Monday, February 13, 2012

Malfoozaat Jilid 1_11


MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

KEBANGKITAN MASEEH DALAM SILSILAH ISRAILI DAN ISMAILI

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa kebijaksanaan Allah Ta’ala ialah dua silsilah ini berdiri di dunia iaitu Israili dan Ismaili. Silsilah pertama bermula dari Hazrat Musa alaihissalam dan berakhir pada Hazrat Maseeh alaihissalam, yakni berlanjutan sehingga 1400 tahun. Dengan itu ia memberi isyarat tentang kedatangan seorang Maseeh alaihissalam pada tahun ke 1400, iaitu bermula dari Hazrat Rasul Akram sallallaahu alaihi wasallam sehingga hari ini. Keistimewaan hubungan dalam kiraan 14 juga ialah insan akan baligh pada usia 14 tahun. Hazrat Musa alaihissalam mendapat khabar bahawa Maseeh alaihissalam akan datang apabila wujud banyak firqah dalam umat Yahudi. Dalam akidah mereka banyak perbezaan yang berat. Ada yang tidak mengakui kewujudan malaikat, dan ada yang mengingkari akan terjadinya kiamat. Jadi, apabila tersebar berbagai amalan atas kepercayaan yang salah, maka Maseeh alaihissalam akan datang sebagai HAKAM. Demikian juga pemimpin kita yang sempurna sallallaahu alaihi wasallam telah memberitahu kepada kita bahawa apabila kamu berpecah menjadi banyak firqah-firqah seperti Yahudi, dan kamu melakukan kejahatan seperti yang mereka lakukan, para ulama saling mengkafirkan sesama sendiri seperti Yahudi, maka pada waktu itu di kalangan umat marhumah ini akan datang seorang Maseeh sebagai HAKAM, yang akan menyelesaikan setiap perkara berpandukan kepada Al-Qur’an Syarif. Dia akan menjadi seperti Maseeh alaihissalam yang akan ditentang oleh kaum dan juga akan dianggap sebagai kafir. Jika orang-orang itu mengatakannya sebagai dajjal dan kafir disebabkan ketidaktahuan, maka memang itu yang akan terjadi kerana di dalam hadis ada dinyatakan bahawa Maseeh yang akan datang dikatakan sebagai dajjal dan kafir. Tetapi, akidah yang diajarkan kepadanya itu benar-benar bersih dan terang, dan tidak memerlukan sebarang dalil. Dalil yang mematahkan ada bersama-samanya.

KEWAFATAN MASEEH alaihissalam

Pertentangan pertama ialah mengenai kewafatan Maseeh alaihissalam. Ayat-ayat yang terang menyokongnya: YAA ‘IISAA INNII MUTAWAFFIIKA WA ROOFI’UKA ILAIYA (Ali Imran:56). Kemudian FALAMMAA TAWAFFAITANII KUNTA ANTAR ROQIIBA ‘ALAIHIM (Al-Maidah:118). Sangat dusta alasannya jika makna TAWAFFII dalam ayat ini diertikan yang lain. Ibnu Abbas radiallaahu anhu dan pembimbing kita yang sempurna sallallaahu alaihi wasallam sendiri pun menyatakan maknanya sebagai wafat. Dari ayat mana pun lafaz TAWAFFI orang-orang ini gunakan, ia tetap membawa maksud kewafatan dan mengambil nyawa. Di dalam Al-Qur’an juga, semua tempat membawa maksud yang sama. Sebab itu, jangan lari dari perkara ini, dan apabila Maseeh Nasri alaihissalam terbukti kewafatannya, sudah pasti akan muncul seseorang dari umat ini sebagaimana jelas dari penjelasan hadis IMAAMUKUM MINKUM. Mereka yang nature akan bernasib baik kerana terselamat dari musibat ini kerana mereka percaya kepada KEWAFATAN MASEEH. Dan mengenai Maseeh yang dijanjikan begitu jelas diperkatakan terus menerus, dan mengingkarinya adalah satu tindakan yang tidak tepat. Selain itu, di dalam Al-Qur’an banyak isyarat-isyarat yang dinyatakan. Sebab itu, seorang yang berakal tidak dapat mengingkari hal ini bahawa Maseeh akan datang.

APA CIRI-CIRI MASEEH PADA ZAMAN INI?

Memang hak beberapa orang untuk membantah – apa ciri-ciri Maseeh pada zaman ini? Jawapannya ialah Qur’an Syarif telah menjelaskan secara terang-terangan persamaan antara dua silsilah ini - Israili dan Ismaili iaitu mengenai khilafat. Hal ini jelas melalui ayat WA ADALLAAHUL LAZIINA AAMANUU MINKUM WA AMILUS SHOOLIHAATI LAYAS TAKHLIFAN NAHUM FIL ARDHI KAMAS TAKHLAFAL LAZIINA MIN QOBLIHIM (An-Nur:56). Khalifah terakhir dalam silsilah Israili yang datang pada tahun ke 1400 selepas Hazrat Musa alaihissalam ialah Maseeh Nasri alaihissalam. Sebagai persamaan, sudah tentu Maseeh yang akan datang dari umat ini ialah pada tahun ke 1400. Selain itu juga, ahli kasyaf telah menetapkan bahawa abad ini adalah zaman kebangkitan Maseeh, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Syah Wali Allah Sahib dan lain-lain. Ahli Hadis juga sepakat bahawa tanda-tanda kecil (sughra) dan tanda-tanda besar (kubra) telah sempurna. Tetapi, dalam hal ini bagaimanapun tetap ada kesalahan mereka. ...... Semua tanda-tanda telah sempurna. Tanda yang besar seperti yang tertulis dalam Bukhari Syarif adalah YAKSIRUS SHOLIIBA WA YAQTULUL KHINZIIR yakni semasa nuzul Maseeh nanti, kemenangan Kristian dan pemujaan Salib sangat maju. Adakah hal itu belum berlaku? Tidakkah kelihatan di mana-mana pemandangan kerugian Islam oleh golongan paderi-paderi sejak dari Adam alaihiisalam sehingga hari ini? Di setiap negara terjadi banyak perpecahan. Tidak ada satu keluarga Islam pun yang separuh daripada orang-orangnya tidak pergi dari tangannya. Jadi, waktu untuk yang akan datang itu adalah ketika kemenangan fahaman salib. Apa yang lebih unggul berbanding mereka sekarang ini di mana mereka menyerang Islam dengan begitu dahsyat laksana binatang buas. Adakah suatu kumpulan penentang selain mereka yang mengutuk sehina-hinanya dan mencaci maki Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam? Sekarang, jika bukan waktu untuk kedatangannya, maka paling cepat pun akan datang selepas 100 tahun kerana waktu itu adalah waktu kedatangan mujaddid, yang mana kedatangannya adalah di permulaan abad. Adakah di dalam Islam sekarang ini mempunyai kekuatan untuk menghadapi hari-hari keunggulan paderi-paderi sehingga satu abad? Sebenarnya kejayaan sudah sampai ke kemuncaknya dan orang yang akan datang itu telah tiba. Sekarang dia akan menghapuskan dajjal dengan hujah-hujah kerana di dalam hadis dikatakan bahawa kemusnahan agama ditetapkan di tangan mereka, bukan melalui orang atau ahli agama, dan itu yang terjadi.

TANDA ALAM YANG MENYOKONG MASEEH MAU’UD

Salah satu tanda untuk yang akan datang itu ialah pada zaman ini akan terjadi gerhana bulan dan matahari dalam bulan Ramadhan. Orang yang mentertawakan tanda Allah Ta’ala ini adalah mentertawakan Tuhan. Kejadian gerhana bulan dan matahari yang berlaku selepas dakwaan adalah satu hal yang jauh daripada penipuan dan buat-buatan. Sebelumnya tidak pernah terjadi gerhana bulan dan mahatari seperti itu. Ini adalah satu tanda Allah Ta’ala menyatakan bahawa yang akan datang itu adalah untuk seluruh dunia. Sebagai contoh, orang Arab juga melihat tanda ini lalu menyatakan hal ini benar menurut perkiraan mereka. Pengisytiharan kita sebagai pengumuman, di mana sahaja ia sampai, di sana juga dapat melihat gerhana bulan dan matahari ini dan memberitahu tentang masa kedatangan orang yang akan datang. Ini adalah tanda dari Tuhan yang benar-benar bersih dari sebarang campurtangan manusia. Dalam bentuk apa cara sekalipun falsafah yang ada, renungkan dan fikirkan, bahawa apabila tanda telah sempurna, maka sudah pasti akan muncul orang yang akan membenarkannya. Perkara ini tidaklah berpandukan kepada asas pengiraan. Sebagaimana dikatakan bahawa ia akan berlaku apabila sudah ada dakwaan sebagai Mahdi. Rasul Akram sallallaahu alaihi wasallam juga bersabda bahawa sejak dari Adam alaihissalam sehingga Mahdi itu, ia tidak pernah terjadi. Jika ada yang dapat membuktikannya melalui sejarah, maka kita akan setuju.

Satu lagi ialah munculnya bintang Dzu As-Sinin yakni bintang pada tahun-tahun yang telah berlalu iaitu bintang yang pernah muncul pada hari-hari (tahun-tahun) Maseeh Nasri. Sekarang pun bintang itu telah muncul sebagai pemberitahuan dari langit tentang Maseeh Yahudi. Demikian juga dapat diketahui apabila kita melihat Al-Qur’an Syarif: WA IZAL ‘ISYAARU ‘UTTILAT. WA IZAL WUHUUSYU HUSYIRAT. WA IZAL BIHAARUL SUJJIRAT. WA IZAN NUFUUSU ZUWWIJAT. WA IZAL MAU’UUDATU SU’ILAT. BI AIYI ZUNBIN QUTILAT. WA IZAS SUHUFU NUSYIRAT (At-Takwir:5-11) yakni pada zaman itu unta-unta akan ditinggalkan, iaitu kenderaan yang selalu digunakan sebelumnya digantikan dengan kenderaan yang lebih baik. Ia memberi maksud zaman keretapi. Mereka yang berfikiran bahawa ayat ini berhubungan dengan kiamat, mereka itu tidak berfikir bahawa pada hari kiamat bagaimana unta-unta yang bunting boleh bertahan, kerana ‘ISYAR bermaksud unta yang bunting. Kemudian tertulis juga bahawa pada zaman itu sungai-sungai akan disalurkan dari empat penjuru. Buku-buku juga akan disebarluaskan dengan begitu banyak. Semua tanda-tanda ini berkenaan dengan zaman ini.

KEMUNCULAN MASEEH MAU’UD

Sekarang yang tinggal ialah tempat. Jadi, ingatlah bahawa kemunculan dajjal dinyatakan di Timur, maknanya di negara kita. Penulis Hujajul Kiramah memberitahu bahawa fitnah dajjal muncul di Hindustan dan ini jelas bahawa kemunculan Maseeh juga adalah di tempat di mana dajjal muncul. Kemudian, tempat itu disebut sebagai QAD’AH. Dan itu adalah ringkasan QADIAN. Mungkin saja di Yaman pun ada tempat yang serupa dengannya, tetapi ingatlah bahawa Yaman dari Hijaj bukan di Timur, tetapi ia berada di Selatan. Akhir sekali – di Punjab ini ada lagi Qadian yang berdekatan dengan Ludhianah.

Selain itu, qada’ dan qadar yang telah meletakkan nama saya juga adalah isyarat yang halus ke arah ini kerana kiraan huruf nama Ghulam Ahmad Qadiani mengeluarkan jumlah sebanyak 1300. Yakni nama imam ini akan bermula pada awal abad ke-14. Isyarat daripada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga adalah ke arah ini.

MALAPETAKA BUMI DAN LANGIT

Malapetaka juga adalah satu petanda. Malapetaka langit seperti kemarau, taun dan berbagai malapetaka yang menimpa. Taun adalah azab yang sangat berbahaya sehingga meletakkan kerajaan dalam kebimbangan. Jika ia berterusan, negara akan bersih (musnah). Malapetaka bumi pula ialah seperti peperangan dan gempa bumi yang telah menghancurkan negara. Untuk utusan Allah, memang perlu menunjukkan tanda-tanda langit sebagai bukti kebenarannya. Satu bukti berkenaan dengan Lekhram, adakah ia satu tanda yang kecil? Sebagai satu perkelahian ia berlanjutan sehingga bertahun-tahun yang terikat pada satu syarat. Peperangan berterusan sehingga lima tahun, kedua-dua pihak saling mengeluarkan kenyataan, ia menjadi tergempar yang tidak mungkin ada contohnya. Kemudian, itu yang terjadi sebagaimana yang dinyatakan. Adakah kejadian itu ada gambarannya? Berkenaan dengan Dharam Mahutsu juga beberapa hari yang lepas telah diumumkan bahawa kami mendapat pemberitahuan dari Allah Ta’ala yang menyatakan karangan kami akan unggul di atas semua karangan yang lain. Mereka yang telah menyaksikan jalsah yang sangat luar biasa dan penuh ru’ub itu boleh berfikir sendiri, bahawa jalsah seperti ini, yang keunggulannya telah dikhabarkan terlebih dahulu tidak terdapat gambarannya dalam agama sebelum ini. Akhirnya, itu yang telah terjadi. WA AAKHIRU DA’WAANAA ANIL HAMDULILLAAHI ROBBIL ‘AALAMIIN.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 29-32)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(13.02.2012)

No comments:

Post a Comment