Thursday, January 12, 2012

Al-Qur'an: Sumber Hidayat Dan Keselamatan



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
16 DISEMBER 2011 / 16 FATAH 1390HS
20 Muharram 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:

Umumnya anak-anak kita masyaAllah telah khatam Al-Qur’an sejak dari kecil lagi. Seorang ibu yang sangat risau mengenai anaknya agar cepat khatam Al-Qur’an, dia akan berusaha keras untuk itu. Di sini dan di berbagai negara lain, ke mana sahaja saya pergi berkunjung, anak-anak dan ibu bapa sangat suka mengadakan acara Amin dan menyuruh anak-anak mereka membaca Al-Qur’an di hadapan saya. Tetapi, saya telah melihat bahawa setelah khatam Al-Qur’an untuk kali yang pertama, adat kebiasaan membaca Al-Qur’an tidak lagi berapa ditekankan berbanding dengan sebelum khatam. Ini kerana apabila saya bertanya mengenai jadual membaca Al-Qur’an, ada kalanya melalui pembacaan sahaja sudah diketahui, kebanyakan mereka menjawab tidak teratur dalam perkara ini, sedangkan tanggungjawab ibu bapa ialah memastikan anak-anak tetap teratur dalam membaca Al-Qur’an walaupun setelah khatam.

Jadi, jangan berfikir hanya untuk mencapai khatam Al-Qur’an sekali sahaja, tetapi harus memerhatikan mereka agar terus teratur membaca Al-Qur’an. Memang satu pekerjaan mulia untuk mengajar Al-Qur’an sehingga khatam, sehingga ada ibu bapa yang dapat mengajar anak mereka sehingga khatam dalam masa empat dan lima tahun sahaja, dan untuk itu memang dituntut usaha yang sangat keras. Namun, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa menjadikannya sebagai kebiasaan dalam amalan harian juga adalah sangat perlu.

Beberap hari yang lepas, saya mendapat satu surat dari seorang wanita yang menyentuh tentang ibu saya. Dia menulis bahawa satu perkara yang sehingga sekarang saya tetap bersyukur kepadanya ialah, pernah sekali saya membawa anak-anak yang telah khatam Al-Qur’an, dan dengan perasaan bangga saya mengatakan bahawa anak ini telah khatam Al-Qur’an dalam umur enam tahun. Dia berkata bahawa khatam Al-Qur’an dalam umur lima atau enam tahun bukanlah satu perkara yang sangat sempurna. Jelaskan kepada saya berapa banyak usaha yang telah kamu buat agar kecintaan terhadap Al-Qur’an berada di hati anak itu?

Jadi, hakikatnya ialah, di samping mengajarkan Al-Qur’an, adalah amat perlu untuk menanamkan kecintaan terhadap Al-Qur’an supaya anak-anak sendiri merasa seronok untuk membaca Al-Qur’an. Dan dalam zaman yang sedang kita lalui sekarang ini, ketika kecenderungan anak-anak ada di berbagai perkara, ada TV, ada internet, dan berbagai-bagai jenis buku. Dalam berbagai kecenderungan yang banyak itu, anak-anak harus diajarkan dan dibiasakan membaca Al-Qur’an setiap pagi dengan teratur.
Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga sangat menegaskan hal ini iaitu dalam zaman yang penuh dengan pelbagai sarana yang menarik, pelbagai buku, pelbagai lapangan ilmu yang muncul dan sebagainya, dalam keadaan ini, seharusnya lebih banyak cenderung untuk membaca dan mengutamakan Al-Qur’an.

Kecintaan tehadap Al-Qur’an hanya akan lahir dalam diri anak-anak sekiranya mereka dibiasakan menilawatkan Al-Qur’an dan menelitinya. Jika setiap rumah membaca Al-Qur’an selepas solat Subuh atau musim sejuk sekarang ini menyebabkan solat Subuh lewat, maka mereka yang pergi ke tempat kerja lebih awal hendaklah membuat jadual untuk membaca Al-Qur’an dengan teratur sebelum solat Subuh. Dengan itu nanti, rumah akan mendapat berkat dan anak-anak akan cenderung ke arah ini. Anak-anak harus berjalan atas landasan ini sebagaimana seorang mukmin lakukan. Dan apabila mereka semakin membesar, kecintaan terhadap Al-Qur’an juga akan terus bertambah di dalam hati. Kemudian, dari kalangan kita akan dapat menyaksikan bahawa jika kita renungkan tentang pembacaan Al-Qur’an yang teratur, suami isteri di rumah yang melihat gambaran kasih sayang semata-mata kerana Allah Ta’ala, anak-anak juga akan mejadi wujud yang bermanfaat untuk jemaat. Tarbiyat untuk mereka juga dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dan inilah yang seharusnya seorang Ahmadi usahakan agar ia menjadi bahagian dalam kehidupan mereka masing-masing.

Pada zaman ini, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkali-kali menjelaskan kepada kita agar memberi perhatian tentang perkara ini. Dan tujuan kedatangan beliau ialah menempatkan Al-Qur’an lebih tinggi dan memberi lebih penghormatan terhadapnya berbanding dengan benda-benda lain yang ada di dunia ini. Memuliakan Al-Qur’an bukanlah seperti orang ghair jemaat lakukan iaitu Al-Qur’an disimpan dalam kain yang cantik, diletakkan dalam bekas yang indah atau dimasukkan ke dalam kotak yang cantik. Penghormatan dan kecintaan sebenar terhadap Al-Qur’an ialah berusaha mengamalkan segala perintah-perintah yang terdapat di dalamnya. Segala suruhan dan larangan di dalamnya diusahakan agar dapat dijadikan bahagian dalam kehidupan. Apa yang Allah Ta’ala larang, insan hendaklah hentikan, dan apa yang Allah Ta’ala perintahkan, insan hendaklah lakukan dengan sepenuh perhatian disertai dengan segala kekuatan yang ada. Letakkan ketakutan dalam hati ketika menilawatkan Al-Qur’an. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam banyak kali menjelaskan dalam buku-buku beliau, dalam berbagai majlis dan Malfoozaat berkenaan dengan Al-Qur’an.

Jadi, kita semua hendaklah memberi perhatian dalam membaca Al-Qur’an di rumah masing-masing. Di samping menilawatkannya, terjemahan juga sangat perlu dipelajari supaya dapat memahami apa yang sedang dibaca. Selain memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan anak-anak, terjemahannya juga hendaklah diperdengarkan di hadapan mereka. Jangan hanya membiasakan mereka menilawatkan Al-Qur’an sahaja, malah adakan majlis-majlis di mana boleh memperdengarkan sekecil-kecil perkara kepada mereka tentang ajaran Al-Qur’an supaya muncul minat membacanya. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat menegaskan tentang solat dan memahami terjemahannya. Tetapi sekadar hanya membawa terjemahannya lalu melupakan bahasa Arabnya juga tidak dibenarkan.

Beliau bersabda:-
            “Saya sama sekali tidak memberikan fatwa bahawa ajarkan hanya terjemahan Al-Qur’an. Dengan perbuatan itu boleh merendahkan kemuliaan Al-Qur’an. Orang yang mengatakan hal ini (iaitu hanya membaca terjemahan sahaja) dia sebenarnya mahu Al-Qur’an itu tidak berada lagi di dunia ini”. (Malfoozaat Jilid 2, halaman 265, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Jadi, inilah kemuliaan Al-Qur’an yang sangat tinggi bahawa sehingga sekarang ini ia masih dalam keadaan asli dan Allah Ta’ala memberikan pengumuman bahawa INNAA NAHNU NAZZALNAZ ZIKRO WA INNAA LAHUU LAHAA FIZUUN (Al-Hijr:10) yakni sesungguhnya Kami yang telah menurunkan Zikir ini dan Kami jugalah yang akan memeliharanya.

Kemuliaan ini seperti yang telah dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam iaitu ia masih dalam keadaan Arab yang asli sehingga sekarang, sekeras-keras penentang dan pengkritik Islam, mereka terpaksa mengakui bahawa sehingga sekarang ini Al-Qur’an masih tetap dalam keadaan asal. Jika mula bersandarkan hanya kepada terjemahannya sahaja, maka terjemahan itu saling bertentangan antara satu dengan yang lain. Apabila kita mempersembahkan terjemahan kepada dunia, maka mereka mula mengatakan bahawa terjemahan itu sangat bertentangan, sebabnya ialah orang lain telah mengeluarkan terjemahan yang tidak sepatutnya. Ada seorang Paderi di Amerika yang membuat kritikan terhadap Islam dengan mengeluarkan beberapa terjemahan Al-Qur’an, tetapi tidak memberikan teks asal atau matannya, dia hanya memberikan terjemahan lalu berkata ‘Islam mengatakan ini, Al-Qur’an mengatakan ini’. apabila kita mengirimkan kepadanya tafsir jemaat, dan kita terus mengekorinya, akhirnya dia mengatakan ‘terjemahan yang saya ambil ini juga daripada tulisan orang Islam’.

Apapun, untuk memelihara keaslian Al-Qur’an, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah diutus oleh Allah Ta’ala. Beliau berkali-kali menyatakan di berbagai tempat mengenai pentingnya memahami Al-Qur’an dan mencintainya. Beliau bersabda di satu tempat; ‘Al-Qur’an adalah undang-undang langit dan sarana keselamatan’. (Malfoozaat Jilid 4, halaman 130, Edisi 2003 cetakan Rabwah)
Walaupun beliau membuktikan kewafatan Nabi Isa alaihissalam dari sudut Al-Qur’an, tetapi satu perkara yang lumrah iaitu Al-Qur’an adalah undang-undang langit dan dari segi ini ia menjadi sarana keselamatan. Jika kita lihat, undang-undang duniawi pun tidak akan memberi apa-apa manfaat kalau hanya sekadar undang-undang dan tidak diamalkan. Demikian juga undang-undang Al-Qur’an, ia akan memberi sarana keselamatan sekiranya dipatuhi dan beramal pada ajarannya. Jika tidak diendahkan, ia tidak akan memberi sarana keselamatan. Hanya dengan membacanya sahaja tidak menjanjikan keselamatan, tidak akan dapat menarik keredhaan Ilahi dan seterusnya tidak menjadikan kita sebagai pewaris kurnia-kurnia Ilahi. Jadi, adalah sangat perlu untuk memahami Al-Qur’an dan beramal pada ajarannya.

Di satu tempat yang lain beliau bersabda:-
            “Ingatlah bahawa Al-Qur’an adalah sumber segala berkat yang hakiki dan sarana keselamatan. Adalah kesalahan sendiri bagi mereka yang tidak beramal pada ajaran Al-Qur’an. Dari kalangan orang-orang yang tidak beramal, ada satu kelompok yang langsung tidak ada kepercayaan terhadap Al-Qur’an dan tidak menganggapnya sebagai Kalam Tuhan. Orang-orang ini sudah terlalu jauh. Tetapi, orang-orang yang mempercayai bahawa ia adalah Kalam Tuhan dan sebagai sarana keselamatan, jika tidak beramal padanya, maka ini juga satu hal yang sangat menyedihkan. Dari kalangan mereka ada yang langsung tidak pernah membacanya seumur hidup walaupun sekali. Jadi, orang seperti itu, yang lalai dari Kalam Tuhan ini dan tidak mempedulikannya, perumpamaan bagi mereka ialah ada seseorang yang mengetahui bahawa suatu sumber mata air sangat suci dan bersih, dan airnya telah banyak menyembuhkan pelbagai penyakit dan hal ini sangat diyakini olehnya. Namun, walaupun dia tahu dan dia kehausan, dan juga tahu dia menderita pelbagai penyakit, maka jika dia tidak datang kepadanya, ia satu nasib malang dan menunjukkan kejahilannya. Seharusnya ia pergi mendapatkan sumber mata air itu dan merapatkan mulutnya agar dia mendapat manfaat dan memuaskan dirinya. Tetapi, walaupun dia tahu, dia berkelakuan seperti orang yang tidak tahu apa-apa dan jauh daripadanya.” (Malfoozaat Jilid 4, halaman 140, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik agar dapat memahami amanat ini, perkataan yang penuh dengan rintihan ini, lalu kita dapat beramal pada ajaran Al-Qur’an. Kita hanya akan dapat menunaikan hak bai’at kita dengan cara yang hakiki sekiranya menjadikan ajaran Al-Qur’an berlaku atas diri kita, dan ajaran Al-Qur’an sebagaimana yang telah dijelaskan sebelumnya ialah menghindarkan diri daripada segala larangannya dan berusaha melakukan apa-apa kebaikan yang diperintahkan.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
            “Al-Qur’an bukan hanya menginginkan agar insan menjauhi syirik lalu beranggapan ‘saya sudah sempurna’, malah ia menginginkan agar insan dapat mencapai kesempurnaan dan mengamalkan sifat-sifat akhlak fadhilah. Dan ia juga menginginkan agar insan dihiasi dengan perikemanusiaan dan menginginkan kebaikan untuk orang lain, hasilnya nanti Allah Ta’ala akan redha atas mereka”. (Malfoozaat Jilid 4, halaman 208, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, jika seorang mukmin benar-benar mencintai Al-Qur’an maka dia hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mencapai tingkatan ini, selain itu anak-anak juga hendaklah dibawa bersama ke arah ini. Sebagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam katakan bahawa menjauhi keburukan bukanlah satu kesempurnaan, dengan tidak melakukan suatu keburukan atau kejahatan bukanlah satu ciri yang sempurna. Jangan hendaknya hal ini menjadi keinginan kita, malah seharusnya kita mempunyai target yang lebih sempurna daripada itu, dan kita hendaklah berusaha sedaya upaya mencapai apa yang telah dinyatakan oleh Al-Qur’an iaitu berusaha melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Al-Qur’an. Apabila usaha ini dilakukan oleh setiap lelaki, wanita dan anak-anak, maka satu persekitaran yang suci akan tercapai, yakni persekitaran seperti yang diinginkan oleh Islam. Dengan itu, mulut para pengkritik Islam akan tertutup dengan sendirinya.

Di sini, kritikan dari dua orang wanita sedang berlaku atas undang-undang Islam dengan begitu melampaui batas. Di berbagai tempat mereka memberikan ceramah mengenainya. Beberapa hari yang lepas, atas usaha Khuddamul Ahmadiyah UK berlaku satu perbahasan di UCL. Atas sebab itu, terjadi satu perdebatan yang diatur oleh pihak pengurusan universiti. Di satu pihak ada dua wanita yang telah mengkritik Islam. Di pihak yang lain seorang khuddam kita yang berasal dari Pakistan dan sedang belajar di Jamiah UK dan seorang lagi orang Inggeris yang baru bai’at. Mereka berdua telah menjawab kritikan itu berpandukan kepada ajaran Al-Qur’an dan dapat menyampaikan ajaran Islam yang sebenar menyebabkan pihak lawan hanya menunjukkan kemarahan dan penyokong-penyokong mereka hanya menzahirkan rasa kesal. Dengan  kurnia Allah Ta’ala, pemuda Ahmadi telah berjaya mempertahankan ajaran Islam.

Jadi, kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mempelajari dan memahami Al-Qur’an, serta berusaha mengamalkan segala perintahnya. Dengan itu, gambaran syurga akan kelihatan di rumah kita. Dan kita juga akan dapat menunaikan hak tabligh dalam persekitaran dengan cara yang sempurna.

Dalam memberi tunjuk ajar cara menilawatkan Al-Qur’an, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
            “Al-Qur’an hendaklah dibaca dengan penuh tadabbur, tafakkur dan penuh perhatian. Di dalam hadis ada dinyatakan bahawa RUBBA QOORIN YAL ‘ANUHUL QUR’AAN yakni ramai orang yang menjadi qari tetapi Al-Qur’an melaknat mereka. Ada orang yang membaca Al-Qur’an tetapi tidak beramal padanya, sebab itu Al-Qur’an melaknat mereka. Semasa tilawat, apabila ada ayat Al-Qur’an menyentuh tentang rahmat, maka rahmat hendaklah dipohon daripada Allah Ta’ala, dan apabila sampai ke tempat di mana ada disentuh mengenai azab atas suatu kaum, maka waktu itu hendaklah merayu daripada Allah Ta’ala agar dihindari daripada azab seperti itu. Jadi, bacalah dengan penuh perhatian dan beramal atas ajarannya”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 157, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Keadaan seperti ini hanya akan terjadi apabila kepentingannya dapat dirasakan atau hubungan sangat rapat dengannya. Jadi, kepentingan dan hubungan yang rapat ini hendaklah dilahirkan dalam hati masing-masing. Beberapa orang memberi alasan dan berkata bahawa sangat susah untuk memahami Al-Qur’an.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata:-
            “Beberapa orang bodoh berkata bahawa kami tidak dapat memahami Al-Qur’an. Sebab itu tidak perlu memberi perhatian di dalamnya kerana ia sangat susah. Ini adalah kesilapan mereka. Al-Qur’an telah menjelaskan persoalan akidah dengan begitu nyata yang tidak dapat diperolehi bandingannya, dalil-dalinya sangat memberi kesan ke atas hati. Al-Qur’an begitu jelas dan nyata sehingga orang Arab yang tinggal jauh di pedalaman dan langsung tidak berpelajaran juga dapat diberi kefahaman. Jadi, kenapa sekarang mereka pula yang tidak boleh memahami”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 177, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Dalam zaman ini, Allah Ta’ala telah berlaku ihsan atas kita dengan menghantar Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang bukan sahaja menjelaskan tentang peraturan yang jelas, malah membuka seluas-luasnya tentang ajaran Al-Qur’an. Ini menjadikan kita mendapat kurnia sehingga sampai ke tahap WA AAKHORIINA MINHUM LAMMAA YALHAQUU BIHIM (Al-Jumu’ah:4). Jadi, kita harus berusaha mengumpulkan segala mutiara dari khazanah yang telah diberikan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Namun, ia tidak akan dapat dicapai sekiranya kita tidak mencintainya dengan sepenuh hati.

Di luar jemaat, ramai umat Islam yang sangat mahir dalam soal tilawat, mendapat pelbagai hadiah, dan kaset-kaset rakaman suara-suara mereka bertebaran di seluruh pelusuk dunia. Namun, dalam kemahiran tilawat yang ada, segelintir dari mereka ada yang tidak tahu terjemahan Al-Qur’an. Malah, ada juga ulama-ulama besar yang tidak dapat memahami maksudnya sehingga di dalam Islam ada istilah ayat nasikh wa mansukh. Dan sehingga sekarang inipun ada ayat-ayat yang mereka tidak faham, iaitu mengenai soal kewafatan nabi Isa alaihissalam. Apapun, itu adalah masalah ketidakfahaman mereka.

Dalam hal ini, ada satu hadis yang menjadi peringatan, riwayat daripada Hazrat Abbas bin Abdul Mutalib; saya mendengar Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa satu zaman akan datang di mana ramai yang akan lahir sebagai penilawat Al-Qur’an yang saling bersaing antara satu dengan yang lain, siapa qari yang lebih handal daripada saya? Siapa yang lebih berilmu daripada saya? Kemudian baginda bertanya kepada para sahabat; adakah kamu dapat melihat suatu kebaikan di dalam kelompok orang-orang ini? Para sahabat menjawab: Langsung tidak ada. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda: “Orang-orang ini ada di kalangan kamu dan dari umat ini, tetapi mereka hanya menjadi bahan bakar api neraka”. (Majma’az Zawa’id Wa Mamba’al ‘Ilmi Baab Karahiyatud Da’waa, hadis nombor 876, Jilid Nombor 1, halaman 251-252, Darul Kutubul ‘Ilmiah Beirut 2001, Masnad Al-Bazar, Masnad Al-Abbas bin Abdul Mutalib, Jilid 2, halaman 218)

Jadi, perkara sebenar yang boleh menjadikan kita pewaris kurnia-kurnia Allah Ta’ala, yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan yang boleh menyelamatkan kita daripada api neraka ialah memahami ajaran Al-Qur’an dengan penuh kerendahan hati dan beramal padanya. Jangan jadikan ia perniagaan, sepatutnya ia dicintai. Hari ini, tanggungjawab setiap Ahmadi ialah memberi perhatian di dalamnya dan berusaha mencapainya.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda dalam Kisyti Nuh:-
            “Berhati-hatilah kamu dan jangan melangkahkan kaki ke arah perkara yang bertentangan dengan ajaran Tuhan dan petunjuk Al-Qur’an. Aku berkata dengan sebenar-benarnya bahawa orang yang menolak sekecil-kecil daripada 700 perintah Al-Qur’an, sebenarnya dia menutup pintu keselamatan atasnya dengan tangan sendiri. Jalan-jalan keselamatan yang hakiki dan sempurna telah dibuka oleh Al-Qur’an, dan semua yang lain adalah bayangannya. Jadi, bacalah Al-Qur’an dengan penuh perhatian dan cintailah ia dengan kecintaan yang tidak pernah kamu lakukan dengan sesiapa. Sebabnya, sebagaimana yang telah Tuhan katakan kepadaku ALKHOIRU KULLUHUU FIL QUR’AN yakni semua jenis kebaikan ada di dalam Al-Qur’an. Ini perkara yang benar. Amat malang bagi orang yang lebih mengutamakan sesuatu yang lain. Sumber segala kejayaan dan keselamatan ada di dalam Al-Qur’an. Tidak ada satu pun mengenai perkara keagamaan yang kamu perlukan lalu ia tidak ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an juga yang akan membenarkan dan mendustakan keimanan kamu pada hari kiamat. Dan selain Al-Qur’an, di bawah langit ini tidak ada kitab yang boleh memberi hidayat seperti yang diberikan oleh Al-Qur’an. Tuhan sangat berlaku ihsan atas kamu kerana mengurniakan kitab seperti Al-Qur’an ini. Aku berkata dengan sebenar-benarnya bahawa kitab yang dibacakan kepada kamu ini, jika ia dibacakan kepada orang Kristian, maka mereka tidak akan hancur. Dan nikmat dan hidayat yang diberikan kepada kamu ini, jika ia diberikan kepada Yahudi bagi menggantikan Taurat, maka sudah pasti beberapa firqah dari mereka tidak akan mengingkari hari kiamat. Jadi, hargailah nikmat yang telah diberikan kepada kamu ini. Nikmat ini sangat istimewa dan sangat berharga. Jika Al-Qur’an tidak datang, seluruh dunia akan menjadi seperti daging yang busuk. Al-Qur’an adalah kitab yang menyingkirkan semua petunjuk-petunjuk yang lain”. (Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 26-27)

Kemudian, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda lagi:-
            “Satu ajaran yang perlu untuk kamu ialah jangan jadikan Al-Qur’an seperti benda yang ditinggalkan kerana di situlah letaknya kehidupan kamu. Orang yang memuliakan Al-Qur’an akan mendapat kemuliaan di atas langit. Orang yang mengutamakan Al-Qur’an di atas segala hadis dan ucapan, dia juga akan diutamakan di atas langit. Sekarang ini tidak ada lagi kitab selain Al-Qur’an untuk manusia di muka bumi ini. Dan untuk semua anak-anak Adam, sekarang ini tidak ada Rasul dan pemberi syafaat selain daripada Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Jadi, kamu berusahalah untuk menanamkan kecintaan sebenar kepada nabi yang agung ini dan jangan berikan kelebihan kepada seseorang selain daripadanya, supaya kamu ditulis di atas langit sebagai orang yang mendapat keselamatan. Dan ingatlah bahawa keselamatan bukanlah diperolehi setelah kematian seseorang. Keselamatan yang hakiki akan terpancar cahayanya di dunia ini juga. Siapa yang mendapat keselamatan? Mereka itu adalah yang percaya bahawa Tuhan itu benar dan Muhammad sallallaahu alaihi wasallam adalah pemberi syafaat di antara Tuhan dan makhluk. Dan di bawah langit, tidak ada seorang rasul pun yang sama darjat dengan baginda, dan tidak ada satu kitab pun yang setanding dengan Al-Qur’an. Tuhan tidak mahu ada orang lain yang kekal hidup, tetapi rasul yang terpilih ini akan tetap hidup selamanya, dan Tuhan telah meletakkan asas untuk terus hidup iaitu kurnia syariat dan kerohanian akan berlanjutan sehingga hari kiamat. Dan untuk mengekalkan kerohanian ini terus berlangsung, Tuhan telah mengutus Maseeh Mau’ud ke dunia ini kerana kedatangannya sangat perlu untuk menyempurnakan pembangunan Islam. Ini kerana dunia ini tidak akan berakhir selagi dalam Jemaat Muhammadi ini tidak diberikan seorang Maseeh rohani sebagaimana yang telah diberikan kepada Jemaat Musawi. Inilah yang diisyaratkan dalam ayat IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIIM, SHIROOTAL LAZIINA AN’AMTA ‘ALAIHIM (Al-Fatihah:6)”. (Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 13-14)

Mudah-mudahan Allah Ta’ala menjadikan kita dan anak-anak kita, dan juga keturunan kita yang akan datang sehingga hari kiamat, yang telah menerima Maseeh Muhammadi, menjadi orang yang sangat mencintai Al-Qur’an dan ajarannya kita dapat jadikan sebagai cara hidup, dan dengan berkatnya kita akan terus mendapat kurnia.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
12.01.2012

No comments:

Post a Comment