Thursday, April 26, 2012

Malfoozaat Jilid 1_18


MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

KEISTIMEWAAN MUKJIZAT

Keistimewaan dan tujuan mukjizat adalah supaya setiap jenis kekurangan dapat diatasi. Keindahan penyampaian juga tidak dibiarkan terlepas dari tangan. Kebenaran dan hikmat juga tidak ditinggalkan. Mukjizat seperti ini hanya ada dalam Al-Qur’an, yang terang seperti matahari, dan ia mempunyai kekuatan mukjizat dalam setiap segi. Ia tidak seperti Injil yang hanya memuatkan kata-kata, misalnya “jika ditampar di sebelah pipi, maka persembahkan pula sebelah pipi yang lain”. Dalam hal seperti ini, sejauh mana hubungan ajarannya dengan kebijaksanaan, dan sejauh mana ia memperhatikan fitrat seorang insan?

Sebagai perbandingan, cuba baca ajaran Al-Qur’an Karim, maka akan dapat diketahui bahawa fikiran insan tidak dapat mengatasi setiap perkara. Dan ajaran yang begitu sempurna dan tidak ada kekurangan seperti Al-Qur’an Syarif ini, tidak mungkin hasil daripada otak atau fikiran makhluk bumi. Adakah kemungkinan boleh terjadi di mana, di hadapan kita ada seribu orang miskin, kemudian kita hanya memberikan sesuatu kepada beberapa orang sahaja di antara mereka dan melupakan yang lain? Injil hanya memperhatikan satu sudut sahaja, sudut yang lain tidak diberi perhatian. Kita bukan membuat tuduhan ke atas Injil kerana ia adalah hasil perbuatan orang-orang Yahudi. Sebagaimana yang mereka usahakan, sesuai dengan itulah Injil tercipta. “Sebagaimana ruh, demikianlah Malaikat”. Di dalam perkara ini, siapa yang patut dipersalahkan?

AJARAN INJIL HANYA UNTUK SATU ZAMAN YANG KHUSUS

Selain itu, Injil adalah undang-undang yang khusus untuk suatu tempat, suatu zaman dan suatu kaum sahaja, sama seperti undang-undang Inggeris yang khusus untuk suatu tempat dan masa sahaja, ia diteruskan sehinggalah ada masanya ia tidak lagi berpengaruh. Demikian jugalah tentang Injil, ia hanya undang-undang yang terhad, ia tidak umum. Bertentangan dengan itu, batasan ajaran Al-Qur’an sangat luas. Ia merupakan undang-undang yang akan berterusan sehingga kiamat tanpa ada sebarang perubahan, dan ia untuk setiap kaum dan setiap waktu. Allah Ta’ala berfirman: Dan tiada suatu pun benda melainkan pada Kami ada khazanah-khazanahnya, dan tidaklah Kami menurunkannya melainkan dalam ukuran yang tertentu (Al-Hijr:22). Injil diperlukan hanya untuk ukuran yang terhad, sebab itu ringkasan Injil boleh dibuat dalam satu halaman sahaja.

QUR’AN UNTUK SELURUH ZAMAN

Tetapi, Al-Qur’an diperlukan untuk perbaikan sepanjang zaman. Matlamat Al-Qur’an ialah menjadikan keadaan liar menjadi seorang insan. Dari keadaan seorang insan dijadikan insan yang bertamadun sehingga dapat menjalankan kehidupan berdasarkan batasan syariat dan undang-undang. Dan kemudian dijadikan sebagai insan yang bertuhan. Walaupun kelihatan perkataan ini ringkas, namun ia mempunyai ribuan cabang. Oleh kerana dalam diri kaum Yahudi, Tabi’i (fizikal) dan Penyembah Api ada ruh yang jahat, maka Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam atas pengetahuan daripada Ilahi berkata kepada mereka semua: Hai manusia! Sesungguhnya aku Rasul Allah kepada kamu sekalian (Al-A’raaf:159). Sebab itu amat perlu ajaran Al-Qur’an Syarif yang bersifat menyeluruh dan terus berjalan, dan semua kebenaran dari langit yang disampaikan kepada penghuni bumi oleh berbagai nabi dalam berbagai waktu, ada di dalamnya. Perhatian Qur’an Karim adalah kepada setiap jenis insan, tidak hanya terhad pada satu kaum, negara atau zaman sahaja. Dan perhatian Injil khusus hanya kepada satu kaum, sebab itu Maseeh (Nabi Isa) alaihissalam berkali-kali mengatakan: “Aku datang untuk mencari domba-domba Israil yang hilang”.

SELEPAS TAURAT, QUR’AN SYARIF YANG DIPERLUKAN

Ada beberapa orang yang cuba mempertikaikan, apa yang telah dibawa oleh Al-Qur’an? Sedangkan di dalamnya tertulis apa yang telah wujud di dalam Taurat. Dan, disebabkan kesilapan pandangan itu menyebabkan beberapa orang Kristian berani menulis risalah-risalah yang menyentuh bahawa Al-Qur’an yang tidak diperlukan. Alangkah baiknya kalau mereka jujur dan mempunyai firasat yang suci agar mereka tidak tersesat. Mereka mengatakan bahawa di dalam Taurat ada dinyatakan jangan berzina, demikian juga di dalam Al-Qur’an tertulis jangan berzina. Al-Qur’an mengajarkan tentang tauhid, namun Taurat juga mengajarkan menyembah Tuhan yang Esa. Jadi, apa bezanya? Secara zahir, soalan ini nampak susah dan jika ditanya di hadapan orang yang tidak ada pengetahuan, pasti akan merasa ragu-ragu. Sebenarnya, soalan yang halus dan sulit seperti ini, tanpa kurnia yang khusus dari Allah Ta’ala, sukar untuk menjawabnya. Inilah makrifat Al-Qur’an yang muncul sesuai pada masanya. Sebenarnya, memang ada persamaan di antara Qur’an Syarif dan Taurat, kita tidak menafikan hal itu. Tetapi, Taurat hanya memberikan matan tanpa ada sebarang dalil, kenyataan dan penjelasan bersamanya. Qur’an Karim pula mengambil kira akal. Sebabnya, pada zaman Taurat, perlakuan insan sangat liar (tetapi semasa Qur’an Syarif diturunkan, sudah ada pertimbangan akal), sebab itu Qur’an Syarif mengambil langkah dengan menzahirkan hal-hal yang bertentangan dengan akhlak dan memberitahu apa manfaat daripada akhlak, dan bukan hanya setakat itu sahaja, ia juga mempersembahkan sesuatu dengan dalil-dalil dan kenyataan yang menurut lojik akal. Tujuannya adalah supaya orang yang menggunakan akal yang lojik tidak mendapat peluang untuk mengingkarinya. Sebagaimana yang telah saya jelaskan sebelumnya bahawa pada zaman Qur’an Syarif, insan sudah mula menggunakan akal berbanding pada zaman Taurat di mana insan masih dalam keadaan buas. Sejak dari zaman Hazrat Adam (Nabi Adam) a.s, kemajuan sentiasa dikecapi sehinggalah pada zaman Al-Qur’an, ia telah menyeluruh seperti bulatan. Allah Ta’ala berfirman: Muhamad bukanlah bapak salah seorang di antara laki-lakimu, akan tetapi dia adalah Rasul Allah dan meterai sekalian nabi (Al-Ahzaab:41).

Ini adalah isyarat keperluan nubuwat. Kegelapan malam menarik nur itu yang menyelamatkan dunia daripada kegelapan. Sesuai dengan keperluan itu, silsilah nubuwat bermula. Dan apabila sampai zaman Qur’an Karim, ia telah menjadi sempurna. Sekarang, walaupun segala keperluan itu telah sempurna, jadi memang lazim bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah Khatamul Anbiya. Sekarang, perbezaan yang besar dan jelas dalam ajaran Taurat dan Qur’an Karim, salah satunya ialah Qur’an Syarif telah mempersembahkan dalil-dalil yang tidak disentuh langsung oleh Taurat.

PERBEZAAN KEDUA ANTARA AJARAN QUR’AN SYARIF DAN TAURAT

Dan perbezaan yang kedua ialah Taurat hanya merujuk kepada Bani Israil sahaja dan tidak ada hubungan dengan kaum yang lain. Dan inilah sebabnya ia tidak memberikan penekanan soal dalil dan penjelasan kerana tidak ada firqah lain yang diambil kira seperti atheis, ahli falsafah, Brahma dan lain-lain. Sebaliknya, Qur’an Syarif menyeru kepada semua firqah dan agama, dan sehingga ke tahap itu, ia telah berakhir, sebab itu Qur’an Karim telah menjelaskan dengan dalil tentang akidah dan juga peraturan amal.

Qur’an Majid menyatakan: yakni katakanlah kepada orang Mukmin laki-laki, mereka hendaklah menundukkan mata mereka dan memelihara aurat mereka (An-Nuur:31). Yakni, insan harus menundukkan pandangan mata supaya tidak terjerat dalam fitnah disebabkan melihat wanita yang bukan muhrim. Telinga juga termasuk dalam kemaluan kerana ia boleh terperangkap dalam fitnah apabila mendengar kisah-kisah mendatangkan berahi. Sebab itu dikatakan bahawa peliharalah semua lubang dan tutupilah ia dari segala perkara yang sia-sia: yang demikian itu lebih suci bagi mereka (An-Nuur:31). Ini sangat baik untuk orang Mukmin dan ajaran seperti ini merupakan darjah kesucian yang sangat tinggi, jika diamalkan boleh terhindar dari perbuatan keji.

QUR’AN SYARIF SENDIRI MENJADI DALIL DAN KETERANGAN

Lihat, Al-Qur’an telah menjelaskan perkataan-perkataaan dan mafhum-mafhumnya (maksudnya) atas satu perkara ini yang juga terdapat di dalam Taurat. Sungguh terang dan luas dijelaskan bersama-sama dengan dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang tegas. Inilah mukjizat Al-Qur’an bahawa pengikutnya tidak dibiarkan merasa perlu sesuatu yang lain. Ia memberi kepuasan dengan menjadi dalil dan keterangan atas dirinya sendiri. Qur’an Syarif menulis perintah-perintah bersama dengan dalil-dalilnya dan setiap hukum diberikan dalil-dalil yang terpisah-pisah. Jadi, ada dua perbezaan yang besar antara Taurat dan Qur’an. Pertama disentuh ialah tidak ada penjelasan, selepas mengemukakan sesuatu, dalil harus dicari sendiri. Kedua disentuh bahawa dakwaannya, setiap dalil diberikan penjelasan dan kemudian dipersembahkan, dan perintah Tuhan tidak dipaksakan malah mengikut kemampuan masing-masing, tidak dilakukan secara kekerasan, malah dijelaskan secara lemah lembut dan sesuai dengan fitrat. Taurat memperkatakan tentang suatu kelompok yang khusus dan Al-Qur’an memperkatakan tentang semua orang yang lahir sehingga Hari Kiamat. Jadi, cuba nyatakan bagaimana Taurat dan Al-Qur’an boleh disatukan. Dan bagaimana boleh dikatakan bahawa jika sudah ada Taurat maka Al-Qur’an tidak diperlukan. Apabila Al-Qur’an mengatakan bahawa kamu jangan berzina, maka semua jenis insan memahaminya, tetapi apabila Taurat berkata, maka ia merujuk kepada kaum Bani Israil. Dari situ dapat diketahui bahawa Al-Qur’an lebih mulia, namun hanya bagi mereka yang bijak dan hati yang takut kepada Tuhan.

KEAJAIBAN JASMANI DAN ROHANI

Selain itu, dalam Taurat dan Qur’an juga ada lagi satu perbezaan yang agung bahawa Qur’an mempunyai setiap jenis keajaiban jasmani dan rohani di dalamnya. Misalnya mukjizat Syaqqul Qamar (bulan terbelah) adalah dari jenis mukjizat jasmani.

TIDAK BOLEH MENGEHADKAN UNDANG-UNDANG KUDRAT

Beberapa orang bodoh cuba membuat kritikan atas mukjizat Syaqqul Qamar (bulan terbelah) secara senyap-senyap dalam hal pertolongan undang-undang kudrat, tetapi tidakkah mereka itu langsung tidak tahu bahawa kudrat dan undang-undang Tuhan tidak dapat dianggarkan batasannya. Satu masa dia berkata ‘Tuhan’ melalui mulutnya, tetapi pada masa yang lain, walaupun hati dan ruh mereka jatuh tersungkur melihat keagungan kudrat dan kuasa Tuhan, mereka secara mutlak lupa akan hal itu. Jika kewujudan Tuhan, kudrat dan kekuasaan-Nya terhad hanya menurut fikiran dan anggaran kita, maka untuk apa lagi kita berdoa? Jadi, sama sekali tidak seperti itu. Saya berkata kepada kamu bahawa kudrat dan iradat Allah Ta’ala tidak ada sesiapa yang boleh mengukurnya. Seorang insan yang mendakwakan seperti itu, dia sebenarnya memungkiri Tuhan. Tetapi, sungguh tak disangka atas orang bodoh, walaupun mengakui bahawa Tuhan itu mempunyai kudrat yang tidak terbatas, namun beranggapan bahawa mukjizat Syaqqul Qamar (bulan terbelah) itu bertentangan dengan peraturan kudrat-Nya. Fahamilah bahawa orang seperti itu tidak memiliki fikiran yang sihat dan juga hati yang bijaksana. Ingatlah dengan sebaik-baiknya bahawa jangan terlalu bergantung harap kepada peraturan kudrat, yakni jangan hadkan pada peraturan kudrat sahaja dengan mengatakan: Rahsia Tuhan hanya sekadar itu sahaja, lalu terbuka segala simpulan. Tidak seperti itu. Sikap berani seperti itu tidak harus dilakukan. Ini kerana ia boleh menjatuhkan darjah UBUDIYAT (perhambaan) seorang insan, dan penghujungnya adalah kecelakaan. Kebodohan dan kejahilan yang meletakkan kudrat Tuhan sebagai terhad tidak seharusnya timbul dari seorang Mukmin. Kata-kata Imam Fakhruddin Razi sangat benar bahawa jika ada orang yang beriradah untuk mengukur Tuhan menggunakan akal sendiri, orang itu memang bodoh. Lihat, Allah Ta’ala telah menciptakan insan dari nutfah. Mengatakan hal ini memang mudah dan sangat senang, dan kelihatan ia perkara yang sangat biasa. Tetapi, ada rahsia bahawa insan diciptakan dari setitis air dan di dalamnya diberikan kekuatan. Adakah sesiapa yang mempunyai kekuatan untuk merungkaikan hal itu sehingga ke dasarnya? Ahli Falsafah dan Tabi’i (fizikal) telah berusaha sedaya upaya, tetapi tidak dapat sampai ke dasarnya. Demikian juga setiap zarah adalah mengikut kepada Tuhan. Allah Ta’ala berkuasa atas mereka bahawa keadaan nizam yang zahir akan tetap seperti itu dan satu perkara yang luar biasa juga akan menjadi jelas. Orang berpengetahuan banyak melihat perkara ini dan mendapat keseronokan.

Beberapa orang cuba mengkritik perkara-perkara yang biasa dan terperangkap dalam keraguan. Sebagai contoh Nabi Ibrahim tidak terbakar dalam api. Hal ini juga demikian seperti peristiwa Syaqqul Qamar (bulan terbelah). Tuhan yang lebih mengetahui setakat mana dijilat api dan dengan lahirnya sarana-sarana itu, ia menjadi padam. Jika keistimewaan seperti itu muncul atau diberitahu dengan terus-terang, maka dengan segera akan menerimanya. Tetapi, dalam keadaan seperti ini, apa keistimewaan yang dizahirkan melalui iman bil ghaib (keimanan kepada perkara ghaib) dan kegembiraan bersangka baik? Kita tidak pernah mengatakan bahawa “Tuhan tidak menciptakan sarana-sarana”, tetapi ada beberapa sarana yang kelihatan dan ada juga yang tidak kelihatan. Ringkasnya, perlakuan Tuhan itu adalah pelbagai bentuk. Kudrat Allah Ta’ala tidak pernah bermasalah dan tidak pernah merasa penat. Ayat-ayat in memberitahu keagungan-Nya, dan Dia Maha Mengetahui keadaan setiap makhluk (Yaa Siin:80). Adakah Kami menjadi lelah dengan penciptaan yang pertama kali (Qof:16) Allah Ta’ala mempunyai Kudrat dan perbuatan yang tidak terbatas dan tidak mampu dijangkakan oleh seorang insan yang begitu bijak sekalipun, sebaliknya mereka hanya akan menzahirkan kelemahan sendiri.

Saya teringat satu peristiwa. Doktor tahu sangat perkara ini. Ada seseorang yang bernama Abdul Karim datang kepada saya. Di dalam perutnya ada sejenis yang mengarahkan berkali-kali ke tandas. Doktor berkata bahawa tidak ada ubatnya untuk penyakit itu. Dia seharusnya ditembak sahaja dengan senapang. Ringkasnya, banyak penyakit yang tidak diketahui dengan begitu mendalam walaupun oleh doktor pakar. Misalnya penyakit taun dan kolera, jika doktor ditugaskan mengawal wabak ini, maka mereka sendiri akan dijangkiti cirit-birit. Sejauh mana pun insan menuntut ilmu dan sejauh mana tenggelam dalam melakukan kajian falsafah, tetapi dia akan dapat mengetahui bahawa dia tidak melakukan apa-apa. Di dalam hadis ada dinyatakan bahawa sebagaimana seekor burung mengisi paruhnya dengan air di tepi sungai, demikian juga makrifat dan rahsia tentang Kalam dan Perlakuan Allah Ta’ala dan makrifat-makrifat perbuatan-nya. Jadi, adakah seorang insan yang lemah dan ahli falsafah yang bodoh, atas perkara ini mereka mengkritik kejadian Syaqqul Qamar (bulan terbelah) dan menganggapnya bertentangan dengan undang-undang Kudrat. Kita tidak mengatakan bahawa jangan mengkritik, tetapi lakukanlah dengan tenang dan hati yang terbuka. Tetapi, perhatikan dua perkara ini. Pertama, ketakutan kepada Tuhan (dan kekuatan-Nya yang tidak terbatas). Kedua, (insan adalah fana dan ilmu yang terhad) ahli falsafah yang besar-besar pun akan terpaksa mengakui bahawa ‘kami ini jahil’. Penghujung akal sentiasa berakhir pada kejahilan. Misalnya, tanyakan kepada para doktor bahawa mereka semua tahu dan faham tentang silsilah keturunan. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan hakikat nur dan kedalamannya? Penjelasan tentang suara kalau ditanya, mereka akan menjawab bahawa di atas lapisan telinga ada begini dan begitu. Tetapi hakikat suara itu mereka tidak dapat jelaskan walaupun sedikit. Hakikat api yang panas dan air yang sejuk tidak akan mereka boleh jelaskan. Jadi, untuk sampai kepada dasar suatu benda bukan pekerjaan mana-mana hakim (golongan bijakpandai) atau ahli falsafah. Cuba lihat, wajah kita terpapar di atas cermin, tetapi kepala kita tidak putus lalu masuk ke dalam cermin. Kita juga selamat dan wajah kita kelihatan di dalam cermin. Jadi, ingatlah bahawa Allah Ta’ala sangat mengetahui bahawa hal seperti itu boleh terjadi. Bulan terbelah atau benda lain yang terbelah tidak mengganggu peraturan dunia. Perkara yang sebenarnya, ia adalah ciri khas suatu benda. Siapa yang boleh meniup jampi untuk itu? Sebab itu, mengingkari keajaiban dan mukjizat Allah Ta’ala, serta tergesa-gesa dalam mengingkarinya adalah pekerjaan orang yang tergesa-gesa dan bodoh.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 53-57)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(24.04.2012)

No comments:

Post a Comment