Thursday, March 1, 2012

Petunjuk Sempurna Untuk Meningkatkan Ketakwaan



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
20 JANUARI 2012 / 20 SULH 1391HS
26 Safar 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur membaca ayat;-

YU’MINUUNA BILLAAHI WAL YAUMIL AAKHIRI WAYA’MURUUNA BILMA’RUUFI WAYANHAUNA ‘ANIL MUNKARI WAYUSAARI’UUNA FIL KHOIRAATI WA’ULAA’IKA MINAS SHOOLIHIIN. WAMAA YAF ’ALUU MIN KHOIRIN FALAI YUKFARUUHU WAL LAAHU ‘ALIIMUN BIL MUTTAQIIN (Ali Imran:115-116)

Terjemahannya: Mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhir dan mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat keburukan dan mereka berlumba-lumba dalam pelbagai kebajikan. Dan mereka termasuk orang-orang soleh. Dan kebaikan apa pun yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalangi menerima ganjarannya dan Allah Maha Mengetahui orang-orang yang bertakwa.

Ciri-ciri orang beriman ialah menyuruh berbuat kebaikan, melarang dari berbuat keburukan dan saling berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan amal soleh. Dalam ayat pertama yang saya tilawatkan tadi ada menyentuh tentang perkara yang saya sebutkan. Ini adalah ayat dari Surah Ali Imran dan dalam surah ini, ia juga disentuh di tempat lain yang menegaskan bahawa ciri-ciri ini menjadikan insan termasuk dalam orang-orang soleh. Perkara ini boleh menguatkan keimanan, perkara ini juga merupakan ciri khas orang berjaya. Ini kerana mereka yang berjalan di atas segala hukum Allah tidak akan disia-siakan. Sebab itu, biasanya orang-orang soleh dan orang-orang yang menyebarkan kebaikan, dan yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, Allah Ta’ala memberikan mereka kurnia. Kemudian, dalam ayat kedua yang saya tilawatkan, di sana diberitahu bahawa Allah berfirman Aku Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, apa sahaja yang kamu lakukan juga Aku ketahui. Jadi, jika ada yang berjalan atas landasan  ketakwaan, mereka akan masuk dalam perlindungan Allah. Ihsan Allah yang sangat besar atas kita ialah menghantar Maseeh Mau’ud dan Mahdi Ma’hud pada zaman yang penuh dengan kerosakan ini, menghantar Imam Zaman dan memberi taufik kepada kita untuk menerimanya, dan kita juga telah berjanji akan berusaha berjalan sesuai dengan perintah Allah.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda: “Lidah perlu dihalang dari memperkatakan sesuatu yang bertentangan dengan keredhaan Ilahi, demikian juga hendaklah mengatakan sesuatu yang benar” (yakni jika perlu untuk menahan lidah dari kejahatan, begitu juga perlu membuka mulut untuk mengatakan sesuatu yang benar). WAYA’MURUUNA BILMA’RUUFI WAYAN HAUNA ‘ANIL MUNKARI (Ali Imran:115) adalah ciri orang mukmin. Sebelum melakukan AMAR BIL MAKRUF dan NAHI ANIL MUNKAR, seseorang itu hendaklah membetulkan dahulu keadaan dirinya, bahawa dia mempunyai kekuatan dalam diri” (maksudnya, jika dia hendak menyatakan sesuatu, terlebih dahulu dia hendaklah pastikan yang hal itu terbukti melalui dirinya sendiri, bahawa kebaikan yang sedang aku perkatakan ini ada dalam diriku) “kerana pertama sekali dia hendaklah memberikan pengaruh kepada orang lain. Jadi, ingatlah bahawa jangan pernah halang lidah dari melakukan AMAR BIL MAKRUF dan NAHI ANIL MUNKAR. Namun, tempat dan masa juga hendaklah dikenal pasti, dan cara memberi penjelasan juga seharusnya lemah-lembut, dan mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan takwa adalah dosa yang besar”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 281-282, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Selepas beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, tanggungjawab kita akan meningkat, iaitu kita hendaklah berusaha mencapai tingkatan ini dan setiap ucapan dan perbuatan, setiap qoul dan fi’il kita hendaklah mengandungi perkara yang membawa kebaikan dan jauh dari keburukan. Jika tidak, maka penyertaan kita bai’at kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tidak membawa nilai apa-apa, malah mungkin akan membawa kemurkaan Allah Ta’ala kerana berjanji sahaja tetapi tidak menyempurnakannya.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Saya sudah berkali-kali katakan bahawa setinggi mana kedekatan yang diperolehi oleh seseorang, maka semakin banyak juga ujian yang dihadapi. ......, mereka yang jauh, tidak perlu diukur. Tetapi kamu amat perlu diukur. Jika keimanan dalam diri kamu kurang berbanding mereka, maka apa perbezaan di antara kamu dan mereka”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 28, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, kita tidak seharusnya merasa gembira hanya disebabkan telah beriman kepada Imam Zaman, malah kita amatlah perlu untuk melihat keadaan kita dan memastikan ia lebih baik berbanding sebelumnya. Jika tidak, maka seperti sabda Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, kamu akan diuji dan kamu akan ditanya. Jadi, hal ini hendaklah difikirkan bagaimana untuk cenderung melakukan kebaikan. Orang yang mempelajari suatu hal agama, mereka tidak bebas dari ujian sekiranya amalan mereka tidak selari dengan apa yang telah dipelajari. Orang yang mendapat suatu jawatan berkhidmat dalam jemaat, mereka tidak akan bebas daripada ujian sekiranya amalannya tidak selari dengan ajaran yang telah diberitahu oleh Allah. Seorang yang berperanan dalam keluarga mengkhidmati orang tua, mereka tidak bebas dari ujian sekiranya tidak menjalankan tanggungjawab mereka seperti yang diajarkan oleh Allah. Sebab itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dengan lantang menyatakan bahawa hanya bai’at sahaja belum cukup untuk menjadi pewaris kurnia dan nikmat-nikmat Allah.

Beliau bersabda:-
“Fahamilah dengan yakin bahawa di sisi Allah, orang yang dicintai bukanlah mereka yang berpakaian indah dan kaya raya, yang makan makanan mewah, tetapi mereka yang dicintai di sisi Allah ialah mereka yang mendahulukan urusan agama daripada dunia dan mereka ikhlas kepada Allah Ta’ala”.

Kemudian bersabda lagi:-
“Di antara janji-Nya, ada juga satu janji iaitu WA JAA’ILUL LAZIINAT TABA’UUKA FAUQAL LAZIINA KAFARUU ILAA YAUMIL QIYAAMATI (Ali Imran:56)” (Aku akan menjadikan orang-orang yang mengikut engkau di atas orang-orang yang ingkar hingga hari kiamat) “Ini memang benar bahawa pengikut-pengikutku akan unggul di atas orang-orang yang ingkar dan para penentang. Namun, hal ini perlu diketahui bahawa tidak semua orang yang telah bai’at itu akan termasuk dalam kalangan pengikutku. Selagi tidak melahirkan dalam diri masing-masing ketaatan yang dikehendaki, maka selagi itulah belum termasuk dalam kalangan pengikutku”. (Malfoozaat Jilid 4, halaman 596, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, kita semua hendaklah berfikir dengan penuh teliti. Apa yang telah difirmankan oleh Allah Ta’ala dalam mentakrifkan pengertian mukmin: WAYA’MURUUNA BILMA’RUUFI WAYANHAUNA ‘ANIL MUNKARI WAYUSAARI’UUNA FIL KHOIRAATI (Ali Imran:115). Kita hanya akan menjadi gambaran yang sebenar, kita hanya akan boleh dikatakan sebagai mukmin yang hakiki apabila kita berusaha mengamalkan seruan dan nasihat dari Imam Zaman, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai pencinta sejati Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Dan kita juga berusaha untuk menyempurnakan apa yang beliau ingin lihat daripada kita semua.

Saya telah mengambil beberapa nasihat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam untuk memberi kesegaran kepada kita semua dan memperbaiki keadaan diri masing-masing, malah ia juga perlu untuk kemajuan dunia masing-masing. Jadi, seperti yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam katakan bahawa jika kita tidak melakukan dengan sepenuh hati terhadap apa yang beliau nasihatkan, maka kita tidak dianggap sebagai pengikut sejati.

Pada zaman ini, tugas berat yang diamanahkan ke atas Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ialah menyebarkan Islam sehingga ke pelusuk dunia, dan ini jugalah yang harus dilakukan oleh pengikut-pengikut beliau. Namun, untuk tugas itu, terlebih dahulu kita hendaklah menjadikan diri kita sebagai contoh teladan supaya dapat mempengaruhi orang lain.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda mengenai perkara ini:-
“Jika hanya sekadar ucapan dan perbuatan itu menunjuk-nunjuk, maka apa beza kita dengan orang lain dan apa kelebihan kita di atas mereka. Kamu hanya perlu memperlihatkan amalan kamu dan ia hendaklah mengandungi sinaran sehingga orang lain dapat mengakuinya kerana selagi sinaran seperti itu belum kelihatan, tidak ada yang menerimanya”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 116, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Inilah sinaran kebersihan jiwa zahir dan batin yang harus dilahirkan dalam diri kita masing-masing supaya kita boleh menjadi orang yang melaksanakan syarat bai’at dengan cara yang sepatutnya.

Kemudian bersabda lagi:-
“Jika kita hanya mengatakan sesuatu yang cuma kata-kata kosong, maka ingatlah bahawa ia tidak membawa erti apa-apa. Untuk suatu kemenangan takwa diperlukan. Jika mahu berjaya, maka jadilah orang bertakwa”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 151-152, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian bersabda lagi:-
“Allah Ta’ala suka kepada orang-orang Muttaqi. Ingatlah keagungan Allah dengan ketakutan, dan ingatlah bahawa semua orang adalah hamba Allah. Jangan menzalimi sesiapa, jangan menyakiti, dan jangan memandang hina ke atas sesiapa pun. Jika ada orang yang kotor dalam jemaat, ia akan mengotorkan jemaat semuanya. Jika tabiat kamu cenderung ke arah kemarahan, maka ukurlah kembali bahawa darimana timbulnya kemarahan tersebut. Keadaan ini sangat halus”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 6, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Marah adalah satu ciri semulajadi. Tetapi, seorang mukmin hendaklah tidak dikuasai oleh kemarahan malah setiap kali datang kemarahan, hendaklah bertujuan untuk perbaikan.

Beliau bersabda di suatu tempat:-
“Berbuat baiklah kepada setiap orang. ...... Saudara juga ada hak-hak mereka, dengan mereka juga hendaklah ditunjukkan sikap baik. Kecuali jika ada dalam diri mereka yang bertentangan dengan keredhaan Ilahi, harus menjauhi mereka”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 304, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian bersabda mengenai bagaimana seharusnya rasa ketakutan kepada Allah Ta’ala wujud dalam hati:-
“Rasa takut kepada Tuhan berlaku apabila insan melihat sejauh mana hubungan antara ucapan dan amalannya. Apabila dia melihat bahawa qoul dan fi’ilnya tidak sejalan, maka ingatlah hal itu boleh menarik kemurkaan Ilahi. Jika hati tidak bersih, walaupun ucapan itu nampak bersih, dalam pandangan Tuhan, hatinya tidak mendapat apa-apa nilai. Sebaliknya kemurkaan Ilahi yang menyala. Jadi, anggota jemaatku hendaklah memahami bahawa mereka datang kepada saya, sebab itu ia ditanam lalu akan menjadi pokok yang berbuah lebat. Jadi, setiap orang harus melihat bagaimana keadaan dalaman diri masing-masing? Dan bagaimana keadaan batin mereka? Jika dalam Jemaat kita ada yang begitu, yakni ucapannya lain dan dalam hatinya lain, maka ingatlah bahawa kesudahannya tidak akan baik. Apabila Allah melihat satu Jemaat itu kosong hatinya sedangkan lidahnya mengucapkan banyak perkara, Allah Ta’ala itu Ghani, Dia tidak akan ambil peduli. Khabar ghaib tentang kemenangan Badar, kemenangan dapat dijangkakan dalam segala segi, namun Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berdoa sambil merintih. Hazrat Abu Bakar bertanya kenapa begitu? Sedangkan janji kemenangan sudah ada. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam menjawab: Zat Allah itu Ghani, mungkin dalam janji Tuhan itu menuntut suatu syarat yang tersembunyi”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 8, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, walaupun ada janji kemenangan dari Allah kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, di  dalam hadis dikatakan bahawa baginda dalam perang Badar sangat banyak menangis sehingga kain cadarnya terjatuh dari bahu, dikhuatiri dalam janji kemenangan dari Allah Ta’ala  itu menuntut suatu syarat yang harus dipenuhi. (Syarah Al-Alamah Zurqani Ali Mawaahibul Lidunya Jilid No. 2, halaman 281-284, Baab Ghuzwah Badar Al-Kubra, Darul Kutub Al-Ilmiyah Beirut, 1996)

Jika untuk kemajuan ada syarat yang tersembunyi bersama baginda, untuk suatu kemenangan ada syarat tersembunyi, maka dengan siapa pula suatu kemenangan tidak diperlukan syarat? Sebabnya ialah tidak ada yang tahu tentang rahsia-rahsia Allah Ta’ala. Jadi, amat perlu untuk menjadikan diri sendiri orang yang suci.

Kemudian beliau bersabda lagi:-
“Untuk orang yang bertaqwa ada satu syarat iaitu menjalani kehidupan yang miskin. Ini adalah satu cabang dari ketakwaan, melaluinya kita dapat menghadapi kemarahan yang tidak patut. Untuk orang-orang yang berilmu dan siddiq hendaklah menghindari kemarahan yang sangat susah dan berat. Orang beragama yang sombong muncul dari kemarahan dan demikian juga kemarahan itu akibat daripada orang beragama yang sombong. Ini kerana kemarahan itu berlaku apabila insan mengagungkan dirinya lebih daripada yang lain. Aku tidak mahu anggota jemaatku ada yang saling rendah-merendahkan, atau sombong atau memandang hina orang lain. Tuhan sahaja yang tahu siapa yang besar dan siapa yang kecil. Ini adalah sejenis perbuatan hina, jika dalam diri seseorang ada kebencian, dikhuatiri kebencian ini akan tumbuh seperti biji benih sehingga boleh menghancurkan dirinya. Beberapa orang yang berjumpa orang mulia berlaku sangat hormat, tetapi orang yang mulia adalah mereka yang mendengar perkara orang miskin dari kemiskinan, menghiburkan hatinya, menghormati apa yang diperkatakannya, tidak mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menjadikannya sedih. Tuhan berfirman WALAA TANAA BAZUU BIL ALQOOBI, BI’SAL ISMUL FUSUUQU BA’DAL IIMAAN. WAMALLAM YATUB FA’ULAA’IKA HUMUZ ZOOLIMUUN (Al-Hujurat:12) yakni janganlah kamu saling mengata sesama kamu, perbuatan itu adalah jahat dan buruk. Jika ada orang yang mengata orang lain, dia tidak akan mati melainkan dia mengalami keadaan sedemikian dalam hidupnya. Jangan menganggap saudara kamu itu hina, kamu minum air dari sumber yang sama, siapa yang tahu nasib seseorang yang banyak minum air. Kemuliaan dan keagungan bukan berdasarkan usul duniawi, di sisi Tuhan, orang yang mulia ialah orang yang bertakwa. INNA AKRAMAKUM ‘INDALLAAHI ATQOOKUM INNALLAAHA ‘ALIIMUN KHOBIIR (Al-Hujurat:14)”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 22-23, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Bersabda lagi:-
“Firasat yang benar dan pemahaman yang benar tidak akan dapat diperolehi tanpa tunduk kepada Allah Ta’ala. Sebab itu dikatakan bahawa takutlah kepada firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan Nur Ilahi. Firasat yang benar dan pemahaman yang hakiki sebagaimana yang telah saya jelaskan, ia tidak boleh dicapai selagi sarana takwa tidak wujud. Jika kamu hendak berjaya, maka gunakanlah akal fikiran. Al-Qur’an berkali-kali menyeru untuk merenung dan berfikir. Fikirkanlah apa yang ada dalam Kitab-e-Maknun dan Al-Qur’an, dan jadilah kamu orang muttaqi. Apabila hati kamu telah bersih dan kamu melakukan sesuatu dengan akal yang sihat, dan kamu berjalan di atas landasan ketakwaan, maka dua hubungan keadaan ini akan lahir bahawa ROBBANAA MAA KHOLAQTA HAAZAA BAATHILAA, SUBHAANAKA FAQINA AZAABANNAAR (Ali Imran:192) akan lahir dalam hati kamu. Pada waktu itu akan dapat memahami bahawa makhluk ini tidak sia-sia malah ia merupakan dalil kebenaran tentang Pencipta yang hakiki, supaya pelbagai ilmu dan kemahiran yang boleh membantu agama akan muncul”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 41-42, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian hal ini akan lahir dalam hati bahawa apa sahaja yang Allah Ta’ala ciptakan adalah bukan penipuan, bukanlah satu hal yang batil. Allah Ta’ala Maha Suci, kemudian doa dipohon daripada-Nya supaya menyelamatkan kita dari azab api. Apabila doa ini keluar dari hati, maka waktu itu akan dapat memahami bahawa Allah Ta’ala tidak menciptakan sesuatu yang tidak memberi manfaat. Setiap benda ada saja tujuannya. Jika manusia, dia mempunyai suatu kedudukan. Menghormati kedudukan itu adalah satu kewajipan. Malah, Allah Ta’ala menyatakan bahawa setiap makhluk itu ada tujuan yang tersendiri mengapa mereka diciptakan. Jadi, fahamilah keadaan ini dengan sebaik-baiknya, maka kamu akan dapat mengetahui bahawa Allah Ta’ala tidak menciptakan sesuatu itu sia-sia.

Kemudian bersabda lagi “supaya muncul pelbagai ilmu dan kepakaran yang dapat membantu agama. Apabila akal sudah berkembang, maka akan muncul pelbagai lapangan ilmu. Apa sahaja ilmu di dunia yang membantu agama akan terbuka rahsianya untuk kamu. Jadi, ruh untuk maju dalam melakukan kebaikan-kebaikan akan lahir apabila ada usaha untuk mempelajari dan memahami Al-Qur’an. Oleh sebab itu, jika hendak menjadi mukmin yang sejati, atau termasuk dalam golongan yang benar-benar memahami dan mengetahui kebaikan yang hakiki, maka adalah perlu merenungkan dan membaca Al-Qur’an. Dengan itu, makrifat akan dapat bertambah.

Kemudian beliau bersabda lagi di tempat lain:-
“Jika kamu mahu berjaya di dunia dan akhirat, dan dapat memenangi hati orang lain, maka jalanilah kehidupan yang suci. Gunakan akal dan berjalan atas petunjuk Ilahi. Perbaiki diri sendiri dan perlihatkan orang lain dengan akhlak fadilah kamu yang cantik. Barulah kamu boleh berjaya. Ungkapan ini sangat bagus sekal; ‘perkara yang muncul dari hati akan turun ke atas hati’. Jadi, pertama sekali sediakan hati, jika hendak memberi kesan ke atas hati, maka lahirkan kekuatan amalan. Ini kerana tanpa amalan, kekuatan bercakap dan kekuatan lisan tidak memberi manfaat. Ratusan ribu orang mahir dalam medan berkata-kata. Banyak juga maulvi dan ulama yang ke sana sini naik ke atas mimbar memberi nasihat, yang menganggap diri mereka sebagai naib rasul dan pewaris nabi. Mereka mengatakan jauhi takbur, sombong dan kejahatan. Tetapi, amalan mereka memperlihatkan bahawa mereka sendiri melakukan apa yang mereka tegah. Cuba ukur, adakah nasihat mereka memberi kesan ke atas hati kamu”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 42, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Sesungguhnya, mereka yang telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam memang tidak akan terpengaruh dengan kata-kata para maulvi. Tetapi, orang yang tidak menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, di kalangan mereka golongan cerdik pandai, orang terpelajar, orang-orang yang baik, jika kamu tanyakan kepada mereka, pasti akan mengatakan bahawa mereka itu (para ulama) ‘cakap lain dan buat lain, tidak ada yang mereka usahakan selain kerosakan dan fitnah semata-mata. Jadi, ucapan dan amalan kita hendaklah selari, dengan itu juga akan terbuka jalan tabligh dan memberi kesan kepada orang lain.

Berkenaan dengan ilmu-ilmu yang baru harus diterokai. Beliau bersabda:-
“Saya menganggap para maulvi itu silap jika menentang ilmu pengetahuan yang baru. Mereka berkata seperti itu sebenarnya hendak menyembunyikan kesilapan dan kelemahan mereka. Fikiran mereka telah ditanamkan bahawa penerokaan ilmu-ilmu baru akan mendatangkan keburukan dan kesesatan kepada Islam. Mereka seolah-olah mengatakan bahawa Islam bertentangan dengan akal dan Sains. Oleh kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menzahirkan kelemahan falsafah mereka, sebab itu untuk menutupi kelemahan, mereka menegaskan bahawa salah jika mempelajari ilmu-ilmu yang baru. Ruh mereka menggigil kerana falsafah, dan sujud di hadapan penyelidikan-penyelidikan yang baru. Tetapi, mereka tidak jumpa falsafah yang hakiki yang boleh lahir melalui ilham, yang banyak terdapat di dalam Al-Qur’an. Falsafah itu hanya diberikan kepada mereka yang melemparkan diri mereka di pintu Allah Ta’ala dengan penuh kerendahan dan kehinaan, yang hati dan fikiran mereka kosong dari sebarang fikiran takbur dan mengakui kelemahan mereka lalu mengikrarkan perhambaan dengan cara yang sebenar-benarnya”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 43, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Beliau bersabda lagi:-
“Jadi, memang hari ini perlu meneroka ilmu-ilmu baru dengan tujuan mengkhidmati Islam dan meninggikan kalimah Allah. Dan lakukan dengan bersungguh-sungguh”.

Lakukan dengan kerja keras, majukan diri dalam bidang Sains, lakukan penyelidikan, saya kebelakangan ini menyeru kepada pelajar Ahmadi supaya berusaha ke arah ini. Ini juga satu jalan daripada tabligh dan sarana menyebarkan kebaikan. Apabila ilmu diperolehi, terutama sekali ilmu pengetahuan moden, Sains dan sebagainya, jika dapat dikuasai, maka hasilnya sangat bagus.

Bersabda lagi:-
“Perlu meneroka ilmu-ilmu baru dengan tujuan mengkhidmati Islam dan meninggikan kalimah Allah. Dan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Tetapi saya juga ada pengalaman dan saya hendak jelaskan sebagai peringatan bahawa orang yang telah cenderung ke arah ilmu-ilmu ini dan mereka begitu hanyut sehingga tidak ada masa untuk duduk bersama ahli zikir, dan dia sendiri sudah jauh dari nur Ilahi, mereka itu telah terpesong dan jauh daripada Islam”.

Memang perlu untuk mencari ilmu, tetapi seiring dengan itu ilmu Al-Qur’an juga hendaklah dibaca, ia juga harus dikuasai agar tetap berjalan pada landasan yang betul, kemudian lakukan persahabatan dengan orang yang menguasai ilmu Al-Qur’an.

Kemudian bersabda lagi:-
“Dan sebagai ganti cenderung kepada ilmu itu, Islam harus dipatuhi...... Tetapi ingatlah bahawa orang yang boleh melaksanakan pekerjaan ini, yakni mengkhidmati agama hanyalah mereka yang mempunyai cahaya langit dalam dirinya”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 43, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Dan pada zaman ini, kita telah mencapat cahaya itu melalui Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Sebab itu, untuk tafsir Al-Qur’an dan untuk memahaminya, adalah sangat perlu untuk membaca buku-buku dan tafsir-tafsir beliau. Kemudian kamu boleh mengaitkan Sains dengan ilmu agama, dan tidak mungkin akan terjadi bahawa ilmu dunia menguasai ilmu agama. Selamanya ilmu agama yang akan unggul, kemudian ilmu dunia dan ilmu Sains akan menurut agama.

Kemudian beliau menjelaskan ayat SHOOBIRUU WA ROOBITHUU (Ali Imran:201), yang maksudnya kamu bersabar dan pelihara batasan-batasan yang telah ditentukan. Beliau bersabda:-
“Sebagaimana dalam menghadapi musuh, kuda-kuda harus berada di perbatasan supaya musuh tidak melintasi batasan, demikian juga kamu hendaklah sentiasa bersedia”.

Untuk menjaga perbatasan, para askar diperlukan. Pada zaman lampau, kuda-kuda tentera dianggap sangat baik. Pada zaman sekarang yang penuh dengan pelbagai peralatan, jika hendak memelihara negara, jika hendak menjaga perbatasan, ia harus diletakkan sebagaimana fungsi kuda, supaya musuh tidak melintasi sempadan dan tidak dapat menyerang kamu.

Bersabda lagi:-
“Jangan sampai terjadi musuh melintasi sempadan dan mendatangkan kerugian atas Islam. Saya juga telah jelaskan sebelumnya bahawa jika kamu hendak menolong dan mengkhidmati Islam, maka pertama sekali ialah kamu harus bertakwa dan mensucikan diri di mana kamu sendiri akan masuk dalam tembok perlindungan Allah. Selepas itu kamu akan dapat peluang untuk berkhidmat. Kamu melihat bahawa kekuatan luaran orang Islam sudah begitu lemah, kaum lain melihat dengan pandangan yang benci dan hina”.

Inilah gambaran yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berikan 100 tahun dahulu, dan sekarang ini keadaan semakin teruk. Orang Islam semakin dipandang rendah dan hina disebabkan amalan mereka yang tidak betul.

Bersabda lagi:-
“Jika kekuatan dalaman dan hati kamu sudah lemah dan tidak berdaya, maka akuilah bahawa itu adalah penghabisan”. Kamu yang telah beriman kepada Maseeh Mau’ud pada zaman ini, yang telah beriman kepada Mahdi Ma’hud, jika kamu juga sudah mula hilang kekuatan dalaman dan sudah cenderung ke arah dunia, sudah lupa dengan agama, maka tidak lama lagi ia akan musnah. “Kamu hendaklah mensucikan jiwa kamu sehingga ada kuat qudsiah dalam diri kamu dan akan menjadi seperti kuda-kuda perbatasan yang kuat dan menjadi pemelihara. Kurnia Allah Ta’ala selalu bersama-sama dengan orang-orang yang muttaqi. Jangan jadikan akhlak dan cara kamu boleh menyebabkan ada bintik kotor pada Islam. Orang-orang Islam yang jahat dan orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam akan memberikan bintik kotoran pada Islam. Ada orang Islam yang minum arak dan ada yang muntah di sana sini. Pagri di lilit di leher dan berjalan di lorong-lorong yang kotor, mendapat pukulan dari kasut pihak polis. Orang Hindu dan Kristian ketawa melihat mereka. Perlakuan mereka yang bertentangan dengan syariat itu sebenarnya bukan menjadikan mereka diketawakan tetapi ia sampai ke dasar Islam. Saya sangat sedih apabila mendapat berita atau membaca laporan dari penjara. Apabila saya melihat begitu ramai orang Islam yang berperangai buruk, timbul kemarahan, hati menjadi gementar kerana mereka yang mempunyai sirat mustaqim, disebabkan perlakuan mereka bukan sahaja merugikan diri sendiri malah menjadikan Islam sebagai bahan tertawaan”. Dan keadaan ini juga berlaku sekarang. Beberapa orang Islam datang ke sini, cuba lihat apabila mereka secara khusus mengembara menaiki kapal, di mana terdapat kebebasan untuk minum arak, perjalanan dari Pakistan atau negara-negara Arab, tanpa teragak-agak mereka akan minum arak, dan mengganggu teman berdekatan dengan mereka. “Jadi, buatlah amalan dan cara hidup kamu sebegitu rupa sehingga orang lain tidak ada peluang untuk membuat kritikan”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 48-49, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian ada nasihat berkenaan dengan siapa yang sebenarnya berani atau kuat? Bagaimana jenis keberanian atau kekuatan yang harus ada pada seorang Ahmadi atau seorang mukmin. Beliau bersabda:-
“Dalam jemaat kita, tidak dituntut mereka yang gagah dan kuat seperti pahlawan”. Kita tidak mahu yang seperti itu “malah kekuatan yang dituntut ialah kekuatan berusaha untuk membuat perubahan akhlak. Kekuatan yang sebenar bukanlah kekuatan memindahkan gunung dari tempatnya, bukan itu. Tetapi, keberanian yang sebenar ialah mereka yang berjaya membuat perubahan dalam akhlak. Jadi, ingatlah perkara ini, tumpukan segala kekuatan dan keberanian dalam melakukan perubahan akhlak kerana inilah kekuatan dan keberanian yang hakiki”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 88-89, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian beliau memberi nasihat berkenaan dengan akidah yang benar dan mengutamakan amal soleh. Beliau bersabda:-
“Selain itu, ada dua bahagian lagi yang perlu bagi seorang yang benar dan ikhlas. Satu daripadanya ialah akidah yang benar. Ini adalah kurnia Allah Ta’ala yang sangat sempurna kerana Dia telah memperlihatkan kepada kita jalan yang sempurna dan akidah yang benar melalui usaha keras dan kesungguhan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Jalan yang diperlihatkan kepada kamu pada zaman ini, banyak tempat yang masih ketinggalan. Jadi, syukurilah nikmat dan kurnia Tuhan ini dan kesyukuran itu adalah melakukan amal soleh dengan hati yang benar, iaitu bahagian yang datang selepas akidah yang benar. Dan dengan keadaan amalan itu minta pertolongan dengan berdoa semoga Dia memberikan keteguhan dalam akidah yang benar dan juga mendapat taufik untuk berbuat amal soleh. Bahagian ibadat termasuklah puasa, solat, zakat dan sebagainya. Sekarang fikirkanlah, misalnya solat. Ia datang ke dunia tetapi ia tidak datang dari dunia. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda QURRATU ‘AINII FIS SHOLAAT”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 94-95, edisi 2003, cetakan Rabwah) yakni solat datang ke dunia, tetapi bukan dari dunia atau merupakan benda dunia. Mereka yang dapat menyempurnakannya adalah mukmin yang hakiki.

Berkata lagi:- “Anggota jemaat kita hendaklah memberi tumpuan kepada akhirat. Cuba lihat kaum Luth dan yang lain, apa akibat yang menimpa mereka. Setiap orang wajib seperti ini, walaupun hati begitu keras sekalipun, namun usahakan berkali-kali untuk tunduk”. Timbang hati selalu agar menjadi lembut. Lahirkan kecenderungan kepada Allah Ta’ala. Beri perhatian terhadap ibadat dan tunduk kepada Allah Ta’ala. “Untuk anggota jemaat kita sangat perlu kerana ia membolehkan kita mendapat makrifat yang segar. Jika ada yang mengatakan mendapat makrifat tetapi tidak beramal atasnya, itu hanyalah kata-kata kosong. Jadi, anggota jemaat kita jangan hendaknya menjadi lalai disebabkan kelalaian orang lain. Jangan jadikan kecintaan sendiri menjadi dingin melihat kedinginan kecintaan yang ada pada orang lain. Insan mempunyai banyak keinginan, namun siapa tahu tentang qada’ dan qadar serta yang ghaib”. Tidak ada yang tahu tentang yang ghaib dan tentang qada’ dan qadar. Tidak ada yang tahu apa dan bila sesuatu akan terjadi. “Kehidupan tidak pernah berjalan atas keinginan-keinginan”. Apa keinginan kamu, kehidupan tidak boleh berjalan atas hal itu. “Silsilah keinginan itu lain dan silsilah qada’ dan qadar itu lain, dan silsilah ini yang benar. Ingatlah bahawa kehidupan insan yang ada pada Tuhan adalah benar. Tetapi siapa yang tahu apa sahaja yang tertulis di dalamnya. Sebab itu hati hendaklah diberi kesedaran selalu”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 96, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Apapun keadaan kehidupan kamu akan sampai ke sisi Allah Ta’ala dalam keadaan sempurna. Tidak ada yang boleh tersembunyi. Sebab itu timbanglah selalu hati kamu dan sedarkan agar cenderung kepada Allah.

Kemudian bersabda lagi:-
“Pilihlah jalan-jalan ketakwaan kerana hanya takwa merupakan rumusan dari syariat. Jika hendak menjelaskan syariat secara ringkas, maka inti daripada syariat itu adalah takwa. Tingkat dan darjat takwa ada berbagai jenis tetapi jika inginkan kebenaran, maka jalanilah tingkat permulaan dengan penuh keikhlasan, maka disebabkan keinginan atas kebenaran itu akan menyebabkan darjat tinggi dapat dicapai. Allah Ta’ala berfirman INNAMAA YATAQOBBALUL LAAHU MINAL MUTTAQIIN (Al-Maidah:28) seolah-olah Allah Ta’ala mengabulkan doa orang-orang muttaqi. Ini juga seolah-olah janji daripada-Nya, dan Dia tidak pernah memungkiri janji-Nya. Sebagaimana dikatakan INNAL LAAHA LAAYUKHLIFUL MII’AAD (Ar-Ra’ad:32). Jadi, jika syarat untuk pengabulan doa adalah takwa, iaitu syarat yang bukan munafik, maka jika ada insan yang lalai dan terpesong lalu menginginkan agar doanya dikabulkan, bukankah itu satu kejahilan atau kebodohan? Oleh sebab itu, dalam jemaat kita hendaklah berusaha sedapat yang mungkin berjalan atas landasan takwa supaya kegembiraan pengabulan doa dapat dicapai dan mendapat pertambahan iman”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 68, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian, ada lagi satu nasihat beliau:-
“Banyak kali datang ilham dari Tuhan bahawa kamu hendaklah menjadi orang bertakwa dan berjalan di atas jalan takwa yang halus, maka Tuhan akan bersama dengan kamu. Ia menjadikan hati saya sedih, apa yang harus saya lakukan supaya jemaat kita memilih takwa yang sebenar dan kesucian. Saya begitu banyak berdoa, berdoa dan berdoa sehingga menjadi sangat lemah, dan kadang-kadang saya tidak sedarkan diri. Selagi di dalam jemaat pada pandangan Tuhan belum ada yang bertakwa, maka pertolongan Tuhan tidak akan sampai kepada mereka. Takwa adalah rumusan daripada ajaran yang terdapat dalam semua lembaran suci termasuk Taurat dan Injil. Al-Qur’an menzahirkan keredhaan Tuhan yang agung hanya melalui satu perkataan sahaja”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 200, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Beliau juga menyeru agar anggota jemaat membaca doa berikut:-
ROBBANAA AATINAA FID DUNYAA HASANATAU WA FIL AAKHIRATI HASANATAU WAQINAA AZAABAN NAAR (Al-Baqarah:202)

Bersabda lagi:-
“Taubat untuk manusia bukanlah sesuatu yang tidak bermanfaat, kesannya bukan hanya tertumpu kepada akhirat, malah ia boleh meluruskan dunia dan agama manusia, dan ia juga boleh memberi ketenteraman dan kegembiraan di dunia ini dan di hari kemudian. Cuba lihat Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an ROBBANAA AATINAA FID DUNYAA HASANATAU WA FIL AAKHIRATI HASANATAU WAQINAA AZAABAN NAAR (Al-Baqarah:202). Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, dan selamatkanlah kami dari azab api neraka. Cuba lihat, lafaz ROBBANAA adalah isyarat yang halus merujuk kepada taubah kerana lafaz ROBBANAA menandakan bahawa dia sudah bosan dengan RAB-RAB yang lain sebelumnya lalu menuju kepada Tuhannya. Lafaz ini tidak akan keluar dari hati seseorang kecuali dengan perasaan. RAB bermaksud menyampaikan secara berperingkat-peringkat sehingga sempurna dan juga pemelihara. Pada dasarnya insan banyak membuat RAB-RAB sendiri. Mereka yang bergantung kepada helah dan penipuan, itulah RAB mereka. Jika ada yang bangga dengan ilmu dan kekuatan tubuh, itulah RAB mereka. Jika ada yang berbangga dengan kecantikan, harta atau kekayaan, itulah RAB mereka. Ringkasnya, ribuan benda-benda yang ada di sekeliling mereka, selagi semua benda-benda itu belum ditinggalkan dan bosan dengannya lalu tunduk kepada Dia yang Esa dan RAB yang hakiki, dan selagi belum rebah di istana-Nya dengan membawa lafaz RABBANAA disertai hati yang penuh perhatian, maka selagi itu dia belum mengetahui RAB yang hakiki. Jadi, apabila tunduk di hadapan-Nya dengan penuh kerendahan hati dan mengakui dosa-dosa lalu bertaubat, dan berkata kepada-Nya RABBANAA yakni hanya Engkaulah RAB yang asli dan hakiki. Tetapi kami ke sana-sini disebabkan kesalahan kami, sekarang ini saya telah meninggalkan patung dusta dan sembahan yang batil itu, dan saya mengakui RUBUBIYAT Engkau dengan hati yang benar. Aku datang ke istana Engkau. Ringkasnya, membuat sembahan selain Dia adalah susah. Selagi RAB yang lain dan keagungan serta kebergantungan atasnya belum hilang dari hati manusia, maka selagi itulah RAB yang hakiki dan RUBUBIYAT-Nya tidak akan muncul. Ada orang menjadikan dusta sebagai RABnya. Mereka beranggapan tanpa berdusta susah untuk hidup. Ada juga yang menjadikan RAB mereka perbuatan mencuri dan merompak serta menipu, dan beranggapan bahawa tanpa itu semua rezeki tidak dapat diperolehi. Inilah RAB-RAB mereka. Lihat, seorang pencuri yang lengkap dengan segala peralatan merompak, dan waktu malam adalah saat yang bermanfaat untuknya, apalagi jika pengawal tidak ada yang berjaga, adakah dalam keadaan seperti itu dia boleh mengetahui bahawa ada lagi jalan lain untuk mendapatkan rezeki? Dia sudah menganggap senjatanya sebagai sembahan. Begitu juga dengan orang yang bergantung harap kepada penipuan, untuk apa lagi orang seperti itu berhajat memohon dan berdoa kepada Tuhan?”

Bersabda lagi:-
“Orang yang memerlukan doa ialah mereka yang tertutup semua jalannya, dan tidak ada jalan kecuali pintu itu. Dari hatinya keluar doa. Ringkasnya berdoa dengan RABBANAA AATINAA FID DUNYAA ... hanyalah mereka yang mengakui bahawa Tuhan adalah RAB mereka, dan mereka yakin bahawa semua benda yang lain adalah batil di hadapan-Nya. Api tidak hanya bermaksud api pada waktu kiamat, tetapi di dunia ini juga mereka yang panjang umur akan dapat melihat bahawa di dunia inipun ada ribuan jenis api. Orang yang berpengalaman mengetahui bahawa ada ribuan jenis api di dunia ini. Pelbagai jenis azab, ketakutan, kesedihan, kemiskinan, kebuluran, penyakit, kegagalan, takut akan kehinaan, ribuan jenis kesedihan, pelbagai kesusahan anak-anak, isteri dan sebagainya, dan hubungan dalam kekeluargaan yang renggang. Ringkasnya, semua ini adalah api. Jadi, seorang mukmin berdoa agar dihindari dari segala jenis api yang dinyatakan. Apabila kami telah berpaut pada Engkau, jauhilah kami dari semua perkara yang boleh menyusahkan hidup insan dan juga apa-apa yang ada pada manusia”. (Malfoozaat Jilid 3, halaman 144-145, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian ada janji Tuhan kepada Ahmadi yang hakiki. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Allah Ta’ala berfirman WAJAA ILUL LAZIINAT TABA’UUKA FAUQAL LAZIINA KAFARUU ILAA YAUMIL QIYAAMATI (Ali Imran:56). Janji pertolongan yang mententeramkan hati ini dibuat kepada ibnu Maryam yang dahulu. Tetapi saya berikan khabar gembira kepada kamu bahawa orang yang akan datang atas nama Maseeh ibnu Maryam juga telah diberikan khabar gembira oleh Allah Ta’ala. Sekarang kamu fikirkan sendiri bahawa mereka yang berhubungan denganku dan hendak termasuk dalam janji dan khabar gembira yang agung ini, adakah mereka itu adalah orang-orang yang tenggelam dalam keburukan dan kejahatan? Tidak sama sekali. Mereka yang benar-benar menghargai janji Allah Ta’ala ini, dan tidak menganggap kata-kataku ini seperti cerita kosong, maka ingatlah dan dengarlah dari hati. Saya sekali lagi mengatakan kepada mereka yang berhubungan denganku, dan hubungan itu bukan hubungan yang biasa malah sangat erat, yang mana pengaruhnya boleh sampai kepada Wujud yang telah menyampaikan aku kepada zat insan yang sempurna Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang telah membawa ruh kebenaran ke dunia ini. Saya mengatakan hal ini bahawa pengaruh perkara ini sampai kepada zat saya, maka saya sekali-kali tidak merasa ragu dan risau. Namun, ia tidak hanya sampai ke situ. Pengaruhnya akan sampai kepada zat nabi yang mulia sallallaahu alaihi wasallam, insan pilihan Tuhan sendiri. Jadi, dalam keadaan dan situasi ini, dengarkan dengan sebaik-baiknya, jika kamu hendak mendapat bahagian dalam khabar gembira ini dan berhasrat untuk menjadi orang yang membenarkannya, dan kamu mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk kemenangan yang besar, maka saya hanya dapat mengatakan bahawa kejayaan itu tidak akan dapat dicapai selagi kamu tidak melalui lawwamah lalu sampai kepada muthmainnah. Lebih dari itu saya tidak mahu katakan apa-apa. Kamu menjadi pengikut kepada seorang utusan daripada Allah, jadi dengarlah hal ini dengan penuh teliti dan amalkanlah segala perintahnya supaya kamu tidak menjadi orang yang jatuh ke lembah keingkaran setelah mereka berjanji sehingga membeli azab yang berkekalan”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 64-65, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Inilah nasihat, di antara nasihat-nasihat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada anggota jemaatnya. Amat beruntunglah mereka yang telah hidup dalam zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan mendengar nasihatnya. Kita juga beruntung kerana hal ini sampai kepada kita. Seharusnya kita berterima kasih kepada mereka yang telah menyampaikan hal ini kepada kita, supaya kita menjadi orang yang memahami hakikat bai’at. Juga menjadi orang yang tergolong sebagai penyebar kebaikan di dunia. Menjadi orang yang tergolong sebagai orang yang sentiasa melangkah atas landasan takwa. Kita beruntung kerana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah meletakkan jalan ketakwaan yang hakiki dan kefahaman mengenainya juga disediakan. Apa yang kita perlu lakukan ialah menjadi hamba yang bersyukur dan berjalan atas landasan ketakwaan. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk itu.

Selepas solat Jumaat ini, saya akan memimpin solat Jenazah ghaib untuk beberapa orang.

Pertama sekali ialah murabbi jemaat yang bertugas di Markas Rabwah, Mukarram Syeikh Muhammad Naim Sahib ibnu Syeikh Muhammad Aslam Sahib, berasal dari Dunia Pur. Beliau bertugas di Pengurusan Rekod Anjuman dalam jabatan Penyusunan Rekod. Beliau datang ke pejabat, kemudian mendapat serangan jantung sehingga pengsan. Beliau dikejarkan ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan walaupun dengan usaha para doktor. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Umurnya 62 tahun. Beliau seorang yang penyayang, rajin bekerja. Dalam usia 18 tahun lagi telah berwasiyat. Bertugas sebagai muballigh di Sierra Leon. Kemudian bertugas sebagai murabbli di berbagai daerah di Pakistan. Beliau adalah menantu Mukarram Maulana Rasyid Ahmad Sahib Chugtai Marhum, muballigh. Beliau tidak ada anak, namun meninggalkan seorang anak angkat perempuan dan balu. Semoga Allah memberi kekuatan iman dan sabar atas mereka.

Jenazah kedua ialah Mukarram Ahsan Kamal Sahib ibnu Mukarram Muzaffar Iqbal Sahib Halqah Sadar Karachi. Beliau berasal dari Punjab daerah Layyah. Moyangnya telah menjadi Ahmadi dan sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan bai’at pada tangan beliau. Datuknya juga sangat rapat hubungan dengan Hazrat Khalifatul Maseeh Ke-IV. Ibu beliau pernah menjawat Sadar Halqah dalam organisasi Lajnah. Beliau dari Halqah Mahmud Abad Karachi. Di sini, penentangan terhadap jemaat sangat kuat. Sebelumnya, sudah tiga orang syahid di sana. Dia bekerja dalam sebuah syarikat dan pada 18 Januari yang lepas, ketika sibuk bekerja ada dua orang yang tidak dikenali menaiki motosikal merebut telefon bimbitnya. Oleh kerana beliau mempertahankannya, dia telah ditembak dengan dua das tembakan sehingga wafat di tempat kejadian. Pertama sekali, dia menjadi syahid dalam jemaat kerana dia Ahmadi. Jika dia tidak syahid dalam jemaat pun, oleh kerana dia terkorban dalam kerja ketika mempertahankan dirinya, maka itu juga adalah syahid. Semoga Allah meninggikan darjat beliau, umurnya baru 30 tahun.

Jenazah yang ketiga mukarram Irfan Ahmad Sahib dari Unca Manggat daerah Hafiz Abad yang telah wafat  pada 9 Januari yang lepas. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Beliau ini adalah anak kepada sahabi iaitu Hazrat Maulvi Fazal Diin Sahib. Selepas pembentukan Pakistan, beliau bekerja di Furqan Force. Beliau seorang Musi, beliau sangat banyak membantu Khilafat dan Jemaat. Beliau meninggalkan seorang isteri, lima anak lelaki dan lima anak perempuan. Salah seorang anaknya Rizwan Ahmad Syahid Sahib seorang muballigh yang sekarang ini bertugas di Ivory Coast. Disebabkan itu beliau tidak dapat melawat jenazah  ini.

Semoga Allah Ta’ala memberikan maghfirah dan kasih sayang atas mereka semua dan orang-orang yang ditinggalkan diberikan kesabaran dan ketenangan dalam menjalani kehidupan.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
01.03.2012

No comments:

Post a Comment