Saturday, June 18, 2011

Kebenaran, Keimanan, Ketakwaan dan Ketaatan


KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
22 APRIL 2011 / 22 SYAHADAT 1390HS
18 Jamadil Awal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s bersabda di suatu tempat bahawa “aku diutus sehingga zaman kebenaran dan keimanan kembali muncul dan ketakwaan lahir dalam hati”. (Kitabul Birriyah, Rohani Khazain Jilid 13, halaman 293, nota kaki)

Seorang Ahmadi yang mendakwakan diri telah bai’at kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, dia seharusnya memberi perhatian terhadap apa yang telah disabdakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s ini dan merenungkan sedalam-dalamnya. Dia juga hendaklah berusaha untuk menjadikannya sebagai satu cara hidup. Dan apabila seorang Ahmadi melakukan hal ini, maka barulah dia dapat menyempurnakan hak bai’at dengan baik. Jika tidak, maka keAhmadiannya hanyalah di mulut sahaja. Kebenaran dan keimanan yang hendak dibawa oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s atas perintah Allah Ta’ala, yang mana dengan itu akan lahir ketakwaan dalam hati, itu bukanlah satu perkara baru. Ia sesuai seperti yang beliau jelaskan bahawa “zaman kebenaran dan keimanan kembali muncul” yakni zaman kebenaran dan keimanan dan ketakwaan ini pernah wujud sebelumnya, namun ia telah hilang, kemudian, untuk membawanya kembali, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s yang ditugaskan.

Sebagaimana yang kita semua ketahui bahawa berdirinya zaman kebenaran dan keimanan dan ketakwaan dengan penuh keagungan adalah pada zaman Rasulullah s.a.w diutus ke dunia ini bagi menyempurnakan syariat melalui firman Allah ALYAUMA AKMALTU LAKUM DIINAKUM WA ATMAMTU ‘ALAIKUM NI’MATII WA RODHIITU LAKUMUL ISLAAMA DIINAA (Al-Maidah:4) yakni “hari ini telah Ku sempurnakan agamamu bagimu, dan telah Ku lengkapkan nikmat-Ku atasmu, dan telah Ku sukai bagimu Islam sebagai agama.

Apabila Allah membuat pengumuman ini, waktu itu semuanya dalam keadaan baik. Jadi, jelas kepada setiap Ahmadi bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s tidak membawa perkara baru, dan tidak mungkin seorang Ahmadi boleh berfikir seperti itu. Beliau datang membawa kembali kebenaran, keimanan dan ketakwaan itu ke dunia adalah bertepatan dengan khabar ghaib dari Al-Qur’an dan Rasulullah s.a.w, dan umat Islam telah kehilangan perkara tersebut disebabkan perbuatan mereka.

Jadi, kita sebagai Ahmadi yang mengakui kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, maka kita hendaklah bertanya kepada diri kita, adakah kita telah berusaha menanamkan keimanan yang telah diajarkan oleh Al-Qur’an itu di dalam diri kita sebagaimana yang telah ditanamkan oleh para sahabat dalam diri mereka? Adakah kita telah berusaha melahirkan kebenaran itu dalam diri sebagaimana kelompok orang Mukmin di zaman Rasulullah s.a.w yang ramai telah melahirkan kebenaran ini lalu membawa revolusi dalam diri mereka? Adakah kita juga telah berusaha melahirkan ketakwaan dalam hati kita sebagaimana yang kita boleh baca dan dengar dalam sirah para sahabat Rasulullah s.a.w? Hazrat Maseeh Mau’ud a.s telah dapat membawa revolusi ini dalam diri para sahabat beliau semasa hidupnya, dan hal ini saya selalu perdengarkan apabila merujuk kepada kisah sahabat-sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s.

Fiqrah yang Hazrat Maseeh Mau’ud a.s tulis iaitu “aku diutus sehingga zaman kebenaran dan keimanan kembali muncul dan ketakwaan lahir dalam hati”, kemudian dengan meninggalkan beberapa baris, beliau bersabda “jadi inilah pekerjaan-pekerjaan yang menjadi dasar kewujudanku”. (Kitabul Birriyah, Rohani Khazain Jilid 13, halaman 293, nota kaki)

Inilah dasar kewujudan beliau. Jadi, apabila beliau menyatakan di satu tempat kepada pengikutnya bahawa “jadilah dahan yang subur pada pokok kewujudanku”. (Fatah Islam, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 34). Inilah pekerjaan yang beliau nyatakan, hanya orang yang melakukan tugas ini sahaja yang boleh menjadi dahan yang subur atas kewujudan beliau kerana ini adalah asas sebenar tujuan kewujudan beliau. Tidak mungkin akan terjadi di mana sepohon pokok yang rendang berbuah manis, ada di antara dahannya yang beracun atau ada dahan yang kering yang selamanya boleh berpaut pada pokok tersebut. Pemilik pokok tersebut pasti tidak akan membiarkan dahan yang kering berpaut pada pokok peliharaannya, pasti dia akan memotongnya.

Jadi, ini satu hal yang sangat dikhuatiri terjadi. Kita hendaklah meletakkan setiap waktu di dalam hati bahawa apa sebenarnya kewajipan kita selepas memberikan pernyataan bai’at. Setiap kali saya mendengar atau membaca surat yang mengandungi luahan orang-orang yang baru bai’at, jelas menggambarkan peningkatan iman mereka. Tetapi, ada beberapa orang yang datuk dan bapa mereka adalah Ahmadi, apabila cara hidup mereka diperhatikan, kelihatan banyak kelemahan yang berlaku, hal ini sangat menyedihkan. Mereka tidak berusaha mengamalkan apa yang seharusnya seorang Muslim amalkan, seperti yang dinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Beberapa orang keturunan Ahmadi, mereka menjadi punca kemalasan kepada orang lain. Jadi, setiap dari kita hendaklah menilai kembali kedudukan diri kita sendiri. Ukur selalu hati masing-masing dan tanya diri, tidakkah kita telah begitu tenggelam dalam kelalaian sehingga jangan sampai terjadi, jangan sampai terjadi kita telah menutup jalan untuk kembali pulang? Atau tidakkah kita ini hanya nama sahaja sebagai Ahmadi? Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dalam ucapan beliau, dalam tulisan beliau di berbagai tempat menegaskan tentang perkara ini bahawa ruh Ahmadi yang hakiki hanya akan terjadi apabila kita selalu mengukur kedudukan kita, jangan sampai ada pertentangan di antara qoul dan fi’il kita, jangan sampai ada pertentangan di antara ucapan dan perbuatan kita. Kita juga harus melihat bahawa ada perbezaan jelas di antara kita dengan orang lain.

Di satu tempat beliau berkata “saya sudah berkali-kali dan telah beberapa kali menyatakan bahawa dalam nama yang zahir, jemaat kita dengan Muslim yang lain adalah sama. Kamu adalah Muslim dan mereka juga dikatakan Muslim. Kamu mengucapkan kalimah mereka juga mengucapkan kalimah. Kamu mengatakan ikut kepada Al-Qur’an, mereka juga mengatakan ikut kepada Al-Qur’an. Ringkasnya, dari segi pernyataan, kamu dan mereka adalah sama. Tetapi, Tuhan tidak gembira hanya dengan pernyataan sahaja jika belum terbukti hakikatnya dan dalam bukti pendakwaan, belum ada sebarang bukti amalan dan perubahan keadaan yang terjadi”. (Maksudnya, dalam bukti pendakwaan harus ada perubahan dalam amalan dan kemudian barulah dalilnya. Ini juga kelihatan bahawa perubahan amalan yang berlaku, ia menjadi dalil baginya). Kemudian berkata lagi “sebab itu banyak kali saya ditimpa kesusahan dengan kesedihan ini”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 604, Edisi Baru)

Sekali lagi, “Tuhan tidak gembira hanya dengan pernyataan sahaja jika belum terbukti hakikatnya dan dalam bukti pendakwaan, belum ada sebarang bukti amalan dan perubahan keadaan yang terjadi, sebab itu banyak kali saya ditimpa kesusahan dengan kesedihan ini”.

Jadi, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s meminta bukti amalan daripada kita. Sebab itu, jika kita menilai keadaan kita, maka kita akan dapat membuat muhasabah dengan baik. Kadang-kadang insan akan terasa apabila ditegur oleh orang lain dan kemungkinan boleh timbul perkara lain. Tetapi, untuk mengukur diri sendiri hal ini harus diambil perhatian, menanamkan dalam fikiran bahawa Allah Ta’ala sentiasa melihat aku setiap saat dan saya telah mengikat satu janji yang wajib saya tunaikan. Jika ini ada, maka insan akan dapat melakukan muhasabah dengan sebaik-baiknya.

Seorang Ahmadi, walau bagaimanapun lemahnya, dia tetap mempunyai kebaikan, dan bila timbul kesedaran, pasti akan mula melakukan kebaikan demi kebaikan. Jadi, setiap orang hendaklah berusaha menghidupkan amalan bagi memperolehi kemuliaan ini. Mereka hendaklah berusaha untuk menyegarkan amalan ini. Mereka hendaklah berusaha untuk menyelami kesedihan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, dan apabila sudah ada kesedaran, pasti dan pasti akan berubah menjadi dahan yang subur menghijau.

Ada beberapa surat yang saya terima, mengharapkan supaya apa yang diinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dapat diterapkan dalam diri mereka. Jadi, sesiapa sahaja yang berusaha ke arah ini, Tuhan akan menolong mereka. Kemudian, Allah Ta’ala yang lebih mendalam cinta kepada hamba-Nya melebihi kecintaan seorang ibu kepada anaknya, Dia akan mendatangi hamba-Nya dengan berlari sehingga terjadi perubahan besar dalam diri hamba-Nya itu. Jadi, jika kita tidak mengambil faedah daripada peluang keemasan yang diberikan oleh Allah kepada kita untuk meluruskan dunia dan akhirat kita, maka itu adalah nasib malang kita sendiri.

Kesedihan yang diluahkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s kepada kita adalah ketika para sahabat beliau banyak yang melakukan perubahan yang agung, dan kita telah mendengar kisah-kisah para sahabat beliau. Namun, beliau tetap sahaja menzahirkan kesedihan. Kita juga telah melihat ketakwaan yang dimiliki oleh para sahabat beliau, namun tetap sahaja beliau zahirkan kesedihan apabila melihat suatu keadaan pada masa itu. Cuba bayangkan bagaimana penzahiran kesedihan beliau apabila melihat kelemahan yang kita lakukan pada hari ini? Seolah-olah walaupun beliau tidak bersama kita pada hari ini, tetapi keadaan kita pada hari ini, Allah Ta’ala boleh sahaja zahirkan kepada beliau, bagaimana keadaan keturunan sahabat-sahabat beliau? Orang yang hidup pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, mereka menyelamatkan diri dari persekitaran yang kotor lalu meninggalkan dunia mereka dan bergabung dengan Maseeh Allah dengan menjanjikan akan sentiasa mengutamakan agama di atas dunia, tetapi sayang sekali kerana ada di antara anak keturunan mereka yang sudah menunjukkan kelemahan, dan ada juga yang langsung tidak lagi memikirkan tentang keadaan nenek moyang mereka. Jadi, jika hendak membetulkan diri kita, maka kita hendaklah merenungkan orang-orang mulia kita yang dahulu, hanya dengan cara itulah kita dapat menyempurnakan hak bai’at yang telah kita lakukan.

Beberapa hari yang lepas, saya diceritakan oleh anak Abdul Mughni Khan Sahib mengenai orang mulia ini bahawa dia telah mengambil BSC Chemistry di University Aligarh. Pada zaman itu anak muda Muslim kurang mengambil berat mengenai bidang Sains. Oleh sebab itu, Vice Chancellor mengatakan “kamu telah mengambil bidang ini dengan baik dan telah berhasil. Kami menawarkan kepadamu pekerjaan di universiti, kamu juga boleh meneruskan pembelajaran”. Ayah beliau juga direkomen oleh seorang dari Inggeris (kerana pada waktu itu India masih dijajah Inggeris) dan menawarkan suatu pekerjaan yang baik. Kemudian, beliau juga mendapat cadangan agar ikut peperiksaan Indian Civil Service. Khan Sahib waktu itu datang ke Qadian, zaman itu adalah zaman Khalifah Tsani r.a. Beliau menjelaskan segala perkara yang dilaluinya, bersama-sama dengan itu juga beliau berkata: “Huzur! Saya tidak mahu tenggelam dalam keduniaan, saya hendak tinggal di Qadian, dan jika ada pekerjaan menyapu di lorong-lorong Qadian pun, saya akan pilih menyapu berbanding dengan semua pekerjaan yang  ditawarkan ini”. Inilah sahabat yang telah mendapat kurnia daripada Allah. Akhirnya beliau dilantik sebagai guru Sains di sekolah, kemudian dilantik sebagai Nazir Baitul Mal. Apapun, orang-orang mulia yang dahulu terutama sekali sahabat-sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s yang berlumba-lumba dalam kebaikan, namun dengan melihat kelemahan beberapa orang, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s menzahirkan bahawa “hati saya dilanda kesusahan”.

Jadi, kita amat perlu untuk melihat keadaan diri kita. Jika kita melihat bahawa kita ini anak keturunan siapa, orang-orang tua kita yang telah menerima Ahmadiyah, mereka telah membuat perubahan suci. Jika kita renungkan perkara ini dan berjanji tidak akan memutuskan nama orang tua kita, maka cara seperti ini akan dapat meningkatkan nilai ketakwaan kita. Kita akan cenderung untuk melakukan kebaikan demi kebaikan. Dan tanda kaum yang hidup adalah kemuliaan orang-orang dahulu itu tidak mati, malah tetap terpelihara, dan juga berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan bagaimana untuk meninggikannya. Dan apabila mereka melihat kemuliaan orang-orang tua mereka, timbul keinginan untuk berusaha menjadi lebih baik lagi sehingga kebaikan itu berada pada tingkatan yang tinggi. Jadi, apabila kita mendakwakan diri  telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, maka kita juga hendaklah berusaha untuk membuat perubahan suci dalam diri dan mencipta satu revolusi dalam dunia. Untuk mencapainya, maka kita hendaklah sentiasa menilai diri kita secara berterusan. Kita juga hendaklah nilai keadaan isteri dan anak-anak kita. Hazrat Maseeh Mau’ud a.s menulis bahawa isteri sangat mengetahui rahsia keadaan serta qoul dan fi’il suaminya. Jika lelaki betul, maka wanitanya juga betul, jika tidak maka isteri akan memperlihatkan cermin bahawa “kenapa hendak berusaha memperbaiki aku, buatlah dahulu perubahan dalam diri kamu sendiri”. Jadi, untuk memperbaiki isteri, suami hendaklah berusaha memperbaiki dirinya sendiri. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa jika isteri dapat diperbaiki, maka ia akan memberi jaminan bahawa anak keturunan akan dapat diperbaiki. Jadi, untuk memastikan keturunan akan datang dapat dipelihara, maka suami hendaklah berusaha membuat perubahan suci dalam diri. Kemudian, jika lelaki dan wanita dapat dijadikan contoh dalam membuat perubahan, maka anak-anak juga akan dapat diberi kefahaman bahawa “tujuan kita yang sebenar bukanlah tenggelam dalam keduniaan, tetapi mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala”.

Di sini saya juga hendak menjelaskan satu perkara bahawa jangan sampai timbul di fikiran sesiapa bahawa na’uzubillah sahabat-sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s mempunyai banyak kelemahan sehingga beliau mengeluarkan ucapan tersebut atau jumlah mereka sangat terhad. Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelumnya bahawa mungkin ada seorang dua yang lemah seperti itu kerana tidak menyempurnakan kehendak Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, tetapi beliau tidak mahu melihat ada suatu kelemahan wujud dalam diri setiap orang. Dalam majlis di mana beliau menyatakan kesedihannya selepas melihat keadaan beberapa orang, di situ juga beliau turut mengatakan bahawa: “kita melihat bahawa jemaat ini telah maju dalam keikhlasana dan kecintaan. Kadang-kadang dengan melihat keikhlasan, kecintaan dan semangat keimanan anggota jemaat, kita sendiri menjadi hairan”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 605, Edisi Baru)

Jadi, orang yang memperlihatkan semangat keimanan juga ramai, malah kita seharusnya menyatakan semunya setanding dengan kita. Tetapi, nabi mahu melihat tingkatan yang tinggi dalam jemaatnya dan zaman yang sedang kita lalui sekarang ini juga adalah zaman Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Banyak khabar ghaib Allah Ta’ala yang akan terus sempurna, banyak janji yang diberikan oleh Allah atas beliau akan menjadi sempurna. Jadi, jika kita mahu melihat janji-janji itu sempurna dalam kehidupan kita, maka kita haruslah memperhatikan siddiq, iman dan takwa dalam diri kita. Jika kita menginginkan daripada Allah Ta’ala supaya kemajuan jemaat ini diperlihatkan, maka kita juga hendaklah berusaha untuk mencapai redha Ilahi.

Saya juga hendak beritahu bahawa pada zaman ini, dengan kurnia Allah Ta’ala ramai orang yang semakin meningkat maju dalam keikhlasan dan kesetiaan, mereka juga sedang meniupkan ruh ini dalam generasi seterusnya. Saya pernah menzahirkan kerisauan tentang Ahmadi di Pakistan bahawa selepas peristiwa di Lahore, khuddam atau mungkin juga saf kedua anshar yang bertugas di bangunan-bangunan atau masjid-masjid, berkenaan dengan beberapa orang di antara mereka diberitahu bahawa disebabkan bertugas dengan begitu lama, maka timbul perasaan penat atau tidak lagi berminat, sebab itu hal ini perlu difikirkan dan mencari jalan keluarnya. Apabila Sadar Khuddamul Ahmadiyah Pakistan menyampaikan hal ini kepada khuddam-khuddamnya, maka saya menerima banyak surat-surat dari khuddam Pakistan yang penuh dengan keikhlasan dan kesetiaan, mereka menyatakan: “kami akan melaksanakan tugas kami dalam siri yang baru, kami tidak pernah penat sebelumnya dan insyaAllah, pada masa akan datang juga kami tidak akan lahirkan sebarang keluhan kepenatan serta tidak akan menganggap tugas jemaat sebagai satu bebanan. Tuan jangan risau”. Kemudian, beberapa surat dari wanita di sana juga saya terima yang menyatakan bahawa saudara lelaki kami, suami kami atau anak lelaki kami yang balik dari bekerja, mereka terus menuju ke tempat yang ditugaskan oleh jemaat dan kami dengan rela hati melepaskan mereka, dan dengan kurnia Allah kami langsung tidak ada perasaan takut untuk ditinggalkan. Jadi, keikhlasan dan kesetiaan seperti yang dinyatakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s ini adalah hasil daripada semangat keimanan mereka. Dalam hal ini juga hendaklah diingat bahawa dalam sebarang tugas yang diserahkan oleh jemaat, jangan pernah lupa kewajipan terhadap Tuhan. Dirikan solat mengikut waktunya dan banyak mengingati Allah, serta basahkan bibir sentiasa dengan doa-doa semasa dalam tugas. Zat yang paling Kuat bagi kita ialah Allah Ta’ala. Pertolongan yang kita dapat datangnya daripada Allah. Usaha kita ini sangat kecil dibandingkan dengan perintah-Nya. Sebenarnya, apa yang sedang kita lakukan, Tuhan juga melakukannya. Jadi, jika sudah rapat dengan Tuhan, maka Tuhan sendiri yang akan menghadapi musuh, Dia akan menghalang tangan para musuh. Jadi, jangan pernah malas dalam berdoa, dan pengaruh ibadat-ibadat dan doa-doa serta zikir Ilahi hendaklah kelihatan, barulah dapat mencapai tingkatan seperti yang Hazrat Maseeh Mau’ud a.s maksudkan.

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata di suatu tempat: “Allah Ta’ala berfirman INNAL LAAHA MA’AL LAZIINAT TAQAU WAL LAZIINA HUM MUHSINUUN (An-Nahal:129) orang yang takwa, suci dan bersih akan berada dalam pertolongan Tuhan dan mereka setiap waktu akan merasa takut untuk melanggar perintah”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 606, Edisi Baru)

Jadi, setiap masa mereka sentiasa bertakwa dan takut kepada Allah yang memelihara hamba-hamba dan juga menjaga mereka dari ketakutan duniawi. Jadi, jika seorang Ahmadi hendak merasa takut, maka takutlah kepada Allah, “jangan-jangan Tuhan murka dengan saya”.

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata di suatu tempat: “Tuhan berkata kepadaku agar aku memberitahu anggota jemaatku bahawa orang yang beriman dengan keimanan yang tidak ada campuran duniawi, keimanan yang tidak dikotori oleh munafik atau kepura-puraan, dan juga keimanan yang tidak kurang dari sebarang tingkat itaat, mereka itu adalah orang-orang yang dikasihi Tuhan. Dan Tuhan berfirman bahawa langkah-langkah mereka itu adalah langkah-langkah orang siddiq”. (Risalah Al-Wasiyat Rohani Khazain Jilid 20 halaman 309)

Jadi, inilah ukuran iman yang hendak dilihat oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi taufik kepada kita semua agar dapat melahirkan nilai keimanan seperti itu dalam diri kita masing-masing.

Di sini juga ada disentuh mengenai itaat. Jadi, saya hendak menjelaskan sedikit dengan merujuk kepada perkara ini. Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata bahawa jangan sampai terhindar dari mana-mana nilai itaat. Itaat ada berbagai darjat atau berbagai bentuk yang harus kita lihat. Ada keitaatan kepada Nizam Jemaat, ada itaat mengamalkan perintah-perintah Allah, begitu juga dalam berbagai lapangan yang insan lalui, semua kuncinya adalah itaat jika hendak menjadi hamba Allah yang patuh.

Sebagai contoh tingkat itaat, satu daripada tangganya kita dapat lihat dalam sejarah Jemaat Ahmadiyah pada diri Hazrat Khalifatul Maseeh Awal, apabila ada telegram daripada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s iaitu “datang segera”, waktu itu beliau duduk dalam kliniknya, dengan segera beliau bangkit dan terus bertolak, panggilan itu bukan dari bandar tempat beliau bertugas, tetapi waktu itu Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berada di Delhi dan beliau di Qadian. Beliau hanya memberikan pesan kepada orang di rumahnya bahawa beliau hendak bertolak. Beliau tidak memikirkan bekalan, perbelanjaan, pakaian dan sebagainya. Beliau terus ke stesen, bas lambat datang, beliau berjumpa dengan seseorang yang sakit, orang kaya dan meminta supaya beliau memeriksa penyakitnya. Oleh kerana bas lambat, maka beliau memeriksa pesakit itu dan mendapat bayaran yang digunakan sebagai perbelanjaan perjalanan. Demikianlah Allah Ta’ala sentiasa mengatur perjalanan hamba-hamba-Nya sehinggalah beliau hadir di hadapan tuannya. Apabila tiba di sana, sebenarnya Hazrat Maseeh Mau’ud a.s tidak bermaksud agar beliau datang sebegitu cepat, tetapi penulis telah menulis perkataan “datang segera”, namun beliau tidak menunjukkan sebarang komen, dia berkata “saya cuma datang begitu sahaja kerana rasa terganggu”. Beliau duduk di sana dalam keadaan senang. (Dipetik daripada Hayate Noor halaman 285)

Inilah nilai itaat yang tinggi, setiap fikiran dan kerisauan tidak ada nilai di hadapan perintah. Kemudian, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Allah Ta’ala juga akan memberikan sarana, dan inilah penzahiran bahawa Allah Ta’ala suka kepada hamba-hamba-Nya. Ini menjadi contoh yang baik untuk kita.

Kemudian ada Nizam Jemaat. Itaat harus ditanamkan dari sekecil-kecil jawatan sehinggalah Khalifah Waqt. Dan ini akan berlanjutan sehinggalah ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sebagaimana yang Rasulullah s.a.w sabdakan bahawa sesiapa yang telah taat kepada amirku, sesungguhnya dia taat kepadaku, sesiapa yang taat kepadaku, maka dia juga telah taat kepada Allah. (Masnad Ahmad bin Hambal, Jilid 3, halaman 49, Masnad Abu Hurairah hadis nombor 7330, Alamul Kutub Beirut 1998)

Jadi, ketaatan kepada Nizam Jemaat sebenarnya bermula dari ketaatan kepada jawatan yang paling rendah. Mana-mana jemaat pun kalau melihat kepada segi duniawi, mereka juga mempunyai sistem yang tersendiri, dan ketaatan di dalamnya adalah perlu bagi melihat keberlangsungan jemaat tersebut. Mereka juga mempunyai undang-undang yang harus dipatuhi. Oleh kerana pemerintah mempunyai kuasa, sebab itu mereka dapat melaksanakan undang-undang mereka berdasarkan kekuatan.

Tetapi, dalam nizam rohani, asas itaatnya ialah keikhlasan, kesetiaan dan keredhaan Ilahi. Sebab itu Allah Ta’ala memberitahu kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s bahawa ketaatan dalam setiap darjah menjadi kesukaan-Ku. Jadi, ketaatan kepada Nizam Jemaat dari yang paling rendah sehingga pucuk pimpinan tertinggi, semuanya dilakukan kerana mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Khilafat yang telah dijanjikan oleh Allah dalam Jemaat Ahmadiyah dan di dalam Al-Qur’an janji Allah untuk mendirikan khilafat kepada orang-orang Mukmin, contohnya hanya ada dalam Jemaat Ahmadiyah. Tetapi, sebelum ayat istikhlaf ini di mana Allah menjanjikan Khilafat, Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa WA AQSAMUU BILLAAHI JAHDA AIMAANIHIM LA IN AMARTAHUM LAYAKHRUJUUN. QUL LAATUQSIMUU THOO’ATUM MA’RUUFATUN. INNAL LAAHA KHOOBIIRUM BIMAA TA’MALUUN (An-Nuur:54) Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sekuat-kuat sumpah mereka, bahawa jika engkau perintahkan kepada mereka, nescaya mereka akan keluar segera. Katakanlah, “janganlah bersumpah; apa yang dituntut dari kamu adalah taat kepada yang benar. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Jadi, di sini Allah Ta’ala menyeru kepada ketaatan seorang Mukmin tentang bagaimana seorang Mukmin harus itaat iaitu apabila mendengar, mereka akan itaat dengan mengatakan SAMI’NAA WA ATHO’NAA. Kami dengar dan kami taat. Tidak kira sama ada hal itu berpihak kepada kami atau tidak, kewajipan kami hanyalah itaat. Inilah tingkat ketaatan yang tinggi, yang seharusnya seorang Mukmin lakukan. Dan Allah menyatakan bahawa jika kamu seorang Mukmin, kamu tidak perlu membuat berbagai-bagai sumpah. Cukuplah dengan itaat sesuai dengan keadaan. Kita juga selalu berjanji ketika berdiri melafazkan ikrar bahawa segala perintah yang ma’ruf kami akan mentaatinya. Allah Ta’ala berfirman bahawa seorang Mukmin yang hakiki tidak hanya pandai menyatakan sumpah tetapi mereka akan menunjukkan ketaatan dalam setiap keadaan.

Di sini saya hendak jelaskan tentang satu perkara. Saya juga sudah menjelaskan hal ini sebelumnya bahawa itaat dalam hal yang ma’ruf dan keputusan yang ma’ruf, maka dari pihak Jemaat Ahmadiyah, tidak ada perkara yang bertentangan dengan kehendak Ilahi. Dan keputusan yang ma’ruf bermaksud semua perkara yang diputuskan sesuai dengan syariat hendaklah dipatuhi. Jika setiap Ahmadi yakin atas hal ini bahawa silsilah khilafat ini adalah Khilafat Ala Minhaajin Nubuwwah, maka mereka juga harus menerima hakikat bahawa tidak ada suatu perintah pun yang akan bertentangan dengan syariat. Demikian juga dengan Nizam Jemaat. Jika dia berada di bawah Nizam Khilafat, mereka tidak akan mendapat perintah yang bertentangan dengan syariat. Dan jika memang dia diberi perintah atau dengan suatu kesilapan dia mendapat perintah, maka apabila hal itu sampai kepada Khalifah Waqt, ia akan dibetulkan. Jadi, apabila Ahmadi berdoa untuk keberadaan khilafat, maka doakan juga untuk diri sendiri agar menjadi orang yang taat supaya Allah Ta’ala suka kepadanya dan terus kekal berhubungan dengan Khilafat. Orang yang telah berada di atas petunjuk, maka Tuhan tidak akan membiarkannya ketinggalan.

Kadang-kadang, beberapa orang tidak mengikut Nizam Jemaat disebabkan kepentingan peribadi, dan mereka juga ketinggalan dalam nikmat yang telah dijanjikan oleh Allah 1400 tahun dahulu. Misalnya, disebabkan terpaksa oleh undang-undang, jika Nizam Qada yang merupakan satu nizam dalam jemaat, iaitu nizam yang ketiga dan apabila dia diminta untuk mengajukan kesnya, dan di dalamnya ada pernyataan dalam bentuk yang baru iaitu “saya bersedia untuk patuh kepada keputusan daripada Qada dan tidak akan menunjukkan sebarang bantahan, dan dengan senang hati saya membawa masalah saya ke sini”, ada beberapa orang yang dengan buruk sangkanya mereka terus mengingkarinya dengan menyatakan bahawa keputusan itu tidak akan memihak kepada kami, sebab itu kami tidak minta penyelesaian daripadanya. Jadi, orang-orang seperti ini sejak awal lagi sudah memasang niat yang tidak baik. Mereka hendak menjadikan suatu masalah itu tergantung begitu lama. Kemudian, apabila tidak selesai, mereka akan membawa ke mahkamah dunia. Jadi, mereka ini ingkar lalu pergi kepada pengadilan duniawi, tetapi apabila mahkamah dunia juga tidak memihak kepada mereka, akhirnya mereka berusaha membawa hal itu kepada Qada. Tetapi, jemaat tidak akan mengambil kes dari orang seperti itu kerana mereka sejak mula lagi telah meninggalkan ketaatan. Mereka tidak yakin dengan Nizam Jemaat. Dan jelas bahawa Allah Ta’ala mengatakan mereka itu di luar ketaatan dan bukan kesayangan Aku. Apabila menjadi orang yang dibenci oleh Tuhan, walaupun secara zahir dia adalah anggota jemaat, namun mereka sebenarnya tidak mendapat kurnia seperti yang diterima oleh anggota yang disukai oleh Allah. Jadi, walaupun perkara kecil, tetapi sekiranya berburuk sangka dan angkuh, maka ia akan menyebabkan jauh daripada kurnia Allah. Setiap Ahmadi hendaklah berusaha untuk menjadi orang yang dikasihi Tuhan kerana di dalamnya ada kehidupan anak keturunan kita.

Seiring dengan itu saya juga menyatakan hal ini kepada penjawat dalam jemaat, mereka itu hanya akan dapat dikatakan sebagai wakil daripada khalifah sekiranya mereka melaksanakan tugas dengan penuh keadilan dan ada rasa takut kepada Tuhan. Sekiranya ada orang yang dirugikan disebabkan kesilapan yang disengajakan oleh seorang pemegang jawatan dalam jemaat, maka penjawat itu juga akan berdosa kerana tidak menyempurnakan amanat yang diberikan atas mereka. Jadi, setiap Ahmadi walau dalam apa kedudukan sekalipun, hendaklah selalu ingat bahawa “untuk mendirikan janji bai’at dan untuk mendirikan keimanan, saya akan terus menzahirkan kebenaran dan ketakwaan dalam setiap keadaan supaya saya layak menjadi orang yang menyempurnakan tujuan kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s”.

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata: “Saya tidak gembira dengan jumlah anggota yang ramai. Jemaat yang hakiki tidaklah bermakna hanya meletakkan tangan di atas tangan untuk mengambil bai’at, tetapi jemaat itu hanya layak dikatakan sebagai jemaat yang hakiki apabila benar-benar mengamalkan hakikat bai’at. Secara benar, ada satu perubahan yang suci dalam diri mereka dan kehidupan mereka benar-benar bersih dari sebarang dosa dan kotoran. Mereka keluar dari penjara nafsu dan perangkap syaitan lalu tenggelam dalam keredhaan Tuhan. Mereka menyempurnakan haqqullah dan haqqul ibad dengan hati yang lapang. Dalam hati mereka lahir semangat yang kental untuk agama dan penyebaran agama. Keinginan-keinginan dan kehendak mereka diketepikan lalu menjadi kepunyaan Tuhan. Orang yang Muttaki adalah mereka yang takut kepada Tuhan lalu meninggalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan kemahuan Ilahi. Mereka juga menganggap bahawa segala nafsu dan keinginan sendiri serta segala yang ada di dunia ini tidak ada nilainya dibandingkan dengan Allah Ta’ala”. (Malfoozaat Jilid 5 halaman 454-455, edisi baru)

Semoga Allah Ta’ala memberikan kita semua taufik untuk menjalankan kehidupan sesuai dengan kehendak Hazrat Maseeh Mau’ud a.s.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
18.06.2011

No comments:

Post a Comment