Sunday, February 27, 2011

Tahun Yang Berberkat



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
31 DISEMBER 2010 / 31 FATAH 1389HS
25 Muharram 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Tasyahud, Taawudz dan Surah Al-Fatihah

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun ini, yakni menurut hisab Kalendar Gregorian yang merupakan rujukan seluruh dunia sekarang, hari ini adalah hari terakhir. Walaupun demikian, sepuluh hari terakhir bulan pertama dalam Islam sedang bermula, tetapi oleh kerana pada waktu ini kalendar yang digunapakai oleh orang Muslim dan bukan Muslim, sebab itu mereka akan saling mengucapkan mubarak atas kedatangan tahun baru ini. Biasanya ucapan perpisahan adalah kurang, tetapi dalam menyambut tahun baru, setiap kaum dan negara begitu asyik mengadakan pelbagai acara sambutan.

Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun 2010. Setiap tahun, hari terakhir itu akan datang dan tidak berapa diperhatikan, tetapi hari terakhir tahun ini amat mubarak kerana tahun 2010 ini bermula dan berakhir pada hari Jumaat. Orang lain juga boleh sahaja berkata bahawa hari ini adalah hari yang berberkat.

Beberapa tukang fitnah, beberapa penentang-penentang juga cuba membakar semangat atau emosi anggota jemaat: “Memang tahun ini baik untuk kamu di mana hampir ratusan anggota jemaat Ahmadiyah telah terkorban dan ratusan rumah menangisi ayah, suami dan anak-anak mereka yang telah terkorban”. Jika beberapa orang ghair Ahmadi telah menzahirkan belas kasihan mereka, namun ada juga orang yang zalim dan ramai yang berhati keras telah menggunakan kata-kata kesat apabila merujuk kepada orang-orang syahid. Malah ada yang terus-menerus memberikan cacian dengan mengatakan: “Kami akan terus membuat sesuatu yang lebih teruk daripada itu”.

Orang-orang ini sudah hilang sifat insaniat, orang-orang ini tidak melihat apa yang Allah Ta’ala sedang lakukan atas mereka, dan mereka langsung tidak mengambil manfaat apa-apa dari musibah yang datang. Malah mereka menyakahtafsirkannya. Keadaan mereka telah disebutkan oleh Al-Qur’an iaitu QOSAT QULUUBUHUM (Al-An’am:44), hati mereka menjadi keras melihat hal itu lalu maju dalam sifat kesyaitanan. (Al-An’am:44), dan syaitan menampakkan indah kepada mereka apa yang dikerjakan mereka. Orang-orang ini telah membuktikan lagi perkara ini. Oleh sebab itu, mereka merasa belum puas hati untuk membunuh orang-orang Ahmadi, malah mereka akan membuat perkara yang lain lagi. Syaitan yang telah membuat mereka merasa baik akan perbuatan mereka, hal itu telah dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Qur’an. Orang-orang seperti itu akan melalukan kejahatan lalu Tuhan pun telah mengazab perbuatan mereka.

Sejauh mana yang berhubungan dengan rumah orang-orang syahid kita, mereka semua telah mempersembahkan ketenangan di hadapan Allah Ta’ala. Saya telah menghantar beberapa wakil dari pelbagai negara untuk bertemu dengan keluarga-keluarga orang-orang syahid itu. Apabila rombongan ini datang berjumpa ke setiap rumah keluarga Ahmadi yang telah syahid, keimanan mereka meningkat. Beberapa hari yang lepas, beberapa rombongan dari Afrika telah dihantar, di antaranya ada rombongan dari Ghana yang terdiri daripada Amir & Missionary Incharge Ghana iaitu Wahab Adam Sahib, kemudian Tahir Homond Sahib, seorang Ahmadi yang berasal dari Ghana, beliau adalah Ahli Parlimen Ghana.

Mereka berjumpa saya ketika dalam perjalanan balik. Mereka menceritakan bahawa: “Bertemu dengan kerabat, ibu bapa, isteri dan anak-anak orang syahid itu telah meningkatkan lagi keimanan kami. Pemandangan yang kami lihat di sana tidak terlintas di hati kami. Kami cuba memberi ketenangan kepada mereka, maka mereka menzahirkan kekuatan iman dengan memberi ketenangan kepada kami. Di mata kami bergenang air mata, mereka pula mengatakan bahawa orang yang pergi dahulu telah meninggalkan penghormatan kepada kami”.

Seorang pelajar Ahmadi yang baru sahaja menuntut di UK berjumpa dengan saya kemarin. Dia berkata: “Hari ini saya hendak menceritakan satu kisah keberanian ibu saya”. Anak ini telah terkena tembakan dua butir peluru di dalam masjid. Dalam kecederaan itu dia menelefon ibunya dan memberitahu keadaannya bahawa dia sedang berlumuran darah. Dia memberitahu bahawa ibunya berpesan: “Anakku! Saya telah serahkan engkau kepada Tuhan, jika takdir atasmu adalah syahid, persembahkanlah di hadapan Tuhan, jangan perlihatkan kedegilan”.

Apapun, Allah Ta’ala telah menyelamatkan anak ini, peluru telah dapat dikeluarkan melalui pembedahan. Jadi, mana-mana kaum yang mempunyai ibu seperti itu yang bersedia atas kesyahidan anak-anaknya, dan juga orang-orang yang ditinggalkan oleh para syuhada yang menenangkan orang-orang yang datang mengucapkan takziah kepada mereka, maka jiwa-jiwa seperti ini tidak akan mengundang kemurkaan Tuhan. Ketenangan hati seperti ini adalah satu kurnia khas daripada Allah. Saya telah jelaskan sebelumnya bahawa apabila saya bercakap dengan mereka ini, maka dari suara mereka menzahirkan keteguhan hati mereka.

Jadi, peningkatan iman ke atas orang-orang yang datang untuk mengucapkan takziah, kesediaan seorang ibu atas kesyahidan anaknya dan penzahiran emosi yang begitu tenang dan teguh, adakah ini bukan kurnia daripada Allah Ta’ala? Kita inilah yang tidak akan meninggalkan Tuhan hanya kerana takutkan musuh. Kita bukanlah orang yang tidak setia kepada Tuhan yang dicintai. Dengan mengucapkan INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN, kita berusaha untuk mendapatkan kecintaan Tuhan agar kita termasuk dalam golongan yang diredhai Allah. Juga agar dimasukkan oleh Allah dalam kelompok mereka yang akan diberikan nikmat syurga. Banyak surat-surat yang saya terima yang meyakinkan saya bahawa mereka juga seperti yang dimaksudkan dalam ayat WAMINHUM MAIYANTAZIR (Al-Ahzab:24) Dan di antara mereka ada yang masih menunggu, yakni jika mereka ditakdirkan oleh Allah untuk memberikan pengorbanan, insyaAllah mereka akan bersiap sedia untuk itu.

Allah Ta’ala telah menyediakan sarana untuk memperkenalkan keindahan amanat Ahmadiyah tahun ini di negara-negara kaya dan negara-negara miskin di dunia. Ini adalah gambaran kurnia dan berkat Tuhan yang tidak terkira. Pada tahun ini, kita telah bersabar atas pengorbanan orang-orang yang telah syahid dan berpeluang mempersembahkan ajaran Islam yang cantik, pengenalan mengenai Jemaat tidak berlaku seperti ini sebelumnya. Pelbagai sarana, perlbagai media, tidak kira di Eropah, Amerika, Afrika, Asia, semuanya menggunakan pelbagai sarana. Dalam mana-mana kaum, mereka hanya dapat mencapai kejayaan sekiranya sanggup melakukan pengorbanan. Pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang-orang syahid di Pakistan dalam tahun 2010 ini tidak akan menjadi sia-sia. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa amanat Ahmadiyah dan ajaran Islam yang cintakan keamanan telah tersebar ke seluruh dunia disebabkan pengorbanan para syuhada ini. Sesungguhnya ini adalah antara contoh bahawa pengorbanan orang-orang ini telah diterima oleh Allah, dan insyaAllah ia akan terus berkembang.

Jadi, sebagaimana Allah Ta’ala telah memasukkan orang-orang kita yang berkorban dalam kelompok orang-orang yang diterima pengorbanan mereka, dan berkenaan dengan itu Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an (Ali Imran:170) Dan janganlah kamu mengira tentang orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka, mereka diberi rezeki.

Mereka itu dengan kurnia Allah Ta’ala mendapat rezeki yang kekal dari Allah di mana setiap saat darjat mereka ditinggikan. Dengan lafaz AMWAAT dalam ayat ini, ia juga bermaksud bahawa darah mereka tidak akan sia-sia, demikian juga orang-orang yang mereka tinggalkan, mereka juga tidak akan sia-sia jika mengikuti jejak langkah orang-orang yang telah berkorban itu. Jadi, kita harus berdoa bahawa kita perlu menghidupkan kebaikan-kebaikan mereka yang telah berkorban dengan meningkatkan kebaikan-kebaikan kita. Kejayaan yang kita dapat disebabkan pengorbanan-pengorbanan mereka, malaikat-malaikat Allah sentiasa memberi khabar kepada mereka, yakni tetap gembira walaupun selepas mengorbankan hidup mereka, bahawa mereka telah mendapat keredhaan Allah dan pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang besar. Gambarannya adalah seperti dalam firman Allah (Ali Imran:171) Mereka gembira dengan apa yang diberikan oleh Allah kepada mereka dari kurnia-Nya, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih di belakang mereka dan belum bergabung dengan mereka, kerana tak ada ketakutan akan datang terhadap mereka, dan tidak pula mereka akan bersedih.

Jadi, pengorbanan para syuhada ini menjadi sarana kepada kemajuan iman kita. Banyak keluarga orang-orang syahid ini menulis surat kepada saya menyatakan bahawa “kami melihat dalam mimpi orang-orang syahid”, ada yang menyatakan “kami bertemu dengan saudara sendiri”, “kami bertemu ayah”, dan ada juga yang mengatakan “kami bertemu dengan anak kami”. Orang-orang syahid itu mengatakan “saya sangat gembira, di sini kami mendapat layanan yang sangat luar biasa yang tidak dapat kamu gambarkan”.

Apabila kita mendengar penzahiran kegembiraan mereka, maka kita yakin bahawa Allah Ta’ala telah memberikan rezeki yang istimewa untuk mereka, sarana kegembiraan sedang mereka rasai. Semua ini meenambahkan keyakinan kita bahawa janji Allah Ta’ala akan memberikan kemenangan kepada orang-orang yang mereka tinggalkan pasti dapat dicapai, insyaAllah. Apabila takdir Allah yang berjalan, maka hasilnya akan muncul sehingga mencapai kejayaan. Walaupun secara zahirnya seorang hamba tidak tahu, tetapi pada akhirnya nanti dia akan tahu bahawa janji Allah Ta’ala itu memang benar. Jadi, bagi memastikan kejayaan daripada Allah itu cepat tercapai, maka hubungan yang erat dengan Tuhan perlu dilaksanakan. Kita bercerita tentang pengorbanan orang-orang yang telah berkorban, menceritakan kebaikan-kebaikan mereka, namun di samping itu kita harus juga mengukur diri kita supaya kita mendapat bahagian dalam kejayaan yang telah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala.

Keberkatan hari Jumaat ini telah saya jelaskan, maka pada tahun ini Allah Ta’ala memberikan satu keistimewaan kepada kita. Berkat tahun ini ialah seperti yang telah saya jelaskan iaitu tahun ini bermula pada hari Jumaat dan berakhir pada hari Jumaat. Dan juga biasanya kita mendapat 52 Jumaat pada tahun-tahun biasa, tetapi dalam tahun ini kita mendapat 53 Jumaat. Tambahan pula di dalam hadis dikatakan bahawa pada hari Jumaat ada satu saat yang mana Allah Ta’ala akan mengabulkan permintaan hamba-Nya pada saat itu. (Dipetik daripada Bukhari Kitabut Talaq Bab Fil Isyaarati Fit Talaqi Wal Umuur, hadis nombor 5294)

Saya sangat mengharapkan dan telah beberapa kali menegaskan hal ini bahawa kita harus berusaha mengikut kemampuan agar melalui hari Jumaat kita ini dengan doa-doa. Anggota jemaat kita yang syahid di Lahore atau beberapa orang yang syahid di mana-mana, sebagai contoh ada seorang yang telah syahid di Murdan, mereka itu telah melalui hari Jumaat mereka dengan doa-doa sehingga terkorban di jalan Allah Ta’ala. Sesungguhnya doa-doa itu telah memberikan sarana rezeki yang terbaik di dalam syurga, kemudian doa-doa ini juga menjadi sumber khabar gembira bagi orang-orang yang masih hidup dan kemajuan jemaat. Hari ini, dalam hari Jumaat yang terakhir ini, kita harus melaluinya dengan doa-doa.

Walaupun hari Jumaat itu hari yang berberkat, namun untuk anak Adam juga ia adalah hari yang menakutkan. Ini kerana dalam hadis ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan di sisi Allah ia amat mulia. Di sisi Allah juga ia lebih baik daripada Hari Raya Aidil Adha dan Aidilfitri. Ia mempunyai lima keistimewaan. Pada hari itu Allah Ta’ala menciptakan Adam, pada hari itu Hazrat Adam diturunkan ke dunia, pada hari itu Hazrat Adam diwafatkan, dalam hari itu juga ada satu saat di mana jika selain daripada benda haram, apa sahaja yang dipohon oleh seorang hamba pasti akan dikabulkan. Dan pada hari itu juga akan berlaku kiamat. Malaikat, langit, bumi, udara, gunung-gunung dan laut takutkan hari itu. (Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqaamatis Sholaata Was Sunnata Fiiha, bab Fil Fazlil Jum’ah, hadis nombor 1084)

Jadi, bagi mendapatkan kurnia pada hari ini, kita perlu menjalani kehidupan untuk mencapai keredhaan Allah Ta’ala. Pada hari ini, dengan sarana ke syurga bagi orang yang beramal soleh ini, syaitan juga memberi khabar tentang amalan buruk yang boleh mengeluarkan mereka dari syurga. Jadi, kita telah beriman kepada Adam zaman ini yakni beriman kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s yang disebut oleh Allah sebagai Adam, di mana Allah Ta’ala telah menjadikan beliau sebagai khalifah dan sultan. Jadi, melalui Adam, syurga akan tercipta di dunia ini bagi orang yang menyediakan sarana syurga akhirat. Apabila melalui beliau akan tercipta bumi dan langit baru, ia bukanlah bumi dan langit fizikal, tetapi melalui pencinta agung Rasulullah s.a.w, akan wujud orang-orang yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam yang hakiki, yang akan sentiasa mendahulukan keredhaan Allah Ta’ala. Akan berusaha membuat bumi dan langit baru di dunia untuk mengukuhkan Nizam Rohani, menegakkan tingkat tertinggi pengorbanan, melakukan amal soleh dan sentiasa meningkatkannya. Mendapatkan keredhaan Allah menjadi keutamaan mereka.

Jadi, jika hendak mengambil berkat daripada janji Allah Ta’ala kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s dan juga hendak mengambil bahagian dalam nikmat kedua-dua alam, maka amatlah perlu untuk melakukan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Juga perlu untuk mengamalkan semua perintah dari sekecil-kecilnya hinggalah perintah-perintah yang besar supaya kita menjadi bahagian dalam kemajuan yang telah dijanjikan oleh Allah, dan juga menjadi bahagian dalam khabar gembira seperti yang telah diperlihatkan oleh orang-orang kita yang telah berkorban.

Jadi, kita tidak seharusnya merasa puas dengan perkara ini bahawa Allah Ta’ala tidak akan mensia-siakan pengorbanan, dan segala janji Allah Ta’ala kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s iaitu Aku akan memberikan kemenangan kepada engkau, dan hal ini akan terjadi, insyaAllah tetapi kita hendaklah mengukur keadaan diri sendiri. Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an bahawa sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka ganjaran yang tidak putus-putusnya. Maknanya, selepas beriman harus ada amal soleh. Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata “aku menyatakan kepada anggota jemaatku bahawa amal soleh itu amat perlu, jika ada sesuatu yang boleh sampai ke sisi Tuhan, ia adalah amal soleh”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 14, cetakan Rabwah)

Jadi, selepas beriman, amal soleh adalah amat perlu. Dan amal soleh itu adalah meletakkan hidup kita sesuai dengan perintah-perintah Allah. Kemudian ganjaran daripada Allah tidak akan pernah berakhir sebagaimana janji-Nya. Allah Ta’ala menjelaskan di dalam Al-Qur’an berkenaan dengan kepentingan amal soleh (Al-Baqarah:26) Dan berilah khabar suka kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya untuk mereka ada kebun-kebun yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Setiap kali diberikan kepada mereka buah-buahan dari kebun itu sebagai rezeki, berkata mereka, “Inilah rezeki yang telah diberikan kepada kami dahulu,” dan akan diberikan kepada mereka yang serupa. Dan, bagi mereka di dalamnya ada jodoh-jodoh yang suci, dan mereka kekal di dalamnya.

Berkenaan dengan hal ini Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata: “Dalam ayat ini iman diiringi dengan amal soleh. Syurga dan sungai-sungai, yakni hasil daripada iman adalah syurga dan hasil daripada amal soleh adalah sungai-sungai. Jadi, sebagaimana sebuah kebun yang tidak ada sungai dan air, ia akan segera musnah dan tidak kekal. Demikian juga iman tanpa amal soleh tidak memberi apa-apa manfaat. Dan di tempat yang lain ada dinyatakan bahawa iman diumpamakan sebagai pohon dan dikatakan bahawa iman yang ke arahnya orang Islam diseru, itu adalah pohon dan amal soleh pula berfungsi mengairi pohon itu. Jadi, jika direnungkan perkara ini maka pengetahuan akan diperolehi daripadanya. Sebagaimana seorang petani perlu untuk menjaga tanamannya, demikian juga untuk tanaman iman secara rohani, ia juga memerlukan penjagaan yang rapi. Dan sebagaimana petani mengairi kebun atau ladangnya, demikian juga kebun rohani iman amat perlu disirami dengan amal soleh. Ingatlah bahawa iman tanpa amal soleh adalah sia-sia umpama kebun yang indah tetapi tidak ada sungai atau kurang mendapat siraman”.

Berkata: “Pokok yang kelihatan subur sekalipun sehingga mengeluarkan buah yang terbaik, apabila pemiliknya sudah lupa untuk menyiramnya, maka kita semua tahu apa yang akan terjadi kepada pokok tersebut. Demikian jugalah berkenaan dengan pohon iman dalam kehidupan rohani. Iman itu umpama pokok dan amal soleh secara rohani berfungsi sebagai sungai yang mengairinya. Kemudian, sebagaimana petani, selain menanam dan mengairinya dia juga harus bekerja keras. Demikian juga halnya apabila hendak mendapatkan buah yang terbaik dalam kurnia dan berkat rohani, Allah Ta’ala juga telah mewajibkan mujahadah di dalamnya”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 648-649, edisi baru, cetakan Rabwah)

Doakan juga pada hari ini, mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi kita taufik untuk menjalani kehidupan seperti yang telah diinginkan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s. Ibadat dan amalan kita seharusnya mengundang keredhaan Allah Ta’ala. Malam ini, untuk membuat sambutan perpisahan dengan tahun ini dan menyambut tahun baru, doakanlah semoga Allah Ta’ala menjauhkan segala kelemahan yang kita miliki. Kelemahan yang telah menyebabkan kita tidak dapat melakukan amal soleh sepanjang tahun ini, doakan agar tahun akan datang tidak lagi menghalang perubahan dalam diri kita. Benih keimanan kita hendaklah sentiasa disirami dengan amal soleh, mudah-mudahan duduk dan bangun kita adalah semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah.   

Dari satu segi kita bergembira atas perkara ini bahawa ada segolongan anggota Jemaat telah membuka jalan-jalan baru dalam pertablighan, tetapi dari satu segi yang lain saya juga menzahirkan rasa sedih saya bahawa ada beberapa surat saya terima dari pihak bukan Ahmadi yang menyatakan orang berkenaan adalah anggota jemaat tuan, dan dia telah bekerjasama dengan saya dalam satu perniagaan, atau telah meminjam wang daripada saya, dan sekarang dia sedang menipu saya. Jadi, orang seperti ini hanya akan memburukkan nama jemaat, dan orang seperti ini di mana dia telah menzahirkan bahawa mereka beriman, namun penzahiran keimanannya itu sama sekali tidak bermanfaat. Orang seperti itu bukan memberikan apa-apa kemajuan kepada jemaat malah mereka termasuk dalam kumpulan orang-orang yang memburukkan nama jemaat.

Kemudian hubungan bermasyarakat. Hubungan sesama Ahmadi hendaklah kukuh, sekiranya hak-hak masing-masing tidak dijaga, maka insan tidak akan mendapat berkat dari tempat itu, doa juga tidak akan bermanfaat. Di dalam amal soleh, banyak hak-hak yang harus dijaga. Jadi, setiap di antara kita hendaklah membuat ukuran dan melihat bahawa sepanjang tahun yang berlalu ini, berapa banyak keburukan yang telah saya tinggalkan? Apa revolusi atau perubahan yang telah dilahirkan oleh orang-orang yang terkorban? Secara peribadi juga, tahun ini membawa berkat kepada kita kerana ia bermula pada hari Jumaat dan berakhir juga pada hari Jumaat. Tetapi, sekiranya kita tenggelam dalam keduniaan dan merampas hak orang lain, berusaha menjatuhkan pekerjaan di antara satu dengan yang lain atas penglibatan suami isteri, menantu dan sebagainya, saling merendah-rendahkan sesama sendiri, dan menggunakan ucapan-ucapan yang tidak patut dalam pertuturan harian. Jika begini cara hidup yang diamalkan, maka bukan setakat berkat kita tidak akan dapat, malah Allah Ta’ala akan murka atas kita. Jadikanlah teladan orang-orang kita yang telah berkorban. Jika cara berfikir kita tidak berubah, kita tidak menyediakan sarana untuk memberi ketenangan kepada orang-orang yang telah berkorban.

Apa yang seharusnya kita lakukan ialah jika para musuh telah mencapai tingkat tertinggi dalam memberikan kesusahan, maka kita harus menghiasi keimanan kita dengan amalan, lalu mempersembahkannya di hadapan Tuhan. Jika api dinyalakan untuk menentang kita, maka kita harus keluar dari api itu laksana emas. Air mata kita keluar untuk menyejukkan api yang merupakan sarana perubahan dalam diri kita. Sekiranya setiap dari kita melalui tahun yang berlalui ini dengan cara seperti yang dijelaskan tadi, maka mereka itu adalah orang-orang yang beruntung kerana telah menyirami keimanan mereka dengan amal soleh. Dan semoga tahun akan datang, segalanya akan lebih baik lagi berbanding yang ada sekarang. Orang-orang yang tidak dapat membuat perubahan sepanjang tahun ini, dalam doa-doa pada malam ini, dalam doa-doa pada hari Jumaat ini, doakanlah agar tahun ini cenderung membuat perubahan suci dalam diri masing-masing. Mintalah pertolongan daripada Allah agar setiap waktu dapat melaksanakan amal soleh dan dapat meningkatkan nilai ibadat. Semoga kita semua dapat melakukan amalan yang boleh menjadikan Allah Ta’ala redha atas kita.

Pada malam ini, apabila di negara-negara Barat itu sibuk dengan arak, tari menari dan riuh rendah, kita pula seharusnya sibuk dalam menanamkan iradah kepada Allah bahawa pada tahun akan datang, kita berusaha akan mengamalkan perintah-perintah Allah lebih baik berbanding sebelumnya, berusaha meningkatkan nilai keimanan, berusaha memastikan setiap amalan sesuai dengan perintah Allah Ta’ala. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk itu dan menerima permohonan kita. Untuk tahun yang baru ini, untuk semua Ahmadi sama ada secara peribadi atau secara jemaat, Selamat Tahun Baru yang berberkat.

Saya hendak menyatakan tentang kurnia-kurnia Allah Ta’ala. Dalam tahun ini Allah Ta’ala telah memberikan satu kurnia kepada kita sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam laporan hari kedua Jalsah Salanah, bahawa melalui Russian Desk, sekarang ini ada program Russian di dalam MTA, kemudian website bagi terjemahan khutbah sudah bermula. Pada mulanya ada satu dua surat datang kepada saya dari Ahmadi Rusia, tetapi sekarang ini dengan kurnia Allah ia sudah begitu banyak. Ada juga ilham Hazrat Masih Mau’ud a.s iaitu ‘Ahmadiyah akan kelihatan di Rusia seperti butir-butir pasir’. (Dipetik daripada Tazkirah halaman 691, Edisi keempat, cetakan Rabwah).

Mudah-mudahan amanat ini sampai kepada mereka dengan segera dan semoga kita dapat melihat kesempurnaan ilham ini dalam kehidupan.

Satu perkara lagi yang hendak saya zahirkan pada hari ini ialah berkenaan dengan perkara yang sepatutnya saya sampaikan pada ucapan penutupan Jalsah Qadian bahawa website kita iaitu alislam.org, dengan kurnia Allah Ta’ala di dalamnya mereka telah memuatkan penambahan. Buku-buku Hazrat Masih Mau’ud a.s atas nama Rohani Khazain, semuanya telah dimuatkan dalam Search Engine, maknanya apa sahaja perkataan yang hendak dicari, misalnya perkataan Allah, Nabi Isa, Nabi Muhammad dan sebagainya, ia akan muncul di hadapan kita dari dalam Rohani Khazain itu. Tugas ini bukan mudah, namun team anak-anak muda kita telah melakukannya. Di antara mereka ada dua anak Wakfe Nou, seorang Nu’man Ahmadi Lahore dan Mubarak Ahmad Karachi. Selain ini adalah anak-anak India. Sebab itu saya hendak menyatakannnya dalam ucapan penutupan Jalsah Salanah, bahawa selain tiga orang, semuanya adalah anak-anak India. Fazlur Rahman dari Chennai, Maqsud Ahmad dari Bangalore, Syahid Parwez dari Bangalore, Abdussalam dari Bangalore, Aisyah Maqsud Sahibah dari Bangalore, Altaf Ahmad dari Bangalore, Riyaz Ahmad dari Mangalore, Khuram Nashir dari Pakistan, dan Kalimuddin Syeikh dari Chennai.

Pekerjaan yang mereka lakukan ini amatlah sulit. Orang yang membukanya itu tidak dapat merasakan kesusahan mereka. Membaca setiap buku, mencari perkataan dalam setiap buku kemudian membuat indeks, kemudian petikan indeks, kemudian membuat muka surat, semua itu memerlukan ketelitian yang sempurna. Mudah-mudahan Allah Ta’ala membalas jasa baik mereka dan dunia mendapat manfaat daripadanya.

Para pengkritik hari ini sentiasa mengkritik buku-buku Hazrat Masih Mau’ud a.s, tetapi jika dilihat, inilah khazanah yang menjadi sarana dunia ke arah perbaikan. Tetapi, bagi mereka yang tidak ada pengaruhnya, mereka itu selalu mempersendakan ayat-ayat Al-Qur’an, sebab itu tidak memberi apa-apa kesan. Semoga Allah memberi akal dan kefahaman kepada dunia.

Perkara ketiga yang hendak saya sampaikan di sini ialah bahawa saya mendapat tahu ada yang membuka akaun di Facebook atas nama saya. Saya tidak pernah membukanya dan tidak berminat dengannya, malah saya sudah ingatkan berkali-kali supaya anggota jemaat itu menghindari Facebook. Banyak keburukan di dalamnya. Kebodohan itu tidak diketahui angkara siapa, sama ada perbuatan seorang penentang atau seorang Ahmadi yang berniat baik, walau apapun alasannya, sekarang ini sedang diusahakan untuk menutupnya dan insyaAllah akan tertutup. Di dalamnya lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Dan saya selalu menyatakan secara peribadi kepada orang ramai bahawa Facebook banyak mengeluarkan berbagai keburukan dan menjadi kerisauan kepada seseorang.

Terutama sekali kepada kaum wanita, mereka hendaklah berhati-hati. Dan berkenaan dengan Facebook yang saya nyatakan tadi, orang akan masuk dan membaca, memberi komen yang kadang-kadang dengan cara yang tidak patut, sebab itu hindari dan jangan bergabung dengannya.

Jika memang muncul suatu keperluan yang sama seperti Facebook ini di mana di dalamnya hanya mengenai kejemaatan, dan tidak semua orang boleh access, jadi siapa yang hendak bergabung, silakan.

Ini kerana saya diberitahu bahawa beberapa penentang memberi komen yang tidak berakhlak. Sekarang ini, ada orang yang menggunakan nama orang lain sama ada dengan niat yang baik tetapi telah mengeluarkan komen-komen yang tidak bermoral. Sebab itu, sesiapapun yang telah berbuat seperti itu, mereka hendaklah menutupnya dengan segera, kemudian beristighfar. Jika ada yang dengan tujuan jahat, Allah Ta’ala sendiri yang akan berurusan dengannya. Semoga Allah memberi kita petunjuk agar terhindar dari kejahatan dan mudah-mudahan jemaat semakin meningkat maju.

......................
Untuk Teks penuh, sila email

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...