Friday, March 12, 2010

Jauhi Bid'ah


Petikan Khutbah Huzur 15 Januari 2010

Lihat keadaan sekarang ini, orang Islam pada zaman ini banyak terikut-ikut dengan bid’ah-bid’ah dan perkara sia-sia dalam suasana kegembiraan yang mereka lalui akibat pengaruh peredaran zaman. Tetapi, seorang Ahmadi hendaklah memikirkan bahawa, apapun yang mereka lakukan itu hendaklah memberi suatu manfaat. Dan setiap amalan yang hendak dilakukan haruslah mematuhi batasan-batasan yang telah ditentukan oleh Allah.

Saya telah menyatakan tentang kegembiraan dan kesedihan. Tentang kegembiraan yang dianggap paling menggembirakan ialah kegembiraan ketika berkahwin dan ini adalah wajib. Apabila ada sahabat yang berkata: kami akan sentiasa beribadat kepada Allah, kami tidak akan berkahwin, maka Rasulullah(saw) amat tidak menyukainya dan bersabda: Kebaikan adalah atas mereka yang mengikuti sunnahku dan ajaranku. Saya juga berkahwin, juga berpuasa dan beribadat. (Bukhari, Kitabun Nikah, Bab Targhib Fin Nikah, Hadis nombor 5063).

Tingkat ibadat baginda(saw) tidak dapat dikira atau dibuat perbandingan. Jadi, setiap umat Islam wajib untuk berkahwin sekiranya tidak ada masalah yang melintang. Tetapi, wujud adat yang berkenaan dengan itu, terutama sekali dalam masyarakat Pakistan dan India, yang langsung tidak ada hubungannya dengan ajaran Islam.

Sekarang ini, untuk memenuhi adat-adat tersebut, sejumlah wang dibelanjakan sehingga majlis begitu meriah sekali, sehingga timbul fikiran bahawa ia sebahagian daripada perkahwinan dan dianggap satu kewajipan untuk mewujudkannya.

Majlis berinai adalah satu adat dan ia menjadi satu bahagian yang amat diperlukan dalam perkahwinan, ada jemputan dan dicetak dalam kad jemputan dan pelaminan dihias. Dan bukan hanya setakat itu sahaja, malah jemputan berlangsung selama beberapa hari sebelum hari perkahwinan. Kadang-kadang ia belangsung selama beberapa minggu sebelum perkahwinan. Setiap hari, pelaminan akan ditukar hiasannya. Tentang makanan pula, hari ini lain, esok lusa lain lagi dan dalam jumlah yang berlainan. Semua ini adalah adat, sehingga orang yang tidak berkemampuan pun terjerat di dalamnya. Dan yang paling menyedihkan lagi ialah ada orang yang tidak mampu sanggup meminjam dan berhutang.

Ini dilakukan oleh orang ghair Ahmadi, sekarang ini di rumah-rumah Ahmadi sudah mulai berlaku dan mula mengamalkan perkara-perkara yang sia-sia. Atau ada beberapa keluarga yang terpengaruh dengan amalan ini. Mereka lebih terikut-ikut dengan masyarakat sekeliling berbanding dengan mematuhi petunjuk daripada imam zaman mereka.

Beberapa bulan yang lepas, saya telah sentuh hal ini, bahawa hindari jemputan majlis-majlis berinai yang melampaui batas perbelanjaan. Pada hari tersebut, ada sebuah rumah Ahmadi yang membuat jemputan majlis berinai. Apabila mereka mendengar khutbah saya, mereka terus cancel majlis tersebut dan hanya memanggil beberapa kawan-kawan rapat untuk makan, dan makanan yang telah dimasak dihantar ke Masjid Baitul Futuh yang kebetulan ada majlis. Inilah tindakan yang seharusnya ada pada diri setiap Ahmadi, terus mengamalkan apa yang diperintahkan lalu membuat permohonan maaf.

Tetapi, saya juga mendapat aduan dari Rabwah dan Pakistan. Beberapa orang telah mengadakan suatu majlis melebihi keperluan. Dan oleh kerana Rabwah adalah bandar kecil, oleh sebab itu semua perkara dapat kelihatan dengan mudah. Sebab itu, saya mengatakan secara terbuka, jangan mengikuti adat-adat resam ini dan tutup amalan-amalan itu.

Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata: “Dalam kaum kita, ada adat yang buruk iaitu membelanjakan ratusan Rupiah dalam perkahwinan dengan sia-sia”. (Majmuah Isytiharat, Jilid Awal, halaman 70)

100 tahun yang lepas atau lebih daripada itu, membelanjakan ratusan Rupiah adalah satu jumlah yang begitu besar. Tetapi, hari ini, bukan lagi ratusan malah mencapai ratusan ribu dan kadang-kadang melebihi kemampuan sendiri. Mungkin pada zaman ini perbelanjaan lebih banyak lagi yang dibuat. Hazrat Masih Mau’ud(as) juga menyatakan bahawa menyalakan api dan sebagainya juga adalah haram. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 49, edisi baru)

Perkahwinan juga dikaitkan dengan nyalaan api. Sekarang ini, rumah-rumah yang berkahwin dinyalakan lampu-lampu yang kadang-kadang melebihi keperluan. Dari satu arah, Pakistan riuh mengenai hal ini, setiap orang yang datang dan surat khabar juga menyatakan bahawa elektrik dalam kekurangan. Kadang-kadang load shedding berlaku berjam-jam lamanya. Harga barang juga meningkat. Kemudian, pada arah yang lain ada rumah-rumah yang melakukan perbelanjaan yang begitu besar untuk tujuan yang sia-sia, yang bukan sahaja merugikan negara, malah terjerat dalam dosa. Oleh sebab itu, orang Ahmadi di Pakistan hendaklah memikirkan hal ini iaitu jangan melakukan pembaziran, terutama sekali di Rabwah, perhatikan hal ini dengan betul.

Di Rabwah, hal ini adalah tanggungjawab Sadar Umumi untuk mengawasi, jangan sampai ada rumah-rumah yang membuat pembaziran dalam perbelanjaan yang cuma menunjuk-nunjuk sahaja. Kurnia khas Allah Ta’ala atas Jemaat ialah dalam keadaan bersedih pun terhindar dari melakukan adat kebiasaan. Tidak menjadi seperti orang ghair Ahmadi yang mengamalkan hari ketujuh, ke-10, dan ke-40. Adat ini telah menjadi beban kepada banyak keluarga. Tetapi, jika suatu masyarakat sudah mula mengamalkan sejenis adat resam, ia akan membuka satu jenis adat yang baru lagi, beginilah cara adat-adat ini berkembang.

Jadi, setiap Ahmadi hendaklah memahami kedudukan masing-masing. Allah Ta’ala telah memberi kurnia dengan menggabungkan mereka dengan Jemaat Masih dan Mahdi ini. Oleh itu, perkara yang menjadi kewajipan ialah beramal atas ajaran Islam yang sahih. Ajaran Islam tentang perkahwinan boleh mengadakan suatu majlis. Jika berkemampuan boleh menyediakan makanan. Ini juga bukan satu kewajipan bahawa setiap rombongan pengantin lelaki yang datang, tetamu-tetamu dijemput makan. Jika rombongan pengantin lelaki datang dari jauh, cukuplah untuk memberi makan kepada mereka sahaja. Tetapi, jika undang-undang negara melarangnya, maka harus berhenti dari membuat jamuan dan sebagainya, hanya perlu untuk memberi makan kepada saudara terdekat dan rombongan pengantin lelaki sahaja. Ini kerana di Pakistan, dalam suatu waktu kerajaan telah melarang. Apa yang berlaku sebenarnya saya tidak tahu, tetapi, larangan itu masih berlaku sehingga sekarang.

Walimah adalah perkara yang wajib, iaitu memanggil saudara terdekat untuk datang. Jika dilihat, inilah hukum yang ada dalam Islam dalam soal menjemput makan dalam perkahwinan. Tetapi, tidak pula jadi kewajipan harus dengan belanja yang besar. Setakat yang mampu, itulah yang dilakukan.

Jadi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Allah Ta’ala telah memberitahu tujuan kita diciptakan. Setiap amalan yang baik yang dibuat kerana Allah Ta’ala, ia akan menjadi ibadat. Jika direnungkan dan diteliti, di situlah kehidupan kita dan dari situ jugalah kita akan selamat dari adat resam, terhindar dari perkara bid’ah, terhindar dari pembaziran, terhindar dari perkara sia-sia dan juga terhindar dari melakukan kezaliman.

Zalim itu mungkin hanya kelihatan dari seorang pemberontak, tetapi kadang-kadang seseorang yang terjerat dalam perkara-perkara bid’ah ini sedang berlaku zalim atas diri sendiri. Kemudian, apabila adat itu sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat, maka kezaliman berlaku atas orang-orang miskin kerana beranggapan mungkin hal ini satu perkara yang wajib dilakukan.

Apabila kezaliman, perkara sia-sia dan bid’ah wujud dalam masyarakat, maka akan timbul amalan mengambil hak orang lain, dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa akan wujud masyarakat yang zalim. Tetapi, jika kita menghindarkan diri dari perkara-perkara ini, maka kita juga akan selamat dari mengambil hak orang lain, akan terhindar dari melakukan kezaliman dan akan mendapat keredhaan Allah Ta’ala.

Hari ini selain Ahmadi, siapa lagi yang lebih baik dalam memperkatakan tentang soal menunaikan hak hamba-hamba? Hari ini selain Ahmadi, siapa yang telah berikrar untuk menjauhkan perkara-perkara bid’ah seperti ini? Hari ini selain Ahmadi, siapa lagi yang telah berikrar akan menjunjung tinggi perintah Al-Qur’an? Hari ini selain Ahmadi, siapa lagi yang telah berikrar akan menjunjung tinggi perintah Allah dan perintah Rasul atas dirinya?

Jadi, jika hanya Ahmadi yang telah mengikrarkan hal itu semua, yang telah bergabung dalam Jemaat Imam Zaman, yang telah masuk dalam Jemaat ini dengan syarat-syarat yang tertentu, maka setiap Ahmadi hendaklah berusaha untuk menyempurnakan ikrar tersebut. Dengan peraturan yang ada ini, ia bukan hanya menguatkan diri kita, malah menjauhkan kita dari perangkap syaitan.

Dengan mengamalkan perintah Allah dan Rasul, kita sebenarnya telah melindungi diri sendiri. Memberi ketajaman dalam kefahaman dan firasat. Memelihara kehormatan dan kesucian. Meningkatkan perasaan malu. Berusaha melahirkan kesabaran dan ketenangan dalam diri. Berusaha melahirkan zuhud dan ketakwaan dalam diri. Berusaha menguatkan keimanan. Berusaha menunaikan amanat yang telah dipertanggungjawabkan. Berusaha untuk mencapai tingkat tertinggi dalam kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya agar dapat menunaikan tujuan sebenar dirinya diciptakan.

Jadi, jika mahu keluar dari kegelapan, dan hendak menunaikan hak bai’at kepada imam zaman, maka kamu hendaklah meninggalkan perkara-perkara keduniaan. Berusahalah untuk menjadikan diri kamu suci. Kamu juga hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melahirkan akhlak yang tinggi dalam diri.

Tadi, saya telah menyentuh tentang meningkatkan perasaan malu dalam diri. Malu juga adalah sebahagian daripadan iman. Rekaan-rekaan dunia yang terkini, sebagaimana yang telah saya nyatakan bahawa TV, internet dan sebagainya, semua itu telah megubah sejarah perasaan malu itu. Setelah memperlihatkan perbuatan yang memalukan pun masih lagi mengatakan bahawa ini bukan perbuatan yang memalukan.

Jadi, tingkat perasaan malu seorang Ahmadi tidak harus seperti itu seperti yang diperlihatkan dalam TV dan internet. Ia bukan setakat memalukan, malah ia menunjukkan ketidaksedaran. Dan ada beberapa rumah Ahmadi juga sudah mulai menterbalikkan erti pardah, sehingga mereka tidak berhijab atau tidak berpardah. Dengan perkembangan zaman, beberapa istilah dan perangai menjadi berubah yang mana seorang yang baik tidak dapat melihatnya walaupun suami isteri. Adakalanya suatu perbuatan apabila dilakukan di hadapan seseorang, ia bukan hanya tidak boleh, malah menjadi satu dosa. Jadi, jika Ahmadi tidak mensucikan diri dari perbuatan-perbuatan buruk seperti ini, maka sebenarnya ia belum lulus dalam ikrarnya, imannya kepada imam zaman juga menjadi sia-sia.

Rasulullah(saw) dengan begitu jelas menyatakan bahawa alhayaa’u syu’batum minal iimaan yakni malu itu sebahagian daripada iman. (Muslim Kitaabul Iman, bab Sya’bul Iman Wa Afdhaluha... hadis nombor 59)

Jadi, setiap Ahmadi, terutama sekali anak-anak muda, jangan terpengaruh dengan media-media, jika tidak, maka iman akan terlepas dari tangan. Disebabkan perbuatan buruk itulah yang akan menyebabkan ramai orang yang melangkah jauh melebihi batasan yang telah diberikan, sehingga menyebabkan ada beberapa orang yang terpaksa dikeluarkan dari Jemaat. Ingatlah sentiasa bahawa setiap perbuatanku adalah diredhai Allah Ta’ala.

Ada dalam satu hadis, Rasulullah(saw) bersabda: Ketiadaan perasaan malu menjadikan seseorang kelihatan buruk, manakala orang yang ada perasaan malu akan dikurniakan keindahan dan menjadikannya kelihatan cantik. (Tirmizi Kitabul Birri Was Sholaat, ... (hadis nombor 1974)

Jadi, inilah kecantikan yang lahir dalam diri insan disebabkan melakukan amal soleh.

Dalam satu hadis ada menyatakan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: tanamkan dalam hati perasaan malu terhadap Allah seperti yang sepatutnya. Para sahabat berkata: syukur kepada Allah yang mengurniakan perasaan malu kepada kami. Rasulullah(saw) bersabda: bukan begitu! Tetapi orang yang mempunyai perasaan malu akan memelihara kepala dan apa pun yang bermain di dalam kepalanya. (yakni memelihara apapun khayalan yang terlindas dalam otak). Kemudian, perut dan apa yang ada di dalamnya juga hendaklah dipelihara. Sentiasa ingat kepada maut dan musibah. Orang yang melihat kepada akhirat akan meninggalkan khayalan kecantikan hidup di dunia. Jadi, mereka yang menjalani kehidupan seperti ini, bererti mereka telah menyimpan rasa malu kepada Tuhan. (Tirmizi, Kitab Shiftul Qiyyamah war Raqa’iq wal War’u, bab 89/24, hadis nombor 2458)

Jadi, semua fikiran yang menyerbu masuk ke dalam khayalan hendaklah mempunyai rasa malu kepada Allah. Jika yang datang pun adalah fikiran buruk, maka hendaklah menghalaunya dengan segera melalui istighfar. Jika fikiran bersih, maka amalan pun akan bersih. Kemudian, perkara sia-sia tidak akan dapat menyelinap masuk ke dalam diri seorang insan.

Dalam mencari rezeki pun, setiap insan hendaklah menggunakan sarana yang halal, rajin berusaha, serta rajin mencari rezeki. Jangan memerhatikan harta orang lain dan mahu merampasnya. Di Pakistan dan beberapa negara lain, sudah menjadi kebiasaan untuk mengambil rasuah, dan ini bukanlah sumber rezeki yang halal. Rasulullah(saw) juga ada menyatakan agar memelihara perut dan makanan yang dimasukkan ke dalamnya. Jadi, berilah makanan perut kamu dan perut isteri serta anak-anak melalui rezeki yang halal. Dengan itu, kamu akan menjadi orang yang beriman kepada Allah dengan keimanan yang sebenar.

Terdapat satu doa daripada Hazrat Masih Mau’ud(as). Untuk mendapatkan Allah Ta’ala, doa ini ditulis. Beliau(as) berkata: Wahai Tuhan yang Maha Qadir! Penunjuk jalanku, perlihatkanlah kepada kami jalan-jalan yang mana orang-orang siddiq dan suci telah mendapatkan Engkau, dan hindarilah kami dari jalan-jalan yang hanya ada syahwat, kebencian dan permusuhan atau kecenderungan kepada dunia. (Piagham Sulh, Rohani Khazain Jilid 23, cetakan Rabwah)

Jadi, kita hendaklah berusaha untuk meneliti ikrar kita, dan juga memahami dengan benar syarat-syarat bai’at agar termasuk dalam golongan yang mempunyai keimanan yang hakiki. Hendaklah sentiasa ingat bahawa kita telah beriman kepada nabi yang telah menunjukkan jalan yang lurus, yang mengajarkan mana satu perbuatan baik dan mana satu yang buruk. Jika selepas itupun kita masih mengamalkan adat kebiasaan dan perkara sia-sia, maka itu menunjukkan bahawa kita tidak boleh menunaikan hak ibadat dan juga tidak boleh mendapat bahagian daripada nur itu.

Allah Ta’ala berfirman mengenai diri Rasulullah(saw) dalam Surah Al-A’raaf:158 yakni orang yang beriman kepadanya, dia akan memerintahkan mereka melakukan kebaikan dan menghalang mereka dari melakukan kejahatan. Dan untuk mereka telah dihalalkan benda-benda yang suci dan mengharamkan benda-benda yang kotor. Dan juga bebanan atau belenggu mereka akan dilepaskan.

Rantai yang membelenggu leher akan dilepaskan. Belenggu yang terdapat pada kaum-kaum sebelumnya atau dalam generasi terdahulu, mereka melupakan agama lalu terjebak dalam adat kebiasaan, yakni belenggu yang terdapat pada orang Yahudi dan Kristian sedang diamalkan oleh beberapa orang Islam. Jika hal itupun terdapat dalam diri kita, bagaimana kita boleh mendakwakan bahawa kita sedang memperjuangkan amanat Rasulullah(saw) di seluruh dunia. Jadi, belenggu ini harus kita lepaskan.

Kemudian, perkara ini juga hendaklah selalu kita ingat bahawa kita juga beriman kepada nabi yang telah menunjukkan perbezaan antara halal dan haram, dan juga yang melepaskan belenggu kesalahfahaman mengenai agama. Tetapi, seperti yang telah saya beritahu bahawa, itu adalah nasib malang umat Islam, walaupun dengan hidayat yang begitu jelas pun, masih juga meletakkan belenggu itu di leher.

Tetapi, kita sebagai Ahmadi yang telah bai’at kepada Hazrat Masih Mau’ud(as), kita hendaklah memahami hakikat bagaimana untuk melepaskan belenggu ini dari leher kita. Ini satu kurnia Allah Ta’ala kerana kita terselamat dari memuja kuburan. Kita terhindar dari memuja orang-orang suci walaupun ada aduan dari beberapa tempat. Dan secara umumnya kita terhindar dari adat-adat kebiasaan, tetapi seperti yang saya katakan bahawa ada benda-benda yang menyelinap masuk. Sekiranya kita tidak berhati-hati, maka beban ini akan membelenggu kita, padahal ia telah dinyatakan oleh Rasulullah(saw) dan juga imam zaman menasihatkan agar kita menghindarinya. Jika itu yang terjadi, maka kita akan jauh dari agama.

Sekarang ini jelas, apabila keadaan seumpama itu yang berlaku, maka ia akan terkeluar dari Jemaat. Ini kerana mereka yang ada hubungan dengan Jemaat adalah mereka yang mendapat bahagian daripada nur dan juga mendapat bahagian daripada Allah, rasul dan kitab. Jika ada yang tidak mengambil bahagian daripada Allah, rasul dan kitab, mereka itu tidak mendapat bahagian daripada nur. Manakala mereka yang tidak berusaha mendapatkan nur, itu bererti mereka jauh daripada keimanan. (Bukhari Kitabud Da’wat)


Untuk teks penuh, email

No comments:

Post a Comment