Monday, January 24, 2011

Lembaran Tarbiyat 17



DOA SELEPAS SOLAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Sebenarnya kami tidak melarang untuk berdoa kerana kami sendiri pun berdoa, dan solat itu sendiri merupakan doa. Perkara yang sebenarnya ialah saya menasihatkan kepada anggota jemaatku bahawa di India ada bid’ah yang sedang berleluasa di mana mereka mendirikan solat bukan dengan cara yang sepatutnya. Kelihatan bagi mereka solat itu ibarat tax (cukai) yang mana dianggap sebagai satu beban dan harus ditunaikan. Padahal solat it merupakan satu ibadat yang boleh mendatangkan ketenangan dan keasyikan. Namun, cara mereka menunaikan solat itu tidak memungkinkan hati mereka turut hadir, tidak mendatangkan keseronokan dan ketenangan. Saya menasihati anggota jemaatku agar jangan menunaikan solat yang tidak mendatangkan rasa seronok tetapi berusahalah agar hati turut hadir ketika mengerjakan solat, timbul rasa seronok dan tenang. Jangan menjadi seperti orang yang menamatkan solat dengan tergesa-gesa kemudian baru memanjatkan doa dengan panjang-panjang.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 345)

KEADAAN DALAMAN ISLAM

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Keadaan dalaman agama Islam sudah berubah, bukan lagi tauhid yang sebenar muncul tetapi banyak bid’ah-bid’ah dan syirik yang mengambil tempatnya. Adat-adat resam yang buruk juga telah mengambil tempat amal-amal soleh. Memuja kubur dan memuja orang-orang soleh sudah melebihi batasannya.”

“Ribuan jenis bid’ah-bid’ah muncul dalam setiap firqah atau kumpulan. Taqwa dan kesucian yang merupakan asas agama sehingga Rasulullah s.a.w sanggup menahan penderitaan yang mana jika bukan hati seorang nabi sudah pasti tidak dapat bertahan, hal itu telah hilang. Cuba lihat di penjara, golongan mana yang paling banyak bersalah dalam soal perniagaan? Zina, arak, merampas hak orang dan kesalahan-kesalahan lain dilakukan dengan begitu banyak seolah-olah tidak menganggap bahawa Tuhan itu wujud. ..... Amalan yang amat perlu bagi menzahirkan perbezaan umat Islam dengan umat yang lain telah begitu lemah dan rosak.  ” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 356)

BEZA ANTARA SUNNAH DAN BID’AH

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Waktu ini ramai orang yang tidak tahu membezakan antara sunnah dan bid’ah, sehingga mereka tertipu lalu meninggalkan uswah Rasulullah s.a.w dan melaksanakan amalan yang mereka cipta sendiri. Dan mereka menganggap hal itu cukup dalam menjalani kehidupan mereka sedangkan hal itu boleh membawa mereka ke arah kesesatan. Apabila orang sudah boleh membezakan bid’ah dan sunnah lalu mereka mengamalkan sunnah, mereka boleh terselamat dari bahaya. Tetapi bagi orang yang tidak dapat membezakan sunnah dan bid’ah, malah mereka mencampuradukkannya, akibatnya adalah amat buruk.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 389)

No comments:

Post a Comment