Saturday, September 12, 2009

Ibu yang solehah


Ibu yang solehah adalah cara terbaik melahirkan keturunan yang baik


Berhubung dengan tarbiyat, pertama sekali Islam telah meletakkan asas iaitu lelaki harus mencari pasangan yang kuat agamanya dan wanita juga diseru supaya menjadi orang yang kuat berpegang pada agama, kerana tanpa hal itu dia tidak mempunyai kebolehan dalam mendidik anak-anak. Al-Qur’an Karim ada menyatakan YUKHRIJUL HAIYI MINAL MAIYITI WA YUKHRIJUL MAIYITA MINAL HAIYI yang bermaksud Tuhan mengeluarkan (melahirkan) kehidupan daripada kematian dan mengeluarkan kematian daripada kehidupan. Kadang-kadang terjadi, walaupun hakikatnya ibu bapa tidak baik, tetapi anak-anak mereka adalah anak yang baik dan ada ibu bapa yang dipercayai ibu bapa yang baik, namun anak-anak mereka adalah anak yang tidak baik (jahat), malah Tuhan telah memberi amaran kepada orang Islam pada satu segi dan dari segi yang lain menghindari mereka daripada kekecewaan dengan memberikan beberapa contoh dalam Al-Qur’an, iaitu bagaimana dari sebuah rumah yang baik, lahir anak yang tidak baik, dan dari sebuah rumah yang tidak baik pula boleh lahir keturunan yang baik-baik. Tetapi umumya, untuk melahirkan anak yang baik berserta dengan didikan dan tarbiyat yang suci adalah terletak pada kepakaran seorang ibu yang kuat keagamaannya. Dapat dirumuskan bahawa 90 peratus anak-anak yang baik adalah hasil didikan ibu-ibu yang kuat pegangan agamanya. Di bawah jagaan seorang ibu yang baik, anak itu bukan sahaja melihat ibunya siang malam sibuk dengan amalan-amalan baik (solat, puasa, tilawah Al-Qur’an, sedekah dan pekerjaan agama yang lain serta kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya) malah sebagaimana dia melihat amalan ibunya, ibunya juga melihat perbuatan anaknya siang dan malam di samping menegur dan menasihatinya dengan penuh kasih saying seandainya ada perbuatan yang bertentangan dengan kebiasaan agama.


Perbuatan baik seorang ibu yang menarik hati adalah satu uswah bagi seorang anak. Ucapan lembut seorang ibu ibarat titisan madu dan penawar yang terus-menerus menitis ke dalam telinga seorang anak yang amat berpengaruh pada daging, tulang dan darahnya.


Alangkah baiknya jika dunia memahami hakikat ini! Alangkah bahagianya jika pemimpin sesuatu kaum mengetahuinya! Alangkah beruntungnya jika ketua keluarga, tuan rumah, ibu-ibu dapat mengimplementasikannya. Dan juga jika anak-anak itu sendiri yang menghayatinya bahawa tarbiyat yang terbaik, senjatanya ialah ibu.


Jadi, wahai saudara dan saudari yang bernaung di bawah bendera Nur Ilahi! Wahai ibu-ibu dan wanita-wanita yang bakal menjadi ibu! Jika mahu menyelamatkan kaum daripada terperosok ke dalam lembah yang hina dan menuju kepada kemajuan yang tinggi, maka dengarlah dan ingatlah bahawa tidak ada jalan yang terbaik selain kamu menjadikan pangkuan kamu sebagai buaian yang baik, dari dalam pangkuan itu kamu lahirkan satu mutiara yang dapat menghapuskan kejahatan dan mengembangkan kebaikan serta yang dapat menghalau syaitan sejauh-jauhnya, juga yang dapat menarik insan ke arah Tuhan yang Rahman.


SSA, 8.57am, Sabtu, 12 September 2009

No comments:

Post a Comment