Saturday, October 15, 2011

Perubahan Suci Mubaiyin Baru Dalam Jemaat Ahmadiyah

KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
02 SEPTEMBER 2011 / 02 TABUK 1390HS
04 Syawal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Selepas membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Di antara nasihat paling penting dan perkara asas yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sampaikan kepada orang-orang yang bai’at kepada beliau ialah, selepas bai’at hendaklah membuat perubahan suci, membuat hubungan dengan Tuhan dan berusaha meninggikan tingkat akhlak masing-masing.

Di satu tempat beliau berkata:-
            “Orang yang masuk dalam jemaat ini dengan iradah menghubungkan diri dengan saya dan menjadi murid kepada saya, tujuannya ialah supaya mereka dapat mencapai cara hidup yang baik, perangai yang baik dan ketakwaan yang tinggi. Dan tidak ada sebarang kerosakan, keburukan dan kejahatan dapat mendekatinya. Teratur dalam mendirikan solat lima waktu secara berjemaah. Tidak berkata dusta dan tidak mendatangkan kesusahan kepada sesiapa pun melalui lidahnya. Tidak terjebak dalam sebarang keburukan. Tidak memberi peluang di dalam hati akan fikiran-fikiran jahat, zalim, kerosakan dan fitnah. Ringkasnya, mereka jauh daripada setiap jenis maksiat, kesalahan, perbuatan terlarang, ucapan terlarang dan dari segala dorongan hawa nafsu dan perbuatan yang tidak pada tempatnya, dan menjadi hamba Tuhan yang berhati suci, kosong dari kejahatan dan peribadi yang miskin, dan tidak ada sebarang tabiat beracun yang ada dalam dirinya”. (Majmu’ah Isytiharat Jilid 2, halaman 220, cetakan Rabwah)

Hari ini, dengan kurnia Allah Ta’ala, orang-orang yang telah dan sedang menerima Imam Zaman, mereka itu dalam usaha untuk melakukan perubahan suci, selepas itu akan wujud satu revolusi dalam diri mereka, tetapi hanya untuk mereka yang benar-benar memahami hakikat bai’at.

Hari ini, saya akan ceritakan beberapa kisah orang-orang berkenaan yang telah membuat satu revolusi selepas bai’at. Berbagai kaum di dunia, berbagai keturunan telah mendapat kemajuan kerana merapatkan hubungan dengan Allah Ta’ala. Mereka melakukan amal soleh dan maju dalam akhlak yang tinggi. Mereka membunuh keinginan nafsu mereka lalu maju dalam melakukan perintah-perintah Allah. Mereka terus tenggelam dalam memajukan kerohanian mereka. Kecintaan dan ketakutan terhadap Allah mengatasi kecintaan dan ketakutan terhadap dunia.

Riwayat ini adalah sambungan daripada riwayat yang tidak dapat dijelaskan dalam laporan jalsah pada hari kedua kerana waktu yang sangat singkat. Riwayat ini bertajuk “Perubahan Luar Biasa Seorang Mubaiyin Baru Selepas Menerima Ahmadiyah”, dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa hari ini saya akan sampaikan. Tajuk ini sangat penting kerana ia boleh menjadi penguat keimanan kepada orang-orang Ahmadi yang lama, dan orang Ahmadi baru yang mendengarnya sudah pasti akan mendapat kemajuan iman.

Amir Sahib Jemaat Ahmadiyah Delhi menulis bahawa orang-orang yang menjadi Ahmadi terus-menerus membuat perubahan suci dalam diri mereka. Beliau menulis:-

“Utsman Sahib yang bai’at dalam Jalsah Salanah Qadian tahun 2010 menjelaskan: Sebelum bai’at, saya hanya sekali-sekala mendirikan solat, tetapi setelah bai’at, dalam sehari bukan hanya lima waktu yang didirikan, malah saya juga diberikan taufik untuk menunaikan tahajjud.”

Mudah-mudahan orang-orang seperti ini sentiasa berada dalam semangat yang sama, dan Ahmadi yang lama, yang kadang-kadang timbul kemalasan dalam solat, mereka harus sedar bahawa datang bai’at kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam perlu melaksanakan tanggungjawab yang sangat penting, yang tanpanya bai’at kita hanya sekadar nama sahaja, dan perkara yang paling penting sekali ialah menunaikan solat, cenderung ke arahnya dan di samping itu juga giat mendirikan nawafil. Jadi, setiap orang hendaklah merenungkan perkara ini, bahawa bagaimana orang yang baru bai’at berusaha melakukan perubahan yang suci dalam diri mereka.

Kemudian seorang muballigh kita, Tariq Mahmud Sahib dari Ghana menulis:-

Beberapa hari sebelum ini di Gambaga, ada seminar mubaiyin baru. Seorang Imam yang baru menjadi Ahmadi berkata dalam ceramahnya: “Kami orang Islam.” (Tempat itu di Utara Ghana yang kebanyakannya orang Islam. Dengan kurnia Allah, di sana banyak bai’at. Kemudian, semasa Ahmadiyah tersebar di Ghana waktu dulu, ia juga telah tersebar di daerah-daerah yang berdekatan, di Selatan juga tersebar di mana dengan kurnia Allah orang-orang Kristian bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah sehingga menjadikan jemaat di sana sangat maju dengan cepat. Daerah yang merupakan tempat orang Islam sangat keras penentangan yang berlaku, kecuali satu dua tempat seperti jemaat Wa yang telah berdiri sejak 50, 60 atau 70 tahun dahulu. Dan sepatutnya dikatakan dipermulaan, bahawa sejak Ahmadiyah tiba di sana, maka Ahmadiyah telah berdiri, namun di bahagian Utara banyak penentangan keras kerana tempat itu adalah majoriti Islam. Tetapi sekarang ini di Utara pun jemaat sedang meningkat maju sejak beberapa tahun kebelakangan ini).

Dia menulis: Ahmadi baru yang merupakan seorang imam, (pengikut-pengikutnya juga dengan kurnia Allah Ta’ala turut sama bergabung dengan jemaat), “kami memang muslim tetapi hakiki Islam kami tidak tahu. Melalui Ahmadiyah, kami telah dapat mendalami tentang Islam yang sebenar”. Imam itu berkata: “Dulu saya selalu menulis azimat untuk orang ramai, tetapi berkat Ahmadiyah telah menyebabkan saya meninggalkan pekerjaan itu dan menganggapnya bukan ajaran Islam”. Menulis azimat telah menjadi satu kebiasaan dalam umat Islam di mana-mana belahan dunia. Bukan hanya setakat di India, malah di negara-negara Arab pun ada, dan di dalam agama lain juga ada. Ini adalah satu bid’ah yang telah dijauhkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam lalu mengajarkan Islam yang hakiki, iaitu jalinkan hubungan dengan Tuhan dan mengamalkan perintah-perintah-Nya.

Di sebuah kampung di Locosa, Presiden Jemaat Sosoga Ji Sahib menjelaskan: “Sebelumnya saya selalu cepat marah sehingga ke tahap memukul isteri dan anak-anak, mencaci orang lain juga kebiasaan saya. Sejak bai’at, saya cenderung mendirikan solat, dan saya juga merasakan bahawa saya lebih banyak bersabar dan tenang berbanding dahulu”.

Inilah kisah orang-orang yang jauh dari Afrika, mereka telah membuat perubahan suci dalam diri mereka, dengan itu juga terjalin hubungan dengan Tuhan, cenderung mendirikan solat dan berusaha mengamalkan perintah Allah. Dalam kunjungan ke Jerman, di sana ada anak muda Ahmadi yang baru bai’at. Dia berkata kepada saya: “Saya seorang yang cepat marah walaupun hanya disebabkan perkara-perkara kecil, namun setelah menjadi Ahmadi, satu perubahan telah berlaku di mana saya merasakan Ahmadiyah telah mengajarkan saya tentang kesabaran”. Semua ini adalah hasil hubungan dengan Allah Ta’ala, apabila wujud hubungan dengan Allah, maka akan muncul kawalan terhadap diri sendiri dan juga akan cenderung untuk menunaikan hak hamba-hamba.

Kemudian, ada juga seorang kawan mubaiyin baru berkata: “Kami dulu minum arak, kuat merokok, setelah bai’at dalam Jemaat Ahmadiyah, kami telah meninggalkan dua perkara ini. Dan jika kami teratur dalam mendirikan solat, maka kami langsung tidak lagi terfikir mengenai perkara yang sia-sia ini”.

Inilah hubungan dengan Allah yang telah dibuat oleh orang-orang tersebut, mereka cenderung menunaikan solat, maju dalam hubungan dengan Allah, dan bertaubat dari segala perkara yang sia-sia serta dari segala dosa-dosa mereka. Jadi, solat yang hakiki itu akan menjadi penyebab seseorang itu jauh dari keburukan-keburukan. Jemaat Ahmadiyah tidak hanya menceritakan kisah-kisah lampau, tetapi sekarang, hari ini dan zaman ini banyak kisah hamba-hamba Allah yang mengikat hubungan dengan Tuhannya, dan itu juga berkat kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan beramal pada ajarannya.

Pengumuman daripada Al-Qur’an iaitu INNAS SHOLAATI TANHAA ‘ANIL FAHSYAA’I WAL MUNKAR (Al-Ankabut:46) yakni sesungguhnya solat itu boleh mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Hari ini, ayat ini terus kelihatan dengan sempurna akan kebenarannya. Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang mendirikan solat dengan penuh keikhlasan, tunduk kepada Allah, maka sudah pasti solat seperti ini akan menjauhkannya dari keburukan dan perkara yang tidak disukai. Malah, setiap dakwaan daripada Al-Qur’an terus menjadi sempurna hasil amalan terhadap apa yang diajarkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Amir Sahib Ghana menulis mengenai seorang mubaiyin baru yang sangat giat bertabligh: “Ketika kami pergi bertabligh di Upper East, di Bimbaago ada seorang guru yang telah bai’at kerana terpengaruh dengan pelajaran Ahmadiyah. Keikhlasannya terlihat apabila tidak beberapa lama kemudian di Bolga (bandar yang sangat terkenal di Utara) telah diadakan Ijtima Khuddam Nasional. Dan guru yang telah bai’at itu kemudian datang lagi membawa dua puluh orang guru lain menyertai ijtima, semuanya telah bai’at sebelumnya”. Cuba lihat, dia bukan hanya bai’at lalu membuat perubahan suci dalam dirinya, tetapi juga giat dalam bertabligh sehingga dengan kurnia Allah jemaat di sana meningkat maju.

Kemudian di Burkina Faso, daerah Kopila, Sana Sulaiman  seorang khadim Ahmadi dan tiga orang saudaranya juga dalam Jemaat Ahmadiyah. Ayah mereka seorang penentang keras jemaat sehingga kadang-kadang bertindak membabi buta dalam melakukan penentangannya, mencaci anak-anaknya dan menghalau mereka keluar dari rumah. Di Burkina Faso ada beberapa stesen Radio Jemaat, dan stesen radio yang lain juga kadang-kadang menyiarkan program Jemaat untuk beberapa jam. Pada suatu hari ayah kepada tiga orang adik-beradik ini memasang radio dan sedang berlangsung daras yang sangat menarik mengenai ajaran Islam. Selepas mendengar daras itu, ayah mereka sangat tertarik lalu memanggil semua anak-anaknya dan berkata: Lihat! Kamu yang berjumpa dengan orang-orang kafir (yakni orang-orang Ahmadi), kamu hendaklah berpaling dan lebih baik kamu dengar program yang ada dalam radio ini. Program ini sangat menarik dan inilah ucapan pihak Allah yang sebenar”.

Ayah mereka menyatakan bahawa inilah ucapan pihak Allah yang sebenar yang sangat menyentuh hati. “Dengarkan amanat ini kerana ini amanat dari pihak Allah. Kenapa kamu cenderung kepada Ahmadi dan mendengar ucapan mereka lalu terpengaruh dan bergabung dengan mereka”. Kemudian ayah mereka berkata: “Dengarlah! Inilah Islam”. Ayah mereka langsung tidak tahu bahawa waktu itu sebenarnya program jemaat yang sedang berkumandang di radio. Apabila sampai giliran program kerajaan, maka ia diakhiri dengan nazam sehingga ada lafaz Ahmadiyat Zindabad, Ahmadiyat Zindabad, mendengar laungan itu dengan segera ayah mereka menutup radio tersebut. Anak-anaknya berkata kepadanya: Ayah! Memang betul apa yang ayah katakan bahawa mereka itulah pihak Allah kerana ucapan mereka sangat menyentuh hati. Sebab itu hari ini kami semakin kuat hubungan dengan Ahmadiyah”.

Jadi, untuk orang-orang itu tidak ada jalan lain kecuali berusaha mengamalkan ajaran Islam sesuai dengan tafsir dan ta’lim Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Dan tafsir-tafsir Al-Qur’an yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam buat hendaklah didengar. Kerana hari ini tidak ada yang boleh memberikan ilmu yang lebih baik berbanding dengannya.

Kemudian ada seorang muballigh kita Irsyad Mahmood Sahib dari Kirghizistan menulis melalui Presiden Nasional Jemaat Kirghizistan, Salamat Sahib, yang menyatakan: “Ada seorang anak gadis bernama Jildiz Abdullaeva telah bai’at. Dia bekerja di American Base di Kirghizistan. Di sana, ada seorang pemuda Kristian bangsa Amerika bekerja bersamanya dan tertarik dengan perwatakan anak gadis itu dan bercadang hendak bernikah dengannya. Anak gadis itu berkata: “Saya Islam Ahmadiyah, saya akan berikan jawapan setelah bertanya dengan jemaat saya”. Dia pergi ke rumah misi dan mendapat jawapan bahawa seorang wanita Islam tidak boleh bernikah dengan orang bukan Islam. Islam tidak mengizinkan amalan itu.

Akhirnya, lajnah nou-mubaiyin yang berfitrat baik itu telah menolak lamaran dari pemuda bukan Islam tersebut. Pemuda yang telah jatuh hati dengannya berkata: “Kalau saya masuk Islam, adakah kita boleh berkahwin?” Lajnah itu berkata: “Kalau hendak masuk Islam, biarlah masuk dengan cara yang sempurna dan menganggap Islam agama yang hakiki. Jika hanya masuk Islam semata-mata untuk berkahwin, saya tetap tidak setuju untuk berkahwin. Sebagai sebuah negara miskin, wanita-wanita Kirghizistan didorong untuk berkahwin dengan lelaki luar negara. Tetapi sebagai seorang Ahmadi, gadis itu telah menolak lamarannya. Pemuda Kristian Katholik itu mengkaji buku-buku jemaat sehingga enam bulan lamanya, dan akhirnya 01 Julai 2011, dia telah masuk Islam dan bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah yakni Islam yang hakiki. Dalam pengkajian yang dia buat, dia juga membuka website-website dari pihak penentang Ahmadiyah dan mengkajinya.

Akhirnya, hanya dalam Jemaat Ahmadiyah sahaja hatinya mendapat ketenangan dan dia mendapat taufik daripada Allah untuk menerima Ahmadiyah. Jadi, inilah perubahan suci dan satu istiqomah yang seharusnya kita berdoa untuk itu. Anak gadis yang masih baru dalam jemaat ini, walaupun miskin, walaupun akan mendapat jodoh yang baik dari sudut duniawi, namun dia telah mengutamakan agamanya. Dalam hal ini juga satu perkara yang perlu diperhatikan oleh mereka yang kadang-kadang mengahwinkan anak-anak mereka dengan orang lain, walaupun memang jelas mereka bai’at hanya semata-mata kerana hendak berkahwin. Sebab itulah dibuat peraturan bahawa selagi belum berlalu setahun dan belum kelihatan tanda-tanda keikhlasan pada diri lelaki tersebut, biasanya kita tidak mengizinkan wanita kita berkahwin supaya dapat dipastikan bahawa jangan-jangan lelaki itu bai’at semata-mata kerana hendak berkahwin?

Beberapa orang yang lemah dalam keimanan dan kurang pengetahuan, beberapa website telah meletakkan keraguan dalam diri mereka. Walaupun hanya seorang dua yang terpengaruh, namun hakikatnya ialah website itu telah mendatangkan keraguan. Namun, lelaki Kristian Amerika ini telah melihat website penentang dan juga website jemaat, kemudian membuat perbandingan, lalu berdoa dan mendapat petunjuk sehingga masuk Islam melalui Jemaat Ahmadiyah. Jadi, anak-anak muda kita yang masih dalam peringkat awal (teenage), kadang-kadang mereka cuba dipengaruhi dan hendaklah banyak berdoa, tidak perlu melibatkan diri dalam perkara-perkara yang kompleks (rumit). Dengan kurnia Allah ajaran jemaat mempunyai banyak dalil kerana inilah Islam yang hakiki. Di mana pun Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam membuktikan kebenaran beliau, dari sudut manapun, namun dalil tetap sahaja ada. Sebab itu tidak ada persoalan mengenai perkara yang kompleks (rumit). Apa yang perlu ialah mendapatkan ilmu agama.

Demikian juga Anshar Abbas Bhatti Sahib, muballigh Benin menulis bahawa di Kampung Lokoli daerah Alada, telah diadakan Jalsah Mubaiyin Baru, dalam ceramah ada menjelaskan tentang tanggungjawab seorang Muslim. Selepas penutupan jalsah, seorang maulvi ghair Ahmadi datang ke sana dan cuba menyesatkan orang ramai dengan berkata: “Kalau kamu semua ikut kepadanya, mereka ini Ahmadi, maka kamu semua akan masuk dalam api. Mereka ini akan jadi orang jahannam. Lebih baik kamu cepat bertaubat.” Dia juga berkata: “Semua umat Islam telah menetapkan mereka sebagai ahli jahannam (tidak kira ulama Islam, orang bijak pandai, imam, pemimpin Islam dan sebagainya). Jadi, mahukah kamu termasuk ahli jahannam? Orang Islam Pakistan tidak suka kepada mereka, di sana juga mereka dianggap bukan Islam.”

Muallim kita berkata kepada semua orang: “Maulvi ini adalah tetamu kita, kita harus menghormatinya. Tetapi ada satu perkara yang perlu kita tanyakan bahawa, adakah semua yang dia perkatakan ini dibuktikan melalui Al-Qur’an Karim? Adakah Al-Qur’an Karim membenarkannya? Kita bercakap berdasarkan Al-Qur’an, jika Qur’an menyokongnya, maka kita akan ikut apa yang dia katakan. Tetapi, jika Qur’an bersama-sama dengan kita, kenapa kita harus meninggalkan Al-Qur’an?” Perbahasan terjadi sehingga maulvi sahib berbohong: “Kenapa harus mengambil Al-Qur’an, semua imam-imam di Benin mengatakan kamu salah, kenapa kita harus pergi kepada Al-Qur’an? Kalau kamu dikatakan salah, cukuplah kamu mengaku sahaja salah. Tidak perlu lagi berdalil. Kamu itu ahli neraka.” Melihat hal itu, mubaiyin baru yang ada di situ menjadi marah, kebanyakan yang hadir pada waktu itu adalah mubaiyin baru, seorang berkata: “Jika kamu tidak memerlukan Al-Qur’an, maka kami pun tidak memerlukan kehadiran kamu, lebih baik kamu pergi dari sini.” Mereka cuba mengeluarkannya dari masjid. Muallim sahib cuba memberi kefahaman kepada mereka bahawa “dia datang ke tempat kita, kita harus berlemah-lembut, cuba bawa bersabar dan tunjukkan akhlak, cara ini tidak betul.” Mendengar hal itu, orang yang hadir semakin bertambah marah sehingga mereka mengeluarkan maulvi itu dari masjid.

Inilah cara para ulama dan mullah sejak zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam lagi. Kisah-kisah yang lama banyak yang keadannya lebih kurang sama. Apabila seorang Ahmadi cuba mempersembahkan suatu dalil dari Al-Qur’an melalui ayat-ayatnya, maka mereka selalu mengajak ke arah hadis dan lain-lain, yang kadang-kadang memberikan hadis-hadis yang ditafsirkan sendiri atau mengemukakan ucapan para ulama. Seorang sahabi juga telah berhadapan dengan kisah seperti ini. Setelah dia bai’at maka dia berkata kepada seorang alim; “saya telah sepakat dengan Ahmadi Maulvi Sahib supaya menunjukkan dalil kewafatan nabi Isa melalui Al-Qur’an.” Orang alim itu menjawab: “Saya berusaha untuk membawa orang-orang Ahmadi itu jauh daripada Al-Qur’an, saya berusaha membawa ke arah lain, kamu pula membawa ke arah itu kembali. Kita sendiri tidak dapat membuktikan dari Al-Qur’an bahawa Nabi Isa masih hidup.” Inilah perlakuan mereka sejak dahulu lagi. (Dipetik daripada Tazkiratul Mahdi, karya Hazrat Peer Sirajul Haq Sahib Nu’mani, halaman 155-158, cetakan Qadian edisi 1915)

Anshar Abbas Sahib Muballigh Benin menulis bahawa di Ndjadji Zimbomy yakni pada 12 Julai 2011, selepas solat Maghrib bermula program tabligh. Apabila disampaikan kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan kemajuan Islam melalui beliau, maka orang kampung menzahirkan bahawa; “kami juga ingin menyertainya, kami mahu ke tempat di mana Islam mendapat kemajuan. Dalam majlis itu seramai 167 orang telah bai’at. Sebelum balik, murabbi sahib, muallim kita telah berkata; “lusa kami akan datang kerana lusa adalah hari Jumaat, kami akan berama-sama mendirikan solat Jumaat dengan kamu semua.” Semua yang bai’at itu sebenarnya Islam, dan keadaan mereka tuan sendiri dapat jangkakan apabila kami mengatakan bahawa lusa akan datang untuk solat Jumaat bersama-sama, orang kampung sangat kehairanan dan bertanya apa itu solat Jumaat. Kami tidak pernah melihat Jumaat dan tidak pernah mendirikannya. 15 tahun kami menjadi orang Islam, sehingga sekarang ini tidak pernah ada seorang maulvi atau pemimpin agama pun yang menjelaskan tentang solat Jumaat.

Akhirnya, hari Jumaat tiba dan solat Jumaat didirikan bersama-sama. Selain itu orang kampung juga diberikan refresher course. Mereka diajarkan tentang ajaran Islam yang sebenar, apa itu solat Jumaat, apa itu solat, apa itu Eid, ibadat-ibadat lain juga dijelaskan dan apa ajaran Al-Qur’an. Juga di katakan kepada orang Ahmadi yang telah bai’at sejak lama dahulu agar mereka datang solat Jumaat di situ. Tetapi mereka diberitahu bahawa sejak bertahun-tahun lamanya orang kampung yang baru sahaja bai’at yakni seramai 167 orang itu, sebenarnya mereka sudah lama bermusuhan sebelumnya. Kami tidak ke sana dan kami juga tidak mahu mereka ke sini.

Ke dua-dua kampung itu sudah lama bermusuhan. Ahmadi di kedua-dua kampung itu diberi kefahaman secara berasingan bahawa “kita sudah Ahmadi dan seharusnya menjadi satu. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam datang untuk menyatukan manusia, supaya kita semua menjadi umat Islam yang boleh membawa kemajuan kepada agama. Sebab itu kita harus bersatu dan solat Jumaat bersama-sama.” Akhirnya mereka telah dapat disatukan kembali, mungkin permusuhan adalah disebabkan kabilah-kabilah, tetapi melalui solat Jumaat mereka telah bersatu kembali dalam siri yang baru. Selepas 15 tahun baru mereka dapat mendirikan solat Jumaat, dan berkat daripada Jumaat itu, permusuhan ke dua-dua kampung telah berakhir.

Jadi, dengan hal ini bukan setakat permusuhan yang ada telah berakhir, malah sesuai dengan perintah Allah Ta’ala juga akan bermula RUHAMAA’U BAINAHUM. Kemudian akan ada semangat kasih sayang antara satu dengan yang lain, dan inilah ciri seorang mukmin, inilah perubahan yang suci, yang mana merupakan tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Kemudian Amir Sahib Jemaat Ahmadiyah Delhi menulis bahawa Muhammad Mursalin Sahib bai’at ke dalam Jemaat Ahmadiyah pada tahun 2008. Dia menjelaskan bahawa: “selepas 3 hari bai’at, dia bermimpi melihat bahawa dia pergi ke suatu program dan masuk ke dalam sebuah bilik di satu bangunan lama yang ada di situ. Dalam bilik itu ada dua orang lain lagi tetapi tidak dikenali kerana gelap.” Amir Sahih menulis: “Mursalin Sahib pergi berjumpa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan apabila melihat bahawa orang lain juga ada, maka saya cuba bersaing untuk melihat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Kemudian Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam menunjuk ke arah atas dan perasaan saya seolah-olah langit hendak pecah.”

Kemudian menulis lagi: “Saya melihat satu pemandangan yang sangat indah di mana ada kebun bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian Huzur sallallaahu alaihi wasallam memusingkan jarinya lalu pemandangan itu hilang.” Dia berkata: “Saya berkata kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, saya hendak pergi ke Mumbai. Huzur sallallaahu alaihi wasallam bersabda; kenapa tuan tidak pergi ke Punjab?” Selepas itu mata saya terbuka. Saya menceritakan peristiwa itu kepada Tuan Qaid Majlis Khuddamul Ahmadiyah,” yakni orang yang beliau kenal. Dia berkata: “Ini adalah perintah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, sebab itu kita harus pergi ke Qadian”. Akhirnya dia pergi ke Qadian bersama Tuan Qaid untuk pertama kalinya. Di sana dia melawat Darul Maseeh, dia berkata: “Setelah saya pergi ke Baitur Riyadhat, saya mendapati bahawa bilik itu benar-benar sama seperti yang saya lihat dalam mimpi. Dengan itu saya mendapat kekuatan iman dan hati saya menjadi sangat tenang.” Dengan kurnia Allah, dia telah bai’at dan juga telah maju dalam keimanan.

Untuk kemajuan keimanan orang-orang yang baru masuk ini juga Allah Ta’ala menunjukkan tanda melalui pengabulan doa-doa mereka. Saya ceritakan beberapa peristiwa ini untuk memberi pertambahan iman kepada orang-orang yang tinggal jauh, dan juga bermanfaat untuk kita semua.

Amir Sahib Burkina Faso menceritakan bahawa di Seytenga, Zaim Ansharullah, Alhaj Bunty telah sakit sejak beberapa bulan sebelumnya. Apabila dibawa ke hospital, doktor memanggil semua keluarganya bahawa “tidak ada guna lagi mengubati pesakit ini, hayatnya tinggal sedikit, sebab itu lebih baik bawa balik ke rumah”. Dia bawa ke Ouagadougou yang merupakan ibu negara di sana. Dia dibawa ke hospital kerajaan, namun doktor tetap menyatakan hal yang sama bahawa “hayatnya tinggal beberapa jam sahaja lagi”, itu telah menyebabkan keluarganya sangat bersedih. Saya berkata kepada mereka; “ini tidak mungkin kerana doktor hanya melihat perkara yang zahir sahaja, kehidupan terletak di tangan Tuhan. Tuan tulis surat kepada Khalifah Waqt”, dan pada hari itu juga mereka menulis surat dan menghantar saya ke sini. Kemudian mereka semua giat dalam berdoa. Berkata lagi: Selepas menulis surat itu dan usaha keras mereka dalam berdoa, dengan kurnia Allah Ta’ala dia mulai menunjukkan tanda-tanda kesembuhan, perlahan-lahan Al-Haj Bunty Sahib semakin sihat berkat kurnia Allah Ta’ala. Sehingga sekarang ini beliau melakukan semua pekerjaannya. Beliau hadir dalam meeting dan berusaha menjalankan tugasnya sebagai ahli Ansharullah.

Selain itu, ada sebuah kampung bernama Challe, di sana ada seorang penduduk bernama Al-Haj Punty. Dia seorang penentang yang sangat keras terhadap jemaat. Dia selalu mengajak orang lain agar terus memusuhi jemaat. Dari segi kesihatan dia sangat baik dan tidak ada tanda sebarang penyakit. Suatu hari beberapa orang kampung mendengar program tabligh di radio Ahmadiyah, kebetulan orang itu lalu di sana. Dalam keadaan yang sangat marah dia datang dan mulai menghina jemaat dengan berkata: “Mereka ini kafir. Jangan dengar tabligh mereka”. Orang ramai berkata: “Jika tuan tidak setuju dengan mereka, janganlah sampai mengeluarkan maki hamun. Berhentilah dari mencemuh mereka”. Dia menjawab bahawa dia akan bersikap begitu dan tidak akan berhenti. Keesokan harinya, dalam keadaan sihat yang begitu sempurna, dia didapati meninggal dunia di atas katilnya. Tidak ada yang tahu waktu bila dia diserang penyakit dan juga penyakit apa yang menyerang. Allah Ta’ala telah mematikannya pada subuh keesokan harinya.

Muallim di Porto Novo, satu daerah di Benin bernama Raimi Zakaria Sahib memberitahu bahawa “seorang Ahmadi yang bernama Hafiso Sahib telah kehilangan anak. Dia begitu risau dan telah mencari di semua arah. Di radio juga sudah berkali-kali diumumkan tetapi tidak juga berhasil menjumpainya. Dalam keadan risau dan tidak tentu arah dia menelefon mengatakan: saya fikir anak itu tidak lagi dapat dijumpai. Muallim Zakaria Sahib berkata: putus harapan itu adalah dosa. Kita telah beriman kepada seorang imam yang mendakwakan bahawa doa-doa itu dikabulkan. Cubalah resepi ini, Allah Ta’ala akan menurunkan kurnia-Nya. Kamu berdoalah dan saya juga turut berdoa, kita semua berdoa. Ayah kepada anak itu, Hafiso Sahib berkata; saya terus sujud selepas sahaja mendengar kata-kata muallim Sahib itu, dia terus berdoa; ya Allah! Di daerah ini tidak ada yang menerima imam Engkau melainkan aku seorang yang telah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, imam Engkau ini pasti benar. Demi kebenarannya, kembalikanlah anak saya kepangkuan saya. Dia berkata: saya berdoa sambil menangis agak lama dengan harapan Tuhan mengembalikan anak saya. Selepas berdoa saya pulang ke rumah melalui jalan yang sama ketika anak saya hilang. Pada ketika itu juga saya melihat anak saya keluar dari hutan. Dia berkata: Saya telah bertambah yakin akan kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Kemudian Amir Sahib Nigeria menjelaskan: “Di sini ada seorang kawan Muhammad Salih yang bekerja di sebuah bank. Dia selalu datang solat di Masjid Ahmadiyah (waktu itu masih belum bai’at). Suatu hari dia mengambil bai’at. Ekoran daripada itu pegawai bank dan kawan-kawannya mula mengganggunya dengan mengatakan: Ahmadiyah mesti beri dia wang sehingga dia menjadi Ahmadi. Dia berkata: dia sangat sedih atas perkara itu, orang ramai menuduh saya bahawa saya masuk Ahmadiyah kerana diberi wang. Malam itu saya berdoa dengan merujuk kepada kebenaran jemaat: Ya Allah! Engkau sendiri yang telah memberi petunjuk kepadaku. Jemaat ini jelas mengkhidmati Islam lebih daripada yang lain, tetapi berilah aku kefahaman yang mendalam. Saya hanya boleh berkata tentang apa yang aku lihat.

Dia berkata: Malam itu saya melihat dalam mimpi bahawa ada satu ijtima yang sangat besar, di mana sahaja pandangan dilabuhkan, hanya orang yang kelihatan. Dan semua orang memakai pakaian berwarna putih, dan saya melihat Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis berdiri di atas pentas, beliau melaungkan Laa Ilaaha Illallah, orang ramai turut melaungkan Laa Ilaaha Illallah, keadaan waktu itu sangat menakjubkan. Muhammad Salih Sahib mengatakan: dalam keadaan itu mata saya terbuka dan kalimah Laa Ilaaha Illallah masih terucap di lidah saya. Dengan itu saya berkeyakinan bahawa untuk memelihara Laa Ilaaha Illallah pada zaman ini telah diamanahkan oleh Allah di atas Jemaat Ahmadiyah. Dengan mimpi itu saya menjadi tenteram dan merasa bahawa keputusan saya untuk bai’at adalah tepat dan tidak perlu peduli kepada sesiapa pun, dengan kurnia Allah Ta’ala juga, saya mendapat peningkatan iman.

Inilah beberapa kisah yang telah saya jelaskan, bagaimana kurnia Allah Ta’ala telah menjadikan mereka mendapat pengukuhan dalam keimanan dan Allah Ta’ala juga memperlihatkan beberapa pemandangan yang boleh menguatkan keimanan mereka.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata:-
            “Lihatlah dengan teliti bahawa dalam masa 1300 tahun ini, siapa yang telah mendapat zaman minhaajin nubuwwah seperti ini? Mereka yang mendapat nur dan keyakinan atas tanda-tanda dan pertolongan-Nya yang baru sebagaimana para sahabat dahulu. Mereka menanggung kesulitan pada jalan Tuhan atas penghinaan, tertawaan, kutuk laknat serta pelbagai cara dan ucapan kotor yang menyakitkan hati sebagaimana para sahabat dahulu tanggung. Mereka mendapat kehidupan yang suci dari tanda-tanda Tuhan yang jelas, pertolongan langit dan dengan ajaran yang penuh hikmat. Mereka menangis dalam solat dan membasahi tempat sujud mereka dengan air mata. Banyak di antara mereka mendapat mimpi yang benar. Ada yang mendapat ilham. Kamu juga akan mendapati beberapa di antara mereka yang ingat akan kematian dan mempunyai hati yang lembut dan melangkah atas landasan ketakwaan yang sebenar. Mereka adalah jemaat Ilahi yang akan dipelihara oleh Tuhan, dan hari demi hari, hati mereka semakin suci. Dada mereka penuh dengan hikmah keimanan dan dari tanda-tanda langit menarik mereka ke arah-Nya, sebagaimana para sahabat sebelumnya ditarik ke arah-Nya. Ringkasnya, semua alamat-alamat ini ada pada jemaat yang dikatakan sebagai WA AAKHARIINA MINHUM (Al-Jumu’ah:4), dan memang pasti bahawa apa yang Tuhan katakan akan berlaku suatu hari nanti”. (Aiyame Sulh, Rohani Khazain jilid 14, halaman 306-307)

Semoga Allah Ta’ala melahirkan kemajuan iman dan keyakinan dalam diri setiap Ahmadi, semoga hubungan ikhlas kita dengan Pencipta akan terus berkembang, dan jangan hendaknya ada kotoran yang melekat pada keimanan kita.

Selepas solat Jumaat ini, saya akan memimpin solat jenazah hadir yang akan dikebumikan hari ini, sebab itu solat harus dipimpin selepas ini. Jenazah ini adalah Muhtaramah Khursyid Begum Sahibah, isteri kepada Abdul Mannan Din Sahib Marhum. Mungkin sebelumnya telah diumumkan bahawa kewafatan beliau pada 27 Ogos yang lepas. Innaa Lillaahi Wa Innaa Lillaahi Roji’un. Marhumah adalah anak saudara Mukarram Babu Qasim Din Sahib sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan menantu Babu Aziz Din Sahib. Semoga Allah memberi keampunan kepada beliau dan meninggikan darjatnya, semoga orang yang ditinggalkan dapat bersabar. Solat jenazah akan dibuat selepas Jumaat ini, insyaAllah.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
14.10.2011

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...