Sunday, January 29, 2012

Malfoozaat Jilid 1_10


MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

KEDUDUKAN RASULULLAH sallallaahu alaihi wasallam DAN PARA SAHABAT

Kebenaran dan kesucian yang diperlihatkan oleh baginda dan para sahabat tidak ada tandingannya di mana-mana. Mereka tidak teragak-agak untuk menyerahkan nyawa. Tugas yang diberikan kepada Hazrat Isa alaihissalam bukanlah satu tugas yang sangat berat, dan tidak juga kepada orang yang mengingkari ilham. Memberi kefahaman kepada beberapa orang saudara bukannya tanggungjawab besar. Orang Yahudi telah membaca Taurat sebelumnya, dan mereka juga beriman kepadanya. Mereka juga mengakui Tuhan sebagai WAHDAHU LAA SYARIIK. Ada ketikanya mereka berfikir apa tujuan Hazrat Maseeh datang. Di kalangan orang Yahudi, ada yang merasa malu sehingga sekarang mengenai Taurat. Mereka hanya boleh mengatakan bahawa kelemahan akhlak ada dalam orang Yahudi, tetapi ajaran itu memang ada dalam Taurat. Walaupun ada kemudahan bahawa kaum pada waktu itu menerima kitab berkenaan, Hazrat Maseeh alaihissalam belajar dari seorang guru. Bertentangan dengan itu, Sayyid wa Maula pembimbing kita yang sempurna adalah seorang ummi. Tidak ada guru tempat baginda belajar, dan hal ini juga diakui sendiri oleh para penentang. Jadi, untuk Hazrat Isa alaihissalam ada dua kemudahan. Satu daripadanya ialah mereka itu adalah saudaranya dan perkara yang berat yang harus diterima daripadanya, mereka telah mengakui sebelumnya. Namun, memang kurang dari sudut akhlak. Tetapi, walaupun banyak kemudahan, Hawari tetap sahaja tidak lurus dan ada yang tamak. Nabi Isa alaihissalam selalu menyimpan duit tetapi Hawari pula yang mencurinya. Nabi Isa alaihissalam berkata; saya tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kepala. Kita menjadi hairan, apa maksud kata-kata demikian? Sedangkan ada rumah, ada tempat, ada kemudahan kewangan sehingga tidak diketahui walaupun dicuri. Namun, walaupun perkara ini dipertikaikan, ia disebutkan adalah bertujuan bahawa dengan adanya sarana kemudahan itu, tidak ada yang dapat diperbaiki. Petrus sendiri diberikan kunci syurga, tetapi tidak dapat berhenti dari melaknat gurunya.

Sekarang, bertentangan dengan itu, jika dilihat dari sudut keadilan, para sahabat kepada pemimpin kita yang sempurna sallallaahu alaihi wasallam telah menunjukkan berbagai kesetiaan untuk Allah dan Rasul. Pernah dibuang negeri, menanggung kezaliman, menahan berbagai musibat, dan juga kehilangan nyawa. Tetapi, tetap dalam kebenaran dan kesetiaan sehingga mati. Jadi, apa perkara yang telah menjadikan mereka sanggup memberikan pengorbanan? Sebenarnya itu adalah semangat kecintaan Ilahi yang benar, yang mana percikannya telah tertanam dalam hati mereka. Sebab itu, kalau dibandingkan dengan mana-mana nabi sekalipun, ajaran baginda sallallaahu alaihi wasallam, tazkiyah nafs (penyucian diri) menjadikan pengikut-pengikutnya benci kepada dunia dan berani mengalirkan darah demi kebenaran. Gambaran seperti mereka tidak terdapat permisalannya. Kedudukan ini hanya ada pada sahabat-sahabat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Kecintaan dan kasih sayang di antara sesama mereka dapat digambarkan melalui ayat ini WA ALLAFA BAINA QULUUBIHIM LAU ALFAQTA MAA FIL ARDHI JAMII’AM MAA ALLAFTA BAINA QULUUBIHIM (Al-Anfal:64) yakni kecintaan dalam diri mereka tidak akan dapat ditanam walaupun diberikan segunung emas. Sekarang, satu lagi jemaat iaitu Jemaat Maseeh Mau’ud alaihissalam, yang telah menciptakan warna para sahabat dalam diri mereka. Jemaat para sahabat radiallaahu anhum sangat suci dan telah diakui di dalam Al-Qur’an. Adakah kalian sama seperti itu? Apabila Tuhan mengatakan bahawa bersama-sama dengan Hazrat Maseeh alaihissalam adalah mereka yang menyamai para sahabat radiallaahu anhu. Para sahabat itu adalah mereka yang telah memberikan harta mereka, negara mereka pada jalan yang hak dan meninggalkan segala-galanya. Berkenaan dengan Hazrat Siddik Akbar radiallaahu anhu mungkin sudah ramai yang dengar. Pernah sekali apabila ada perintah untuk memberikan harta pada jalan Tuhan, maka dia membawa segala apa yang ada di rumahnya. Apabila Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bertanya, apa yang kamu tinggalkan di rumah? Maka dia berkata, saya meninggalkan Allah dan Rasul di rumah. Seorang Ra’is Mekah, seorang suci dan yang memakai pakaian orang miskin. Anggaplah mereka itu telah syahid pada jalan Allah Ta’ala. Tertulis berkenaan dengan mereka bahawa syurga itu di bawah pedang-pedang, tetapi untuk kita tidaklah begitu keras sebab zaman kita ditetapkan sebagai YADHA’UL HARB yakni peperangan tidak akan terjadi pada zaman Mahdi.

HAKIKAT JIHAD

Allah Ta’ala melakukan sesuatu bertujuan untuk memperbaiki dan apabila perbuatan itu sudah mulai dikritik, maka perbuatan itu akan ditinggalkan. Pada awalnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tidak mengangkat sebarang senjata, tetapi mereka menghadapi kesusahan demi kesusahan. 13 tahun itu cukup menjadikan seorang anak kecil mencapai umur baligh. Dan jika dikeluarkan 10 dari zaman Hazrat Maseeh alaihissalam, namun tetap sahaja mencukupi. Justeru itu, dalam tempoh yang lama ini tidak ada suatu bentuk kesusahan yang tidak pernah dilalui. Pada saat akhir pun, keluar dari negara tetap dikejar. Meminta perlindungan di tempat lain, musuh tetap tidak melepaskan mereka. Apabila terjadi keadaan yang sangat sulit ini, maka untuk menyelamatkan orang-orang yang dizalimi dari kezaliman musuh, turunlah perintah UZINA LILLAZIINA YUQOOTALUUNA BI ANNAHUM ZULIMUU WA INNALLAAHA ‘ALAA NASHRIHIM LAQADIIR, ALLAZIINA UKHRIJUU MIN DIYAARIHIM BIGHOIRI HAQQIN ILLAA AIYAQUULUU ROBBUNALLAAH (Al-Hajj:40-41) Mereka diperangi, dihalau dari rumah hanya disebabkan mereka berkata Tuhan kami adalah Allah. Pada waktu inilah perlu mengangkat senjata, jika tidak begitu keadaannya, senjata tidak akan diangkat. Pada zaman kita ini, pen yang diangkat, kita dicerca dan disakiti dengan pen, sebab itu kita berperang dengan mereka menggunakan pen.

NASIHAT UNTUK JEMAAT

Saya sudah berkali-kali katakan bahawa setinggi mana kedekatan yang diperolehi oleh seseorang, maka semakin banyak juga ujian yang dihadapi. Ahli bait wajib melalui lebih banyak ukuran, mereka yang jauh, tidak perlu diukur. Tetapi kamu amat perlu diukur. Jika keimanan dalam diri kamu kurang berbanding mereka, maka apa perbezaan di antara kamu dan mereka. Kamu dalam perhatian ramai, mereka itu sama seperti perisik kerajaan yang akan memerhatikan gerak dan diam kamu. Mereka itu benar. Apabila sahabat-sahabat Maseeh alaihissalam menjadi seperti para sabahat radiallaahu anhu, adakah kamu sama seperti itu? Jika kamu tidak seperti itu, maka kamu berhak ditangkap. Walaupun masih peringkat permulaan, tetapi maut tidak boleh dijangka. Maut adalah satu urusan yang tidak boleh dielak dan pasti akan dialami oleh setiap orang. Jika ini yang berlaku, bagaimana kamu boleh lalai? Jika ada orang yang tidak ada hubungan dengan saya, maka hal itu berlainan. Tetapi, jika kamu datang kepada saya dan menerima dakwaan saya, mengakui saya sebagai Maseeh, dengan kata lain kamu telah mengaku sama seperti para sahabat yang mulia, jadi, adakah para sahabat telah menghindarkan diri dari melakukan siddiq dan kesetiaan. Adakah dalam diri mereka kemalasan? Adakah mereka bersedih hati? Adakah mereka tidak boleh mengawal emosi? Tidakkah mereka itu hidup sederhana? Malah mereka itu sangat sederhana. Jadi, berdoalah semoga Allah mengurniakan kamu keadaan seperti itu kerana tidak ada orang yang boleh menjalani kehidupan yang hina dan sederhana selagi Allah tidak menolong mereka. Timbang diri kamu sendiri dan jika kamu dapati diri kamu lemah seperti anak kecil, maka jangan risau. Kekalkan berdoa IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIM seperti para sahabat. Bangunlah pada waktu tengah malam, dan berdoa supaya Allah menunjukkan jalan-Nya. Para sahabat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga mendapat tarbiyat secara berperingkat-peringkat, mereka itu sebelumnya siapa? Mereka itu seperti benih seorang petani, kemudian Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam menyirami mereka. Baginda sallallaahu alaihi wasallam mendoakan mereka. Benih itu baik dan tanah juga baik, dan hasil pemeliharaan itu mengeluarkan buah yang baik. Mereka berjalan sebagaimana Huzur alaihissalam berjalan. Mereka tidak menunggu sama ada siang atau malam. Kamu bertaubatlah dengan hati yang suci, bangun waktu tahajjud, berdoalah, luruskan hati kamu, tinggalkan segala kelemahan dan jadikan qoul dan fi’il (ucapan dan perbuatan) kamu sesuai dengan keredhaan Allah. Yakinlah, orang yang menjadikan nasihat ini sebagai amalan harian dan berdoa di hadapan Allah Ta’ala secara amalan, Allah Ta’ala akan memberikan mereka kurnia dan membuat perubahan dalam hati mereka. Jadi, jangan putus harapan dari Allah Ta’ala. (ada sebaris puisi bahasa Farsi)

Segelintir orang berkata, adakah kita perlu menjadi wali? Malang sekali mereka tidak membuat ukuran, memang benar insan harus menjadi wali Allah. Jika mereka berjalan atas jalan yang lurus, maka Tuhan juga akan datang kepadanya dan bertemu di suatu tempat. Walaupun pergerakan ke sana adalah perlahan, tetapi pergerakan Tuhan kepadanya sangat laju. Ayat WALLAZIINA JAAHADU FIINAA LANAHDIYANNAHUM (Al-Ankabut:70) memberi isyarat kepada perkara ini. Jadi, perkara yang saya wasiatkan hari ini hendaklah diingati kerana ia adalah asas keselamatan. Urusan kamu dengan Tuhan dan makhluk hendaklah ada keredhaan Ilahi. Dengan cara itulah kamu akan membenarkan ayat WA AAKHORIINA MINHUM LAMMAA YALHAQUU BIHIM (Al-Jumu’ah:4).

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 26-29)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(29.01.2012)


No comments:

Post a Comment