Tuesday, October 25, 2011

Amalkan Kejujuran Dalam Setiap Aspek Kehidupan



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
09 SEPTEMBER 2011 / 09 TABUK 1390HS
11 Syawal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Kejujuran adalah satu sifat yang mana untuk mengamalkannya, bukan hanya setakat agama, malah setiap orang yang mempunyai agama atau tidak, semuanya menegaskan akan keperluan seseorang untuk berlaku jujur. Tetapi, jika kita cuba analisis, walaupun kelihatan bahawa ia sangat ditegaskan, namun kejujuran tidak dilaksanakan seperti yang sepatutnya. Setiap kali ada peluang, mereka akan berdusta untuk mendapatkan kepentingan peribadi. Bermula dari zat seseorang sehinggalah ke peringkat hubungan antarabangsa, walaupun sifat jujur ini yang sangat diperlukan, namun keadaan yang kelihatan sangat bertentangan dengannya.

Untuk mendapatkan manfaat peribadi dalam kehidupan harian, dusta selalu dijadikan sandaran, dan kejujuran yang sebenar yang dikatakan sebagai QOUL SADID itu semakin dilupakan. Dalam urusan perniagaan, yang merupakan satu kumpulan terbesar di dunia, dusta selalu dijadikan sandaran. Dalam hubungan kemasyarakatan pun kadang-kadang dusta selalu dijadikan pegangan. Dalam bidang politik negara, kejujuran juga diketepikan di dalamnya. Dalam hubungan dan politik antarabangsa juga bersandarkan kepada dusta.

Inilah yang selalu kita lihat berlaku dengan meluas. Malah, agama yang membawa dan menyebarkan kejujuran, ada kelompok yang memasukkan dusta di dalamnya dan berusaha menyembunyikan kebenaran sehingga kebenaran itu langsung tidak kelihatan. Beberapa orang juga percaya kepada perkara ini bahawa semakin banyak kamu bercakap dusta, maka perkara yang benar akan menjadi dusta dan dusta akan menjadi benar. Perasaan tidak takut akan berbuat dusta sehingga berani melakukannya adalah disebabkan mereka tidak lagi yakin kepada Tuhan. Jika ada keyakinan kepada Tuhan maka sudah pasti mereka tidak akan menjadikan dusta sebagai sandaran seperti yang kita lihat sedang berleluasa zaman ini.

Dalam kehidupan peribadi di rumah-rumah, kehancuran rumahtangga muncul akibat perbuatan tidak jujur sehingga menyebabkan suami isteri saling tidak mempercayai sesama sendiri, dan apabila anak-anak melihat bahawa ibu bapa mereka banyak kali berdusta, maka anak-anak juga akan menjadi terbiasa untuk berkata dusta. Generasi baru yang terjerat dalam perbuatan yang salah adalah disebabkan tidak ada kejujuran berlaku dalam rumah. Sedar atau tidak, kebanyakan rumah-rumah melahirkan anak-anak lebih banyak berdusta daripada berlaku jujur dan merosakkan anak-anak mereka sendiri. Ekoran daripada itu, dalam masyarakat pula, pasti mereka akan berbuat seperti itu juga.

Demikian juga halnya dalam perniagaan ada penipuan. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa sungguh malang sekali kerana di negara-negara Islam, penyakit ini banyak kelihatan. Walaupun kebenaran dan kejujuran banyak diperkatakan, namun amalan semakin bertentangan dengannya. Demikian juga halnya dalam urusan politik sesebuah negara, mereka banyak bergantung kepada ketidakjujuran, tetapi negara-negara yang dikatakan sebagai negara Islam yang menekankan bahawa Allah Ta’ala memerintahkan untuk berlaku jujur dan membenci perbuatan dusta, semakin mereka lantang menyuarakan hal ini, mereka semakin jauh daripadanya.

Beberapa hari yang lepas di Pakistan, apabila seorang ahli politik marah dengan orang-orangnya lalu menjelaskan hal dalaman yang berlaku di Karachi dan Sindh, maka beberapa ahli politik dan penganalisis membuat gambaran bahawa menzahirkan kejujuran bukan pekerjaan seorang ahli politik. Seorang ahli politik tidak boleh diharapkan untuk berkata jujur. Jika dia berkata jujur maka dia bukan lagi ahli politik malah sudah menjadi gila. Tidak dinafikan bahawa apa yang dikatakan adalah salah, pendapat mereka, oleh kerana berkata benar, sebab itu sudah gila. Penganalisis memberi pendapat bahawa dia telah memasang jerat dalam kehidupan politik dan manfaat duniawinya, yang hanya boleh dilakukan oleh orang gila. Seolah-olah mereka berpendapat bahawa kejujuran dan kebenaran telah menjadi punca kemerosotan. Inilah keadaan mereka. Menurut mereka, politik dan kerajaan mengatasi kata-kata Tuhan. Allah dan Rasul mengatakan; jangan berkata dusta. Tetapi mereka pula mengatakan: untuk politik dan kerajaan boleh berkata dusta, jika kamu tidak katakan, maka kamu berbuat kesalahan. Walaupun begitu, mereka ini adalah muslim yang sejati dan orang Ahmadi itu bukan muslim walaupun bersandarkan kejujuran atas perniagaan, kepentingan peribadi dan jiwa mereka, sebab itu mereka beribadat kepada Tuhan yang menyatakan bahawa dusta itu syirik dan beriman kepada nabi yang membawa kitab syariat terakhir, yang diturunkan Al-Qur’an ke atasnya yang bersabda bahawa akar segala kejahatan dan dosa adalah dusta.

Kemudian politik antarabangsa, tidak kira kerajaan Islam atau kerajaan Barat, keadaan mereka sama sahaja. Negara-negara yang ada hubungan dan menzahirkan kejujuran, dan memang ada sedikit-sebanyak kejujuran. Apabila muncul persoalan mengenai negara lain, atau muncul persoalan mengenai negara-negara Islam, maka gambaran kejujuran mereka langsung berubah. Keadaan mereka ini kelihatan semasa mereka menyerang Iraq buat kali pertama. Apabila Iraq dihancurkan untuk menjatuhkan Saddam Hussin, dan setelah merampas segala-galanya, barulah mereka mengatakan: kita sudah melakukan kesalahan. Segala maklumat yang kita terima mengenai kezaliman dan rancangan menakutkan serta senjata berbahaya yang boleh menghancurkan dunia dan menakluk negara-negara jiran yang hendak dilakukan oleh Saddam Hussin, rupanya tidak ada apa-apa yang kita perolehi dari sana.

Kemudian Libya pula dijadikan sasaran, sekarang mereka mengatakan; sebenarnya maklumat yang salah, kezaliman atas orang awam tidak berlaku di sana. Inilah yang sedang dimuatkan dalam media di Barat. Mula-mula sekali mereka menyerang atas propaganda dusta yang mereka buat, kemudian supaya kelihatan benar, mereka menzahirkan melalui media mereka bahawa; kita sudah silap, apa yang telah diberitahu kepada kita tidak terbukti kebenarannya. Sebenarnya kebenaran seperti ini bertujuan untuk menutup pendustaan mereka. Tujuan merampas segala sarana telah mereka capai. Tetapi, peluang mereka juga disediakan sendiri oleh orang Islam. Jika kekayaan ratusan juta Dollar dibelanjakan untuk orang awam, maka sudah tentu tidak akan timbul fitnah dan kerosakan dalam negara, dan tidak juga mereka itu berani untuk campurtangan.

Ringkasnya, pendustaan dan kebenaran antarabangsa bukan hanya setakat disembunyikan malah dalam proses ke arah keruntuhan, umumnya seluruh dunia melakukan tugas masing-masing dan beranggapan: Kami akan selamat. Jika mereka selamat di dunia, namun pasti akan datang suatu zaman, menemui satu kehidupan akan datang, satu dunia akan datang, di mana semua perhitungan ada tertulis.

Kemudian, bukan hanya setakat orang-orang dunia sahaja, malah orang-orang yang dianggap alim dan warak juga menolak untuk berlaku jujur dan lebih cenderung ke arah dusta. Di dalamnya ada musuh-musuh yang menentang Islam dan dalam zaman ini juga ada penentang Jemaat pencinta sejati Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, yakni orang-orang Islam juga terlibat dalam menjadi musuh Islam. Mereka tahu akan kebenaran, tetapi demi manfaat dan menjaga mimbar mereka, dusta dijadikan sandaran. Dalam meracuni fikiran orang awam, mereka juga saling berkerja sama.

Ada di antara mereka yang memberi daras dari buku-buku jemaat dan buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan menyediakan ceramah juga daripadanya, kerana selain itu tidak ada dalil yang boleh menutup mulut penentang Islam. Pada zaman ini, hanya Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sahaja yang mempertahankan Islam dengan penuh semangat berserta dengan dalil-dalil yang tidak dapat ditolak. Tetapi, untuk menipu orang awam berkenaan dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, mereka mengatakan na’uzubillah: orang ini pendusta.

Sebelum ini saya telah menyentuh tentang hal ini dan bukan sekali dua, berkenaan dengan berbagai orang, berkenaan dengan ulama yang muncul di TV dengan daras dan ceramah mereka yang hebat, seseorang telah melihat dan memberitahu bahawa mereka sendiri menyimpan tafsir kabir dan berbagai buku-buku jemaat di rumah mereka yang bukan hanya bertujuan untuk mencari kesalahan. Mereka sendiri menzahirkan bahawa mereka juga gunakan dalam daras dan sebagainya. Jadi, jelas bahawa mereka itu tidak ada kecenderungan untuk meninggikan syiar Islam. Sebab itu mereka tidak menunjukkan jalan kepada orang awam bagaimana untuk mencari jalan kebenaran, sebab mereka takut jangan-jangan mimbar dan mihrab mereka akan terlepas dari tangan. Sebab itu mereka tidak cuci tangan dari hal itu. Tetapi, inilah usaha mereka dan dalam setiap zaman, setiap kali Allah Ta’ala mengutus utusan-utusanNya, maka inilah usaha dari pihak penentang.

Walaubagaimanapun, takdir Ilahi yang berjalan, dan takdir Allah lebih mengatasi segala-galanya. Kejujuranlah yang Allah takdirkan untuk menang dan sebab itu Tuhan selalu mengutus para nabi ke dunia ini apabila dusta semakin berleluasa, apabila kerosakan semakin memuncak, kejujuran semakin pudar, maka pada waktu itulah Allah mengutus para nabiNya untuk mengembalikan kejujuran kekal di dunia. Walaupun ditentang, namun kejujuran pasti akan tetap unggul. Berbagai perancangan musuh untuk menyekat, namun takdir Allah Ta’ala yang berjalan dan takdir Allah sentiasa unggul bersama-sama dengan para nabiNya, dan menolong para utusanNya. Inilah zamannya janji Allah Ta’ala berlaku kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan dengan kurnia Allah Ta’ala, semakin hari ia semakin sempurna. Mereka itu terus mengadakan jalsah, perhimpunan dan sebagainya untuk membuat kezaliman.

Sekarang, dengan merujuk kepada 7 September, satu jalsah diadakan di Pakistan, di Rabwah juga ada dilaksanakan. Ulama-ulama besar datang dan jalsah itu mereka namakan Taajdare Khatme Nubuwwat Conference. Dan di sana, selain caci maki dan penghinaan terhadap Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, tidak ada yang lain. Sepanjang malam, itu sahaja yang mereka lakukan iaitu memperkatakan yang bukan-bukan atas nama Allah dan rasulNya. Itulah keadaan mereka, tetapi dalam keadaan itupun takdir Allah tetap berjalan di mana Jemaat Ahmadiyah terus berkembang maju. Jika ini bukan takdir Allah atau bukan penyempurnaan takdir Allah, dan jika bukan kerana utusanNya mendapat kemenangan, maka na’uzubillah Allah salah dalam membuktikan janjiNya atas agama, atas nabi-nabi dan keimanan kepada Allah akan hilang dari dunia ini.

Jadi, untuk mengekalkan keimanan kepada Allah, untuk mengembangkan keimanan orang-orang yang berfitrat baik, pemandangan seperti itu selalu diperlihatkan di mana setiap saat menjadi penguat kepada keimanan mereka. Memperdengarkan beberapa kisah-kisah dahulu tentang kejujuran boleh menjadi penguat keimanan mereka, menjelaskan beberapa peristiwa yang baru akan menjadikan mereka terpengaruh dengan pengasas agama dan kebenarannya, dan pengikutnya juga akan terpengaruh. Ada juga beberapa orang yang diberi petunjuk oleh Allah dengan memberitahu akan kebenaran utusan yang Dia hantar.

Ringkasnya, kebenaran dan kejujuran utusan Allah dizahirkan pada waktunya, dalam kehidupannya sehingga menarik perhatian orang ramai, dan ada juga yang diberikan petunjuk selepasnya iaitu selepas melihat kemajuan agama, amalan pengikutnya, melihat jemaat yang dihubungkan kepada nabi itu, orang itu akan mendapat petunjuk.

Apapun, jika kita perhatikan kehidupan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, maka orang yang hidup di zaman baginda  termasuk musuh sekali pun memanggil beliau sebagai siddiq dan amin. (As-Siratun Nabawiyah Li Ibni Hisyam)

Inilah kejujuran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Ketika baginda mengumpulkan semua keluarganya dan pembesar-pembesar Mekah lalu berkata: Jika aku katakan kepada kamu bahawa di sebalik bukit itu ada musuh bersembunyi, yang tidak kamu lihat, adakah kamu percaya? Walaupun jelas bahawa perkara yang tidak mungkin terjadi di sebalik bukit ada askar, namun semua sepakat mengatakan: Wahai Muhammad! (sallallaahu alaihi wasallam) engkau tidak pernah berdusta, sebab itu kami percaya. (Sahih Bukhari Kitabut Tafsir, Surah Tabbat Yada Abi Lahab, bab 1/1 hadis nombor 4971)

Kemudian baginda bertabligh kepada mereka, tetapi mereka itu orang-orang dunia, yang mempunyai hati keras, tidak ada kesan atas mereka. Ada yang mendapat hukuman selepas itu, dan sebahagian lagi ada yang menjadi muslim selepas itu.

Apapun, para nabi memanggil dunia ke arah mereka dengan kejujuran. Al-Qur’an juga menceritakan kisah tabligh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Allah Ta’ala berfirman FAQOD LABISTU FIIKUM ‘UMURAM MIN QOBLIHI AFALAA TA’QILUUN (Yunus:17) yakni aku juga menjalani kehidupan di kalangan kamu sebelumnya, tidakkah kamu berfikir? Inilah dalilnya akan kebenaran kenabian, dan berkenaan dengan utusan dari Tuhan mereka menjelaskan: Aku juga telah menjalani kehidupan di kalangan kamu tanpa ada kata dusta, sekarang ini sudah tua, adakah baru sekarang hendak berkata dusta? Itupun atas nama Tuhan? Sedangkan sudah dikatakan bahawa dusta itu sama dengan syirik dan itu juga adalah ajaranku. Aku datang untuk menegakkan tauhid. Jadi, inilah jawapan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Jadi, tabligh para nabi banyak caranya dan mempunyai senjata bagi menzahirkan kebenaran mereka. Setiap segi kehidupan mereka hanya kejujuran yang kelihatan. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga mendapat ilham WALAQOD LABISTU FIIKUM ‘UMURAM MIN QOBLIHI AFALAA TA’QILUUN dan saya tinggal bersama kamu sehingga suatu waktu, adakah kamu tidak memikirkan?

Berkenaan dengan ini, dalam Nuzulul Maseeh, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata:
“Lebih kurang dalam tahun 1884, Allah Ta’ala telah memberi wahyu kepadaku WALAQOD LABISTU FIIKUM ‘UMURAM MIN QOBLIHI AFALAA TA’QILUUN, dan di dalamnya Tuhan yang Ghaib itu memberi isyarat kepada saya bahawa penentang engkau tidak akan dapat mengotorkan setitik pun dalam riwayat hidup engkau. Dan sehingga kini umur saya sudah 65 tahun, tidak ada seorang pun yang tinggal dekat atau jauh dapat membuktikan bahawa sepanjang hidup saya ada suatu perkara yang boleh dikritik. Malah dalam kehidupan yang bersih sebelum ini, para penentang sendiri juga menjadi saksi, Maulvi Muhammad Hussin Sahib beberapa kali memuji kami dan keluarga kami dalam risalah Isya’atus Sunnah dengan kata-kata yang sangat baik dan juga mengatakan: Berkenaan dengan orang ini dan keluarganya tidak ada yang lebih tahu melainkan saya, kemudian dia juga memuji tentang keadilan yang dipertahankan.

Jadi, seorang penentang yang merupakan pengasas kepada pengkafiran, juga membenarkan khabar ghaib WALAQOD LABISTU FIIKUM (Nuzulul Maseeh Rohani Khazain jilid 18, halaman 590)

Jadi, kejujuran merupakan satu perkara yang sangat penting dalam membuktikan kebenaran seorang nabi dan juga sebagai sarana pertablighan. Sebab itu Allah Ta’ala menyatakan berkenaan dengan nabi-nabi; aku juga hidup bersama-sama dengan kamu dan tidak pernah menipu. Adakah sekarang ini saya akan menipu? Hal ini juga berlaku kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sendiri. Jika dalam kehidupan beliau, musush sendiri pun tidak dapat mencari kekurangan dalam kejujurannya, bagaimana mungkin boleh dikatakan bahawa na’uzubillah beliau seorang pendusta. Sekarang ini, tidak kira maulvi atau penentang yang lain, katakanlah semahu kamu. Ia tidak akan membuktikan apa-apa. Hari ini pun, orang yang berfitrat baik dan dengan niat yang baik mengharapkan petunjuk Allah, maka Allah Ta’ala akan menujukkan kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada mereka.

Dalam khutbah sebelumnya juga saya telah jelaskan beberapa kisah tentang bagaimana Allah Ta’ala menunjukkan kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada orang-orang yang mempunyai fitrat baik. Jadi, kejujuran yang dibawa oleh para nabi ini, di mana penzahirannya kelihatan dalam kehidupan mereka, kebenaran ini jugalah setiap orang yang telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam harus zahirkan ke dunia, ini kerana pekerjaan para pengikut kepada seorang nabi juga ialah menzahirkan kebenaran nabi itu kepada dunia.

Orang-orang dunia juga harus diajarkan jalan menuju hidayat dan pada zaman ini, hanya Islam sahaja agama yang berpusatkan kebenaran. Inilah satu-satunya agama yang mempersembahkan ajarannya yang asli dan insyaAllah ia akan terus berlangsung sehingga hari kiamat. Ini adalah dakwaan Al-Qur’an yang merupakan sumber segala kebenaran dan petunjuk. Semua kitab-kitab yang lain telah mengalami campuran sejarah dan kisah-kisah yang tidak benar. Jadi, untuk menyebarkan kebenaran itu menjadi tanggungjawab seorang muslim. Namun, kebanyakan umat Islam sendiri berbuat kesalahan sebagaimana yang telah saya katakan sebelumnya, bagaimana mungkin mereka boleh memperlihatkan kejujuran kepada orang lain.

Dalam suatu kesempatan ada satu majlis bersama dengan orang ghair. Kebanyakannya adalah orang Kristian, malah boleh dikatakan semuanya Kristian. Perkara yang dibincangkan ialah amanat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam adalah untuk semua orang, tidak kira orang Islam, Kristian, Hindu dan sebagainya. Jadi, ada seorang Kristian yang mungkin seorang professor sebuah universiti, tetapi dia kelihatan memiliki pengetahuan mendalam soal agama. Dia berkata kepada saya: Pertama sekali perbaiki dahulu orang Islam, kemudian barulah perbaiki orang Kristian. Apapun saya telah berikan jawapan pada waktu itu kepadanya, tetapi hakikatnya ialah umat Islam sangat perlu diperbaiki, dan disebabkan orang Islam, kita sendiri kadang-kadang menanggung malu. Tetapi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam datang adalah untuk memperbaiki keadaan umat Islam, dan juga merupakan perintah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa apabila Imam Mahdi datang, maka kamu hendaklah bai’at kepadanya walaupun terpaksa merangkak di atas salji. (Sunan Ibnu Majah, Kitabul Fitin, bab Khuruujul Mahdi hadis nombor 4084)

Tetapi, kita Ahmadi yang mengatakan sebagai anggota jemaat pencinta sejati Rasulullah sallalaahu alaihi wasallam, kita bertanggungjawab untuk menyampaikan amanat kebenaran ini kepada dunia. Tetapi bagaimana caranya? Pertama sekali ialah kita hendaklah membuktikan diri kita sebagai seorang yang jujur. Para nabi telah mempersembahkan kejujuran mereka dalam kehidupan sebagai dalil kebenaran. Kita hendaklah membuktikan kejujuran bermula dari urusan harian sehinggalah keperingkat antarabangsa dan hal itu hendaklah dijadikan cara hidup. Kita mendapat perintah untuk beramal sesuai dengan uswah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, jadi hal ini hendaklah kita perhatikan dengan cara yang sebenar-benarnya. Kita hanya akan dapat menyempurnakan misi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam jika kita dapat mengamalkan akhlak ini dalam kehidupan harian. Hanya dengan cara itulah kita dapat menyampaikan amanat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ke seluruh dunia. Tetapi, kejujuran yang sebenar hanya akan dapat dicapai sekiranya kita melakukan kejujuran dalam setiap aspek kehidupan kita, dari kehidupan dalam rumah sehinggalah kehidupan di luar rumah. Dan juga setiap persekitaran kita ada misal kejujuran yang dapat dilihat, dengan itu ucapan kita juga akan mengandungi berkat. Dengan itu juga akhlak dan kejujuran kita akan berpengaruh sehingga dapat menarik orang lain mendekati Islam dan jemaat. Jadi, untuk itu diperlukan satu usaha keras, berusaha menghiasi amalan kita dengan kejujuran. Jika untuk mendapatkan faedah kewangan yang sedikit kita mula mengatakan dusta, apa kesannya ucapan kita terhadap orang lain?

Sebagaimana yang telah beberapa kali saya katakan bahawa jika kita memberikan penjelasan terhadap kerajaan untuk mendapatkan manfaat kewangan, jika kita tidak menunaikan tax (cukai) yang betul sehingga tertangkap, maka itu akan memberi nama buruk terhadap jemaat. Ini kerana semua orang segera tahu bahawa ini orang Ahmadi, dan apabila sudah mendapat nama buruk, maka bagaimana kita hendak menyampaikan tabligh? Bagaimana kita hendak menjelaskan kepada orang lain bahawa Ahmadiyah tidak melakukan perbuatan kotor, Ahmadiyah mematuhi perintah undang-undang kerajaan, Ahmadiyah berbeza dengan umat Islam yang lain kerana telah bai’at kepada imam zaman yang datang untuk memperbaiki dunia. Jadi, untuk membuktikan semua ini akan menjadi sukar.

Jadi, untuk membuktikannya kita harus meluruskan amalan kita. Kita juga harus memperhatikan walaupun perkara-perkara kecil bagaimana hendak membuktikan bahawa kita inilah yang berjalan mengikut petunjuk Al-Qur’an dan sunnah. Jadi, untuk menyebarkan pekerjaan ini, untuk memberikan nama baik kepada jemaat, kita amat perlu membuat pembaikan terhadap diri sendiri. Tertangkap disebabkan perbuatan dusta bukan hanya akan menjadikan kita sendiri susah, malah ia juga akan memberikan nama buruk terhadap jemaat dan Islam. Kemudian ada perbuatan-perbuatan buruk yang lain lagi. Ada anak-anak muda yang terpengaruh dengan budaya-budaya yang tidak sihat, kemudian pertengkaran suami isteri dalam rumahtangga. Dan saya sudah menyatakan beberapa kali bahawa ada kes yang berlanjutan sehingga menjadi kes polis. Jika sudah sampai di sana, sudah tentu mana-mana pihak akan cuba berbuat tidak jujur.

Jadi, semua ini hanya akan memberi nama buruk kepada jemaat lalu menjadi penghalang kepada jemaat untuk menjalankan program tabligh. Kemudian, jika memberi keterangan dusta sudah menjadi kebiasaan, maka di dalam jemaat juga akan melakukan perkara yang sama, selepas itu, dari pendustaan itu segala urusan akhirnya jauh daripada keberkatan. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa ia juga mempunyai pengaruh buruk terhadap anak-anak di rumah.

Ada beberapa anak lelaki dan perempuan menulis surat kepada saya bahawa di luar, ayah kami sangat baik dan jujur, seorang yang kuat berkhidmat dalam jemaat, tetapi di dalam rumah, kami tahu bahawa dia berbuat tidak jujur dan jauh dari kebenaran. Jadi, bagaimana seorang ayah dapat mendidik anak atau bagaimana seorang ibu dapat mendidik anak sekiranya bersandarkan perbuatan tidak jujur? Kemudian, apabila ditanya bagaimana di rumah, mereka menjawab: Kami semua baik. Ini juga satu bentuk pembohongan. Jadi, bagaimana hendak bertabligh dalam keadaan seperti ini? Jika di dalam rumah sahaja sudah begitu kesannya terhadap anak-anak, menunjukkan kesalahan yang ketara, bagaimana mungkin mereka dapat memperbaiki orang di luar?

Jadi, setiap Ahmadi hendaklah memikirkan hal ini sedalam-dalamnya. Jika hal ini ada dalam diri kita dan terus berkembang, maka kita akan tergolong dalam kategori orang yang ‘lain dikata lain pula yang dibuat’. Kita melaungkan bahawa Ahmadiyah benar dan hakiki Islam, kita melaungkan slogan ‘cinta pada semua dan tidak benci pada sesiapa’, namun pertama sekali kita hendaklah menyebarkan kecintaan di dalam rumah dan mengekalkan kejujuran di dalamnya. Cinta dengan keluarga, sahabat handai, cinta kepada sesama anggota jemaat, cinta kepada orang di sekeliling, dengan cara itu nanti kecintaan akan terus berkembang dan kejujuran tersebar luas. Jika tidak, laungan kita itu kosong atau melaungkan slogan yang dusta.

Jika dalam keluarga kita tidak tenteram atau tidak aman, bagaimana kita hendak memanggil orang lain “kemarilah kami ajarkan tentang kejujuran, kami ajarkan tentang kecintaan dan menjauhkan ketidaktenteraman”. Kita pergi memanggil orang lain dan bertabligh tentang kasih sayang, sedangkan dengan jiran tetangga kita bermusuhan, sedangkan jiran itu adalah lebih berhak mendapat layanan yang baik dan sangat ditegaskan di dalam Al-Qur’an. Di dalam Islam hal ini sangat ditegaskan. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata: “saudara seagama kamu juga merupakan jiran kamu” (Malfoozaat Jilid 4, halaman 215, cetakan Rabwah).

Jiran itu bukan hanya rumah yang berdekatan, malah saudara seagama juga adalah jiran. Kamu hendaklah tunaikan hak mereka. Jadi, jika kita jujur, maka kita juga harus menguatkan hubungan sesama kita. Jika tidak, maka tabligh kita tidak ada berkatnya. Allah Ta’ala berfirman: YAA AIYUHAL LADZIINA AAMANUU LIMAA TAQUULUUNA MAA LATAF’ALUUN (As-Shaf:3) wahai manusia yang beriman! Kenapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat? Ini kerana jika ucapan kamu tidak dituruti dengan amalan, maka itu adalah perbuatan munafik dan di dalamnya tidak pernah akan ada berkat. Jadi, jangan pernah mengatakan sesuatu yang kamu rasa tidak akan buat. Setelah kamu menghubungkan diri dengan orang yang mencintai nabi yang sempurna, maka Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata; jangan memburukkan nama kami setelah kamu bergabung dengan kami. Ini keranaHhazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dituduh pendusta walaupun beliau membawa dan mengajarkan tentang kejujuran, jangan sampai orang mengatakan; orang ini memang pendusta. (Malfoozaat Jilid 4, halaman 145, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, kita hendaklah selalu ingat bahawa untuk memenangkan Ahmadiyah sangat berkait rapat dengan senjata kejujuran. Memang tidak dinafikan ajaran Islam itu benar, Al-Qur’an itu benar dan ajarannya akan berlangsung sehingga hari kiamat. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah nabi terakhir yang membawa syariat dan sekarang tidak ada lagi syariat baru, tidak ada lagi kejujuran baru yang datang dari Allah. Kesempurnaan kenabian hanya pada baginda. Tidak dinafikan bahawa dakwaan pencinta sejati Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah benar. Beliau adalah Maseeh wa Mahdi Mau’ud yang mana kedatangannya telah dikhabarkan, dan sekarang kemajuan Islam terletak dalam kemajuan Jemaat Ahmadiyah, tetapi untuk menjadi bahagian dalam kemajuan ini, untuk menyebarkan kebenaran yang telah menjadi tanggungjawab Ahmadi, untuk menyempurnakannya perlu bagi kita berlaku jujur dalam amalan. Kita harus melaksanakan ajaran seperti yang kita tabligh kepada orang lain.

Jadi, jika kita hendak menjadi bahagian dalam kemenangan yang telah dijanjikan untuk Islam melalui Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, maka kita harus membuat muhasabah setiap saat setakat mana kejujuran yang kita ada? Di rumah kita, di persekitaran kita, dalam urusan jemaat, dalam urusan perniagaan kita, semua ini hendaklah diukur. Jika hasil muhasabah itu tidak menyenangkan, maka kita harus merasa risau. Kemenangan Ahmadiyah satu perkara yang pasti, insyaAllah, dan setiap hari kita sedang menyaksikan tanda-tanda menuju kejayaan. Namun, bagi orang yang tidak dapat melaksanakan kejujuran dengan cara yang sebenarnya, mereka itu akan terhindar dari mendapat bahagian kemenangan ini.

Jadi, ini satu perkara yang harus direnungkan. Amat perlu difikirkan bahawa setelah mendapat petunjuk kebenaran, sejauh mana kita telah meninggalkan amalan dusta? Kita hendaklah letakkan di hadapan bahawa dusta itu syirik. Orang-orang Ahmadi yang telah dan sedang berusaha mengekalkan kejujuran dalam diri mereka sebenarnya sedang berkorban untuk menentang kesyirikan. Mereka hendak menegakkan undang-undang Tuhan di dunia. Mereka berkorban menentang pemerintah dan ulama-ulama yang zalim, kerana mereka itu mengatakan bahawa; jika kamu mahu hidup, jika kamu mahu harta benda kamu selamat, jika kamu mahu anak-anak kamu senang, maka tinggalkan kejujuran dan kemarilah bersama-sama dengan kami melakukan pendustaan.

Abu Sufyan dalam peristiwa Fatah Mekah berkata kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam; jika kami benar dan sembahan kami benar dan berkuasa, mempunyai suatu kudrat, dan engkau keluar dari Mekah dalam keadaan yang rumit, dan dengan adanya usaha-usaha yang dilakukan untuk menghancurkan engkau, maka sudah pasti hari ini kami yang akan duduk di tempat engkau sekarang. Tetapi sebagaimana kebiasaan telah terbukti bahawa kejujuran yang engkau sentiasa zahirkan dalam segala segi kehidupan, dan sebagaimana kebenaran suatu perkara yang keluar dari mulut engkau, hari ini telah terbukti bahawa laungan engkau iaitu perkara yang benar dan pasti ialah di alam ini, sebagai Tuhan yang Satu, kamu hendaklah beribadat kepadaNya, kamu hendaklah memperhambakan diri kepadaNya, sesungguhnya iklan engkau memang benar dan Tuhan Islam memang benar, dan pengikutnya adalah orang yang benar. Sebab itu Abu Sufyan mengisytiharkan: Aku juga membaca kalimah dan masuk ke dalam Islam. (Subulul Huda War Risyaad Fii Siirat Khoirul ‘Ibaad, Alamah Muhammad bin Yusuf Salihi, jilid 5, halaman 217, Fii Ghuzwatil Fath Al-A’zaam Darul Kutub AL-Ilmiah Beirut, 1993)

Jadi, inilah contoh kejujuran yang dunia lihat. Sebagaimana Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam melihat dunia dalam keadaan yang sangat rosak, dengan nur kejujuran telah menghapuskan kerosakan itu sehingga menjadikan mereka insan yang bertuhan. Orang-orang musyrik telah mengenal ketauhidan. Takbur dan pendustaan orang-orang kafir Mekah telah musnah disebabkan kejujuran dan janji Allah Ta’ala.

Hari ini, ini jugalah yang telah dijanjikan oleh Allah ke atas Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yakni Islam akan unggul melalui beliau, tetapi kita hendaklah menjadi insan yang bertuhan. Kita juga hendaklah menjadikan kejujuran sebahagian daripada hidup kita. Dengan berdiri di atas kejujuran, kita perlu menguatkan keimanan supaya kita dapat melihat pemandangan ini. Kita inilah yang telah bai’at di tangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, yang telah berjanji untuk mengutamakan agama daripada dunia, menegakkan kejujuran dan membuang dusta dan syirik.

Jadi, hari ini, untuk menzahirkan kejujuran dan berdiri atas kebenaran adalah tanggungjawab Ahmadi. Ini kerana kita inilah yang telah bai’at kepada pencinta sejati Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, dan janji itu akan ditanya oleh Allah sesuai dengan kehendakNya. Jadi, ia satu perkara yang amat perlu difikirkan sedalam-dalamnya. Kita hendaklah selalu ingat bahawa jika kita tidak berusaha menjadikan kejujuran sebagai cara hidup, maka kita tidak pernah akan menjadi orang yang menyebarkan ketauhidan dan kebenaran, yang dengan itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam diutus. Kebenaran yang telah ditegakkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam 1400 tahun dahulu telah diruntuhkan kembali oleh segelintir umat Islam, dan satu kerosakan dalam bentuk yang baru telah terjadi seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam Al-Qur’an ZAHARAL FASAADU FIL BARRI WALBAHRI (Ar-Ruum:42) Tetapi Allah yang berlaku ihsan yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya, melalui Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, satu jemaat telah didirikan dan menyediakan sarana untuk menjauhkan kerosakan itu. Melalui Khilafat Alaa Minhaajin Nubuwwah, dengan satu jemaat yang berdiri, kita sekali lagi dapat mengharapkan kejujuran berdiri kembali. Sebab itu, dalam setiap segi, kerosakan ini hendaklah dihindari dan kejujuran itu ditegakkan, dan untuk itu adalah tanggungjawab setiap Ahmadi yang mengatakan dirinya ada hubungan dengan jemaat. Kita hendaklah menamatkan kerosakan dan dusta ini di rumah kita. Kita juga hendaklah menamatkan kerosakan ini di dalam perkampungan kita, kita juga hendaklah menamatkan kerosakan dan dusta ini di bandar kita, dan kita juga hendaklah menamatkan kerosakan dan dusta ini di dunia supaya dunia boleh mengekalkan suasana kasih sayang, aman dan damai.

Dengan kurnia Allah Ta’ala kita beriman kepada rasul yang datang ke dunia untuk menghapuskan semua fitnah-fitnah dan kerosakan, yang datang sebagai rahmat ke seluruh alam sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam Al-Qur’an WAMAA ARSALNAAKA ILLAA ROHMATAL LIL ‘AALAMIIN (Al-Anbiya:108) yakni Kami telah mengutus engkau ke dunia adalah sebagai rahmat. Jadi, dengan mengajarkan kejujuran dan menghapuskan kerosakan di dunia, nabi sallallaahu alaihi wasallam telah menjadi rahmat. Jadi, hari ini adalah menjadi kewajipan kita untuk menghidupkan sunnah Asdaqus Shoodiqiin dan rahmatul lil ‘aalamiin ini. Sebarkan kejujuran di kalangan sendiri dan juga kepada orang lain. Senjata seperti pistol, senapang, bom dan senjata api yang lain hanyalah menamatkan kehidupan, tetapi senjata kejujuran yang kita amalkan dalam kehidupan akan menjadi rahmat. Maka, hari ini kita sebagai Ahmadi hendaklah keluar dengan membawa senjata kejujuran ini. Mudah-mudahan dengan menyebarkan kejujuran ini, dengan menggunakan sarana perang kerohanian ini, kita dapat mengumpulkan orang-orang yang berfitrat baik serta para pencari kebenaran lalu menjadi tembok pelindung yang mana tidak ada suatu dusta dan syaitan yang akan dapat menggelincirkan mereka. Kemudian, nur daripada siddiq yang merupakan nur Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ini, apabila ia tersebar di dunia, insyaAllah dunia akan berkumpul di bawah bendera Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Semoga Allah memberi kita semua taufik untuk itu.

Pada hari ini ada berita yang sangat menyayat hati. Selepas solat Jumaat ini saya akan memimpin satu solat jenazah, insyaAllah. Di Faisal Abad, saudara kita Nasim Ahmad Butt Sahib bin Mukarram Muhammad Ramadhan Butt Sahib, dua hari lepas telah disyahidkan. Innaa Lillaahi Wa Innaa Ilaihi Rooji’uun.

Melalui datuk sebelah ayah, keluarganya menerima Ahmadiyah. Namanya Ghulam Muhammad Sahib. Beliau mendapat taufik bai’at dalam zaman Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani. Nasim Ahmad Butt Sahib lahir sebagai Ahmadi pada tahun 1957 di Faisal Abad. Pada 4 September, hari Ahad yang lepas, ada seseorang yang tidak dikenali masuk ke rumahnya dan menembak beliau sehingga syahid. Innaa Lillaahi Wa Innaa Ilaihi Rooji’uun. Orang itu datang 3 dan 4 September malam. Beliau waktu itu tidur di perkarangan rumah. Beliau dikejutkan lalu dalam keadaan mengantuk beliau telah ditembak. Dua tembakan, di perut dan di pinggang. Dalam keadaan cedera itu beliau dikejarkan ke hospital dan pada 4 September, jam 9 pagi, beliau meninggal di hospital. Sebelum syahid, walaupun telah ditembak, beliau sendiri yang mengurus diri dan menenangkan isteri supaya bersabar. Adiknya Wasim Ahmad Butt Sahib telah syahid pada tahun 1944 dan bapa saudaranya Nasir Ahmad Butt Sahib syahid pada tahun lepas. Dalam kejadian itu, beliau telah menunjukkan kesabaran yang sangat tinggi. Ketika syahid, umur beliau 54 tahun. Beliau bekerja di sebuah kilang. Seorang yang berakhlak mulia dan sangat berani. Banyak berkhidmat dalam jemaat. Teratur dalam pembayaran canda. Walaupun jarak rumahnya jauh, namun beliau teratur dalam menunaikan solat Jumaat di masjid. Sangat menjunjung tinggi Nizam Jemaat dan Khilafat. Cara hidup beliau sangat sederhana. Sangat penyayang kepada isteri dan anak-anak. Beliau juga suka membantu orang miskin. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kesabaran yang tinggi.

Dalam perantaraan Khutbah Tsaniah, Huzur berkata:-

Selepas dua hari kesyahidan mereka ini, di Faisal Abad, Sekretari Umur Amah telah ditembak dan terkena empat das tembakan. Beliau dimasukkan ke hospital. Sehingga kemarin, keadaan beliau sangat kritikal. Sekarang sudah beransur pulih, doakan agar beliau mendapat kesihatan yang sempurna. Beliau ditembak di belakang, di bahu dan di leher.

Demikian juga kemarin di Lahore ada kereta Ahmadi cuba dihentikan untuk ditembak, namun tembakan tidak tepat. Keadaan penentangan di sana sangat keras, doakan untuk Ahmadi di Pakistan. Semoga Allah memberi perlindungan kepada mereka semua.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
24.10.2011


No comments:

Post a Comment