalah agama dan disebabkan mendengar dari mulut orang-orang sahaja, maka timbul perlawanan terhadap Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, tetapi apabila mereka memiliki pengetahuan yang hakiki, membaca dan memahami, maka mereka akan bai’at masuk ke dalam Jemaat. [Daftar Riwayat Sahabat, Tanpa Penerbit Jil 10 hal 219 Riwayat Maulvi Muhammad Abdullah Sahib]

Riwayat-riwayat yang telah disampaikan rasanya cukup setakat ini, Insya Allah akan disampaikan di masa akan datang. Semoga Allah Ta’ala meninggikan darjat para sahabat yang telah menyampaikan amanat Imam Zaman dan mereka telah menyampaikan tabligh, begitu juga pekerjaan ini masih terus berjalan. Pada hari ini, keturunan mereka sedang menikmati buah manis daripada kerja keras, kebaikan dan ketakwaan mereka. Oleh itu, hendaklah mendoakan orang-orang suci ini kerana daripada keturunan mereka inilah para sahabat menerima Ahmadiyyah pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud a.s.

Ada satu berita yang menyedihkan, seorang saudara kita di Nawab Shah telah disyahidkan. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Mukarram Maqsud Ahmad Sahib anak kepada Mukarram Muhammad Idris Sahib yang sebelum ini tinggal di Karaundi. Tetapi 26-27 tahun kemudian beliau telah tinggal di Darul Rahmat sebelah Timur, Rabwah. Keluarga Maqsud Sahib mempunyai hubungan dengan kampung yang berdekatan dengan Qadian, iaitu Bhatia Gut.

Dalam keluarga beliau yang menerima Ahmadiyyah ialah datuk beliau yang bernama Maulvi Abdul Haq Nur Sahib. Datuk beliau bai’at pada tahun 1934. Datuk beliau juga berpengalaman dalam bidang tanah, disebabkan pengalaman beliau itu, Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani r.a telah mengirim beliau untuk membuka tanah di Sind. Beliau telah dilantik untuk menjaga tanah di Nasir Abad, Mahmood Abad dan beberapa daerah lain. Kemudian pada tahun 1942, Jemaat telah dikeluarkan dari situ dan tanahnya telah diambil lalu beliau telah berpindah ke Khairpur. Pada 21 Disember 1966 datuk beliau Mukarram Abdul Haq Nur Sahib telah disyahidkan. Pada ketika itu umur Maqsud Sahib baru 12 tahun. Beliau telah menjadi saksi mata ke atas kesyahidan datuknya. Untuk para syuhada yang sudah lama disyahidkan pada bulan Jun 1999, Hazrat Khalifatul Maseeh IV telah menyenarai dan menyebut nama-nama para syuhada termasuk datuk beliau juga disebutkan namanya. Beliau tinggal di Karaundi hingga 1983, selepas itu dari Karaundi beliau telah berpindah ke Rabwah.

Semenjak pindah ke Rabwah, beliau telah bekerja di Homeopathy Cure Company yang dimiliki oleh Raja Nazir Sahib. Beliau ditugaskan oleh Homeopathy Cure Company untuk pergi sebagai jurujual ke Sind setiap bulan dengan mengambil pesanan dan permintaan ubat-ubat di sana. Pada bulan lalu 27 Febuari beliau telah pergi ke Sind dan pada 7 Mac 2012 kira-kira jam 11 pagi beliau tiba di Nawab Shah. Dan pada jam 3.30 petang  beliau telah pergi ke Bazar lalu dua orang yang tidak dikenali menaiki motosikal telah menembak beliau lalu beliau disyahidkan. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Polis telah membawanya ke Hospital dan membuat pemeriksaan [Post-Mortem] Seperti yang kita ketahui dalam masa 10 hari dua orang  Jemaat telah disyahidkan di Nawab Shah.

Almarhum seorang Musi. Isteri beliau memberitahu dua atau tiga bulan yang lalu beliau telah mendapat ancaman. Beliau telah pergi membekalkan ubat-ubatan disebuah kedai yang kepunyaan seorang Doktor Hindu. Doktor Hindu inipun telah mendapat ancaman. Jika orang Mirzai datang ke kedai anda, maka anda dan orang Mirzai pun akan kami bunuh. Lalu isteri beliau menceritakan lagi, beliau mempunyai akhlak yang tinggi, dawam dalam solat, solat nafal dan solat berjamaah, begitu juga dalam pengorbanan harta. Candah isterinya juga beliau yang membayarnya. Sebelum beliau pergi ke Sind beliau telah melunaskan candahnya. Beliau amat bersemangat dalam bertabligh, ini adalah warisan daripada datuknya. Ketika berpergian walaupun beliau pergi tidak lama, beliau akan membawa risalah-risalah Jemaat untuk diberikan kepada orang ramai.

Beliau seorang insan yang suka kepada kebersihan, suka mengambil bahagian dalam khidmat khalq, memberi ubat-ubatan kepada orang yang memerlukan, memiliki hubungan yang mendalam dengan Khilafat. Begitu juga beliau amat mencintai Al Quran. Isteri beliau menceritakan, saya ada berkata kepadanya, apakah kita termasuk dalam golongan syuhada? Lalu beliau berkata, kenapa tidak? Jika Allah Ta’ala yang sudah menentukan maka kita juga termasuk dalam golongan syuhada. Beliau meninggalkan isteri yang bernama Amatul Rasheed Shauqat Sahibah dan tiga anak lelaki dan dua anak perempuan. Anak lelaki beliau sekarang berada di Manchester dan belum berkhawin. Salah satu anak perempuan beliau sudah berkhawin dan menetap di Amerika. Dan seorang lagi tinggal di Rabwah bekerja sebagai guru.

Semoga Allah Ta’ala meninggikan darjat beliau dan semoga memberikan kesabaran kepada keluarganya dan para musuh secepatnya dapat ditangkap. Jenazah kedua pula yang akan disembahyangkan selepas solat ialah Hajirah Begum Sahibah isteri kepada Mukkaram Mustari Muhammad Haseen Sahib, seorang Darwish di Qadian. Beliau wafat pada 4 atau 5 Mac pada pertengahan malam dengan usia 79 tahun. Innalillahi wainnailaihi rajiun. Beliau adalah anak kepada Mukkaram Munsyi Abdul Rahim Sahib dari Amrohiya yang telah berhijrah ke Qadian pada tahun1950. Beliau berkhawin pada tahun 1951 dan beliau dengan penuh kesabaran tinggal bersama suaminya di Qadian sebagai Darwish. Beliau mempunyai 10 orang anak dan sebagai suri-rumah beliau memelihara 10 anak-anak beliau denagn baik. Kesemua anak-anak beliau telah berkhawin dan mempunyai keluarga masing-masing. Beliau seorang Musiah dan jenazah beliau dikebumikan di Bahishti Maqbarah. Semoga Allah Ta’ala memberikan kemulian makrifat kepada Marhumah. Semoga ditinggikan darjatnya, dianugerahkan maqam tertinggi di syurga dan memberikan kesabaran kepada keluarganya.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Abdul Latief Ahmad
Kota Kinabalu, Sabah.
10.05.2012

No comments:

Post a Comment