Thursday, May 10, 2012

KHALIFATUL MASEEH KE-II : PEMIMPIN YANG HARUS DICONTOHI



TERJEMAHAN
KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
17 FEBRUARI 2012 / 17 TABLIGH 1391HS
24 Rabiul Awal 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, Morden, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur meneruskan khutbah seperti berikut:-

Agama yang hidup adalah agama yang di dalamnya sentiasa kelihatan penjelmaan Kudrat Tuhan. Dan hari ini, dakwaan Islam sebagai agama yang hidup tidak hanya sekadar dakwaan, tetapi bukti amalan juga dipersembahkan oleh Islam. Tuhan Islam itu adalah Tuhan yang sekarang pun boleh menjadikan orang yang Dia kehendaki sebagai kaliim (lawan berkata-kata).

Dia juga sekarang berkata-kata, mendengar doa-doa dan mengabulkannya, Dia juga memperlihatkan penjelmaan Kudrat-Nya. Dan pada zaman ini, untuk penzahiran Kudrat-Nya, sesuai dengan janji-Nya, Dia telah mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, yang kedatangannya telah dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Jadi, di kalangan umat Islam pada hari ini, Jemaat Ahmadiyah adalah firqah yang mempersembahkan semua sifat-sifat Allah Ta’ala. Mereka kekal di atas keyakinan ini bahawa Allah Ta’ala juga tetap mempunyai kudrat dan tetap memperlihatkan kudrat seperti dahulu.

Tetapi, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah Khatamul Anbiya, selepas kebangkitan baginda, Allah Ta’ala telah menetapkan bahawa sarana untuk mencapai semua jenis nikmat-nikmat dan sarana untuk sampai kepada Allah Ta’ala adalah melalui perhambaan diri kepada Rasulullah sallalaahu alaihi wasallam. Dan, Allah Ta’ala telah mengutus Hazrat Mirza Ghulam Ahmad Qadiani alaihissalam, Maseeh Mau’ud (Al-Maseeh yang dijanjikan) dan Mahdi Ma’hud (Al-Mahdi yang dijanjikan), seorang yang sangat mencintai Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, sebagai sarana untuk kebangkitan Islam kali kedua. Dan kemudian, beliau dijanjikan petunjuk untuk menyempurnakan tabligh.

Beliau menulis berkenaan dengan Tuhan yang Maha Hidup:-
“Ruh dan zarah-zarah kita sujud kepada Tuhan yang Maha Qadir (berkuasa), Maha Benar dan Maha Sempurna, yang melalui Tangan-Nya setiap ruh dan setiap zarah-zarah makhluk muncul bersama-sama dengan semua kekuatan-Nya. Dengan kewujudan-Nya, yang lain turut sama wujud. Dan tidak ada suatu benda pun berada di luar pengetahuan-Nya dan bukan melalui ciptaan-Nya. Ribuan salawat, salam, rahmat dan berkat turun ke atas nabi sallallaahu alaihi wasallam, yang melalui baginda kita telah mendapat Tuhan yang Hidup, juga dapat berkata-kata dengan-Nya sebagai bukti kewujudan-Nya kepada kita. Dan dengan memperlihatkan tanda yang luar biasa tentang kekuatan dan kegagahan yang dahulu dan sempurna, kita diperlihatkan wajah yang bercahaya. Dan kita mendapat Tuhan yang mencipta segala sesuatu dengan kekuatan-Nya yang sempurna. Kudrat yang tersimpan di dalamnya begitu agung. Tanpanya, rangka kewujudan suatu benda pun tidak kelihatan, dan tanpa bergantung kepada-Nya, suatu benda tidak boleh kekal. Tuhan kita yang benar mempunyai berkat yang tidak terkira, kudrat yang tidak terkira, kecantikan dan kebaikan yang tidak terkira. Selain-Nya, tidak ada Tuhan yang lain”. (Naseem Da’wat, Rohani Khazain Jilid 19 halaman 363)

Jadi, inilah Tuhan kita yang hidup, yang telah diperlihatkan oleh Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Berkenaan dengan kedudukan Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata:-
“Apabila kita melihat dengan adil, maka dari semua silsilah kenabian, nabi yang paling hebat, nabi yang hidup dan nabi yang mendapat kecintaan dari Tuhan hanyalah seorang sahaja. Yakni dialah pemimpin segala nabi, kebanggaan semua para rasul, penghulu segala utusan, yang namanya Muhammad Mustafa dan Ahmad Mujtaba sallallaahu alaihi wasallam, yang mana dengan berjalan di bawah bayang-bayangnya akan mendapat cahaya dalam masa sepuluh hari berbanding dahulu, yang belum tentu mendapat cahaya walaupun berjalan ribuan tahun”. (Siraaj Munir, Rohani Khazain Jilid 12, halaman 82)

Kemudian, dalam menjemput seluruh dunia kepada Islam beliau berkata:-
“Wahai sekalian orang yang tinggal di bumi! Dan wahai sekalian ruh-ruh insan yang tinggal di Timur dan Barat! Dengan penuh semangat saya menjemput kamu ke arah ini bahawa sekarang ini, agama yang benar di bumi hanyalah Islam dan Tuhan yang benar juga adalah Tuhan yang telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an. Dan nabi yang mempunyai kehidupan rohani yang kekal dan duduk di atas kegagahan dan kesucian adalah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, yang mana kehidupan rohani dan bukti kegagahan baginda dapat dijumpai, bahawa dengan mengikuti dan mencintainya, kita akan dapat nikmat bermukalimah (berkata-kata) dengan ruhul qudus dan Tuhan, dan juga mendapat nikmat tanda-tanda langit. (Tiryaqul Quluub Rohani Khazain Jilid 15, halaman 141)

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai seorang pelindung Islam telah menutup mulut para penentang Islam. Tidak hanya dengan dalil dan keterangan, malah turut memperlihatkan pertolongan dan tanda-tanda Allah Ta’ala yang khas. Beliau juga memberikan khabar ghaib yang hanya diketahui oleh Allah Ta’ala, dan dunia melihat bahawa apa yang telah dikhabarkan oleh beliau telah sempurna dengan begitu agung atas pertolongan Allah Ta’ala. Beliau sangat risau atas Islam, apatah lagi para penentang Islam berusaha untuk menjatuhkan kedudukan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Beliau menghadapi mereka dan selalu berdoa untuk menghentikan tindakan para penentang itu.

Penzahiran beliau ada tertulis dalam sirah (sejarah) mengenai beliau yang ditulis oleh para sahabat. Dalam buku-buku dan risalah yang beliau tulis juga terdapat penzahiran itu. Untuk menutup mulut para penentang juga, doa-doa beliau memohon sokongan Ilahi banyak didapati. Bukan untuk kebesaran beliau malah untuk membuktikan kemuliaan Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Dan salah satu daripadanya ialah disebabkan doa-doa beliau, Allah Ta’ala memberitahu agar beliau pergi ke Hosyarpur dan melakukan tafakkur di sana. (dipetik dari Tazkirah halaman 106, edisi 4, cetakan Rabwah)

Dalam masa bertafakkur ini, satu tanda yang diberikan oleh Allah Ta’ala kepada beliau ialah seorang anak yang dijanjikan, dan dikenali sebagai Khabar Ghaib Muslih Mau’ud oleh setiap Ahmadi. Khabar ghaib ini sangat agung bahawa dalam masa yang ditentukan, akan lahir seorang anak yang dijanjikan, dan ciri-ciri anak itu ada dijelaskan dalam khabar ghaib tersebut yang antaranya mendapat umur panjang. Semua hal itu berdasarkan kepada keagungan khabar ghaib tersebut dan selepas itu, untuk mereka yang akan datang, ia menjadi satu sarana kekuatan iman kerana ia sempurna satu demi satu. Kepelbagaian ciri yang diterangkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dalam khabar ghaib itu telah sempurna dalam zaman Muslih Mau’ud.

Apa pun, saya hendak mempersembahkan khabar ghaib ini. Sudah berkali-kali diperdengarkan dan pada 20HB Februari ini juga akan diperdengarkan. Dalam Majmu’ah Isytiharat beliau menulis:-
“Dengan Ilham Allah Ta’ala, Tuhan Azza Wajalla yang Rahim, Karim dan Mulia, yang berkuasa atas segala sesuatu (JALLA SYAANUHUU WA AZZAS MUHUU) Dia berkata kepadaku melalui ilham bahawa ‘Aku akan memberikan satu tanda rahmat-Ku sesuai dengan apa yang telah engkau pohon daripada Aku. Jadi, Aku telah mendengar rintihan engkau dan Aku telah memberikan tempat yang mendapat pengabulan kepada doa-doamu dengan rahmat-Ku, dan Aku telah memberkati untukmu perjalanan engkau (iaitu perjalanan ke Hosyarpur dan Ludhiana). Jadi, engkau diberikan tanda Kudrat (kekuasaan), Rahmat (kasih sayang) dan Qurbat (kedekatan). Tanda kurnia dan ihsan diberikan kepada engkau, dan engkau akan mendapat kunci kemenangan dan keberhasilan. Salam atasmu wahai pemenang! Tuhan telah mengatakan hal ini supaya orang yang menginginkan kehidupan dilepaskan dari cengkaman kematian. Dan yang berada dalam kubur, mereka dapat keluar. Dan sehingga kemuliaan agama Islam dan darjat Kalamullah unggul atas semua orang. Dan sehingga semua kebenaran datang bersama-sama dengan semua berkat-berkatnya. Dan kebatilan akan pergi bersama-sama dengan bahayanya. Dan sehingga semua orang tahu bahawa Aku Berkuasa, Aku melakukan apa yang Aku mahu. Dan sehingga mereka yakin bahawa Aku bersama-sama dengan engkau, dan mereka yang tidak beriman kepada kewujudan Tuhan, dan mereka yang melihat dengan pandangan keingkaran dan pendustaan atas Tuhan, agama Tuhan, Kitab-Nya dan Rasul-Nya yang suci sallallaahu alaihi wasallam itu akan dapat melihat satu tanda, dan jalan orang-orang yang bersalah itu menjadi jelas. Jadi, khabar gembira untuk engkau ialah seorang anak lelaki yang suci akan diberikan kepada engkau. Seorang anak yang zaki (suci) akan engkau dapat. Anak itu akan berasal dari benih engkau, zuriat engkau dan keturunan engkau. Anak yang tampan datang sebagai tetamu engkau. Namanya Emanuel dan juga Basyir. Dia telah diberikan ruh yang qudus (suci) dan bersih dari noda. Dia adalah nur Allah. Mubarak (berberkat) atasnya yang datang dari langit. Kurnia datang bersama-sama dengannya. Dia memiliki keagungan dan juga kekayaan. Dia akan datang ke dunia dan dengan berkat jiwa Maseehi dan ruhul haq (ruh yang hakiki), dia akan dapat menyembuhkan ramai pesakit. Dia adalah kalimatullah (kalimah Allah) kerana rahmat dan keghairahan Tuhan telah menghantar dengan kalimah yang mulia. Dia sangat bijak dan mempunyai hati yang lembut dan sarat dengan ilmu dan kemahiran dalam perkara zahir dan batin. Dan tiga akan dijadikan empat olehnya. (.......) Hari Isnin, berberkatlah hari Isnin. ......... Kedatangannya sangat memberi berkat dan menjadi penzahiran kegagahan Ilahi. Nur itu datang dengan wangian keredhaan yang telah dipercikkan oleh Tuhan. Kami akan memasukkan ruh Kami di dalamnya, dan bayang-bayang Tuhan akan berada di atas kepalanya. Dia akan cepat membesar, dan akan menjadi penyebab kebebasan orang tahanan, dia akan terkenal di seluruh penjuru bumi dan kaum-kaum akan mendapat berkat daripadanya. Sehingga itu, barulah penghujung jiwanya akan diangkat ke atas langit. WAKAANA AMRAN MAQDHIYA.” (Majmu’ah Isytiharat Jilid Awal halaman 95-96, Isytihar Nombor 33, Isytihar 20 Februari 1886, cetakan Rabwah)

Semua ini tertulis dalam Majmu’ah Isytiharat Jilid Awal. Bukti kebenaran khabar ghaib ini memang terdapat pada Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani seperti yang telah saya katakan. Beliau sendiri mengumumkan hal ini pada tahun 1944 apabila Allah Ta’ala memberitahu bahawa beliau adalah Muslih Mau’ud. Dan atas kesempurnaan khabar ghaib ini, pertemuan Hari Muslih Mau’ud telah diadakan. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa jalsah ini akan diadakan dalam masa beberapa hari lagi di berbagai jemaat. Sebab itu, setiap anggota jemaat dapat mengetahui bahawa khabar ghaib ini telah sempurna dengan begitu agung sekali.

Sebagai penjelasan, di sini juga saya hendak menujukan kepada mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran duniawi, yang mana ilmu agama mereka juga kurang, saya sudah beberapa kali katakan, namun tetap sahaja mereka mempertanyakannya. Mereka yang ingin menyambut hari lahir, mereka selalu berkata supaya hari lahir mereka juga dapat disambut.

Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa mereka yang dipengaruhi oleh dunia mengatakan: Jika kita menyambut hari yang khas untuk Muslih Mau’ud, kenapa kita tidak mengadakan sambutan untuk khalifah yang lain? Dan kenapa tidak boleh mengadakan sambutan ulang tahun? Yakni, dalam menyentuh tentang sambutan ulang tahun khalifah yang lain, mereka hendak menarik ke arah sambutan ulang tahun diri mereka sendiri. Jadi, saya hendak menyatakan dengan tegas di sini bahawa kita tidak menyambut hari kelahiran Hazrat Mirza Basyiruddin Mahmud Ahmad. Hari lahir Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani ialah pada 12 Januari 1889. Dan khabar ghaib ini dibuat tiga tahun sebelum kelahiran beliau.

Dengan sempurnanya khabar ghaib ini, maka diadakan sambutan pada 20 Februari 1886 dan khabar ghaib ini adalah mengenai kebangkitan Islam kali kedua, oleh sebab itu khabar ghaib ini menjadi batu asas perkara ini.

Selepas penjelasan ini dibuat, saya hendak menyatakan hal ini bahawa banyak perkara yang dijelaskan mengenai khabar ghaib ini. Tetapi, hari ini saya hanya memberikan penjelasan mengenai dua perkara iaitu kepada siapa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tetapkan sebagai Muslih Mau’ud dan bagaimana keadaan hati Muslih Mau’ud sendiri tentang keadaannya, tentang Islam, tentang Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan tentang umat Islam? Oleh kerana tidak ada waktu untuk mengambil satu per satu isi daripada khabar ghaib tersebut, kerana ia boleh menjadi 52 perkara banyaknya. Jadi, seperti yang saya katakan bahawa hanya dua perkara sahaja yang saya hendak jelaskan di sini.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sendiri menyatakan bahawa Hazrat Mirza Basyiruddin Mahmud Ahmad menepati ciri Muslih Mau’ud. Beliau berkata dalam bukunya Tiryaqul Quluub, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 219 sebagai berikut:-
“Mahmud yang merupakan anak saya yang sulung, berkenaan dengan kelahirannya dalam Isytihar 10 Julai 1888 dan juga Isytihar 1 Disember 1888 yang dicetak pada halaman berwarna hijau, dan dalam khabar ghaib tersebut juga dinyatakan bahawa nama anak itu ialah Mahmud, dan sebelum kelahiran Mahmud, isytihar ini telah disebarkan kepada ratusan ribu orang. Sehingga hari ini, di dalam rumah para penentang terdapat ribuan isytihar yang berwarna hijau ini. Demikian juga isytihar 10 Julai 1888, ia terdapat di rumah para penentang. Oleh kerana khabar ghaib ini telah tersebar dengan begitu banyak sehingga tidak ada firqah dari kalangan orang Islam, Kristian dan Hindu yang tidak mengetahui tentang khabar ghaib ini. Lalu, dengan kurnia dan rahim Allah Ta’ala, pada 12 Januari 1889, bersamaan 9 Jamadil Awal 1306, hari Ahad, lahirlah Mahmud. Dan kelahirannya telah saya jelaskan di dalam isytihar tersebut yang tajuknya tertulis ‘Takmil Tabligh” dalam huruf tebal, seiring dengan 10 syarat bai’at. Pada halaman 4 ada tertulis ‘wahai kebanggaan para rasul, kedudukan qurub engkau di sisi Tuhan saya sudah ketahui. Engkau datang lambat dan dari jalan yang jauh (Tiryaqul Qulub, Rohani Khazain Jilid 15 halaman 219)

Kemudian, dalam kitab Siraj Munir Rohani Khazain Jilid 12 halaman 36, beliau berkata:-
            “Saya telah menjelaskan mengenai kelahiran anak saya Mahmud dalam khabar ghaib yang kelima bahawa dia akan lahir dan namanya adalah Mahmud. Dan untuk penyebaran khabar ghaib itu, ia dicetak atas kertas berwarna Hijau, sehingga sekarang masih wujud dan tersebar di kalangan ribuan orang. Akhirnya, anak itu telah lahir menurut kiraan khabar ghaib tersebut dan sekarang sudah berusia 9 tahun. (Siraj Munir Rohani Khazain Jilid 12 halaman 36)

Kemudian dalam kitab Haqiqatul Wahi Rohani Khazain Jilid 22 halaman 373, beliau bersabda:-
            “Demikianlah apabila anak pertama saya meninggal dunia, maka para maulvi yang bodoh dan sabahat-sahabat mereka, orang Kristian dan Hindu bergembira atas kematiannya, dan berkali-kali sudah dijelaskan kepada mereka bahawa pada 20 Februari 1886, ada juga khabar ghaib iaitu beberapa orang anak juga akan wafat. Jadi, sudah semestinya ada anak-anak yang akan wafat. Namun, mereka tetap sahaja tidak berpaling dari terus memberikan kritikan demi kritikan. Lalu, Tuhan memberikan khabar suka kepadaku mengenai seorang anak. Jadi, dalam helaian berwarna hijau pada halaman ke-7, ada khabar mengenai kelahiran anak yang lain. Diberikan tentang khabar gembira yang kedua diberi nama Mahmud. Walaupun sehingga sekarang ini pada 1 September 1888 masih belum lahir, tetapi menurut janji Tuhan ia akan lahir sesuai dengan masa yang telah ditentukan. Bumi dan langit boleh ditolak, tetapi janji-Nya tidak boleh ditolak. Inilah isytihar halaman 7 yang  berwarna hijau. Sesuai dengan itu pada bulan Januari 1889 seorang anak telah lahir dan diberi nama Mahmud, dan sehingga sekarang masih hidup dengan kurnia Allah Ta’ala dan sudah berumur 17 tahun. (Haqiqatul Wahi Rohani Khazain Jilid 22 halaman 373-374)

Kemudian dalam Tiryaqul Qulub Rohani Khazain Jilid 15 halaman 214, beliau berkata:-
            “Anak pertama saya yang hidup yang namanya Mahmud masih belum lahir, yang berkenaan dengan kelahirannya saya mendapat khabar secara kasyaf. Saya mendapati namanya tertulis di atas sebuah dinding masjid sebagai Mahmud. Lalu, untuk menyebarkan khabar ghaib tersebut saya telah mencetak satu isytihar di atas kertas berwarna hijau. Tarikh penyebarannya ialah pada 1 Disember 1888 dan sehingga sekarang, daripadanya banyak isytiharat yang ada pada saya. (Tiryaqul Quluub Rohani Khazain Jilid15 halaman 214).

Kemudian dalam Zamimah Anjaame Atham Rohani Khazain Jilid 11 halaman 299 beliau bersabda:-
            “Kemudian ada lagi satu tanda yang ada pada tiga orang anak ini bahawa setiap kali sebelum kelahiran mereka ada khabar yang diberikan. Jadi, Mahmud yang merupakan anak yang sulung, berkenaan dengan kelahirannya dijelaskan di atas kertas berwarna Hijau dalam isytihar ini bersama dengan nama Mahmud ada anak yang dikhabarkan meninggal dunia. Ini tertulis dalam bentuk risalah atas helaian-helaian yang berwarna hijau.” (Zamimah Anjame Atham Rohani Khazain Jilid 11, halaman 299)

Jadi, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menyatakan bahawa Hazrat Mirza Basyiruddin Mahmud Ahmad menepati ciri-ciri anak yang dijanjikan, yang membawa revolusi kepada dunia. Hari ini juga beberapa orang membuat kritikan, sebab itu saya memberikan penjelasan. Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani, Muslih Mau’ud menerajui khilafat selama 52 tahun, dan kesempurnaan khabar ghaib ini telah terbukti dengan benar. Hati beliau dipenuhi dengan tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah yang bersemangat untuk mendirikan kedudukan Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam di dunia ini. Ilmu dan irfan beliau memberitahu bahawa Allah Ta’ala telah mengurniakan beliau dengan ilmu zahir dan batin yang sangat banyak.

Ringkasnya, jika diukur 52 atau 58 ciri yang disampaikan, maka berapa pun ciri-ciri yang dijelaskan di dalam khabar ghaib tersebut, ia kelihatan terbukti pada zaman Hazrat Muslih Mau’ud r.a. sebagaimana yang telah saya katakan bahawa saya akan berkata dengan merujuk kepada tulisan dan ucapan beliau yang menyatakan tentang keagungan azam beliau sebagai ulul azmi.

Beliau berkata dalam satu ucapan:-
            “Apabila datang utusan Allah Ta’ala, setiap orang yang masuk ke dalam jemaatnya pada waktu itu harus memahami bahawa selain saya tidak ada orang lain yang telah mengkhidmati agama. Apabila dia berfikiran seperti ini maka untuk mencapainya dia akan mengeluarkan segala kekuatannya. Malah, boleh dikatakan bahawa dia boleh menjadi seperti orang gila. Apabila Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam wafat, maka saya telah mendengar suara-suara yang mengatakan kewafatan beliau tidak tepat pada masanya. Mereka yang berkata seperti itu tidak mengatakan bahawa na’uzubillah beliau seorang pendusta.” (kerana juga mengakui hal ini, Ahmadi yang mengeluarkan suara ini) “tetapi mengatakan bahawa kewafatan beliau terjadi semasa beliau belum cukup sempurna menyampaikan amanat Tuhan dan kemudian beberapa khabar ghaib beliau masih belum terjadi”.

Berkata lagi: “Umur saya waktu itu 19 tahun. Apabila saya mendengar ungkapan seperti ini maka saya pergi berdiri di hadapan mayat beliau dan berkata kepada Tuhan dengan berdoa Wahai Tuhan! Ini adalah kekasihMu, selama dia hidup, dia telah melakukan begitu banyak pengorbanan untuk mendirikan agama. Sekarang, oleh kerana Engkau telah memanggilnya ke sisiMu, orang memperkatakan bahawa bukan masa yang tepat untuk kematiannya. Mungkin perkara ini menjadi penghalang untuk orang yang bercakap seperti itu dan juga kawan-kawannya. Sebab itu wahai Tuhan! Saya berjanji bahawa jika semua orang jemaat lari dari agamaMu, saya akan serahkan jiwa saya.

Waktu itu saya menganggap bahawa tugas ini saya yang akan lakukan, dan inilah satu benda yang telah yang telah dinyalakan laksana api dalam hati saya ketika berusia 19 tahun bahawa saya akan mengkhidmati agama sepanjang hayat dan meninggalkan segala niat-niat lain lalu meletakkan di hadapan satu-satunya matlamat ini iaitu sekarang saya akan melakukan pekerjaan seperti yang telah dibawa oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Azam yang lahir dalam hati saya waktu itu, sehingga hari ini saya dapati ia tetap terpelihara bersama dengan semangat baru. Dan janji yang saya telah buat di hadapan jenazah beliau waktu itu, ia membawa saya dengan menjadi penunjuk jalan Khidir.

Itulah janji saya yang tetap berdiri dengan begitu kuat sekali sehingga hari ini, yakni walaupun ratusan ribut penentangan yang terjadi muncul di hadapan saya, tetapi ia hanya akan menghancurkan kepala sendiri bersama. Dan setiap usaha para penentang, setiap perancangan dan setiap kejahatan yang mereka lakukan untuk menentang saya, semua itu akan kembali kepada mereka juga. Dan Allah Ta’ala memperlihatkan kepada saya setiap pintu kejayaan bersama dengan kurniaNya yang khas sehingga orang yang menyatakan bahawa kewafatan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bukan pada masanya, apabila mereka melihat kejayaan misi beliau mereka merasa sangat kagum. (Qoumi Taraqqi Ke Do Aham Usul, Anwarul Ulum Jilid 19, halaman 74-75)

Ini adalah petikan dari ucapan beliau dalam sebuah majlis. Kemudian, beliau menyeru kepada setiap anggota jemaat dengan berkata:-
            “Setiap anggota jemaat mempunyai tanggungjawab bahawa dia hendaklah melahirkan ruh seperti ini dalam dirinya, iaitu dia akan melakukan pekerjaan agama. Semua orang memahami bahawa sekarang ini tanggungjawab untuk meneruskan pekerjaan agama dan meneruskan misi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam terletak di atas bahu saya. Sebab itu buat satu perjanjian dan nyatakan bahawa saya akan mendahulukan pengkhidmatan terhadap agama. Kemudian, hendaklah difahami bahawa dengan menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, kamu hendaklah menjadi orang yang berusaha mencapai satu matlamat iaitu meneruskan misi beliau”. Kemudian meneruskan lagi: “Jika ruh ini lahir dalam diri kita, maka suatu kesulitan tidak akan kelihatan sulit bagi kita. Segala kesulitan yang kelihatan di perjalanan, ia kelihatan biasa sahaja bagi kita”. (Petikan daripadda Qoumi Taraqqi Ke Do Aham Usuul, Anwarul Ulum Jilid 19 halaman 75)

Kemudian, untuk Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, beliau menyuarakan perasaan hati beliau. Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani berkata:-
            “Asas sebenar di dunia ialah menubuhkan Islamistan (Tanah Islam). Kita harus menyatukan semua umat Islam di atas satu tangan. Kemudian kita hendaklah mengibarkan bendera Islam di seluruh negara-negara di dunia. Kemudian, kita juga hendaklah menyampaikan nama dan kemuliaan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ke seluruh penjuru dunia. Kita merasa bangga jika bendera Pakistan dapat dikibarkan. Kita merasa bangga jika dapat mengibarkan bendera Mesir. Kita berbangga jika bendera Arab dapat dikibarkan. Kita berbangga jika bendera Iran dapat dikibarkan. Tetapi kita hanya akan merasai kegembiraan yang hakiki apabila seluruh negara di dunia bersatu dan dapat mengasaskan Islamistan. Dengan itu dapat kembali mengekalkan keagungan Islam yang lampau. Jadi, kita hendaklah mendirikan kerajaan Tuhan di dunia ini. Kita hendaklah mendirikan kerajaan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam di dunia ini. Kita hendaklah mengekalkan keadilan dan kejujuran di dalam dunia, dan kita hendaklah menjadikan Pakistan sebagai tangga permulaan ke arah Islamic Union berasaskan keadilan dan kejujuran. Inilah Islamistan yang boleh mengekalkan keamanan yang hakiki di atas muka bumi ini”.

Alangkah baiknya jka orang awam dan orang atasan Pakistan yang menjadi pemimpin atau ulama dapat memahami perkara ini. Beliau berkata lagi:-
            “Hak setiap orang harus dijaga. Jika Rusia dan Amerika mengalami kegagalan, hanya Mekah dan Madinah yang akan menang. Perkara ini dianggap sebagai kegilaan waktu ini, tetapi di dunia juga ramai yang membuat suatu perubahan yang agung dianggap gila. Jika ada orang yang mengatakan saya gila, pada saya ia bukan suatu perkara yang memalukan. Dalam hati saya ada api, ada semangat membara, dan ada perasaan yang selalu mengganggu diri saya. Saya hendak mengangkat Islam dari kehinaan supaya berada di tempat yang mulia. Kemudian saya akan menyebarkan nama Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ke seluruh penjuru dunia.

Kemudian saya hendak menegakkan perintah-perintah Qur’an Karim di muka bumi. Saya tidak tahu sama ada hal ini akan terjadi dalam hidup saya atau selepas saya. Tetapi, yang saya tahu ialah saya hendak meletakkan batu asas bangunan Islam yang terbaik dengan tangan sendiri, atau saya akan letakkan batu-bata yang banyak setakat yang saya mampu. Saya hendak menyempurnakan bangunan yang agung ini atau sekurang-kurangnya saya dapat meninggikan bangunan ini setinggi yang saya mampu. Dan setiap zarah dalam tubuh saya dan setiap kekuatan ruh saya akan saya serahkan dalam pekerjaan ini dengan kurnia Allah, dan tidak adan satu kekuatan dunia pun yang dapat menggelincirkan iradah saya ini”. (Taqrir Jalsah Salanah 28 Disember 1947, Anwarul Ulum Jilid 19 halaman 387-388)

Jadi, inilah anak ulul azmi yang telah menyuarakan kata hatinya di hadapan kita. Kita sering mengadakan sambutan Hari Muslih Mau’ud, namun Hari Muslih Mau’ud yang hakiki hanya dapat kita alami sekiranya hari ini ramai di kalangan kita melahirkan dalam diri masing-masing bahawa “matlamat kita sangat tinggi, dan untuk mencapainya dituntut keberanian yang tinggi”.

Dan kita hendaklah melahirkan perubahan suci dalam diri. Hubungan dengan Allah Ta’ala juga hendaklah dieratkan. Keprihatinan terhadap Islam juga hendaklah dilahirkan dalam diri kita. Dalam hati juga hendaklah ditimbulkan perasaan cinta kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Allah Ta’ala memberikan khabar gembira kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tentang seorang anak yang banyak memiliki keistimewaan.

Allah Ta’ala berkata kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa “silsilah engkau bukan hanya setakat engkau sahaja, misi yang engkau tanggung tidak terbatas hanya dalam kehidupan engkau sahaja, malah ada seorang anak engkau yang serupa dengan engkau dalam ulul azmi (keazaman yang teguh), yakni dalam semangat untuk menyebarkan Islam ke seluruh dunia, dia adalah teman engkau. Dia mempunyai hati yang sangat prihatin dalam usaha mengibarkan bendera Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam di seluruh dunia. Kemudian, hal ini tidak terbatas hanya kepada anak itu sahaja, malah misi ini akan diteruskan oleh Kudrat Kedua yang telah dijanjikan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang akan berjalan terus sehingga kiamat. Dan Kudrat Kedua itu ialah khilafat yang menjadi penolong untuk meneruskan misi ini sehingga maju ke hadapan.

Jadi, di mana kita melihat dalil kebenaran khabar ghaib tentang Muslih Mau’ud dari Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ini, kita hendaklah memberi perhatian bahawa keistimewaan yang dimiliki oleh anak yang telah dikhabarkan oleh Allah Ta’ala kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan juga keprihatinan dan azam yang dizahirkan oleh anak itu untuk memajukan jemaat, di sana ada diberikan satu nizam yang cantik. Bersama dengan nizam tarbiyat jemaat, satu nizam yang kukuh telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menyampaikan amanat kecantikan Islam, yang kesannya setiap hari ada sahaja tanda-tanda baru yang sempurna. Untuk memperkukuhkan lagi nizam ini, setiap Ahmadi mempunyai peranan masing-masing. Dengan kurnia Allah Ta’ala, nizam ini juga wujud di negara-negara Arab hari ini. Di Asia juga ada, di Afrika juga ada, di Eropah juga ada, di Amerika juga ada, di Australia juga ada, malah di pulau-pulau pun nizam ini juga ada.

Jadi, di mana pun Ahmadi berada dan membuka kawasan-kawasan baru lalu menjadi bahagian dalam nizam ini, di sana juga hendaklah menumpukan perhatian terhadap perkara ini, yakni jangan hanya mengehadkan perbaikan setakat diri sendiri sahaja, tetapi perlu juga memberi perhatian terhadap generasi akan datang, dalam diri mereka perlu ditanamkan dengan teguh bahawa dengan menjadi bahagian dalam nizam ini perlu untuk mengibarkan bendera Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam di dunia, menegakkan ketauhidan kepada Allah dan sentiasa bersedia untuk melakukan pengorbanan. Dan jangan merasa senang hati selagi matlamat ini belum tercapai. Tiupkan juga ruh ini dalam keturunan kamu supaya semangat ini tidak mati. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa hari ini Ahmadiyah telah berdiri di setiap sudut dan suara yang bangkit dari Qadian sedang tersebar ke seluruh dunia. Dan dalam proses menyebarkannya ke seluruh dunia, dalam keadaan dunia yang tidak menentu, dengan kurnia Allah Ta’ala ada Hazrat Muslih Mau’ud radiallaahu anhu. Dan apabila mengadakan jalsah untuk menyambut kesempurnaan khabar ghaib Muslih Mau’ud, lahirkan semangat baru dalam program kamu. Dan juga nyatakan apa yang diinginkan oleh Hazrat Muslih Mau’ud radiallaahu anhu. Dan seperti yang telah saya sentuh bahawa setiap orang Ahmadi di negara-negara Islam hendaklah berusaha bahawa kita hendak mendirikan Islamistan.  

Jadi, untuk mencapai matlamat yang agung ini, setiap Ahmadi mempunyai peranan masing-masing sama ada melalui doa-doa dan sebagainya. Sebagaimana yang telah saya nyatakan tahun lepas bahawa untuk mengislahkan dunia ini, setiap Ahmadi harus menjadikan diri sendiri sebagai muslih (pembaharu) supaya matlamat Muslih Mau’ud yang juga merupakan matlamat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dapat disempurnakan. Malah, untuk mengibarkan bendera Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang memerlukan perancangan yang agung, kita akan dapat melaksanakannya. Jadi, zaman sekarang yang semakin menuju ke arah kerosakan, yang mana pandangan kuasa-kuasa besar tertumpu kepada negara-negara Islam, setiap Ahmadi sangat berperanan dalam perkara ini di tempat masing-masing dengan memberi kesedaran kepada umat Islam supaya menyedari perbuatan mereka dan selebihnya banyak berdoa kepada Allah Ta’ala.

Semoga Allah memberi akal dan kefahaman kepada ahli politik dan para pemimpin di negara-negara Islam agar jangan hanya memikirkan kepentingan peribadi sahaja. Ulama, yang menganggap diri mereka lebih unggul berbanding orang awam dalam soal ilmu dan kerohanian, mereka juga hendaklah berfikir, sebagai ganti untuk kepentingan peribadi, mereka harus berusaha memahami ajaran Al-Qur’an. Dan sebagai ganti memperlagakan orang awam dan pemerintah untuk kepentingan peribadi, mereka harus berjalan atas landasan ketakwaan. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa cara penyelesaian yang paling indah ialah mendengar suara imam zaman dan mengamalkannya. Semoga orang awam berusaha untuk meningkatkan nur firasat mereka dan jangan bertaklid kepada ulama atau sesiapa sahaja pemimpin yang menutup mata walaupun melihat keadaan semasa yang teruk. Mudah-mudahan kita dapat melihat Islamistan (Tanah Islam) yang indah seperti keinginan yang dizahirkan oleh Hazrat Muslih Mau’ud radiallaahu anhu. Dan inilah yang boleh menjadikan dunia ini aman. Mudah-mudahan Allah memberi akan kepada dunia.

Kemudian, hari ini ada satu solat jenazah hadir selepas solat Jumaat. Tuan-tuan teruskan berada di masjid selepas ini. Jenazah ini ialah Azizam Syeikh Musawwar Ahmad ibnu Mukarram Syeikh Nasir Ahmad Sahib Jalanggham, pada 14 Februari 2012 yang lepas, disebabkan suatu penyakit beliau meninggal dunia pada umur 25 tahun. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.

Beliau mengidap Muscular Dystrophy yang mana semakin umur meningkat, otot semakin lemah. Walaupun begitu, beliau banyak mengkhidmati jemaat di Jalanggham. Apa sahaja tugas yang diserahkan kepada beliau akan disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Beliau duduk di atas wheelchair, tetapi semangat beliau tidak luntur untuk memberikan khidmat. Giat mengambil bahagian dalam pengorbanan. Seorang yang baik dan soleh. Sangat mencintai khilafat. Seorang yang mukhlis, berpandangan jauh dan berkebolehan. Walaupun ada kelemahan, beliau telah menyempurnakan pelajaran dan bekerja di sebuah bank. Dengan kemajuan beliau, pernah menjawat Assistant Vice President. Pegawai sangat suka akan pekerjaannya. Beliau meninggalkan ibu bapa dan seorang abang yang juga menderita penyakit yang sama. Anak ini adalah cucu kepada Syeikh Mubarak Ahmad Sahib yang bertugas sebagai muballigh di England. Semoga Allah mengampunkan marhum dan menempatkannya di dalam syurga. Semoga yang ditinggalkan diberi kesabaran yang indah.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
09.05.2012


No comments:

Post a Comment